Isnin, 5 April 2010
Nazri Londehkan Anwar!!!
Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz]:
Tuan Yang di-Pertua, bagi pihak Jabatan Perdana Menteri, saya mengucapkan Terima kasih
kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung
Kasih ke atas Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan menyentuh perkara perkara
di bawah tanggungjawab Perdana Menteri. Sesungguhnya Jabatan Perdana Menteri
amat menghargai pandangan, teguran dan saranan dan cadangan Ahli Yang Berhormat
berkenaan.
Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Permatang Pauh menyatakan Titah
Diraja...[Disampuk]
Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Penjelasan, sebelum Yang Berhormat masuk.
Sebagai satu panduan kepada Dewan yang mulia ini, berapa orang Menteri yang akan jawab
oleh kerana sudah lihat Yang Berhormat Menteri KPI nampaknya tidak ada di sini. Berapa
Menteri akan jawab?
Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua, empat orang akan
menggulung dan Yang Berhormat Senator, beliau tidak ada di sini. Dia berada di Pulau Pinang
tetapi dia akan balik kalau sekiranya masa dia balik itu masih lagi kita tengah menggulung maka
dia akan menggulung kalau tidak Yang Berhormat Timbalan Menteri Dato’ T. Murugiah akan
membuat penggulungan.
Yang Berhormat Permatang pauh mengatakan Titah Diraja terlalu murahan kerana
memuji Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan isteri. Untuk makluman Yang Berhormat,
Titah diraja ini diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan untuk
makluman Yang Berhormat juga dalam Titah Diraja sebelum ini, Seri Paduka Baginda pernah
memberi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Pada masa tersebut atau
kepada tokoh-tokoh yang berjasa kepada negara misalnya dalam titah tahun Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memberi penghargaan kepada Yang Berbahagia Datuk
Lee Chong Wei.
Sesungguhnya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sejak memegang tampuk
kepimpinan telah memperkenalkan antaranya Gagasan 1Malaysia, Model Ekonomi Baru serta
Program Turun Padang, mendampingi rakyat dan menyelesaikan masalah yang dihadapi
mereka. Oleh itu tidak timbul pujian murahan seperti yang didakwa oleh Yang Berhormat kerana
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menunjukkan teladan yang baik sebagai pemimpin.
Seorang Ahli: Ya.
Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Berhubung dengan Program PERMATA
pula, Titah Baginda menyentuh kejayaan program berkenaan dan tidak sesekali menyentuh isteri
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Yang Berhormat Permatang Pauh dan Yang Berhormat Batu menyentuh tentang
penggunaan khidmat APCO untuk kempen dan Gagasan 1Malaysia serta mendakwa ia ada
kaitan dengan Israel. Untuk makluman Yang Berhormat, perkara berkaitan APCO ini telah
berulang kali diajukan dan jawapannya telah pun diberikan di dalam Dewan yang mulia ini.
Penjelasan tersebut tidak wajar diputar belitkan dan kenyataan yang tidak benar mengenainya
tidak harus diutarakan.
Menyentuh isu APCO ini saya ingin memaklumkan Dewan yang mulia ini bahawa apa
yang diperkatakan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh mengenai APCO adalah tidak benar
belaka. Oleh itu pada hari ini saya tidak bercadang untuk terus membincang isu ini dengan
panjang lebar memandangkan Yang Berhormat Permatang Pauh telah memperkatakan sesuatu
yang tidak benar dan mengelirukan Dewan berkaitan isu APCO maka hal ini akan dibincang
dalam usul di bawah 27(3) yang akan dikemukakan untuk merujuk Yang Berhormat Permatang
Pauh kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan nanti.
Berhubung pendedahan Yang Berhormat Bayan Baru berkaitan agenda melompat parti
dan merampas Putrajaya at all cost dengan izin...
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, Yang Berhormat
Pokok Sena bangun.
Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Terima
kasih Yang Berhormat Menteri. Tadi Yang Berhormat ada menyebut bahawa apa yang didakwa
oleh Ketua Pembangkang tentang APCO itu tidak benar, tidak benar, tidak benar, APCO itu tidak
benar. Apa-apa yang berkaitan dengan APCO itu tidak benar. Jadi saya hendak tanya Yang
Berhormat Menteri, adakah bermakna bahawa kerajaan tidak melantik APCO, itu satu?
Keduanya, adakah kerajaan mengatakan bahawa APCO itu tidak terdapat lembaga penasihatnya
yang merupakan bekas-bekas Menteri Israel, adakah ini dimaksudkan tidak benar?
Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Menteri, sedikit Menteri. Ya.
Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Apa yang tidak benar bahawa 1Malaysia
adalah dasar mengikut Yahudi 1Isreal, itu yang tidak benar. Jadi yang itu yang kita hendak bawa
ke..., hendak rujuk ia kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Akan tetapi Yang Berhormat boleh
bersetuju mengatakan bahawa 1Malaysia itu ialah selepas daripada 1Israel.
Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Saya tidak kata begitu, saya cuma hendak
mengatakan bahawa yang kita tidak bersetuju ialah kerana dalam ucapan beliau, beliau
mengaitkan iaitu bahawa 1Malaysia itu ilham daripada idea 1Israel. Ini jelas menunjukkan di
negara Malaysia yang mana ramai penduduknya itu adalah beragama Islam. Kaitan dengan
program yang dilakukan oleh sebuah negara seperti Israel, itu adalah satu perkara yang amat
sensitif. Sebab itu kita tidak menerima apa yang telah dikatakan oleh beliau dan penjelasan pada
hari Selasa yang lepas tidak langsung menunjukkan bukti-bukti yang kukuh bahawa ada satu
perancangan di antara kita dan Israel sehinggakan program mereka itu hendak dilaksanakan di
Malaysia, sebab itu kita tunggu masa perbahasan nanti, kita boleh bincang dengan lebih
mendalam ya.
Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: [Bangun]
Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Ya, Yang Berhormat Menteri,
sedikit Menteri. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Balik Pulau.
Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Menteri sedikit Menteri. Yang
Berhormat Menteri saya tidak mahu masuk di dalam aspek APCO kerana itu akan diperjelaskan.
Akan tetapi cuma saya mahu Menteri jelaskan dasar kerajaan pada hari ini kerana satu ketika di
bawah pimpinan yang lalu negara dikaitkan kononnya yang berpengaruh ialah tingkat empat,
lepas itulah sekarang dikaitkan dengan kerajaan hari ini memerlukan perunding komunikasi untuk
memantapkan imej kerajaan. Saya melihat perkembangan ini untuk sebuah negara yang telah
berkembang selama 50 tahun.
Pendekatan politik ala outsourcing ini Menteri, kerana pada pandangan saya Menteri
sendiri baru ini saya ucapkan Menteri mampu pergi Washington melakukan dasar luar negara
tanpa memerlukan bantuan perunding asing. Saya rasa suatu ketika apabila dikaitkan dengan
tokoh-tokoh diplomat Tan Sri Zain Azrai sehingga hari ini dibanggakan, Tan Sri Kamil juga
difahamkan antara yang hebat membantu negara ketika Yang Berhormat Permatang Pauh
menjadi Presiden UNESCO. Saya yakin ramai lagi tokoh-tokoh, pegawai-pegawai kerajaan yang
saya rasa mungkin juga hebat.
Jadi saya rasa pada hari ini, adakah dasar kerajaan pada hari ini sehingga perlukan
perunding komunikasi strategik untuk membantu negara di kala terutama sekali negara yang
telah selama 50 tahun punya pengalaman dan saya rasa Menteri sendiri antara Menteri kanan
yang berpengalaman mungkin boleh jelaskan kepada kita, adakah kita tidak mampu untuk
membawa satu komunikasi yang ..
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Habiskan Yang Berhormat,
ringkaskan. Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: ...Strategik bagi
membangkitkan imej tanpa APCO, ya.
Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua, saya sudah kata
benda APCO ini kita bincang pada waktu saya hendak bawa usul hendak rujuk dia ke
Jawatankuasa nanti. Tidak perlu saya jawab sekarang. Yang Berhormat Ipoh Timur.
Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Saya tidak mahu sebut mengenai apa yang akan di
bincang. Ini adalah mengenai APCO yang ada di engage untuk perkhidmatan menjualkan
1Malaysia, tidak ada kah firma-firma tempatan untuk perkhidmatan ini. Oleh kerana apa yang kita
tahu mengenai APCO Tactical Exco Worldwide, adakah kerajaan sedia untuk timbang semula
dan berhentikan perkhidmatan APCO.
Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Ucapan yang sama macam Yang
Berhormat Balik Pulau tadi. Tunggu apabila kita bahas usul nanti.
Berhubung dengan pendedahan Yang Berhormat Bayan baru, berkaitan dengan...
Tuan Salahuddin Ayub [ Kubang Kerian]: Menteri. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua
dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Saya tertarik tadi Yang Berhormat mengatakan sensitif,
sensitivity itu perlu dijaga yang ada kaitan di antara Malaysia, kalau boleh sebut pun tidak boleh
dengan Israel ini.
Akan tetapi bagi saya Yang Berhormat, berdasarkan track record kerajaan sendiri.
Kerajaan pernah ada hubungan dengan Israel ini sama ada cara official atau tidak official. Yang
Berhormat Menteri Pertahanan jumpa Ehud Barak di Perancis, kemudian Malaysia pernah
mengundang dengan rasmi pasukan kriket Israel ke Malaysia. Saya dan Yang Berhormat Pokok
Sena sampai di heret ke Penjara Kajang... [Ketawa] Adakah ini menunjukkan bahawa benarbenar
kerajaan sensitif tentang Israel ini? Jadi saya berharap Yang Berhormat konsisten dengan
isu ini kalau betul-betul perkara ini melibatkan sensitivity, jadi biar konsisten, nampak konsisten.
Jangan pukul 1 tengah hari mengatakan tidak boleh dan pukul 5 petang menunjukkan tidak
konsisten.
Jadi atas isu-isu yang begini saya rasa negara telah ada rekod bahawa hubungan
dengan Israel memang telah terjalin dan saya tidak pelik juga APCO yang datang ke mari juga
ada kaitan dengan urusan yang sebegini. Jadi minta penjelasan, terima kasih.
Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Berkenaan dengan apa yang dibangkitkan
oleh Yang Berhormat itu, saya rasa Yang Berhormat Bagan Datok sudah jawab. Akan tetapi saya
cuma hendak beritahu two wrongs not make one right. Jadi oleh kerana sensitif itulah Yang
Berhormat Kubang Kerian dan Yang Berhormat Pokok Sena melompat kerana itulah kita tidak
mahu bincang, kita merasa sensitif apabila perkara ini dibangkit. Jangan kita fikirkan kalau dulu
ada berlaku kesilapan, maka itu boleh menghalalkan apa yang kita hendak buat sekarang. Jadi
sebab itu, saya hendak kata kita bincang ini waktu - oleh kerana dia bangkit perkara yang
sensitif, tetap sensitif walau Yang Berhormat kata di masa lepas ada peristiwa, tidak bermakna
kurang sensitif sekarang. Jadi sebab itu saya menyatakan bahawa kita bincanglah, apa kita
hendak takutkan. Waktu saya bentang usul nanti, diberi ruang untuk berbahas perkara yang
sama. Lebih baik kita duduk bincang satu khusus pada itu sahaja kerana daripada kita habis
masa di sini kerana terdapat perkara lain yang perlu saya jawab kan. Jadi saya ingat tidak mahu
layan tentang hal itu lagi..
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Isu sensitif itu tadi itu.
Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: ...Sehingga saya bawa usul. Pada ketika itu
Yang Berhormat boleh bercakap apa-apa pun.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Jelas itu Yang Berhormat.
Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Jadi berhubung pendedahan Yang
Berhormat Bayan Baru berkaitan agenda melompat parti dan merampas Putrajaya at all cost,
dengan izin. Untuk makluman Yang Berhormat, lompat parti lazimnya terjadi apabila rakyat
berkenaan telah hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan parti yang diwakili olehnya ataupun
mencuri seperti yang dilakukan oleh ketua umum terhadap wakil rakyat Bota, Ahli Dewan
Undangan Negeri. Dia berlaku dua macam itu, sama ada orang itu pergi kerana dia hilang
kepercayaan ataupun kerana ada kecurian daripada pihak yang hendak mencuri.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya tahu Menteri hanya jadi juru cakap,
tetapi saya hendak bezakan. Yang Berhormat boleh tanya dan saya minta Ahli Yang Berhormat
Parit, bukan Parit, Bota jelaskan. Dia yang datang ke rumah saya, dia yang kata dia hilang
keyakinan kepada kepimpinan UMNO dan kerajaan. Kita tidak upah dia, kita tidak ugut dia, kita
tidak lompat kerana orang bagi berjuta-juta ringgit atau kontrak atau ugut sebab kes rasuah. Jadi
saya minta Yang Berhormat jangan, bukan sahaja mengelirukan Dewan tetapi menggunakan
sesuatu kenyataan yang biadab, saya mencuri.
Jangan gunakan privilege Menteri untuk meneruskan kata-kata yang biadab seperti itu.
Mencuri maknanya kita pergi secara senyap ambil dia, dia datang ke rumah saya. Dia datang ke
rumah saya dengan isteri dia dan dia berdepan dengan ribuan orang jelaskan tidak seperti mana
orang yang lompat sahaja senyap, belum berani berdepan dengan rakyat dia sendiri. Belum ada
yang lompat di sebelah sana, kita yang lompat, Yang Berhormat Parit dia datang, saya beritahu
Yang Berhormat, “Kalau betul ada pendirian, Yang Berhormat jelaskan sendiri kepada pengundi”.
Maka di depan lima, enam ribu orang dia jelaskan mengapa dia memilih untuk meninggalkan
UMNO. Berbeza dengan orang yang dapat habuan, janji atau terima ugutan, dia tidak berani
berdepan dengan ratusan jangan katakan ribuan pengundi-pengundi di kawasan dia.
Jadi boleh guna, boleh kelirukan Dewan, boleh guna kuasa dengan rakus dan angkuh,
boleh hukum sesiapa tetapi perlu ingat, kita bertanggungjawab dengan peraturan dan undangundang,
kalau tuduh kemukakan dengan bukti...
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Menteri.
Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Menteri, saya hendak minta maaf,
perbetulkan sedikit fakta itu sebab saya sendiri sudah balik Kulim sudah berjumpa dengan rakyat
sana dan juga berkhutbah pun, insya-Allah.
Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tidak payah bagi penjelasan lah, Yang
Berhormat bukan lompat tetapi kena buang... [Ketawa] Itu ada beza itu, dia tidak lompat, dia kena
buang, jadi tidak perlu bagi penjelasan. Kemudian berkenaan dengan...
Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri.
Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: ...Apa yang disebut oleh Yang Berhormat
Permatang Pauh, saya agak persuaded juga hendak terima apa yang dia cakap akan tetapi
masalahnya Yang Berhormat Bota itu lari balik, patah balik. Jadi macam mana itu? Kalau dia
masih kekal di sana, saya boleh terima,saya minta maaf lah tetapi apabila dia mari balik, makna
ada sesuatu yang tidak betul, jadi ini keraguan yang ada pada saya. Walau bagaimanapun, Yang
Berhormat saya tarik baliklah, “curi” tidak patut. Saya pun..., ini abang saya ini. Saya tidak mahu
dia emosi marah, umurpun sudah 63, jadi Tuan Yang di-Pertua, saya tarik balik “curi”, maknanya
jangan orang kata..., jangan apa? Apa perkataan yang paling baik sekali Yang Berhormat, kalau
boleh cadang...
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar)
mempengerusikan Mesyuarat]
Seorang Ahli: Terima, terima!
Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: ...Ha, okey, terima! Terima kasih banyakbanyak.
Jadi dakwaan yang menyatakan Ahli Parlimen Barisan Nasional beramai-ramai ingin
melompat parti adalah tidak benar, kerana Kerajaan Barisan Nasional sentiasa berusaha untuk
melaksanakan dasar-dasar memperjuangkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan ia
mendapat keyakinan penuh ahli-ahlinya.
Tuan Yang di-Pertua, selama ini kerajaan telah dituduh dengan pelbagai tuduhan negatif
oleh pembangkang, kononnya kerajaan merampas dan mencuri Ahli-ahli Parlimen pembangkang
dengan menawarkan pelbagai janji seperti yang diinsinuasilah sebentar tadi dalam ucapan Yang
Berhormat tetapi saya tidak tahu bila pula kita curi, sebab yang keluar ini semua jadi BEBAS
tidak masuk Barisan Nasional pun. Jadi hendak kata Barisan Nasional curi tidak betul, kerana
tidak ada satu yang keluar daripada parti Yang Berhormat yang masuk dalam Barisan Nasional
immediately, tidak ada. Jadi tuduhan mengatakan kita memberikan imbuhan dan tawaran adalah
tidak benarlah ya. Namun kerajaan tidak berpeluang...
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Menteri...
Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: ...Untuk menjelaskannya kepada...
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Minta maaf Menteri, boleh dapat
penjelasan...
Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: ...Kepada rakyat sehingga..
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: ...Boleh dapat penjelasan?
Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Sehingga..., hai Yang Berhormat Shah
Alam, tunggu, tunggu. Tidak apa saya akan memberi, sebab saya tidak pernah marah dengan
Yang Berhormat Shah Alam, yang mengamalkan selective disagreement… [Ketawa]
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ya bagus, bagus terima kasih.
Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Ya, okey, saya habis dahulu saya bagi.
Kerajaan tidak berpeluang untuk menjelaskannya kepada rakyat, sehingga ada yang
terpengaruh dengan tuduhan-tuduhan tersebut, walau bagaimanapun sebenarnya apa yang
dituduh oleh pembangkang nampaknya telah terbukti satu pembohongan belaka, dan semuanya
adalah untuk menutup tembelang buruk mereka. Melalui pendedahan Yang Berhormat Bayan
Baru dan beberapa Ahli Yang Berhormat lain termasuk oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar
Perak semalam yang keluar pada hari ini dalam surat khabar, akhirnya terbongkarlah agenda
buruk pihak pembangkang. Rakyat sekarang telah tahu bahawa pembangkang telah melakukan
pembohongan selama ini. Pihak mereka sendirilah yang mengamalkan usaha-usaha untuk
mencuri Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional sehingga terdapat rombongan pihak pembangkang
ke Taiwan untuk berbuat demikian, dengan Yang Berhormat Batu pun terlibat ya, dengan Yang
Berhormat Bukit Lanjang, Machang pergi.
Dengan pendedahan yang didedahkan, jelaslah tembelang pihak pembangkang yang
gila kuasa dan pentingkan diri sendiri berbanding kepentingan rakyat. Mereka juga mengamalkan
double standard, dengan izin, apa yang memberi peluang dan faedah kepada mereka dihalalkan
sebaliknya apa sahaja yang kerajaan laksanakan untuk kebaikan rakyat dianggap oleh mereka
sebagai tidak betul... [Tepuk]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan