Isnin, 29 Mac 2010

Soal Jawab Lisan...Parlimen

Soalan dari Ahli Parlimen Lenggong, YB Dato Shamsul Anuar Nasarah meminta Menteri Keselamatan Dalam Negeri menyatakan :
a) kedudukan indeks jenayah negara sekarang,
b) apakah usaha kerajaan bagi memmbendung masaalah kebanjiran pendatang tanpa izin haram dalam negara.

JAWAPAN:

Tuan Yang Di Pertua,

Bagi menjawab pertanyaan (a) jumlah jenayah indeks bagi tempoh 2 tahun dari tahun 2008 hingga 2009 adalah seperti berikut:

1 bagi tahun 2008 adalah 211,645 kes dan
2 bagi tahun 2009 adalah 209,417 kes.

Dari jumlah ini didapati penurunan sebanyak 2,228 kes iaitu 1.05%.

Tuan Yang Di Pertua,

(b) bagi menjawab pertanyaan (b), usaha-usaha kerajaan untuk membendung masaalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara adalah berikut:

1. membentangkan isu PATI kepada Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin ( JKK-PATI ) yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri bagi mendapatkan dasar-dasar umum menyelesaikan isu-isu PATI secara holistik;

2. mengadakan operasi penguatkuasaan secara bersepadu antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963;

3. pengawasan di sepanjang persisiran perairan negara akan dipertingkatkan iaitu kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti sebagai tempat pendaratan dan kemasukan PATI. Ini dijalankan dengan kerjasama Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Kerajaan juga sentiasa memantapkan usaha-usaha risikan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi menyekat penyeludupan di sempadan darat negara. Ia dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan Pasukan Gerak Am (PGA).

4. melaksanakan program yang bertujuan untuk mempercepatkan penghantaran pulang PATI, dimana PATI yang melakukan kesalahan memasuki Malaysia tanpa Pas atau Permit yang sah dan tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh Pas, hanya dikenakan kompaun yang nominal tanpa perlu melalui perbicaraan di Mahkamah PATI sebelum dihantar pulang ke negara asal. Dari 22 Disember 2008 sehingga 31 Disember 2009, sejumlah 39,813 orang PATI telah dihantar pulang melalui program ini, dan

5. memastikan bahawa pelawat-pelawat asing ke negara ke negara ini mempunyai tiket pulang ke negara asal mereka (return ticket) disamping menasihatkan mereka agar mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menyara diri sepanjang masa berada di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan