Jumaat, 15 Januari 2016

Analisa Sarawak..!


Loceng hampir berbunyi..!

Wilayah tengah Sarawak yang terdiri daripada Sibu, Mukah, Sarikei dan Kapit dijangka menyaksikan perebutan kerusi paling sengit dalam pilihan raya negeri akan datang.
Sebanyak 25 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, terletak di wilayah itu. Lima daripadanya pasti menjadi tumpuan ramai kerana penyandang merupakan presiden parti, di samping seorang naib pengerusi DAP Sarawak.
Sibu sahaja mempunyai lapan kerusi negeri, tiga daripadanya - Bukit Assek, Pelawan dan Dudong - disandang DAP, yang menamakan seorang daripada naib pengerusi negerinya, David Wong Kee Woan, untuk mempertahankan kawasan Pelawan yang diwakilinya sekarang.
Bahagian Mukah pula mempunyai tujuh kerusi, kesemuanya disandang Barisan Nasional (BN).
BN menyandang lima daripada enam kerusi di Kapit, dengan parti pembangkang, Parti Pekerja Sarawak, menguasai satu kerusi iaitu Pelagus, dalam pilihan raya negeri yang lalu.
Empat kerusi di Sarikei dimenangi sama banyak antara BN dan DAP dalam pilihan raya lepas.
DAP, yang menguasai 12 daripada 71 kerusi di dewan undangan negeri sekarang, mempunyai cita-cita besar kali ini. PKR menyandang tiga kerusi, manakala satu disandang anggota Bebas.
Tanpa menghiraukan populariti hebat yang menyebelahi Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, DAP berkata ia akan meletakkan calon di lebih 30 kawasan dan untuk julung kalinya, memasuki kawasan majoriti Bumiputera yang secara tradisi merupakan kubu kuat BN.
Selain begitu berharap untuk menawan Bawang Assan di Sibu, parti itu juga 'mengintai secara serius' kerusi Bumiputera seperti Machan, Ngemah, Katibas, Pakan, Pelagus, Murum dan Belaga di wilayah tengah negeri ini, kata sumber.
Menurut sumber berkenaan, DAP telah mengenal pasti calon berpotensi daripada suku kaum Dayak yang terdiri daripada peguam, bekas penjawat awam, ahli perniagaan dan seorang bekas pensyarah universiti.
Memandangkan selama ini pengundi di kawasan luar bandar merupakan penyokong tegar BN, maka DAP perlu menggunakan modal lebih daripada isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dakwaan amalan rasuah yang berleluasa dan kenaikan kos sara hidup untuk menyingkirkan BN daripada kerusi yang disandangnya di kawasan itu sekarang.
Bagaimanapun, adalah tidak mudah bagi DAP membuat sesuka hatinya dari segi meletakkan calon. Ini kerana, rakannya, PKR, juga berminat untuk bertanding di banyak kawasan sama.
Walaupun rundingan telah diadakan bagi mengelak pertembungan antara DAP dan PKR di sesuatu kawasan, tetapi setakat ini, keputusan muktamad mengenai peruntukan kerusi belum dicapai.
BN dijangka meletakkan calon veteran dan muka baru dalam pilihan raya negeri kali ini.
Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Masing dijangka mempertahankan kerusi majoriti Iban, Baleh, di Kapit.
Masing, yang juga menteri pembangunan tanah negeri, dijangka mampu mengekalkan kerusi itu dengan mudah, terutama berikutan sikap beliau yang lebih lantang kebelakangan ini dalam menyuarakan isu berkaitan masyarakat Dayak.
Presiden SWP Larry Sng Wei Shien dijangka bertanding bagi kerusi Pelagus, yang telah dimenanginya dalam pilihan raya negeri 2001 dan 2006 atas tiket BN.
Walaupun beliau kini tidak lagi mempunyai kerusi di dewan undangan negeri, namun Sng dipercayai masih mempunyai sokongan di Pelagus, satu-satunya kerusi yang dimenangi SWP pada 2011.
Sng, yang dipecat daripada PRS, dikatakan turut berminat untuk bertanding bagi kerusi Bukit Goram yang baru diwujudkan - sekirnya Adenan tidak memberinya kepada calon daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti yang menjadi tulang belakang BN negeri, yang diketuai ketua menteri.
Sementara itu, terdapat pelbagai spekulasi mengenai sama ada presiden dua parti baru yang mesra BN akan mempertahankan kerusi mereka.
Parti berkenaan ialah Parti Rakyat Bersatu (UPP), yang diketuai Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datuk Seri Wong Soon Koh, dan Parti Tenaga Rakyat (Teras), yang diketuai Menteri Pembangunan Sosial negeri Tan Sri William Mawan.
Wong telah menyandang kerusi Bawang Assan selama lima penggal. Kawasan itu mempunyai lebih 16,743 pemilih berdaftar, lebih 10,000 daripada mereka adalah kaum Cina dan 5,834 Iban.
Memandangkan UPP adalah serpihan daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), maka SUPP menegaskan bahawa kawasan Bawang Assan adalah miliknya.
Mawan pula berharap dapat mempertahankan kerusi Pakan, yang disandangnya selama lima penggal.
"Kalau diberi pilihan, saya mahu bertanding di Pakan. Kalau tidak, lebih baik saya pergi memancing atau bermain golf," katanya.
Oleh kerana Teras adalah parti serpihan daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), maka SPDP mahu calonnya bertanding di kawasan itu.
UPP dan Teras belum lagi diterima sebagai anggota BN, manakala SPDP, SUPP dan PRS tidak mahu parti itu berada dalam gabungan itu.
Bagaimanapun, kepimpinan BN mungkin mahu dua parti tersebut menganggotai gabungan itu atau sekurang-kurangnya terus bersifat mesra BN.
Selain Wong, UPP mempunyai tiga anggota dewan undangan negeri daripada masyarakat Dayak dan mereka masih berpengaruh di kawasan masing-masing.
Di samping Mawan, empat anggota Teras menduduki kerusi dewan undangan negeri, tiga daripada mereka adalah menteri muda.
Memandangkan pilihan raya negeri ke-11 semakin hampir - banyak pihak meramalkan ia akan diadakan Mac ini - ramai yang ternanti-nanti keputusan Adenan mengenai kedudukan UPP dan Teras.
Bagaimanapun, satu perkara yang pasti adalah beliau bukan sekadar mahukan kemenangan, tetapi satu kemenangan besar bagi BN, dan oleh itu, beliau mungkin memanfaatkan semua peluang yang ada untuk mencapainya.
- Bernama
Lu Fikir La Sendiri!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan