Sabtu, 6 Jun 2009

UMNO Berubah...? Bahagian 2


Dalam Perlembagaan UMNO mengikut Fasal 3 Asas Dan Tujuan - Fasal 3.4 'Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya'

Boleh dirumuskan kepada 2 perkara asas iaitu mempertahan dan memperjuangkan KUASA melayu dan bumiputera dan memperjuang hak dan TARAF HIDUP & EKONOMI melayu dan bumiputera disamping bangsa lain juga turut sama terpelihara dan terjamin.

Tetapi apa yang menyebabkan UMNO dilihat tidak membela nasib bangsa? Apa yang menyebabkan UMNO dilihat gagal memperjuangkan hak dan kepentingan melayu? UMNO dilihat tidak lagi bergerak dan bertindak demi kelangsungan dan survival bangsa. Itu sebab kehendak dan desakan ahli yang mahukan semangat parti menguasai kerajaan tidak terzahir dan diamalkan.

Apa jua usul dari peringkat cawangan yang dibawa ke bahagian, kemudian di hantar ke pusat selain setiap tahun ada konvention UMNO negeri-negeri yang mengusulkan apa jua agenda di samping saban tahun menyembur air liur juru cakap parti dari negeri-negeri membahaskan apa jua perkara dibawah langit ini di dewan merdeka PWTC sekali lagi ianya dibakul sampahkan oleh mereka di peringkat MT dan Ibu pejabat. Kalau ada masa cuba buka video dan tape ucapan perwakilan setiap tahun dan buat kajian apakah ada tindakan yang di ambil...?

Yang jelas UMNO tidak lagi menguasai kerajaan, walhal PM, TPM dan anggota kabinet terdiri dari mereka yang menduduki MT sama ada dipilih atau dilantik atas dasar kawan dan kepercayaan. Sedangkan anggota komponen yang lain tidak segan dan silu terus menerus bercakap dan meminta sesuatu yang jelas berkepentingan bangsa mereka dan kadang-kadang menyinggung perasaan UMNO dan melayu.

Apa tindakan kepada pemimpin MIC yang jelas menyokong pertubuhan haram hindraf? Meminta kerajaan memutuskan hubungan dengan kerajaan Sri Lanka yang mengharamkan pertubuhan ganas LTTE? Melabelkan akhbar Utusan sebagai rasis sedangkan Timbalan Menteri mereka lah yang pernah dulu di gantung di Parlimen kerana menimbulkan semangat perkauman yang melampau. Mengangkat penjenayah yang terbunuh sebagai hero hingga mencetuskan rasa tidak tenteram di kalangan rakyat dan mencetuskan huru hara seperti yang berlaku di Kampung Medan. Apa tindakan kerajaan ? Apa tindakan Pemimpin UMNO? Apa tindakan pemimpin melayu sebenarnya?

Pemimpin melayu dilihat lemah dan lembik walaupun sebagai menteri dalam negeri yang cuba dikeraskan kerana jelas kebiadapan tahanan ISA yang tidak mahu bersetuju dan akur dengan syarat pembebasan yang dibuat keatasnya hanya diberikan amaran demi amaran.

Apa pula tindakan yang perlu diambil keatas MCA melalui wartawan dan akhbar mereka STAR yang jelas membawa sentimen perkauman apabila teguran TPM ketas Utusan diputar belitkan seakan-akan Utusan membawa semangat perkauman walhal Utusan hanya mendedahkan teks sejarah yang di ucapkan oleh wakil mereka yang begitu memahami dan menghormati sejarah serta mempunyai semangat hormat dan toleransi yang tinggi kepada bangsa asal tanah bertuah ini.

Apa pula tindakan bagi menyejukkan hati dan perasaan ahli dan orang melayu yang rasa terhina dek mainan STAR yang mengulas, menyokong dan mempromosi buku 13 Mei yang dibangunkan oleh DAP? Membesarkan isu penentangan rakyat terhadap dasar DEB yang telah berjaya menyatukan bangsa dan membangunkan negara walaupun hasilnya lebih berpihak kepada bangsa lain sementara orang melayu masih GAGAL dalam mencapai matlamat penubuhannya.

Masaalah merit dan biasiswa? Kemasukkan ke Universiti? Isu bahasa tidak lagi dilihat menjadi asas perjuangan pemimpin-pemimpin UMNO sedangkan ianya merupakan asas dan tujuan penubuhan UMNO seperti yang tertulis didalam fasal 3.5. Isu PPSMI telah meletakkan UMNO lari jauh dari hati dan sanubari orang melayu baik ahli terbanyak mahupun orang melayu yang menjadi pengundi UMNO tetapi tidak menjadi ahli. Mereka menyokong UMNO kerana yakin UMNO sahaja parti dan wadah yang boleh, mampu dan terbukti menjadi dahan berteduh bangsa demi menjaga hak keistimewaannya. kalau pemimpin UMNO hari ini boleh membuktikan yang mereka juga merupakan pejuang bahasa maka ramai orang melayu yang selama ini menjeruk rasa akan berdiri teguh dan subur menyokong kembali perjuangan suci ini.

Masaalah Agama dimana keputusan kabinet yang menyerahkan hak beragama anak mengikut agama asal mereka baru-baru ini jelas tidak dapat diterima oleh sebahagian besar ahli UMNO dan orang melayu keseluruhannya. Masaalah penggunaan kalimah suci didalam pengembangan agama Kristian juga perlu serius ditangani dengan berani dan bijaksana. Kerajaan terutama pemimpin melayu dan UMNO mesti bertindak mempertahan dan bukannya mengikut telunjuk, takut dan mengambil sikap populis. Isu agama bukannya isu yang boleh dikompromi...

Isu Liberalisasi dan penghapusan MECD masih lagi tidak jelas kebawah dan masih lagi menjadi bahan momokan politik di kedai-kedai kopi. Ianya masih menjadi bahan ucapan penangguhan yang dibawakan oleh perwakilan cawangan hari ini. Isu ini juga menambah beban ahli dan pengikut dibawah untuk berbahas dengan kenalan mereka di kampung-kampung yang mewakili pembangkang. Buat lah ahli dibawah berdiri tengkuk dan dada terbuka apabila berdebat kerana pemimpin diatas sentiasa memahami dan melaksana sesuatu yang diterima oleh semua baik ahli, orang melayu dan seluruh rakyat.

UMNO iaitu pemimpin perlu kembali kepada asas perjuangan parti, ahli UMNO mahukan pemimpin yang tinggi semangat bangsanya, tulen asas perjuangannya, berani atas tindakannya serta bijaksana atas keputusannya. Pemimpin UMNO mesti dulu berubah!!! Cakap serupa bikin...bikin serupa cakap lah... Hanya dengan perubahan yang pemimpin lakukan maka ahli akan mendapat suntikan semangat yang tinggi saterusnya bergerak dihadapan untuk lebih dulu mendepani rakyat dan masyarakat. Buat mereka bangga dan sentiasa kedepan bukannya lari menyorok atau diam seribu bahasa dan menggeleng kepala. Bukan sahaja gagal untuk berhujah dan mempertahan malah mereka pulak yang menyokong dakyah yang dibawa.

Pemimpin UMNO perlu mengUMNOkan diri mereka, anak isteri dan keluarga mereka kerana hari ini ahli dan rakyat nampak, dengar dan memerhati akan apa jua yang berlaku. Kebanyakkan ahli hanya mendiamkan diri dan berbisik sesama mereka, paling kuat adalah yang menjerit didalam setiap perjumpaan parti yang diadakan. Atas nama perjuangan parti maka ahli terpaksa lah juga berdepan dengan rakyat dengan berhujah bagi mengatasi isu yang dibangkitkan. Sedangkan ada isu yang dipertahankan ditengah masyarakat gagal dipertahan kan di dalam hati dan sanubari mereka sendiri... Kenapa? Tepuk dada tanya hati...

UMNO jelas tetap di haluannya hanya pemimpin perlu kembali kehaluan asal parti kerana ahli dan rakyat jelas tetap kukuh dan utuh berada di dalamnya.

Sendiri mau ingat!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan