Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman melihat kotak hitam milik helikopter yang terhempas pada Sabtu di Kementerian Pengangkutan, Ahad.
Kotak hitam tersebut ditemui di lokasi utama kejadian, Kampung Sungai Pening, Semenyih pada pukul 11.30 pagi Ahad.
-fotoBERNAMA
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tempoh masa seminggu diperlukan untuk keputusan dikembalikan dari Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di Farnborough.
"Pengambilan data dan analisis boleh mengambil masa lebih dari seminggu. Oleh itu, kita memerlukan masa.
"Ini adalah amalan biasa kerana hanya beberapa negara sahaja yang mempunyai keupayaan untuk mengekstrak maklumat dari kotak hitam. Keputusan analisis akan disediakan tidak lama lagi," katanya pada sidang akhbar.
Tiong Lai berkata kementerian telah menubuhkan satu pasukan siasatan yang terdiri daripada lima anggota diketuai oleh Datuk Yahya Abdul Rahman, untuk menyiasat punca kemalangan. Seorang Wakil Bertauliah dari Perancis dijangka menyertai pasukan.
Kotak hitam ditemui dalam keadaan sempurna pada pukul 11.30 pagi Ahad dalam bangkai helikopter Dauphin 2 AS365 (9M-IGB) yang terhempas di sebuah ladang getah berhampiran Kampung Sungai Pening pada Sabtu.