Nampaknya usaha menyekat ahli UMNO 'berdamping' bersama Negarawan Ulung Tun M tidak lagi berkesan..! Kini sudah ada Cawangan UMNO yang berterang terang memanggil Tun untuk mendengar ilmu dan nasihat dari pemimpin berjasa tersebut..!
Umno cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka menjadi cawangan pertama yang menganjurkan program bersama Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan tentang isu-isu semasa.
Cawangan di bawah Umno bahagian Pandan itu juga merupakan cawangan pertama yang memberi ruang kepada bekas perdana menteri itu untuk menjelaskan tentang kritikannya terhadap Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Ketua cawangan itu, Syed Saifuddin Syed Harman berkata, keputusan untuk mengadakan program itu dibuat bersama ahli jawatankuasanya berikutan iklim politik semasa yang dilihat semakin membimbangkan.
Ekoran itu, beliau selaku ketua cawangan mengambil inisatif untuk mengadakan program dan menjemput Dr Mahathir untuk bercakap mengenai masalah politik negara dan juga Umno.
"Tiada lagi cawangan ketika dalam keadaan krisis masalah politik, kepimpinan dan sebagainya yang betul-betul berani ke depan. Saya ambil inisiatif ini dengan menjadi cawangan pertama untuk adakan program seperti ini dan beri peluang kepada tokoh negarawan seperti Tun (Mahathir) untuk beri penjelasan kepada rakyat. Beliau adalah ikon kepada Umno.
"Suka atau tidak, populariti Tun masih lagi hebat di kalangan anak muda dan pemimpin akar umbi," katanya ketika ditemui Malaysiakini.
Umno cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka akan menganjurkan program minum petang bersama Dr Mahathir dengan tema 'Kembalikan maruah perjuangan bangsa' bertempat di hotel De Palma Ampang Sabtu ini.
Program minum petang itu terbuka kepada orang ramai dan pembelian tiket boleh dibuat secara individu atau berkumpulan. Harga tiket bagi pembelian secara individu berharga RM80 manakala berkumpulan - satu meja untuk 10 orang berharga RM800.
Menurut Syed Saifuddin, pembelian tiket minum petang bersama Dr Mahathir itu laris dan sehingga semalam hanya tinggal kira-kira lebih 100 tiket sahaja lagi
"Program ini akan bermula jam 3 petang. Kapasiti dewan boleh muat sehingga 600 orang. Sekarang dah lebih 400 orang beli tiket, cuma tinggal seratus lebih tiket sahaja. Kalau ada yang mahu, kena cepat. Kalau dah maksimum, kita tak terima dah.
"Kita juga akan memberi hadiah istimewa kepada hadirin yang bertuah apabila mereka akan menerima sebuah buku yang ditandatangani oleh Tun dan bergambar dengan Tun," katanya sambil menambah, penyanyi Radhi OAG akan turut membuat persembahan dengan menyanyikan sebuah lagu yang dicipta khas untuk negarawan itu.
Selain itu, ketika ditanya tentang penerimaan Umno bahagian Pandan berhubung program tersebut, Syed Saifuddin, 57, berkata beliau tidak merasakan bahawa majlis minum petang anjuran cawangannya itu melanggar mana-mana peraturan parti.
Malah, menurutnya, ketua Umno bahagian Pandan Datuk Mohd Haniff Koslan juga mengetahui tentang program anjuran cawangannya itu dan tidak membantah.
"Apa jua aktiviti di peringkat cawangan tak jadi masalah asalkan ia tidak bertentangan dengan peraturan, perlembagaan parti. Kalau anjurkan program bersama Tun yang merupakan mantan perdana menteri, mantan presiden Umno dan masih lagi dalam Umno, saya rasa tidak ada permasalahan daripada peraturan dan perlembagaan parti.
"Asalkan ia tidak melanggar batas-batas yang boleh jejaskan parti," kata Syed Saifuddin yang telah menjadi ketua cawangan sejak 1990.
Ditanya lagi sama ada beliau bimbang sekiranya menerima sebarang surat tunjuk sebab dari parti, ahli Umno sejak 1988 itu berkata, apa yang dilakukannya tidak melanggar perlembagaan parti dan bukan bertujuan untuk menjatuhkan Umno.
"Saya tak ada sebab (nak takut). Adakah saya lakukan kesalahan terhadap Umno atau masalah disiplin? Saya tak langgar peraturan, tak langgar perlembagaan. Saya bukan jemput pembangkang.
"Ini adalah anjuran Umno, dalam program ini kita nyanyikan lagu Umno, war-warkan kebesaran Umno. Apa yang kita nak bincangkan ialah tentang kemungkinan ada kepincangan dalam kepimpinan Umno yang kita perlu betulkan," katanya lagi.
Sehubungan itu, bekas ketua penerangan Umno bahagian Pandan itu berkata, matlamat program itu bertujuan untuk Dr Mahathir memberi penjelasan kepada akar umbi parti memandangkan sebelum ini pelbagai penerangan telah diberi oleh kepimpinan parti itu.
Katanya, dengan adanya program seperti itu, ia dapat memberi peluang kepada ahli untuk membuat penilaian terhadap masalah yang melanda kepimpinan Umno pada masa ini.
"Banyak program yang beri penjelasan dan penerangan datang dari pihak kerajaan dan NGO. Jadi kita ambil kesempatan ini untuk jemput Tun Mahathir. Tun adalah seorang yang amat sayangkan Umno.
"Kita dah dengar penjelasan daripada perdana menteri, dah dengar daripada menteri kabinet dan Umno di peringkat atasan. Jadi kita bagi ahli kita yang tinggal di Ampang dan Pandan untuk hadir bertemu beliau dan dengar penjelasan dan berdialog dengan beliau.
"Bukan dengan apa yang dia cakap itu kita seratus peratus terima, tetapi kita buat penilaian dengan apa dia cakap dan dengan apa kepimpinan Umno cakap. Sebagai rakyat dan ahli kita buat penilaian dan dapatkan jawapan yang efektif dan berkesan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Umno," katanya.
Syed Saifuddin turut menjelaskan penganjuran program itu juga bukan bertujuan untuk memburukkan atau mewujudkan konspirasi menukar kerajaan. Sebaliknya ia dibuat kerana beliau sayangkan parti dan mahu BN terus menerajui negara.
Beliau juga berpendapat bahawa pelbagai masalah yang ada di dalam parti juga perlu diselesaikan segera oleh kepimpinan di peringkat tertinggi.
"Kalau kepimpinan negara ada masalah, cari solusi masalah itu dan Tun sebagai mantan perdana menteri banyak idea dan pengalaman.
"Kita tak ada matlamat buruk daripada cawangan untuk memburukkan lagi kerajaan. Itu bukan matlamat kita dan kita bukan nak menghentam Umno atau nak tukar kerajaan atau ada konspirasi nak tukar kerajaan. Tidak.
"Kami sayangkan kerajaan dan BN. Kita mahu berjuang untuk BN supaya kekal sehingga pilihan raya akan datang dan seterusnya. Kita mahu BN kekal. Masalah yang ada kini ialah masalah kepimpinan negara. Itu kita kena perbetulkan. Kita perlu perbetulkan demi masa depan Umno itu sendiri," katanya lagi.
Dah la Ketua Bahagian takde halangan..! Lepas tu siap jual meja lagi..! Laku pulak tu..! Macam mana boleh para penjilat@pengampu kata Tun M dah tak relevan..! Dah nyanyuk..!
Mesti ada yang menggelupur minta Ketua Bahagian ambil tindakan keatas Ketua Cawangan..!
Mesti digagalkan..! Kalau gagal baru KPI mantap..! Baru berkesan kerja penjilat..!
Sedangkan yang mereka cuba gagalkan tu ialah majlis dan program UMNO..! Untuk ahli ahli UMNO..!
Jadi siapa sebenarnya perosak parti?
Lu Fikir La Sendiri!!!