Selasa, 19 Oktober 2010

Soalan Jawab Lisan Sidang Dewan Rakyat...


Soalan dari YB Datuk Juslie bin Ajirol ( Libaran ) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah penggunaan dinar emas dan dirham perak di Kelantan bercanggah dengan perundangan sedia ada apatah lagi membabitkan urusan dasar dan pengurusan kewangan Malaysia dan apakah langkah – langkah susulan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dalam hal sedemikian.

YB Dr.Haji Dzulkefly bin Ahmad ( Kuala Selangor ) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan pendirian Kerajaan Pusat tentang pengenalan dinar dan dirham yang diterbitkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim.

JAWAPAN :

Tuan Yang di-Pertua,

Saya memohon untuk menjawab soalan dari Yang Berhormat Libaran bersama – sama soalan dari Yang Berhormat Kuala Selangor yang dijadualkan dijawab pada 19 Oktober 2010 kerana kedua – duanya menyentuh perkara dan isu yang sama.

2. Untuk makluman Yang Berhormat , di bawah undang – undang Malaysia , khususnya seksyen 20, Akta Bank Negara Malaysia , hanya Bank Negara Malaysia mempunyai kuasa untuk mengeluarkan mata wang yang sah diperlakukan untuk pembayaran hutang dan barangan serta perkhidmatan di Malaysia.

3. Penerimaan ringgit di dalam Negara bermakna bahawa sesiapa sahaja boleh menggunakan ringgit dengan mudah dan tanpa perlu ragu – ragu terhadap nilai mukanya.

4. Penggunaan wang berasaskan komoditi seperti emas dan perak dalam urus niaga akan menyebabkan orang ramai menanggung risiko – risiko tertentu seperti:

4.1 kurangnya penerimaan nilai muka komoditi tersebut kerana harganya yang sentiasa turun naik. Ini akan mewujudkan ketidakpastian dalam sesuatu urus niaga.

4.2 masalah untuk mengesahkan ketulenan emas atau perak tersebut serta kemungkinan berlakunya pemalsuan yang berleluasa.

Kedua – dua risiko ini akan menjejaskan hak dan perlindungan pengguna.

5. Tindakan oleh mana –mana individu atau entity mengeluarkan atau mengisytiharkan pengeluaran instrument atau mata wang alternative adalah melanggar undang – undang . Kerajaan memandang serius tentang perkara ini dan Bank Negara Malaysia akan mengambil langkah sewajarnya terhadap individu atau entiti tersebut.

6. Kerajaan juga menasihatkan orang ramai agar terus menggunakan mata wang kertas syiling yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia dan tidak menggunakan medium pertukaran yang lain dalam urusan seharian mereka.

7. Ini bagi melindungi orang ramai daripada risiko yang timbul akibat penggunaan mata wang selain ringgit dan juga bagi memastikan ekonomi berfungsi dengan cekap bagi kebaikan orang ramai dan perusahaan perniagaan.

2 ulasan:

  1. ingin tahu.

    Kalau begitu kenapa bank negara tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mata wang dinar dan perak? sangat di khuatirkan, jika tidak ada tindakan maka orang ramai/individu akan mengunakan kan kaedah yang sama untuk mengutip wang untuk kepentingan peribadi..mungkin akan ada individu yang menggunakan keadah yang sama untuk membuat skim pelaburan cepat kaya...apa kata bank negara?

    BalasPadam