Memaparkan catatan dengan label tulisan dato kadir jasin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tulisan dato kadir jasin. Papar semua catatan

Khamis, 10 September 2015

Dah Jadi Sindrom Rupanya..!

Apa kata pak kadir ni..!

Layan...

Kosong-10: Sindrom Bapa Borek


A Kadir Jasin

MALAYSIA kosong. Emiriah Arab Bersatu 10. Bagi yang tak faham bola, Malaysia tak skor satu gol pun manakala UAE sumbat 10. Malaysia kalahlah! 

Ini cerita bapa borek, anak rintik.  Bila bapa borek, anak lazimnya rintik, melainkanlah bapa jenis pak sanggup atau ibu main kayu tiga. Nauzubillah.

Bagi orang Islam, masa hidup dia anak bapanya. Dia bin atau binti. Tapi bila dia mati, dia masuk kubur sebagai anak ibunya.

Jangan silap sangka, saya tak hina sesiapa, tapi daripada aspek biologi, kita hanya boleh pastikan ibu kita. Yang mengandung dan melahirkan kita itulah ibu kita. Dia ibu biologi kita (biological mother).

Kemudian ada ibu susuan. Dia menjadi ibu kerana menyusukan seseorang sejak bayi. Dia bukan ibu biologi. 

Bapa, kita tak boleh pastikan 100%. Sebab itulah dalam zaman sains dan teknologi canggih ini, bila hubungan darah sebelah bapa (paternity) dipertikai, ujian DNA dilakukan untuk memastikan sama ada betul atau tidak seorang lelaki itu benar-benar bapa kepada seseorang anak.

Perdana Menteri Sebagai Bapa

Dalam sistem demokrasi ala Westminster macam kita, Perdana Menteri bolehlah kita ibaratkan sebagai bapa – bapa pemerintahan.

Sebab itulah bila kita bagi gelaran mutakhir (ultimate) kepada Perdana Menteri, kita guna istilah bapa – Bapa Kemerdekaan (Tunku Abdul Rahman), Bapa Pembangunan (Tun Abdul Razak), Bapa Perpaduan (Tun Hussein Onn), Bapa Pemodenan (Tun Dr Mahathir) dan Bapa Modal Insan (Tun Abdullah Ahmad Badawi). 

Sekarang bapa pemerintahan kita adalah (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak. Silap-silap dia pun dapat gelaran “Bapa” juga macam Perdana Menteri yang lalu. Agaknya apa gelaran “Bapa” paling cocok untuknya?

Saya yakin majoriti daripada kita sudah tahu siapa Mohd Najib sebenarnya. Jadi kalau warna dia borek, warna anak-anaknya sepatutnya rintiklah. Kalau dia baik, logiknya baik jugalah anak-anaknya. Kalau dia tak baik, maka tidaklah memeranjatkan kalau anak-anaknya juga tidak baik.

Jadi dalam hubungan itulah saya lihat kemerosotan negara kita dalam berbagai-bagai bidang. Akibat wabak masalah yang menjangkiti Perdana Menteri kita sekarang, rakyat jelata hilang pedoman, hilang keyakinan, hilang jati diri, hilang motivasi dan hilang patriotisme.

Apatah lagi apabila dia sendiri terlibat menggunakan pelbagai tipu helah dan tindak-tanduk yang meruntuhkan kewibawaan jentera kerajaan, merosakkan motivasi kakitangan awam dan melunturkan patriotisme rakyat jelata. Hatta pada hari ulang tahun kemerdekaan pun tidak banyak orang mengibarkan bendera negara.

Harimau Tak Bertaring

Mohd Najib mungkin tidak bertanggungjawab terus ke atas sukan negara. Itu tugas Khairy Jamaluddin. Tapi sebagai Perdana Menteri dialah yang lantik Khairy dan sebagai Menteri Kewangan dialah yang bagi peruntukan untuk kegiatan sukan.

Jadi sikit sebanyak dia terlibat dengan prestasi sukan negara. Sebagai bapa, dia sepatutnya menjadi asas motivasi dan aspirasi.

Justeru itu, apabila pasukan bola kita yang dibagi gelaran hebat “Harimau Malaya” kena gasak 10-0 oleh UAE dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 pada 3 September lalu sekali lagi cerita bapa borek anak rintik ini terbit dalam fikiran kita.

Bagi sebuah pasukan yang diuar-uarkan sebagai peneroka pemulihan bola sepak negara dan mewakili negara dengan hampir 30 juta penduduk (termasuk pendatang), kalah 10-0 kepada UAE dengan penduduk tak sampai 10 juta sangat hina dan mengaibkan.

Kita pun tidak boleh marah apabila rakyat jelata membuat pelbagai jenaka dan satira sebagai respons kepada kehambaran pasukan negara itu.

Salah satu yang sangat kreatif dan lucu ialah kita sengaja kalah kepada UAE kerana membalas budi penderma Arab yang menyedekahkan RM2.6 bilion kepada Mohd Najib.

Satira "Dermawan" Arab Yang "Sedekah" Kepada Mohd Najib
Sampai hari ini Mohd Najib tidak menafikan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi dia di bank AmIslamic.

Memang pun lawak. Harimau Malaya kalah 10-0 kepada UAE. Gugurkan saja jenama yang hebat itu. Apa guna nama hebat kalau standard lebih teruk daripada harimau tua sarkas. Buat malu pak belang dan negara saja.

Saya rasa aspek motivasi, patriotisme dan kecemerlangan merudum begitu teruk sehingga boleh kalah seburuk itu, bukan saja kepada UAE tetapi kepada banyak negara serantau sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kita pernah cemerlang dalam bola sepak, sepak takraw, badminton, hoki malah olahraga. Ahli sukan kita penuh motivasi, komited dan patriotik.

Ambil contoh Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur. Kita menang paling banyak pingat emas walaupun ibu negara dilanda tunjuk perasaan reformasi.

Tapi bukan sukan saja jatuh, merudum dan runtuh pada era Pahlawan Bugis ini. Kapal terbang jatuh, Gunung Kinabalu runtuh, nilai ringgit merudum, rizab asing Bank Negara jatuh ke bawah paras AS$100 bilion, keyakinan pelabur dalam dan luar negara runtuh, penarafan negara merudum dan Malaysia kini jadi bahan jenaka dunia. Tak peliklah bila nak buka persidangan anti-rasuah pun Perdana Menteri tak berani.

Kalau sukan penting sebagai asas perpaduan kaum dan penyemarakan patriotisme, saya cadangkan kepada Khairy agar tumpukan lebih banyak masa memperbaiki mutu sukan negara daripada terus berdolak-dalik bagi pihak bosnya. KJ muda lagi. Takkan dia hendak karam bersama pinisi Bugis.

Wallahuaklam.


Lu Fikir La Sendiri!!!

Rabu, 11 Disember 2013

Lepas Rosmah Giliran Shahrizat Pulak Dibaham Kadir Jasin...

kadir jasin ni nak kena cium ni..! mua..mua..!
Baca lanjut tulisan Dato Kadir Jasin di kadirjasin.disini

Lu Fikir La Sendiri!!!

Isnin, 2 Disember 2013

Alamak..! Kadir Jasin Potong Stim Ler…!


Tulisan Datuk Kadir Jasin…

SEANDAINYA P Ramlee masih hidup, saya yakin kita boleh nobatkan beliau sebagai “management guru” Tanah Melayu.

Beliau sangat peka mengenai P & L (akaun untung rugi) dan konsep “reward & punishment” (anugerah dan hukuman). Malah beliau adalah seorang pemikir dan pengkritik masyarakat yang sangat tajam.

Dalam filem “Ali Baba Bujang Lapok” (1960), penyamun yang membawa balik banyak rampasan diberi bonus. Yang membawa balik sedikit rampasan atas alasan cuti umum dikenakan potongan gaji. Setiap barang yang disamun disimpan di dalam gua dan dihitung.

P Ramlee amalkan sistem "reward and punishment"

Kalau ditakdirkan P Ramlee menjadi Perdana Menteri atau Menteri Kewangan atau kedua-duanya sekali, rasa-rasanya belanjawan negara lebih mantap, seimbang (balanced) dan kakitangan awam diberikan ganjaran mengikut produktiviti bukan mengikut musim pilihan raya.

Bertitik-tolak daripada logik P Ramlee itu maka ahli Dewan Undangan Selangor, termasuklah dari pembangkang Barisan Nasional berhak menerima “bonus” dalam bentuk kenaikan gaji, elaun dan kemudahan. Cuma yang menjadi pertikaian adalah nisbah kenaikan.

Hatta Anwar Ibrahim, boss Abdul Khalid Ibrahim pun berasa kuantum yang Abdul Khalid cadangkan itu terlalu tinggi.

Sejak menjadi Menteri Besar Selangor pada tahun 2008, Abdul Khalid telah membina dan menambah rizab kewangan kerajaan Selangor.

Baru-baru ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan kenaikan gaji bagi semua 56 ADUN bermula tahun depan, dengan Timbalan Speaker mendapat kuantum kenaikan tertinggi, iaitu 373.3 peratus.

Gaji MB naik daripada RM14,175.15 sebulan kepada RM29,250, Exco daripada RM6,109.29 kepada RM20,250, Speaker daripada RM6,109.29 kepada RM22,500, Timbalan Speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750 dan ADUN biasa daripada RM6,000 kepada RM11,250. Ada 44 ADUN PR dan 12 BN dalam DUN Selangor.

Berpandukan kepada kebijaksanaan yang sama oleh P Ramlee maka Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Mohd Najib Abdul Razak wajib dikenakan potongan gaji kerana sejak beliau mengambil alih pemerintahan negara pada 2009, kewangan kerajaan pusat semakin buruk.

Walaupun gaji beliau nampak kecil tetapi beliau menikmati pelbagai elaun, kemudahan dan keistimewaan.

Kita boleh memahami mengapa ahli Exco dan ADUN Selangor boleh diberikan kenaikan gaji, elaun dan kemudahan yang besar.

Pertama, Selangor sebagai sebuah negeri kaya dan kukuh kedudukan kewangan mampu berbuat demikian.
  
Kedua, kalau dua negeri BN yang miskin (Sarawak dan Kedah) boleh buat, mengapa tidak negeri PR yang kaya.

Tetapi alasan ketiga ini rasanya lebih tepat. Abdul Khalid sebagai “lulusan” sekolah politik dan pentadbiran Umno/BN, tahu punca kelemahan pengurusan kewangan Kerajaan Umno/BN. Beliau belajar daripada pengalaman itu dan melakukan sebaliknya bagi memperbaiki kedudukan kewangan Selangor.

Bagaimanapun, Abdul Khalid nampaknya masih terbawa-bawa dengan kemewahan yang dinikmatinya ketika dalam Umno dengan memberikan kenaikan gaji yang dianggap melampau oleh banyak pihak.

Dalam banyak hal, Abdul Khalid masih Umno. Cuma dalam Umno, beliau tidak begitu berjaya di arena politik. Beliau lebih berjaya sebagai ahli perniagaan kerana keakraban luar biasanya dengan Pengerusi PNB ketika itu, Allahyarham (Tun) Ismail Mohd Ali sehingga “diserahkan” Kumpulan Guthrie dalam nyiru perak (on a silver platter).

Selangor Berhak, Pusat Tidak

Walaupun media arus perdana dan blogger pro-pemerintah serta beberapa kerat pembesar BN mengkritik tindakan kerajaan Selangor itu, saya rasa dalam hati berlainan.

Kalau boleh, negeri-negeri BN dan kerajaan pusat pun hendak melaksanakan kenaikan gaji, elaun dan kemudahan.

Cuma kerajaan pusat tidak mempunyai kemampuan kewangan dan banyak negeri BN mengalami defisit belanjawan yang kronik.


Itu pun belum tahu. Mereka boleh mencipta pelbagai alasan untuk menaikkan gaji. Wakil rakyat pembangkang yang dapat tumpang sekaki pun tentu tidak memprotes.

Cuma yang mereka mungkin tidak berani sebut sebagai alasan adalah inflasi dan kenaikan harga sebab selama ini mereka menafikan bahawa kadar inflasi dan kenaikan harga barang dan perkhidmatan sangat membebankan rakyat jelata.

Cadangan saya kepada Perdana Menteri dan para politikus yang sentiasa melaungkan slogan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan supaya “walk the talk”. Kotakan kata-kata anda.

Caranya mudah saja. Dahulukan rakyat dalam perbelanjaan negara. Jangan suruh rakyat jimat duit sendiri tetapi mereka boros duit negara. Utamakan pencapaian dengan mengurangkan pemborosan, pembaziran dan bermewah-mewah. Kukuhkan kewangan kerajaan dan tambah rizab negara.

Lakukan semua itu dahulu sebelum rakyat jelata dan pembayar cukai dituduh tidak patriotik dan sebelum mereka dipujuk dan dirayu agar menerima GST sebagai “penawar” kewangan negara.

Lakukan Transformasi atau Berhenti

Seperti P Ramlee (selaku ketua penyamun dalam filem Ali Baba Bujang Lapok) memotong gaji penyamun yang tidak “perform” maka saya cadangkan supaya gaji anggota Kabinet dipotong.

Ketika negara dilanda krisis ekonomi pertama pada pertengahan tahun 1980-an, gaji ahli Kabinet, pegawai kanan pentadbiran awam dan pengurusan atasan GLC dipotong.

Hatta sektor swasta pun turut mengurangkan gaji pengurusan kanan mereka dan membantu mengurangkan beban negara dengan mewujudkan skim graduan menganggur.

Bezanya pada waktu itu yang jadi Menteri Kewangan adalah (Tun) Daim Zainuddin yang dituduh kedekut oleh banyak pihak. Dia kedekut sebab itu bukan duit dia. Tapi selepas itu, buruk atau baik prestasi kewangan dan ekonomi negara, gaji tidak dipotong malah terus naik.

Kesimpulannya, gaji, elaun dan kemudahan anggota Kabinet dan Exco negeri, ahli Parlimen dan DUN boleh dinaikkan jikalau ada kenaikan produktiviti serta kemampuan kewangan. Cuma kuantumnya hendaklah berpatutan.

Mana-mana menteri dan ahli Exco yang tidak perform, malas, tidak boleh bangun pagi atau asyik hendak berkepit dengan bini, silalah lakukan transformasi atau berhenti!

Wallahuaklam.

sumber kadirjasin.

Lu Fikir La Sendiri!!!

Sabtu, 7 September 2013

Tips Untuk Akar Umbi UMNO Memilih Pemimpin..


Perlu difikir agar pemilihan barisan kepimpinan yang bakal dibuat oleh ahli UMNO Oktober nanti menepati dasar perjuangan yang telah dimulakan para pemimpin terdahulu...Slogan UMNO jelas - Bersatu, Bersetia, Berkhidmat. Demi Bangsa, Agama dan Negara.

Takde demi duit..! demi kroni..! demi puak puak tertentu..itu jelas! jangan pulak kabur atau dikaburkan matlamat perjuangan tu wahai ahli UMNO...

Lu Fikir La Sendiri!!!

Tulisan A Kadir Jasin..

PEMILIHAN kepemimpinan Umno semakin panas. “Hot” kata bahasa jalanan anak-anak muda dewasa ini.

Tetapi, umpama kereta api, adakah yang panas itu kepalanya (locomotive) atau gerabaknya yang berisi penumpang yang “gumbira” (meminjam bahasa P. Ramlee) dan kargo yang berharga?

Kalau kepalanya saja yang “hot” tetapi penumpangnya moyok, meragam, meluat, menyampah dan tidak sabar turun atau mahu lokomotif baru menarik mereka pun tidak berguna juga.

Kereta api wap KTM panas, bising dan berasap. Saya nostalgi. Inilah kereta api zaman muda saya.

Tetapi setakat hari ini, apa yang dilaporkan oleh media massa memberi gambaran pemilihan kepemimpinan Umno adalah mengenai kepala kereta api.

Mungkin saya terlepas pandang. Yang saya baca hanya seorang sahaja daripada banyak orang yang menawarkan diri sebagai calon dilaporkan bercakap mengenai gerabak, penumpang dan muatan iaitu Mohd Ali Rustam yang berkata dia mahu memperjuangkan semula asas penubuhan Umno.

Kalau setakat hendak memilih kepemimpinan dan mencari ganjaran peribadi jangka pendek, tidak perlulah ahli Umno bersusah payah memeras otak. Pilih saja yang koceknya dalam dan prinsipnya cetek.

Apa Orang Umno Mahu?

Tetapi kalau mereka mahu kepemimpinan yang berjiwa perjuangan dan mampu menebus semula maruah parti dan kembali memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara, mereka perlulah memilih yang lebih baik.

Kalau mereka mahu orang Melayu dan kaum-kaum Bumiputera lain diberikan peluang untuk membebaskan diri mereka daripada terus menjadi warga ekonomi kelas tiga, mereka wajib memilih barisan kepemimpinan yang cerdik, berani, berilmu dan berwawasan.

Kalau mereka berasa dasar pertumbuhan ekonomi yang disertai oleh pembahagian adil seperti yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) baik untuk mereka, mereka wajib memilih barisan kepemimpinan yang tidak “apologitic” memperjuangkan hak majoriti.

Soalnya (soalnya), akan adakah dalam barisan calon Umno nanti orang seperti itu? Atau, seperti kata P. Ramlee, walhasil balik asal itu pasal tak hasil.

Masih adakah lagi pewaris Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Dr Ismail dan Tun Dr Mahathir di kalangan kepemimpinan dan calon pemimpin Umno dewasa ini?

Masih pedulikan kepemimpinan Umno kepada kedudukan orang Melayu dan Bumiputera lain yang berupa majoriti dalam kelompok 40 peratus rakyat jelata terkebawah dalam arena ekonomi?

Selepas menyalahkan kehambaran pencapaian Barisan Nasional kepada tsunami Cina, adakah Mohd Najib dan kepemimpinan Umno akan mengucapkan terima kasih kepada orang Melayu dan anak negeri Sarawak dan Sabah kerana menyelamatkan BN dan Umno pada 5 Mei lalu dengan memberikan mereka apa yang telah diabaikan?

Apakah Mohd Najib akan membentangkan agenda Melayu, agenda Bumiputera dan agenda rakyat miskin yang lestari (sustainable) sebelum atau ketika Perhimpunan Agung Umno kali ini?

Gila "Wow Factor" Lagikah?

Atau adakah Mohd Najib dan barisan penasihatnya (yang sama panjang kereta api kontena Butterworth-Padang Besar) akan terus melaksanakan strategi “war room” PRU 2013 mereka yang tidak menjadi?

Kereta api berlokomotif diesel angkut kontena. Selamat, jimat, cepat.

Apakah mereka masih terus mencari “wow factor” yang mereka harap akan memberikan mereka faedah jangka pendek kerana mereka perlu mempertahankan jawatan atau mahu mendapatkan jawatan dalam parti?

Adakah mereka akan memberikan gula-gula seperti biasa dan melaksanakan dasar-dasar yang tidak lestari semata kerana mahu cepat menuai hasil?

Kalau “faktor wow” yang mereka mahu, jawapannya mudah saja – turunkan harga petrol dan diesel 30 sen seliter dan umumkan BR1M ketiga sebanyak RM1,000 atau lebih sebelum penamaan calon 28 September dan pengundian 19 Disember ini.

Kepada para bekas Menteri, para bekas Adun dan MP, para pemikir yang idealistik dan kepada semua yang kerap bermimpi di siang hari mengenai agenda Melayu dan agenda “growth with equity” nasihat dua sen saya mudah saja.

Kalau ada orang menjanjikan kita segelas air, kita jangan percaya sehinggalah kita minum dan tidak mati keracunan. Moralnya jangan mudah sangat percaya dan wajib sentiasa ada penawar racun berbisa.

Isyak-Allah kita selamat, bangsa kita selamat, negara kita selamat dan agama kita selamat dan orang Melayu boleh berkata “I am Malay first” tanpa diherdik oleh orang bukan Melayu.

Akhir kalam, adakah aspirasi Tun Abdul Razak masih mengalir dalam darah daging Umno?

Kuasa, kata beliau, terletak di tangan masyarakat Melayu dan untuk memanfaatkan kuasa itu, orang bijak di kalangan orang Melayu haruslah terdiri daripada elit yang ditentukan oleh kebolehan, sikap dan komitmen kepada negara keseluruhannya. Kelas, kelahiran dan wang bukanlah faktor utama”.

Isnin, 15 Julai 2013

Zaman Pemimpin Sentiasa Benar Masih Kekal...!


Najib pernah berkata bahawa zaman Kerajaan tahu semua telah pun berlalu dan jelas kebenarannya, namun nampaknya yang tinggal ialah zaman pemimpin benar belaka masih lagi kekal... masih lagi ditakuk lama, selagi ada penjilat @ punaisihat yang kaki mengampu maka selagi itu juga ler pemimpin tidak akan menerima gambaran betul akan sesuatu perkara dan selagi itu juga ler pemimpin benar, betul dan maksum akan kekal dipasaran....

Baca apa yang Dato Kadir Jasin tulis ni...

MARI kita cakap bahasa mudah. Kalau nak marah, marahlah.

Apa kita nak hairan kalau Duta Vatican, Joseph Marino “campur tangan” dalam hal yang sensitif kepada orang Islam Malaysia?


Menurut laporan media, dalam pertemuan sulungnya dengan media massa tempatan, Marino memuji hujah yang dikemukakan oleh Persekutuan Kristian Malaysia (Christian Federation of Malaysia) supaya dibenarkan mengguna "Allah" dalam teks bagi merujuk kepada Tuhan. Maksudnya dia setuju dan sokonglah tuntutan itu.


Archbishop Marino serah watikah kepada Yang di-Pertuan Agong


Tapi nak marah kepada dia pun tak boleh. Dia orang agama dulu. Kemudian baru diplomat. Jadi dia wajib utamakan agama dia daripada diplomasi(baca di sini) 



Periksa dulu diri kita. Tanya, siapa yang hemoi sangat nak lawat Vatican, nak jumpa Pope, nak jalin hubungan diplomatik Vatican?

Bukan soal hubungan dengan Vatican saja yang jadi masalah malah semua hal berkaitan Melayu/Bumiputera, agama Islam dan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan sedang dipertikaikan. Semuanya sedang dicabar dari dalam dan luar kerangka besar kepemimpinan Melayu-Islam.

Hanya Perkasa, Majlis Perundingan Melayu dan mereka yang seumpamanya saja terhegeh-hegeh cuba mempertahankan Melayu, Bumiputera dan Islam. Tapi, bukan semua Bumiputera Malaysia beragama Islam dan dalam isu “Allah” mereka tentulah sokong agama mereka.

Pokok pangkalnya, Pak Lah buka pintu kuala dan Mohd Najib runtuh pintu kuala atas nama keterbukaan (openess), 1Malaysia, keterangkuman (inclusiveness) dan macam-macam lagi slogan dan klise liberal.

Jadi, apalah yang peliknya kalau segala macam sampah sarap keluar masuk muara dan dibawa air pasang sampai ke hulu?

Inilah yang jadi kepada Melayu (dan secara terus kepada Islam) kalau kita bergantung sangat kepada kepemimpinan politik yang hanya hendak jadi popular, hendak dilihat liberal dan sederhana (moderate).

Siapa Beria-ia Jalin Hubungan Dengan Vatican?

Sebelum kita tuntut Archbishop Morino disingkir, tanyalah dulu kenapa Mohd Najib ke Vatican dan berjumpa Pope Benedict XVI pada 18 Julai 2011?

Mohd Najib sendiri kata, lawatannya ke Vatican adalah untuk “berbincang dan bekerjasama dengan mereka yang cintakan keamanan, kedamaian dan mereka yang menghormati kepada kepimpinan Islam.” (Baca di sini)

Perdana Menteri dengan Pope Benedict XVI di Vatican, 2011
Jadi, dengan campur tangan Morino itu, adakah Mohd Najib telah berjaya menjalin kerjasama dengan mereka yang cintakan keamanan, kedamaian dan mereka yang menghormati kepada kepimpinan Islam?

Kalau ada pemimpin Islam dalam kerajaan BN yang belum dijangkiti penyakit koro, mereka wajiblah memanggil Duta Vatican itu dengan segera. Setakat Jamil Khir Baharom buat kenyataan media saja tak cukup.

Tak payahlah pecat dia. Bagilah nasihat kepada dia. Boleh jadi dia tak faham keadaan di Malaysia. Bagi ingatan kepada dia yang perbuatan dia umpama mencurah minyak ke dalam api yang sudah pun membara.

Kalau begitu banyak pemimpin beragama Islam tak boleh ajar seorang Kristian, teruklah kita. Anifah Aman duduk buat apa?

Harap-harap ada lagilah pembesar Islam yang tidak menderita koro. Wallahualam.


Lu Fikir La Sendiri!!!