Memang la cuti merupakan hak masing masing..! dan kita pun tak pernah heran bin ajaib jika ramai yang 'hilang' terutama diakhir tahun ini kerana bercuti..! Tapi apabila Menteri yang beriya iya mempertahankan cuti mereka...yang itu rakyat bukan sahaja musyik..! malah tergaru garu kerana berasa cukup pelik dan ajaib..!
Barangkali kerana ramai Menteri yang masuk ikut 'pintu belakang' maka sikap dan rasa tanggungjawab kepada rakyat jelata boleh di 'campak' keatas pundak orang bawah..! Masaalahnya penyakit pentingkan cuti tu pun nampaknya dah tersampok keatas Menteri yang dipilih oleh rakyat..! Itu yang menyebabkan rakyat mencemik muncung..!
Nasib baik PM panggil balik..kalau tak apakah Pak Menteri dan seangkatan dengannya akan terus bercuti? kan ke hebat namanya Menteri kita tu...!
Lu Fikir La Sendiri!!!
Najib arah menteri bercuti luar negara pulang
KUALA LIPIS - Semua menteri kabinet yang sedang berada di luar negara telah diarah pulang segera bagi melancarkan operasi membantu mangsa banjir, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata arahan itu dikeluarkan pagi tadi dan menteri-menteri yang berkenaan sedang membuat persiapan untuk kembali.
"Ini dibuat sebab kita nak mereka kembali bertugas membantu dalam operasi menyelamatkan mangsa banjir," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tengku di sini hari ini.
Terdahulu, Najib melakukan lawatan sehari ke beberapa kawasan dilanda banjir di Pahang, telah melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Clifford.
Dalam pada itu, Najib berkata situasi banjir yang semakin reda dan pusat-pusat pemindahan di Kedah yang telah ditutup membolehkan aset serta pasukan keselamatan yang bertugas di negeri itu ditugaskan di negeri-negeri yang masih dilanda banjir.
Beliau berkata, perkara itu patut dilakukan segera bagi membolehkan anggota tentera, polis dan pasukan keselamatan lain dapat dikerah membantu operasi di negeri-negeri lain yang masih berhadapan dengan bencana alam luar jangkaan itu.
Berhubung lawatannya ke pusat pemindahan, Perdana Menteri berkata beliau amat berpuas hati kerana pusat-pusat pemindahan diuruskan dengan begitu baik.
"Keadaan pusat pemindahan yang saya lawati dilihat diurus dengan baik, maknanya bantuan makanan dan bantuan lain dapat diberikan dengan agak baik dan saya ucapkan terima kasih pada semua pihak yang membantu dan memberi kerjasama," katanya. - Bernama
Najib Tun Razak