Selasa, 5 Oktober 2010
Sukan Komanwel!!! Pingat Emas Pertama Negara...
Komanwel: Amirul Hamizan Sumbang Emas Pertama Malaysia Melalui Acara Angkat Berat
NEW DELHI, 4 Okt (Bernama) -- Amirul Hamizan Ibrahim, 29, menepati ramalan awal untuk memenangi pingat emas pertama negara dalam Sukan Komanwel ke-19 apabila menewaskan dua atlet tuan rumah melalui acara angkat berat 56kg lelaki di Kompleks Sukan Indira Gandhi di sini hari Isnin.
Beliau berjaya mengangkat bebanan 116kg dalam acara snatch dan 141kg dalam clean and jerk bagi mengumpul jumlah angkatan sebanyak 257kg.
Atlet India Sukhen Dey, 21, yang mendapat sokongan padu para penyokong mengekori rapat dengan mendapat angkatan keseluruhan 252kg selepas mengangkat bebanan 112kg (snatch) dan 140kg (clean and jerk) untuk meraih pingat perak.
Seorang lagi atlet India, VS Rao, 29, memperoleh pingat gangsa setelah mengangkat bebanan 107kg (snatch) dan 141kg (clean and jerk) untuk jumlah keseluruhan angkatan 248kg.
Bagaimanapun, nasib seorang lagi peserta negara, Mohd Syafiq Ismail, 22, tidak begitu baik apabila hanya mampu melakukan mengangkat bebanan 109kg (snatch) dan tidak dapat melakukan sebarang angkatan dalam clean and jerk.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang hadir untuk menyaksikan pertandingan itu melahirkan rasa bangganya dengan kejayaan itu dan mengucapkan tahniah kepada Amirul Hamizan serta kontinjen Sukan Komanwel Malaysia.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan