Ahad, 13 Mac 2016

Baik Haramkan Internet..!


Layan...

Perang Saraf Umno Lawan Deklarasi Rakyat 


A Kadir Jasin

PERANG diayah oleh Umno dan kerajaan terhadap “Deklarasi Rakyat”, pendukung dan penyokongnya dijangka menjadi lebih sengit.


Di sebalik penampilan ketenangan dan keyakinan, Umno dan kerajaan sebenarnya bimbang dengan momentum deklarasi Selamatkan Malaysia itu.

Saya tidak menyalahkan mereka. Malah saya faham keterdesakan mereka. Implikasi deklarasi itu ke atas psikologi rakyat jelata semakin positif dan bertambah negatif terhadap Umno dan kerajaan.

Kita boleh membahagikan saluran perang saraf Umno dan kerajaan ini kepada beberapa kategori orang dan pihak.

Antara mereka adalah:

1. Penjawat awam. Mereka yang tugas asasinya mempertahankan kerajaan. Mereka ini akan mempertahankan kerajaan dan, sekali gus Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, kerana tugas. Setuju atau tidak mereka terpaksa akur. 

2. Kelompok politik, iaitu mereka yang naik atau kekal dalam jawatan kerana Mohd Najib.

3. Golongan perniagaan yang mendapat projek kerana rapat dengan Perdana Menteri dan usahawan bona fide yang mendapat kontrak rasmi daripada kerajaan.

4. Media massa arus perdana yang dimiliki kerajaan, parti-parti BN dan individu yang mendapat habuan (rasmi dan tidak rasmi) daripada Mohd Najib.

5. Laskar siber upahan Umno, BN dan individu yang mendapat habuan (rasmi dan tidak rasmi) daripada Mohd Najib.

Ada kalangan penerima dedak yang secara terbuka mengaku mereka menerima wang tunai hingga berjuta-juta ringgit daripada Mohd Najib dalam usaha mereka memberi kredibiliti kepada dakwaan bahawa “derma” RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau adalah untuk kegunaan parti. 

Tidak Ada Pilihan

Mereka mengutuk dan memesongkan fakta mengenai “Deklarasi Rakyat” kerana itu tugas dan kewajipan mereka. Saya tahu ada kalangan mereka yang faham dan bersimpati dengan ikrar itu tetapi tangan mereka diikat dan mulut mereka disumbat.

Tetapi ada juga yang memang tidak faham. Otak mereka mendidih dan hampir meledak melihat musuh lama seperti Dr Mahathir dan Lim Kit Siang duduk bersama. Otak mereka tidak boleh menerima apa yang mereka lihat itu.
Misalnya, seorang wartawan kanan menulis dalam Utusan Malaysia pada 10 Mac mengatakan deklarasi itu “tidak dapat diterima akal”.

Dalam mukadimahnya, wartawan itu berkata: “BIAR dilihat dari sudut mana sekalipun, kempen dikenali sebagai ‘Deklarasi Rakyat’, atau lebih tepat jika disebut ‘Deklarasi Mahathir’, pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada jawatan Perdana Menteri, tidak dapat di­terima akal.”


Saya hantar pesanan ringkas (SMS) berikut kepada beliau: “Baca tulisan Tok. Setuju. Memang tak masuk akal bagi sesetengah orang. Ia langkah luar biasa dan revolusioner. Ia hanya masuk akal bagi orang (yang) anjal dan dalam pemikirannya.”

Pemikiran mereka terlalu sempit dan partisan sehingga apa saja di luar daripada norma harian dan melepasi garis politik parti adalah tidak dapat di­terima akal. Ini adalah kerana akal mereka tertutup dan dipagari kuat oleh ideologi politik serta pertimbangan peribadi.

Saya tidak harian dengan hujah jalanan watak-watak seperti Jamal Mohd Yunos, Ahmad Maslan, Abdul Rahman Dahlan, Annuar Musa, Salleh Said, Tengku (dulunya Teuku) Adnan Mansor dan “The Boss” Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Tapi apabila seorang yang dianggap cendekiawan seperti Rais Yatim juga turut mengeluarkan hujah yang lebih kurang serupa, saya hairan, lebih-lebih lagi apabila beliau memberikan gambaran yang bertentangan apabila berjumpa saya.

Rais adalah antara pemimpin Umno yang tidak kembali menyertai Umno selepas krisis 1987/88 sebaliknya menyertai parti serpihan Semangat 46.
Bukan itu sahaja. Beliau bersumpah bakar jambatan (burning the bridge). 

