Memaparkan catatan dengan label tolak tppa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tolak tppa. Papar semua catatan

Selasa, 29 September 2015

JANGAN JUAL NEGARA..!


Dengar khabar Malaysia akan menandatangani perjanjian TPP..! Betul ke? Dalam keadaan politik hari ini nampaknya tak mustahil kalau ada pihak yang akan menggadai dan menjual kepentingan negara demi menjaga kepentingan diri mereka..!

Anwar Aljuburi dulu pun macam tu juga langkahnya..!

Rakyat sudah cukup belajar dari pengalaman..!

Baca dan fahamkan di sini:#janganjualnegara#

Dengar suara hati rakyat...


BANGI, Selasa – Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik yang telah mencapai fasa akhir rundingannya terus mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat awam.
Ismaweb mendapati masyarakat menolak perjanjian ini yang dianggap sebagai satu bentuk penjajahan baharu yang mencabar kedaulatan negara dalam banyak aspek.
“Kita tidak mahu maruah Islam, Melayu dan ekonomi kita digugat dan digadaikan,” kata Puan Noor Asiah Abdul Rahman seorang pegawai pemasaran.
Selain itu, beliau juga menyeru rakyat Malaysia supaya menyokong segala usaha bagi menyekat TPPA ditandatangani dengan menyertai petisyen secara online di #janganjualnegara.com.
Pegawai Teknologi Maklumat, As Habul Amin Zainal Abidin berkata, TPPA akan memberikan kesan negatif kepada usahawan tempatan.
“Usahawan tempatan akan mendapat kesan negatif kerana mereka perlu bersaing dengan syarikat luar khususnya dari Amerika Syarikat dan negara maju lain.”
Beliau juga mempersoalkan, mengapa Malaysia sebagai negara Islam perlu bersekongkol dengan Amerika Syarikat yang diketahui memusuhi Islam sejak dari dahulu lagi.
Juruelektrik, Ahmad Hussin pula berkata, rundingan itu juga diragui kerana dijalankan secara sulit dan rahsia tanpa pengetahuan umum.
“Mengapa dilakukan secara sulit dan rahsia, adakah ada agenda lain yang dibincangkan dan dirancang?” soalnya kepada Ismaweb.
Sebelum ini, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam sederhana, Abd Rahman Mt Dali menyifatkan TPPA sebagai perjanjian paling primitif di era moden ini.
Katanya, sejak bermulanya perbincangan TPPA pada 2010, rakyat langsung tidak diberitahu mengenainya, malahan Kabinet dan Ahli Parlimen juga tidak dimaklumkan.
Ikuti video temubual orang awam berkenaan TPPA di TV Islam dan Melayu:
Lu Fikir La Sendiri!!!

Isnin, 27 Julai 2015

Menentang TPPA Adalah Jihad..!


PERJANJIAN Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) tidak boleh dibiarkan ditandatangani oleh Malaysia kerana perjanjian itu tidak adil selain ianya amat berbahaya kepada masa depan negara dan rakyat.
Pembabitan Malaysia dalam rundingan pelaksanaan perjanjian itu pada Oktober 2010 pada mulanya dibuat secara rahsia, namun akhirnya terdedah sehingga menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat yang prihatin.
Kerajaan Malaysia juga dikatakan bakal mengumumkan kajian akhir mengenai kesan TPPA bulan ini.
Malah, 99 peratus kemungkinan kerajaan akan menandatangani TPPA itu tidak boleh dinafikan, apa lagi dengan kehadiran Presiden Amerika Syarikat Barrak Obama, yang dijadualkan melawat Malaysia November ini.
Di atas keprihatinan terhadap nasib bangsa, negara dan Islam, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mulai hari ini melancarkan kempen ‘Rakyat Bersatu Tolak TPPA’, dimulai dengan pengedaran 200,000 risalah ‘10 sebab mengapa TPPA mesti ditolak’.
Risalah bantah TPPA yang diedar di masjid-masjid seluruh negara bermula hari ini.
Risalah bantah TPPA yang diedar di masjid-masjid seluruh negara bermula hari ini.
Sepuluh sebab yang disenaraikan itu ialah:
1. Hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera terhapus
Dalam Bab Perolehan Kerajaan, TPPA bakal memberikan hak sama rata kepada syarikat multinasional asing untuk membida projek kerajaan yang selama ini diberikan kepada syarikat Melayu dan bumiputera. Kerajaan Malaysia boleh diheret ke Investor-State Dispute Settlement (ISDS), sebuah tribunal antarabangsa, jika pihak pelabur asing tersebut merasakan ia tidak dilayan secara saksama. Ini bermakna, hak istimewa Melayu dan bumiputera seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak lagi terpakai dan dasar kerajaan untuk membangunkan ekonomi orang Melayu dan bumiputera akan terbelenggu oleh kuasa syarikat gergasi antarabangsa asing yang mengawal melalui tribunal antarabangsa. Afrika Selatan telah berdepan dengan masalah ini dan terpaksa mengalah, apabila dasarnya yang mengutamakan rakyat kulit hitam (mirip DEB) telah dicabar di tribunal antarabangsa.
2. Keselamatan makanan negara terancam
TPPA dijangka akan menghapuskan cukai import beras daripada Amerika, yang buat masa ini dikenakan sebanyak 40%. Apabila cukai ini dihapuskan, harga beras Amerika lebih murah daripada harga beras tempatan kerana subsidi tinggi yang diberikan kerajaan Amerika kepada syarikat pengeluar beras negaranya, menyebabkan harga berasnya tidak dapat ditandingi oleh harga beras negara kita. Apabila ini terjadi, industri beras negara kita akan lumpuh, ribuan petani kehilangan sumber pendapatan, kita akan bergantung pada bekalan beras daripada Amerika yang merupakan pengeksport beras ketiga terbesar di dunia. Kesan akhir ialah keselamatan makanan negara terancam dan kedaulatan negara tergadai.
3. Piawaian HALAL kita tergadai
Piawaian HALAL Malaysia akan dikira sebagai “penghalang bukan cukai” yang menyekat perdagangan bebas. Piawaian sedia ada ini akan “ditundukkan” kepada piawaian Amalan Terbaik acuan Amerika yang dijadikan rujukan utama dalam rundingan perjanjian TPP ini. Sudah tentu JAKIM tiada kuasa untuk memantau daging yang diproses di Amerika. Lagikan syarikat dalam negara ada yang melanggar syarat yang ditetapkan, inikan pula syarikat di luar negara. Sijil HALAL Malaysia juga meliputi produk ubatan, kosmetik dan sebagainya, yang sudah tentu sukar untuk dipatuhi oleh syarikat luar. Ini semua bakal tergadai atas alasan perdagangan bebas.
4. Kedaulatan undang-undang negara dicabul
Sebarang peraturan baru – selepas TPPA dimeterai – yang dikenakan ke atas produk atau aktiviti syarikat asing, yang didapati menyebabkan pencemaran alam sekitar atau memudaratkan kesihatan rakyat, akan dicabar di tribunal antarabangsa. Uruguay, Australia, Ecuador, Canada, Mexico adalah beberapa contoh negara yang sudah menjadi mangsa perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika yang melibatkan berbilion dolar US di tribunal antarabangsa berkaitan isu ini.
5. Akta Tanah Rizab juga boleh dicabar
Layanan sama rata terhadap pelabur daripada syarikat gergasi asing juga akan meletakkan tanah rizab Melayu dalam risiko tinggi. Halangan ke atas syarikat pelabur asing untuk memiliki tanah rizab ini untuk tujuan komersil akan dicabar di tribunal antarabangsa. Selain itu, tindakan “jenayah bangsa” yang mengalibabakan milikan tanah rizab akan semakin meluas melibatkan pelabur syarikat gergasi Amerika pula.
6. Malaysia akan dibanjiri dengan filem lucah dan ganas
Filem-filem lucah dan ganas yang dihasilkan oleh pengeluar filem antarabangsa akan dipasarkan secara bebas di negara ini kerana penapisan filem dianggap suatu “halangan bukan cukai” yang dihapuskan dalam TPPA. Lembaga Penapisan Filem negara tidak lagi boleh menjalankan fungsinya dan rakyat negara ini akan terdedah kepada bahan tontonan yang semakin menjahanamkan moral dan nilai akhlak sebagai tambahan kepada masalah sosial sedia ada yang sudah kronik.
7. Harga ubat akan melambung tinggi
Harga ubat-ubatan akan meningkat antara 60% hingga 80% daripada harga sekarang, kerana TPPA akan mengetatkan lagi syarat untuk pembuatan ubat-ubatan generik yang selama ini membekalkan lebih 80% daripada ubat-ubatan yang diperlukan dengan harga yang murah.
8. Nasib pekerja kita tidak lagi boleh dilindungi oleh negara di tanah air sendiri
Dasar mengutamakan pekerja tempatan, seperti peraturan yang mewajibkan syarikat asing memberikan latihan dan memindahkan teknologi kepada anak tempatan, peraturan-peraturan yang melindungi pekerja tempatan dari sudut kesihatan, keselamatan, kebajikan dan gaji minima tidak lagi boleh dilaksanakan dalam TPPA. Terpulang kepada syarikat pelabur asing untuk menetapkan piawaian mereka sendiri. Kesannya ialah kemasukan pekerja mahir dari negara luar seperti Amerika, tanpa mereka bertanggungjawab untuk melatih pekerja tempatan, dan lambakan buruh murah dari negara seperti Vietnam, Bangladesh dan sebagainya. Pekerja kita terpaksa bersaing dengan pekerja asing, secara sama rata.
9. Kaum Melayu dan Bumiputera akan merempat di bumi sendiri
Realitinya, bangsa Melayu dan Bumiputera tidak mampu bersaing dalam negara, inikan pula untuk bersaing dengan pedagang dan pelabur asing syarikat gergasi multinasional. Fakta menunjukkan bahawa hanya 8% bumiputera memegang jawatan pengurusan dalam sektor swasta, memiliki hanya 8.2% daripada syarikat-syarikat besar dan 25% daripada nilai hartanah di Malaysia. 20% daripada penduduk Malaysia adalah golongan paling kaya yang menguasai 90% daripada kekayaan negara. Kaum Cina – hanya 27% daripada penduduk negara – memegang 65% daripada kekayaan negara, manakala suku daripada kaum Bumiputera mempunyai purata pendapatan isi rumah kurang daripada RM2000 sebulan. 90.7% daripada keseluruhan perusahaan industri kecil – yang paling teruk bakal terjejas akibat TPPA – adalah perusahaan milik Melayu dan Bumiputera. Realiti sepatutnya menafikan fantasi.
10. Perjanjian rahsia hanya memudaratkan rakyat, menguntungkan Amerika
Semua hujah di atas tidak dapat ditolak atau disangkal dengan bukti yang kuat oleh pihak perunding yang dilantik kerajaan Malaysia. Ini disebabkan bukti yang mereka ada hanyalah teks perjanjian yang sedang dibincangkan. Bagaimanapun, mereka tidak dapat menggunakannya untuk menyokong TPPA kerana teks itu adalah dokumen sulit dan tidak boleh didedahkan kepada umum. Rundingan TPPA telah berjalan bertahun-tahun secara rahsia. Pihak yang menderaf ialah kerajaan Amerika dengan nasihat langsung daripada lebih 600 individu berkepentingan daripada syarikat gergasinya. Sudah tentu pihak yang menderaf perjanjian mempunyai kelebihan yang menguntungkan mereka.
Oleh Siti Fatimah Ishak
Wartawan Ismaweb.net
Lu Fikir La Sendiri!!!