Memaparkan catatan dengan label tulisan kadir jasin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tulisan kadir jasin. Papar semua catatan

Ahad, 17 April 2016

Semangatnya Tidak Akan Dapat Di Pasong..!


Buat la apa pun..!  Kerana yang Maha Berkuasa tetap ada..!

Kunta Kinte Diberhentikan Sekali Lagi


A Kadir Jasin
PEMBAHAS dan pembaca blog kita ini yang juga membaca Berita Harian (BH) mungkin telah biasa dengan pojok bertajuk Kunta Kinte Original.

Pojok mingguan itu adalah tulisan saya yang keluar pertama kali pada 25 Mei 1987. Ia bermula sebagai ruangan “Biar Putih Tulang” menggunakan nama pena Kunta Kinte. Pojok ini berterusan sehingga tahun 1997 apabila dihentikan oleh sidang pengarang BH.

Himpunan kedua pojok Kunta Kinte
Ia diberhentikan kerana saya mengaitkan ucapan “famous” Tun Dr Mahathir ketika perhimpunan agung Umno di mana beliau memetik dialog drama Shakespeare berkenaan Julius Caesar yang berbunyi “Et Tu Brute” (“Engkau juga Brutus”). 

Ucapan ini merujuk kepada pengkhianatan Brutus terhadap Maharaja Rome, Julius Ceaser. Saya kata, Brutus dalam ucapan Dr Mahathir itu adalah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang pada waktu itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Masa itu BH, TV3 dan Kumpulan Utusan adalah penyokong tegar Anwar.

Selepas itu saya menulis Kunta Kinte dalam bahasa Inggeris untuk akhbar Business Times. 


Kunta Kinte bermula tahun 1987

Pada tahun 2010 Pengarah Eksekutif NSTP waktu itu, (Datuk) Ahmad A Talib dan Pengarang Kumpulan BH ketika itu (Datuk) Mior Kamarul Shahid menjemput saya untuk menulis semula pojok Kunta Kinte.

Dalam tradisi persuratkhabaran Melayu, pojok adalah ruangan memuatkan kata-kata lucu, berseloroh dan berkias tetapi pedas serta menyindir. 

Bagaimanapun nama pena Kunta Kinte telah pun “diambil” tanpa izin saya oleh seorang blogger. Jadi terpaksalah saya pinda sedikit menjadi Kunta Kinte Original bagi membezakan pojok saya daripada tulisan blogger yang mengambil tanpa izin nama Kunta Kinte.

Saya memilih nama samaran Kunta Kinte sempena watak Kunte Kinte dalam novel sejarah “Roots” oleh penulis terkenal Amerika Alex Haley. Kunta Kinte adalah putera seorang raja Afrika yang diculik dan dijual kepada pedagang abdi. Walaupun dia dijadikan hamba, Kunta Kinte tatap mengekalkan maruah dan martabat beliau.

Kunta Kinte abdi yang ada jati diri
Sejak akhir-akhir ini, tulisan saya dalam pojok itu beberapa kali dipertikaikan oleh pihak atasan NSTP/BH. Saya terpaksa menulis balik atau meminda tetapi dengan tidak mengubah mesej asalnya. 

Pada hari Selasa 12 April, saya dimaklumkan oleh Pengarang Kumpulan BH, (Datuk) Mahfar Ali bahawa mulai minggu ini ruangan itu diberhentikan.

Jadi hari ini (Jumaat), kalau pembaca BH tidak menemui Kunta Kinte sebabnya adalah ia telah diberhentikan oleh sidang pengarang BH/NSTP.

Terima kasih kepada Ahmad A Talib, Mior, Mahfar dan semua kakitangan Jabatan Pengarang BH, dulu dan sekarang, yang terbabit mengendalikan Kunta Kinte sejak ia dimulakan pada 1987.

Seperti saya beritahu Mahfar ketika menemui beliau Selasa lalu, saya faham kedudukan beliau dan saya berterima kasih kepada beliau kerana cuba mempertahankan ruangan Kunta Kinte Original. Tetapi saya tahu ada kuasa yang lebih berkuasa yang “wahyunya” wajib ditaati.

Cuma seperti yang saya tulis dalam blog ini pada 11 April lalu, petugas media arus perdana (MAP) “...wajib ingat. Di penghujungnya yang penting adalah pengedaran akhbar mereka dan bilangan penonton saluran mereka. Kalau kerana menyokong Mohd Najib membabi buta dan mencaci Dr Mahathir tanpa batasan, pengedaran akhbar mereka dan penonton stesen mereka merudum, bukan sahaja mereka tidak dapat melindungi Mohd Najib malah periuk nasi mereka sendiri terancam.

Koleksi pertama pojok Kunta Kinte
 Mereka harus sedar mengapa MAP yang begitu besar dan berusia, semakin hari semakin dikalahkan oleh media atas talian?”

Sebagai penulis, saya juga terhutang budi kepada pembaca, khususnya mereka yang berjumpa dan menegur saya, kerana mengenali saya melalui ruangan Biar Putih Tulang/Kunta Kinte dan Kunta Kinte Original.

InsyaAllah kalau ada rezeki dan peluang saya atau Kunta Kinte Original akan bertemu pembaca di tempat lain. Itulah harapan dan iltizam saya sebagai penulis.

Wallahuaklam.


Lu Fikir La Sendiri!!!

Selasa, 22 Mac 2016

Bukan Penyangak Jalanan..!


Layan...

Terlalu Besar Untuk Penyangak Jalanan

A Kadir Jasin


"JANGAN ingat saya penyangak, jangan ingat saya mencuri harta rakyat, saya perdana menteri untuk rakyat."

Kenyataan di atas oleh Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, dilaporkan secara meluas oleh media atas talian pada hari Sabtu 19 Mac.


Ia adalah petikan ucapan beliau di Himpunan Solidariti di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di Kuantan pada 19 Mac. [Baca lanjut di sini.]

Perhimpunan politik di pangkalan tentera? Adakah ini disengajakan sebagai isyarat bahawa angkatan bersenjata kini di bawah “kuasa” beliau ekoran Akta Majlis Keselamatan Negara? Mohon ampun sekadar bertanya.

Solidariti Bersama Najib di Kuantan
Mohd Najib kata, dia bukan penyangak – satu istilah yang keras dan hina. Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan penyangak sebagai pencuri atau penjahat.

Sepanjang ingatan saya, tiada siapa pun menuduh beliau perompak dan penjahat yang mencuri balak dan bauksit di Pahang.

Tapi ramai mendakwa dan mensyaki beliau terbabit dengan skandal 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan "derma” RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Jadi apakah tujuan beliau apabila berkata “jangan ingat saya penyangak, jangan ingat saya mencuri harta rakyat”?

Bagi saya, ialah adalah mainan psikologi yang sengaja beliau dilakukan untuk sekali lagi mengaburi mata rakyat jelata, khususnya marhaen totok yang tidak faham isu-isu kompleks yang sedang dibincangkan.

Sama ada Mohd Najib penyangak atau tidak, saya serahkan kepada rakyat jelata dan kepada mahkamah pendapat umum (court of public opinion) membicarakannya. Saya hanya ingin menghalusi sama ada beliau "mencuri harta rakyat" atau tidak.

Mari kita halusi perkara berikut:

1. Kalau kita berpegang kepada hukum bahawa negara ini adalah milik semua warganegaranya maka apa saja harta benda yang bukan milik individu adalah harta kekayaan milik semua rakyat jelata.

2. Harta ini diamanahkan untuk ditadbir secara yang paling baik oleh rakyat jelata kepada kerajaan yang mereka pilih melalui proses pilihan raya.

3. Pada 3 April 2009 Mohd Najib mengambil alih mandat Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri. Pada 6 Mei 2013, melalui Pilihan Raya Umum, dia memperoleh mandat sendiri dengan hanya 48 peratus undi popular.

4. Apabila Mohd Najib yang berulang kali mengaku dirinya sebagai “perdana menteri untuk rakyat” menggunakan kuasa eksekutif yang diamanahkan oleh rakyat jelata untuk menjual atau memindahkan hak milik tanah TRX di Jalan Tun Razak dan Pangkalan TUDM Sungai Besi beliau sebenarnya menjual dan memindahkan hak milik tanah yang dipunyai secara kolektif oleh rakyat Malaysia.

5. Dalam kaitan inilah sesiapa saja yang faham undang-undang melihat penjualan dua bidang tanah ini dengan harga murah kepada 1MDB sebagai perbuatan khianat kerana telah menyebabkan rakyat kerugian potensi pendapatan (potential income) yang besar.

TRX: Perniagaan gali lubang timbus lubang 1MDB
 6. 1MDB menilai semula harta ini. Dalam sekelip mata nilainya naik berpuluh kali ganda. Dengan nilai yang tinggi itu 1MDB mencagarkannya untuk mendapatkan pinjaman. Dalam sekelip mata hutannya naik melepasi RM42 bilion. 

7. Pada harga baru yang tinggi itu jugalah 1MDB menjual tanah TRX kepada Tabung Haji dan pihak-pihak lain dari dalam dan luar negara. Kalau Mohd sayangkan Tabung Haji, dia sepatutnya menjual tanah TRX itu awal-awal lagi kepada Tabung Haji pada harga kerajaan dan bukan harga pasaran. Tidak perlulah Tabung Haji beli atas tangan dengan harga yang mahal.

8. Logiknya 1MDB membuat keuntungan besar apabila tanah yang dibelinya pada harga rendah dijual dengan harga tinggi. Apabila 1MDB mendapat keuntungan, keuntungan itu juga menjadi hak semua rakyat jelata.

9. Malangnya, bukan sahaja rakyat jelata tidak dapat apa-apa, sebaliknya mereka dan anak cucu mereka memikul beban hutang berpuluh bilion ringgit kerana banyak hutang 1MDB dijamin oleh kerajaan.

10. Tanah yang dulu mereka miliki kini sudah dijual. Kalau dijual kepada Tabung Haji, walaupun pada harga yang tinggi, ia masih milik rakyat jelata. Tetapi lebih banyak tanah 1MDB dijual kepada orang asing.

China pemilik penting Bandar Malaysia
11. Rakyat jelata yang menyimpan, mencarum atau melabur dalam Tabung Haji, KWSP, KWAP dan PNB juga menanggung risiko tambahan kerana agensi-agensi ini adalah antara yang memberi hutang kepada 1MDB.

12. Sebahagian tanah TRX telah dijual kepada pemodal Australia dan Indonesia manakala 60 peratus saham syarikat pemaju Bandar Malaysia (bekas Pangkalan TUDM) dimiliki oleh perkongsian di antara Cina Malaysia dan Cina negeri China.

CGN kini pemain utama industri tenaga Malaysia
13. Penjana elektrik bebas (IPP) yang 1MDB beli daripada pemilik tempatan dengan harga mahal dan dijual murah kepada syarikat negeri China sepatutnya menjadi hak milik negara dalam masa beberapa tahun lagi.

14. Menurut sumber industri tenaga, IPP tersebut akan menjadi hak milik negara selepas tempoh konsesi selama 20-25 tahun tamat dengan bayaran hanya antara RM10 dan RM100 sebuah.


Kesimpulannya, menang betul dakwaan Mohd Najib bahawa beliau bukan penyangak. Dalam penggunaan dan kefahaman harian, penyangak adalah penjahat atau bajingan jalanan biasa sahaja. Dalam loghat Utara kawar. 

Apa yang sedang diperkatakan mengenai 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan “derma” RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Mohd Najib adalah di luar kemampuan penyangak, bajingan dan kawar jalanan.

Kalau ia kegiatan “menyangak” biasa seperti mencuri motosikal kapcai atau kasut di masjid ia tentulah tidak disiasat dan akaun bersabit dengannya dibekukan di Singapura, Hong Kong, Switzerland, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Wallahuaklam.


Macam menjawab persoalan jer..!

Lu Fikir La Sendiri!!!

Ahad, 13 Mac 2016

Baik Haramkan Internet..!


Layan...

Perang Saraf Umno Lawan Deklarasi Rakyat 


A Kadir Jasin

PERANG diayah oleh Umno dan kerajaan terhadap “Deklarasi Rakyat”, pendukung dan penyokongnya dijangka menjadi lebih sengit.


Di sebalik penampilan ketenangan dan keyakinan, Umno dan kerajaan sebenarnya bimbang dengan momentum deklarasi Selamatkan Malaysia itu.

Saya tidak menyalahkan mereka. Malah saya faham keterdesakan mereka. Implikasi deklarasi itu ke atas psikologi rakyat jelata semakin positif dan bertambah negatif terhadap Umno dan kerajaan.

Kita boleh membahagikan saluran perang saraf Umno dan kerajaan ini kepada beberapa kategori orang dan pihak.

Antara mereka adalah:

1. Penjawat awam. Mereka yang tugas asasinya mempertahankan kerajaan. Mereka ini akan mempertahankan kerajaan dan, sekali gus Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, kerana tugas. Setuju atau tidak mereka terpaksa akur. 

2. Kelompok politik, iaitu mereka yang naik atau kekal dalam jawatan kerana Mohd Najib.

3. Golongan perniagaan yang mendapat projek kerana rapat dengan Perdana Menteri dan usahawan bona fide yang mendapat kontrak rasmi daripada kerajaan.

4. Media massa arus perdana yang dimiliki kerajaan, parti-parti BN dan individu yang mendapat habuan (rasmi dan tidak rasmi) daripada Mohd Najib.

5. Laskar siber upahan Umno, BN dan individu yang mendapat habuan (rasmi dan tidak rasmi) daripada Mohd Najib.

Ada kalangan penerima dedak yang secara terbuka mengaku mereka menerima wang tunai hingga berjuta-juta ringgit daripada Mohd Najib dalam usaha mereka memberi kredibiliti kepada dakwaan bahawa “derma” RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau adalah untuk kegunaan parti. 

Tidak Ada Pilihan

Mereka mengutuk dan memesongkan fakta mengenai “Deklarasi Rakyat” kerana itu tugas dan kewajipan mereka. Saya tahu ada kalangan mereka yang faham dan bersimpati dengan ikrar itu tetapi tangan mereka diikat dan mulut mereka disumbat.

Tetapi ada juga yang memang tidak faham. Otak mereka mendidih dan hampir meledak melihat musuh lama seperti Dr Mahathir dan Lim Kit Siang duduk bersama. Otak mereka tidak boleh menerima apa yang mereka lihat itu.
Misalnya, seorang wartawan kanan menulis dalam Utusan Malaysia pada 10 Mac mengatakan deklarasi itu “tidak dapat diterima akal”.

Dalam mukadimahnya, wartawan itu berkata: “BIAR dilihat dari sudut mana sekalipun, kempen dikenali sebagai ‘Deklarasi Rakyat’, atau lebih tepat jika disebut ‘Deklarasi Mahathir’, pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada jawatan Perdana Menteri, tidak dapat di­terima akal.”


Saya hantar pesanan ringkas (SMS) berikut kepada beliau: “Baca tulisan Tok. Setuju. Memang tak masuk akal bagi sesetengah orang. Ia langkah luar biasa dan revolusioner. Ia hanya masuk akal bagi orang (yang) anjal dan dalam pemikirannya.”

Pemikiran mereka terlalu sempit dan partisan sehingga apa saja di luar daripada norma harian dan melepasi garis politik parti adalah tidak dapat di­terima akal. Ini adalah kerana akal mereka tertutup dan dipagari kuat oleh ideologi politik serta pertimbangan peribadi.

Saya tidak harian dengan hujah jalanan watak-watak seperti Jamal Mohd Yunos, Ahmad Maslan, Abdul Rahman Dahlan, Annuar Musa, Salleh Said, Tengku (dulunya Teuku) Adnan Mansor dan “The Boss” Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Tapi apabila seorang yang dianggap cendekiawan seperti Rais Yatim juga turut mengeluarkan hujah yang lebih kurang serupa, saya hairan, lebih-lebih lagi apabila beliau memberikan gambaran yang bertentangan apabila berjumpa saya.

Rais adalah antara pemimpin Umno yang tidak kembali menyertai Umno selepas krisis 1987/88 sebaliknya menyertai parti serpihan Semangat 46.
Bukan itu sahaja. Beliau bersumpah bakar jambatan (burning the bridge). 

Tetapi apabila S46 dibubarkan dan Dr Mahathir mencampakkan pelampung keselamatan, Rais menerimanya dan dilantik semula menjadi menteri.

Saya pernah bertanya Dr Mahathir ketika beliau masih Perdana Menteri mengapa beliau membawa balik ke dalam Kabinet orang yang menentang beliau seperti (Tun) Abdullah Ahmad Badawi dan Rais.

Beliau menjawab: “Saya tidak bawa mereka balik. Umno yang mahukan mereka. Sebagai Presiden Umno, saya kena hormat kehendak parti.”

Bagi Dr Mahathir, kehendak parti lebih penting daripada perasaan Presiden.

Sekarang Dr Mahathir tidak ada kuasa lagi dan yang menjadi talian hayat kepada orang macam Rais ialah Mohd Najib. Mungkin Rais tidak ada agenda lain selain pangkat dan kedudukan dan boleh jadi juga ketika beliau “membakar jambatan”, beliau lupa bahawa jambatan yang dibakarnya tidak dimakan api.

Padah Jenayah

Saya tahu yang mereka tahu, iaitu jika Mohd Najib jatuh ramai daripada mereka akan hilang kerja atau silap-silap masuk penjara.

Justeru itu, mereka akan berusaha bermati-matian mengekalkan beliau kerana padah kehilangan beliau dan kekalahan Barisan Nasional adalah amat menggerunkan.

Hatta jika BN terus berkuasa sekali pun, sesiapa saja yang menggantikan Mohd Najib tidak boleh dan, saya yakin tidak akan mengulangi perbuatan beliau.

Masalahnya, tidak ramai pemimpin Umno/BN yang boleh diharapkan untuk keluar daripada acuan yang Mohd Najib tinggalkan. Mereka terlibat bersubahat dan bersekongkol dengan beliau.

Jawapan jangka panjang kepada kemelut Malaysia terletak di tangan pengundi. Itu pun kalau sistem dan amalan pilihan raya diubah untuk menjadikannya lebih bebas, adil dan telus.

Tetapi yang bersalah bersekongkol dan bersubahat dengan Mohd Najib akan menanggung padahnya.

Mereka ini termasuklah anggota Kabinet, ahli Majlis Tertinggi Umno, ketua-ketua bahagian Umno dan kakitangan awam pangkat tinggi macam Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan dan ahli lembaga pengarah eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Tabung Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang terlibat dengan 1MDB, “derma” RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Mohd Najib dan kebocoran RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Secara perseorangan atau berkumpulan mereka akan disiasat dan jika ada bukti akan dituduh di mahkamah. Yang akan menerima padah paling buruk adalah kakitangan awam dan eksekutif GLC dan (GLIC).

Seperti pernah saya katakan, apabila ahli politik berbohong ia adalah tipu helah tetapi apabila kakitangan awam berbohong ia adalah jenayah.

Perang siber Umno makan tuan

Laskar siber kerajaan, Umno dan Barisan Nasional menerpa untuk memutarbelitkan “deklarasi rakyat” seperti hereng menerpa bangkai.

Mereka memberikan pelbagai nama dan gelaran yang salah dan negatif bagi meracuni serta menakut-nakutkan rakyat jelata bahawa ini adalah konspirasi Cina untuk menguasai negara.

Mereka menuduh Dr Mahathir gila kuasa, nyanyuk, mahu kembali menjadi Perdana Menteri semula, lebih teruk daripada Mohd Najib dan pelbagai lagi.

Dua perkara telah berlaku kepada operasi perang siber mereka.

Pertama, mereka dibelasah teruk oleh pembahas yang tidak setuju dengan Mohd Najib dan mahukan beliau berhenti.

Kedua, laskar siber ini berperang sesama sendiri kerana mendakwa mereka lebih setia dan berjasa kepada Mohd Najib.

Maki hamun sesama mereka sama teruknya dengan maki hamun mereka terhadap Dr Mahathir dan peserta “Deklarasi Rakyat”.

Dengan kegagalan mereka mengatur dan menguasai  agenda perang siber, kemungkinan kerajaan mengenakan sekatan yang lebih luas ke atas media bebas atas talian tidak boleh diketepikan.

Mereka juga mungkin menggunakan kaedah teknologi seperti mengurangkan kelajuan Internet dan tidak memperbaiki kerosakan talian dengan pantas. Di kawasan luar bandar ada laporan mengatakan ia mengambil masa hingga seminggu antara tempoh waktu membuat aduan dan pemulihan talian.

Wallahuaklam.

Orang lemas..! apa pun ditariknya..!

Lu Fikir La Sendiri!!!

Khamis, 3 Mac 2016

Soalan Kepada Raja Raja Melayu..!


Tokoh Wartawan Negara Datuk A Kadir Jasin hari ini menyembah beberapa soalan kepada Raja-Raja Melayu berhubung kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB yang diilhamkannya tetapi terpalit dengan pelbagai isu.
Beliau merujuk kepada gesaan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizziddin Shah yang mahu kerajaan menyokong usaha anti-rasuah bagi memperbaiki kedudukan Malaysia dalam indeks persepsi rasuah Transparency International (TI) yang dikatakan sebagai membimbangkan.
Antara lain, Kadir menyoal sama ada Raja-Raja berpuas hati dengan reaksi pentadbiran Najib terhadap titah perintah baginda mengenai 1MDB?
Katanya, pada Oktober lalu, Raja-Raja bertitah menuntut siasatan 1MDB disegerakan dan tindakan sewajarnya diambil ke atas semua yang terbabit jika terdapat salah laku.

“Hampir lima bulan sudah berlalu. Dalam tempoh itu, Peguam Negara (Tan Sri) Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan atas alasan beliau sakit dan tidak boleh menjalankan tugas.
“Tidak ada “medical board” dipanggil. Tetapi Abdul Gani cukup sihat sehingga boleh membuka syarikat guaman sendiri. Pengganti beliau, (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali, dilantik dalam suasana yang mencurigakan,” katanya dalam satu tulisan di blog.
Kadir seterusnya menyoal adakah Raja-Raja berpuas hati bahawa Yang di-Pertuan Agong telah diberikan maklumat yang sah mengenai kesihatan Abdul Gani apabila Seri Paduka bersetuju dengan kerajaan untuk menamatkan tempoh perkhidmatan peguam negara itu.
Sehati sejiwa selamatkan Malaysia
Kadir yang juga adalah bekas ketua pengarang Kumpulan News Straits Times juga membangkitkan jika Raja-Raja bersetuju dengan penyiasatan ke atas 1MDB.
“Adakah para duli tuanku bersetuju dengan apa yang telah terjadi kepada penyiasatan ke atas 1MDB sehingga kini, khususnya tindak-tanduk Apandi membatalkan, melambatkan dan menolak hasil siasatan ke atas 1MDB?” soalnya.
Selain itu, Kadir turut menyentuh mengenai kebimbangan Raja-Raja Melayu mengenai Akta Majlis Keselamatan Negara sehingga menyebabkan baginda menitahkan peguam negara supaya melakukan penapisan ke atasnya.
“Pakar-pakar perlembagaan dan perundangan berkata akta itu memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri dan agensi-agensi pelaksana (polis dan tentera) mengisytiharkan kawasan darurat dan memberikan kekebalan kepada mereka dalam menguatkuasakan akta itu,” katanya.
Berkenaan 1MDB, akaun peribadi Najib dan dakwaan pemesongan RM42 juta wang SRC International, Kadir memohon penjelasan sama ada Raja-Raja akan menitahkan agar sebuah Suruhanjaya Penyiasat di-Raja ditubuhkan bagi mengambil alih semua tugas menyiasat tiga isu itu.
“Akhir sekali, adakah Raja-Raja Melayu sehati sejiwa bersama rakyat jelata menyelamatkan Malaysia?
“Masanya sudah sampai bagi setiap warganegara Malaysia - daripada Raja kepada rakyat totok, tanpa mengira agama dan bangsa, parti dan ideologi – bersatu hati menyelamatkan Malaysia secara sah, aman dan bertamadun,” katanya.
Najib telah berulang kali menafikan dakwaan terhadapnya dan mengaitkan semua dakwaan itu sebagai komplot untuk menggulingkannya sebagai perdana menteri.
Begitu juga, 1MDB menuduh pengkritik mengkitar semula dakwaan untuk tujuan politik.
Tulisan Pak Kadir ni boleh juga dibaca di kadirjasin.
Raja Raja santap..! tak makan..!
Lu Fikir La Sendiri!!!

Jumaat, 26 Februari 2016

Pengganti Zeti Sudah Di Kenal Pasti..!


Tak habis habis Pak Kadir ni bikin panas..!

Layan...


Bank Negara: Politik Lwn Profesionalisme


A Kadir Jasin

SEBUAH lagi institusi teras negara sedang dalam ujian. Siapa yang akan dilantik menggantikan (Tan Sri) Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor Bank Negara akan menentukan sama ada ia terus menjadi institusi yang berwibawa dan dihormati atau menjadi sebuah lagi institusi pemakan dedak.


Premisnya seperti berikut:

1. Logik konvensyen: negara didahulukan. Mengikut landasan ini, pengganti Zeti haruslah sama kaliber dengan beliau atau berpotensi menjadi sehebat beliau. Lebih-lebih lagi sekarang apabila situasi ekonomi dan pengurusan mata wang (monetary management) negara memerlukan seorang Gabenor yang berwibawa dan diyakini.

Maka pengganti Zeti wajarlah seorang ahli profesional yang pakar dalam bidang mata wang, ekonomi dan perakaunan. Seorang tidak dicemari oleh sebarang bentuk skandal atau konspirasi.

Atas landasan itu nama yang datang ke fikiran kita adalah (Datuk) Muhammad bin Ibrahim, Timbalan Gabenor. Walaupun berprofil rendah, dia dikatakan berintegriti dan dihormati.

Muhammad Ibrahim: Berpengalaman dan dihormati
2. Logik politik: Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, diutamakan. Pengganti Zeti wajiblah seorang yang telah termakan dedak atau boleh disuapkan dedak. Ciri-ciri integriti, kewibawaan dan kemerdekaan minda bukan syarat.

Seelok-eloknya orang itu adalah dalam acuan yang sama seperti pelantikan  (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali sebagai Peguam Negara menggantikan (Tan Sri) Abdul Gani Patail – seorang profesional yang menganggotai Umno dan cergas dalam politik. Apandi adalah peguam Umno, pemegang jawatan Umno Kelantan dan bekas calon pilihan raya Barisan Nasional.

Pelantikan Politik

Dalam kaitan inilah nama (Datuk) Awang Adek bin Hussin disebut-sebut sebagai calon pilihan. Bukan sahaja dia orang Kelantan macam Apandi tetapi dia juga cergas dalam politik Kelantan seperti Apandi.

Macam Apandi, dia pernah bertanding pilihan raya di Kelantan. Tapi tidak seperti Apandi, Awang Adek pernah menang dan jadi Timbalan Menteri.

Awang Adek: Pernah Jadi Penolong Gabenor
Kalau Apandi pernah menjadi peguam Umno dan hakim, Awang Adek pernah menjadi Penolong Gabenor Bank Negara dan Ketua Pengarah pertama Pusat Perkhidmatan Kewangan Luar Pantai Labuan (Lofsa).
  
Dia menang kerusi Parlimen Bachok dalam Pilihan Raya Umum 2004 dan dilantik Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Pada tahun 2006 dia menjadi Timbalan Menteri Kewangan.

Dalam PRU 2008 dia bertanding Parlimen dan DUN tetapi kalah kedua-duanya. Kononnya kalau Umno/Barisan Nasional rampas Kelantan tahun itu, dia akan dilantik Menteri Besar.

Pada tahun 2009 dia dilantik Senator dan diberikan semula jawatan Timbalan Menteri Kewangan. Dia dilantik duta ke Amerika Syarikat pada tahun 2014.

Kalau tidak kerana pembabitannya dalam politik atau sekiranya tidak ada skandal kewangan membabitkan Perdana Menteri, dia sesuai dipertimbangkan sebagai pengganti Zeti.

Namun seandainya dia dilantik juga menggantikan Zeti maka secara semula jadi dia akan membawa imej yang sama seperti Apandi iaitu melindungi Mohd Najib daripada tindakan undang-undang.

Adalah amat memeranjatkan (mind boggling) kalau Awang Adek yang dilantik oleh Mohd Najib tiba-tiba melawan tauke dengan meneruskan siasatan dan memberi kerjasama telus kepada agensi-agensi luar negara yang kini menyiasat 1MDB dan Mohd Najib.

Soalnya apakah Awang Adek bersedia atau akan mengorbankan segala idealisme dan kecendekiawanan yang diwarisinya daripada dua institusi ilmu terkemuka di Amerika iaitu Drew University dan University of Pennsylvania?

Awang Adek adalah antara teknokrat era Dasar Ekonomi Baru yang cemerlang setelah memperoleh ijazah matematik dan ekonomi, dan doktor falsafah dari Amerika Syarikat.

Dark Horse

Turut disebut-sebut adalah (Tan Sri) Ismee Ismail. Dia orang kepercayaan Mohd Najib yang kini menjadi Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji serta ahli lembaga pengarah 1MDB.

Tabung Haji turut terseret ke dalam kontroversi 1MDB  kerana memberi pinjaman bilion ringgit kepada 1MDB dan membeli tanah TRX daripada 1MDB.

Gabungan jawatan dalam Tahung Haji dan 1MDB menjadikan Ismee kontroversial dan boleh membawa lumpur Tabung Haji dan 1MDB ke Bank Negara. Jadi dia bukanlah calon yang kuat atau sesuai.

Ismee: Terlibat dengan Tabung Haji dan 1MDB
Seorang lagi yang datang ke fikiran saya adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Abdul Wahid Omar.

Pandangan saya dari dulu lagi menjurus kepada Abdul Wahid. Di kalangan calon luar dia adalah terbaik cuma dia menyerah kepada godaan dengan menyertai Kabinet – sesuatu yang saya secara terang-terang beritahu beliau adalah kesilapan.

Abdul Wahid: Masih boleh dipertimbangkan
Namun berbanding Awang Adek dan Ismee, dia lebih layak dan dengan itu mungkin juga lebih mudah diterima oleh pasaran.

Tetapi kalau kerajaan mahu mengelakkan kontroversi dan menangkis tuduhan mempolitikkan jawatan Gabenor maka calon semula jadi adalah Muhammad kerana dia orang dalam yang berpengalaman dan dihormati.

Wallahuaklam.


Siapa?

Lu Fikir La Sendiri!!!

Rabu, 17 Februari 2016

Seloka Pak Kadir..!


Layan...

Mencari Mat Tunjang Enterprise


A Kadir Jasin

LAMA sudah tidak berseloka
Gurindam pantun penghibur lara
Ramai pembahas tertanya-tanya
Mat Tunjang Enterprise ke mana perginya.

Saya pun rasa bimbang juga
Mat Tunjang lama tak bercerita
Tiada pesan, khabar dan berita
Menghilangkan diri entah ke mana.

Kita hanya boleh berdoa
Mat Tunjang sihat sejahtera
Kuat badan akal sempurna 
Cari makan pelihara keluarga.

Nak tanya Mat Tunjang pasai Danok
Tempat ramai dok pi seronok-seronok
Betoi ka duit kita depa tak berapa tengok
Pasai nilainya dah banyak terperonyok?

Dulu duit kita bukan main hebat
Depa terima ringgit tolak baht
Tak kira leguh atau sakit urat
Abang mai duduk adik buat ubat.

Ada orang buat cerita
Abang seronok adik gembira
Duit kita mereka tak berapa suka
Baht dah balik jadi pilihan utama.

Teringat cerita seorang kawan
Hal berlaku di negeri Kelantan
Kepada dua orang kawan taulan
Yang sangat suka seberang sempadan.

Pergi Golok makan tomyam
Rasanya sedap tidak terkira
Tidur malam asyik meragam
Chef tomyam amatlah menggoda.

Pergi Golok waktu malam
Sembunyi sini sembunyi sana
Bila dah puas makan tomyam
Kahwin pula dengan pembuatnya.

Perdana Menteri pula ke Southern California
Ikut cerita jumpa pelajar kita di sana
Ada sebuah lagu zaman saya muda

Bernama kata lawatan kerja
Khabarnya Obama pun ada juga
Kita harap itulah fakta
Bukan nak jumpa Arab lain pula.

PM kita ni suka jalan
Rata dunia dia pergi
Apa hasil dia dapatkan
Kita di Malaysia kurang pasti.

Dok tak dok dia dapat "derma"
Bila kita tanya dia buat macam-macam cerita
Akhir-akhir dia kata duit dah tak ada
Dia bagi balik kepada si penderma. 

Itulah seloka dan itulah gurindam
Penghibur lara pengubat dendam
Meluahkan rasa apa yang terpendam
Moga-moga jiwa aman tenteram.

Wallahuaklam.


Lu Fikir La Sendiri!!!