Tetapi apabila S46 dibubarkan dan Dr Mahathir mencampakkan pelampung keselamatan, Rais menerimanya dan dilantik semula menjadi menteri.

Saya pernah bertanya Dr Mahathir ketika beliau masih Perdana Menteri mengapa beliau membawa balik ke dalam Kabinet orang yang menentang beliau seperti (Tun) Abdullah Ahmad Badawi dan Rais.

Beliau menjawab: “Saya tidak bawa mereka balik. Umno yang mahukan mereka. Sebagai Presiden Umno, saya kena hormat kehendak parti.”

Bagi Dr Mahathir, kehendak parti lebih penting daripada perasaan Presiden.

Sekarang Dr Mahathir tidak ada kuasa lagi dan yang menjadi talian hayat kepada orang macam Rais ialah Mohd Najib. Mungkin Rais tidak ada agenda lain selain pangkat dan kedudukan dan boleh jadi juga ketika beliau “membakar jambatan”, beliau lupa bahawa jambatan yang dibakarnya tidak dimakan api.

Padah Jenayah

Saya tahu yang mereka tahu, iaitu jika Mohd Najib jatuh ramai daripada mereka akan hilang kerja atau silap-silap masuk penjara.

Justeru itu, mereka akan berusaha bermati-matian mengekalkan beliau kerana padah kehilangan beliau dan kekalahan Barisan Nasional adalah amat menggerunkan.

Hatta jika BN terus berkuasa sekali pun, sesiapa saja yang menggantikan Mohd Najib tidak boleh dan, saya yakin tidak akan mengulangi perbuatan beliau.

Masalahnya, tidak ramai pemimpin Umno/BN yang boleh diharapkan untuk keluar daripada acuan yang Mohd Najib tinggalkan. Mereka terlibat bersubahat dan bersekongkol dengan beliau.

Jawapan jangka panjang kepada kemelut Malaysia terletak di tangan pengundi. Itu pun kalau sistem dan amalan pilihan raya diubah untuk menjadikannya lebih bebas, adil dan telus.

Tetapi yang bersalah bersekongkol dan bersubahat dengan Mohd Najib akan menanggung padahnya.

Mereka ini termasuklah anggota Kabinet, ahli Majlis Tertinggi Umno, ketua-ketua bahagian Umno dan kakitangan awam pangkat tinggi macam Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan dan ahli lembaga pengarah eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Tabung Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang terlibat dengan 1MDB, “derma” RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Mohd Najib dan kebocoran RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Secara perseorangan atau berkumpulan mereka akan disiasat dan jika ada bukti akan dituduh di mahkamah. Yang akan menerima padah paling buruk adalah kakitangan awam dan eksekutif GLC dan (GLIC).

Seperti pernah saya katakan, apabila ahli politik berbohong ia adalah tipu helah tetapi apabila kakitangan awam berbohong ia adalah jenayah.

Perang siber Umno makan tuan

Laskar siber kerajaan, Umno dan Barisan Nasional menerpa untuk memutarbelitkan “deklarasi rakyat” seperti hereng menerpa bangkai.

Mereka memberikan pelbagai nama dan gelaran yang salah dan negatif bagi meracuni serta menakut-nakutkan rakyat jelata bahawa ini adalah konspirasi Cina untuk menguasai negara.

Mereka menuduh Dr Mahathir gila kuasa, nyanyuk, mahu kembali menjadi Perdana Menteri semula, lebih teruk daripada Mohd Najib dan pelbagai lagi.

Dua perkara telah berlaku kepada operasi perang siber mereka.

Pertama, mereka dibelasah teruk oleh pembahas yang tidak setuju dengan Mohd Najib dan mahukan beliau berhenti.

Kedua, laskar siber ini berperang sesama sendiri kerana mendakwa mereka lebih setia dan berjasa kepada Mohd Najib.

Maki hamun sesama mereka sama teruknya dengan maki hamun mereka terhadap Dr Mahathir dan peserta “Deklarasi Rakyat”.

Dengan kegagalan mereka mengatur dan menguasai  agenda perang siber, kemungkinan kerajaan mengenakan sekatan yang lebih luas ke atas media bebas atas talian tidak boleh diketepikan.

Mereka juga mungkin menggunakan kaedah teknologi seperti mengurangkan kelajuan Internet dan tidak memperbaiki kerosakan talian dengan pantas. Di kawasan luar bandar ada laporan mengatakan ia mengambil masa hingga seminggu antara tempoh waktu membuat aduan dan pemulihan talian.

Wallahuaklam.

Orang lemas..! apa pun ditariknya..!

Lu Fikir La Sendiri!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan