Ahad, 17 Mei 2009

UMNO...Mandul Pemimpin???

Apakah benar bahawa UMNO sekarang sudah tiada taringnya? Apakah benar bahawa ramai pemimpin UMNO GAGAL untuk membentuk Jentera dan ahlinya agar paham, jelas dan bersemangat untuk mendepani saat sukar sekarang ini? Atau apakah memang semangat ahli UMNO telah luntur dan seakan-akan putus asa. Apakah sudah tiada lagi pemidato dan tokoh di dalam UMNO yang boleh menghimpun khalayak, berhujah dengan yakin dan meyakinkan serta mampu meningkatkan semangat ahli dan menarik sokongan rakyat?

Jawabnya...tepuk dada dan tanya akal budi sendiri...
Namun bagi penulis, UMNO sebenarnya masih teguh, kuat dan terus bersemangat, ini dapat dibuktikan apabila melihat perjalanan mesyuarat cawangan-cawangan yang bersidang selama 2 hari ini jelas menunujukkan satu isyarat bahawa ahli UMNO sebenarnya masih kental dengan semangat dan bersedia apa jua cabaran yang mendatang.
Disini dilihat betapa perlu pemimpin UMNO untuk terus meniupkan api semangat yang sedia menyala dan menerangi jalan-jalan suram yang wujud dimana-mana. Ahli tidak mahu lagi disogokkan dengan pelbagai teori dan jawapan-jawapan lemah malah jauh dari itu pemimpin perlu tampil dengan semangat, yakin dan hujah yang mampu menyerang pihak lawan.

Pemimpin UMNO perlu meletak penanda aras dalam ucapan dan sentiasa menjuarai isu bukan sahaja bersifat defensif malah boleh membunuh imej lawan.
Ini yang dilihat tiada hari ini yang menyebabkan ahli dan rakyat yang pro kepada UMNO dan kerajaan tidak dapat 'sumber' jawapan bagi melawan dakyah pembangkang di setiap lapisan dan masa di tengah-tengah khalayak. Akhirnya jawapan yang disumbatkan oleh pihak lawan bukan sahaja terpaksa dikunyah malah langsung tertelan...dan ini telah berlarutan agak lama.

Dilihat UMNO masih lagi mempunyai pemidato dan jurucakap yang mampu berhujah dan berdebat dan yang lebih penting diyakini oleh ahli dan rakyat. soalnya kenapa tidak di usahakan agar mereka ini dapat bergerak dan menjelajah keseluruh pelusuk negara dan mengapa pula mereka-mereka ini hendak dipendam dan di peram supaya menjadi pekasam?

Mungkin persoalan yang bermain di fikiran ahmad maslan itu boleh dirungkai kan dengan memanggil mereka yang berkebolehan untuk berada bersama dibelakang beliau walaupun tak dihadapannya. Penulis berpeluang mendengar akan ucapan mereka yang dirasakan mampu membantu UMNO dalam keadaan sekarang.

Nama-nama seperti Shahidan Kasim, Ahmad Ismail, Badarudin Amiruddin, Ustaz Kamal, Osman Abdul, Husni Hanadzlah, Tajuddin Abd Rahman, Noh Omar, Mat Taib, Khir Toyo, Norza Zakaria, Isa Samad, Mohamad Hassan, Khairi Jamaluddin, Ramlah Adam, Mohamad Said Yusof, Mohamad Aziz, Razali Ibrahim, Khaled Nordin, Fuad Zarkashi, Adam Hamid, Adnan Yaakob, Rosli Mat Hassan, Idris Jusuh, Tengku Razaleigh, Alwi Hj Ahmad, Ustaz Mohd Yaakob, Tok Pa, Bung Mokhtar, Saleh Said Keruak dan lain-lain nama yang tidak dinyatakan diatas merupakan tokoh-tokoh yang mampu memberikan impak apabila diberikan pembesar suara, tokoh-tokoh ini bagi penulis telah membuktikan keupayaan mereka apabila berpidato sama ada di dalam PRU dan PRK atau pun dalam konvension, forum dan bengkel sama ada di depan ahli UMNO mahupun masyarakat.

Apakah tidak boleh digembeleng mereka ini? kalau ahmad maslan mencari mereka yang mempunyai ijazah berjela-jela mungkin mereka takde, tapi pengalaman mereka rasanya cukup untuk membuatkan punggung audien tetap dan kekal. kalau ahmad maslan mencari persamaan rasanya mereka ini cukup untuk membantu tetapi kalau sengaja ditimbulkan segala perbezaan yang pelbagai sifatnya maka macam-macam lah jawapan yang membantutkan akan timbul.

Dalam konteks UMNO hari ini, pemimpin perlu mengenepikan pelbagai sentimen dan anutan puak yang melampau serta berjiwa besar untuk menerima siapa jua yang sudi dan bersungguh-sungguh untuk meningkat imej dan kekuatan parti. Berlapang dada perlu bagi pemimpin seperti ahmad maslan dari bergundah gulana mengatakan 60,000 ketua penerangan parti tak paham tugas dan kerja. Atau masih dengan teori mengkelabukan yang hitam, memutih kan yang kelabu dan lain-lain lagi.

Kalau dah tersusun siapa yang layak dan sesuai untuk menyampai hasrat dan menggerakkan segala modul dengan pemahaman yang baik di hutan mahupun di ILMU atau juga di mana-mana tempat seterusnya mampu berdepan dengan rakyat apatah lagi pihak pembangkang.

Maka akan lebih sampai lah segala hasrat dan jelas segala dasar yang cuba dibawa oleh parti serta memahami akan arah tuju kerajaan.

Kerana apa yang berlaku hari ini seolah-olah UMNO dilihat mandul dengan kehadiran pemimpin-pemimpin yang berwibawa dan mampu berhujah.

Ayuh...masa tidak menyebelahi UMNO, maka masa untuk bekerja dan terus bekerja telah lama bergerak. Sesuai lah dengan hasrat untuk berubah sebelum diubah...

Bersatu, Bersetia, Berkhidmat!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan