Isnin, 29 Mac 2010

Ucapan Penuh Zul Kulim Bandar Baharu Di Parlimen...


Rabu 24 Mac 2010

Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Bismillaahir Rahmaanir
Rahiim. [Menyebut beberapa patah bahasa Arab] Bermaksud, “Segala puji bagi Allah
yang mengutus Rasullullah dengan petunjuk dan agama Islam yang benar dan cukuplah
Allah sebagai saksi.”

Saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT atas kesempatan dan
mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang
kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Bagi rakan saya daripada Pakatan Rakyat,
saya perlu perjelaskan kedudukan saya di sini sebagai Ahli Parlimen BEBAS yang
dihijrahkan.

Bebas di sini bermakna saya tidak terikat dengan whip mana-mana parti sama
ada di sebelah kerajaan mahupun pembangkang, dan insya-Allah saya berasa lebih
selesa dengan kedudukan ini kerana ini membolehkan saya mengambil pendirian yang
bersesuaian dengan conscience saya dengan izin dan berdasarkan dengan syariat
Islam.

Saya menjadi Ahli Parlimen BEBAS untuk rekod supaya ada di dalam Hansard
kerana generasi akan datang akan membaca mengapa saya ada di sini. Saya ingin
menjelaskan untuk rekod bahawa saya menjadi Ahli Parlimen BEBAS bukan kerana
mengkhianati parti saya apatah lagi mengkhianati ketua umum saya, tetapi terdapat
segelintir mereka di dalam PKR yang telah berkhianat.

Saya mengambil kesempatan ini untuk memperbetulkan rekod bahawa
pemecatan saya daripada PKR berlaku akibat konspirasi segelintir mereka yang kini
menguasai PKR yang melihat kehadiran saya sebagai penghalang agenda sempit dan
jahat mereka. [Tepuk]

Mereka menggunakan alasan kononnya keengganan saya hadir dan mengiktiraf
lembaga disiplin yang dikuasai oleh panel bukan Islam iaitu dua aktivis Kristian iaitu Mr.
Goh Keat Teng dan Puan Chew Swee Yoke dan seorang penganut Hindu Mr. T. Kumar
membicarakan saya membabitkan isu kalimah “Allah”.
Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Saya ingat yang BN tidak
payah tolong. [Ketawa] Saya boleh buat sendiri, insya-Allah.
Dato’ Ngeh Koo Ham [Beruas]: Penjelasan.
Beberapa Ahli: Yang Berhormat Pokok Sena.
Dato’ Haji Ismail bin Mohamed Said [Kuala Krau]: Yang Berhormat Pokok
Sena, hendak balikkah Yang Berhormat Pokok Sena? [Dewan riuh]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang
Berhormat, minta tolong Yang Berhormat letakkan Parlimen ini sebagai Parlimen Yang
Berhormat.

Dato’ Ngeh Koo Ham [Beruas]: Boleh beri penjelasan.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]:
Supaya adik-adik kita di belakang melihat Ahli-ahli Parlimen, bapanya, neneknya kerana
kita semua boleh jadi nenek. Berperangai secucuk dengan kedudukan kita dan keahlian
kita Yang Berhormat. Minta tolong Yang Berhormat jangan tarik mike ini ke bawah
sebab ia memang untuk ke atas Yang Berhormat. Sila Yang Berhormat Kulim Bandar
Baharu.

Dato’ Ngeh Koo Ham [Beruas]: Boleh beri laluan penjelasan? Adakah itu
bermaksud kalau Melayu pun tidak boleh membuat keputusan ke atas orang bukan
Melayu?
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Yang Berhormat Beruas.
Saya minta Yang Berhormat Beruas kalau tidak puas hati dengan tindakan Sultan
Perak, kembalikan pingat itulah. [Ketawa]
Pingat Dato’, Sultan Perak minta ambil, kalau tidak puas hati pulang baliklah,
mengapa terima? Tidak payahlah Yang Berhormat Beruas.

Dato’ Ngeh Koo Ham [Beruas]: Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu,
adakah ini bermaksud pendirian Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu bahawa kalau
hakim Melayu tidak boleh menghukum kes di mana...
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Tuan Yang di-Pertua, saya
tidak beri laluan.
Dato’ Ngeh Koo Ham [Beruas]: Okey, kalau begitu jangan sebut nama saya
lagi.

Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Jika ada prinsip sila serah
balik pingat yang diberikan oleh Ke Bawah Duli Sultan Perak. Itu orang ada prinsip.
[Tepuk] Pangkat Dato’ hendak tetapi maki hamun Sultan. Salah seorang aktivis Kristian
tersebut, Puan Chew Swee Yoke adalah juga Ahli Majlis Peguam dalam Family Law
Committee, badan yang menganjurkan Forum Masuk Islam yang menerima bantahan
besar-besaran umat Islam pada tahun 2008 di mana saya sendiri mengetuai bantahan
tersebut. Malahan, salah seorang ahli panel lembaga disiplin yang beragama Islam telah
menarik diri atas alasan beliau sendiri walaupun beragama Islam tidak mahir dalam isu
berkaitan kalimah “Allah” apatah lagi bagi panel yang bukan Islam hendak
membicarakan saya dalam isu yang berkaitan dengan agama saya.

Saya tidak lupa apa yang berlaku dalam kes Natrah pada tahun 1950,
bagaimana hakim bukan Islam membicarakan isu berkaitan kesahihan akidah Natrah
dan perkahwinan beliau dengan Allahyarham Mansor Adabi, tetapi berselindung di
sebalik kononnya isu hak penjagaan bukannya isu agama Islam. Akhirnya umat Islam
yang dihina apabila agama Islam diperkotak-katikkan oleh hakim yang bukan Islam
menggunakan undang-undang Inggeris. Pada saya, membariskan panel bukan Islam
untuk membicarakan saya dalam isu membabitkan agama saya adalah satu penghinaan
besar bukan kepada saya, tetapi kepada umat Islam seluruhnya. Ini sepatutnya menjadi
pembuka mata kepada umat Islam untuk menilai warna sebenar segelintir mereka yang
menguasai PKR sekarang ini. Saya katakan segelintir kerana ramai lagi di sana
merupakan sahabat-sahabat saya yang masih saya hormati.

Tuan Haji Ahmad Kasim [Kuala Kedah]: Pohon penjelasan Yang Berhormat
Kulim Bandar Baharu.
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Sekejap. Saya hendak
masuk kepada 16 September ini dan Yang Berhormat Kuala Kedah boleh masuk
mencelah.

Tuan Haji Ahmad Kasim [Kuala Kedah]: Tajuk kalimah “Allah” itu sebelum
masuk ke tajuk lain.
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Tajuk ini mengapa saya
dipecat.
Tuan Haji Ahmad Kasim [Kuala Kedah]: Oleh sebab itu saya hendak minta
penjelasan.
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Saya akan pergi kepada
isu kalimah “Allah” sekejap lagi.
Tuan Haji Ahmad Kasim [Kuala Kedah]: Saya hendak beri penjelasan.
Mohon.
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Saya akan pergi kepada
isu kalimah “Allah” sebentar lagi dan baru boleh masuk campur. Insya-Allah. Tuan Yang
di-Pertua, dalam blog saya baru-baru ini, saya menyatakan akan berlaku satu kejutan
dalam sidang Parlimen. Akan tetapi, saya langsung tidak maksudkan apa yang
didedahkan oleh Yang Berhormat Bayan Baru. Saya sendiri agak terkejut dengan
pendedahan beliau dalam isu 16 September dan saya sendiri tidak hairan kalau rakanrakan
saya daripada PKR marah dengan pendedahan tersebut.

Akan tetapi yang saya hairan mengapa rakan-rakan saya tidak marah pula
dengan kenyataan Yang Berhormat Bukit Gelugor terhadap Yang Berhormat Permatang
Pauh dalam isu 16 September yang ternyata lebih keras dan saya memetik apa yang
disebut dan dimuat turun oleh rakan saya sendiri Yang Berhormat Wangsa Maju di
dalam laman blognya pada 7 Mac 2010, dua minggu lepas. Yang Berhormat Wangsa
Maju memetik kenyataan Yang Berhormat Bukit Gelugor dalam membuat kenyataan
berkenaan dengan isu 16 September ini pada 8 Februari seperti berikut.

Saya mohon baca dalam bahasa asalnya, “DAP National Chairman - Karpal
Singh said, Pakatan Rakyat de facto leader Datuk Seri Anwar Ibrahim should step down
for causing trouble in the coalition. The Bukit Gelugor MP is blaming Anwar for ‘creating
trouble’ and said that the former Deputy Prime Minister ‘needed to repent without further
betraying the people and their trust.”
“He said Pakatan Rakyat needed another leader, a good leader and lashed out
at PKR and DAP leaders who had fallen sway to Anwar’s rhetoric in supporting
crossover of elected representatives. I can’t fight DAP the cause alone, said Karpal.
What I am saying now is the truth and eventually the truth prevails. I have said before

that DAP should seriously consider getting out of Pakatan and I repeat my stand once
again today.”
Terjemahannya Tuan Yang di-Pertua, “Pengerusi Kebangsaan Parti DAP Yang
Berhormat Karpal Singh mengatakan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar
Ibrahim wajib meletakkan jawatan kerana mengganggu gugat kedudukan gabungan
Pakatan Rakyat. Ahli Parlimen Bukit Gelugor tersebut menyalahkan Anwar kerana
menimbulkan kekacauan dan menyatakan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri
tersebut perlu bertaubat dan tidak terus mengkhianati rakyat dan keyakinan mereka.
Beliau berkata Pakatan Rakyat memerlukan seorang lagi pemimpin, pemimpin
yang baik dan beliau menyelar kepimpinan PKR dan DAP kerana terpedaya dengan
retorik Anwar yang menyokong wakil rakyat melompat parti. Saya tidak boleh
membawa perjuangan DAP berseorangan. Apa yang saya katakan adalah perkara
benar dan kebenaran pasti akan menang. Saya pernah menyatakan sebelum ini
bahawa DAP perlu mengkaji dengan serius untuk keluar daripada Pakatan Rakyat dan
saya ulangi kembali pendirian saya hari ini.”

Jadi kalau kita dapat mendengar kenyataan Yang Berhormat Bukit Gelugor
terhadap Yang Berhormat Permatang Pauh yang saya kasihi tentang 16 September lagi
keras tetapi kenapa tidak ada langsung suara di dalam Pakatan Rakyat yang
membantah ataupun melahirkan rasa marah. Ini yang saya tidak faham. Yang
Berhormat Wangsa Maju boleh duduk senyum sedangkan dia yang memetik kenyataan
itu. [Ketawa] Kawan saya Yang Berhormat Wangsa Maju boleh, apa masalah.
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Terima kasih Yang Berhormat Kulim
Bandar Baharu dan terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Apa yang disebut, saya memetik
daripada keratan akhbar apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Bukit Gelugor dan
saya memanggil beliau atau merayu kepada beliau supaya beliau menarik balik dan
juga apologize, itu sahaja. Janganlah terlibat dengan saya. [Ketawa] Kalaulah hendak
tuju kepada Yang Berhormat Bukit Gelugor, pergi kepada Yang Berhormat Bukit
Gelugor. Terima kasih.

Tuan Zukifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Saya tidak melibatkan Yang
Berhormat Wangsa Maju, cuma saya hendak memberitahu Yang Berhormat Wangsa
Maju yang menimbulkan isu ini dan saya lihat dia sahaja yang berani menimbulkan isu
ini. Jadi saya tidak faham dan kita kena ingat terutama sahabat-sahabat saya daripada
PAS. Kita kena ingat, inilah dia Yang Berhormat Bukit Gelugor orang yang sama yang

menyatakan kalau hendak Islam, over my dead body. Kalau hendakkan Islam, langkah
mayat saya dahulu.
Mungkin Yang Berhormat Bukit Gelugor sudah faham Islam dan boleh faham
Islam. Saya tidak tahulah tetapi setakat yang saya tahu pendiriannya masih sama.
Dato' Seri Zahrain bin Mohamed Hashim [Bayan Baru]: [Bangun]
Tuan Zukifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Hendak mencelah juga?
Dato' Seri Zahrain bin Mohamed Hashim [Bayan Baru]: Kita sama-sama
BEBAS, apa salah. Tadi Yang Berhormat Wangsa Maju kami duk tunggu, bila hendak
datang. [Ketawa] Akan tetapi Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu, Yang Berhormat
sedarkah semalam saya kena hentam teruk oleh salah seorang daripada belah sana,
Yang Berhormat Kalabakan yang tuduh saya macam-macam termasuk perut buncit dan
sebagainya. Buncit, buncitlah tetapi jangan main-main buncit ini. [Ketawa]
Akan tetapi yang sedih sebab 16 September ini jadi satu isu dan perkara yang
besar yang dibawa oleh seorang yang bagi saya tidak bertanggungjawab. Jadi saya
hendak tanya Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu bahawa isu 16 September bukan
saya sahaja yang bawa isu itu, lompat merata. Sebelah sana lompat, sebelah sini
lompat. Jadi saya sedih sebab saya cerita benda ini yang berlaku sebab saya keluar,
yang saya hairan Yang Berhormat Kalabakan lompat tidak tentu hala saya pun tidak
tahu pasal apa. Tambah dia hentam saya secara personal. Mungkin ‘kong kali kong’,
sebelah sini pun boleh, sebelah sana pun boleh dia. [Ketawa]

Jadi, sebenarnya harus dia minta maaf kepada saya sebab dia attack saya
secara personal. Jadi Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu, macam mana pandangan
16 September ini? Adakah Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu sendiri tahu dan
dengar apa yang dikatakan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat pada masa itu, tambahtambah
lagi Yang Berhormat Kalabakan yang saya tahu hendak jadi Timbalan Perdana
Menteri, yang saya dengar. Jadi yang dia lompat, saya tidak faham pasal apa, jangan
marah saya, dia yang cakap sebelah sana. Jadi apa pandangan Yang Berhormat Kulim
Bandar Baharu.

Tuan Zukifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Tuan Yang di-Pertua, Yang
Berhormat Bayan Baru, semasa di dalam PKR dan saya pun orang kata masih berjiwa
PKR, cuma saya dihijrahkan ke sini bukan atas kerelaan. Kita dengar macam-macam
perancangan. Pada saya tidak salah untuk PKR dan Pakatan Rakyat merancang untuk
menjatuhkan kerajaan, itu memang kerja kitalah pembangkang.
DR. 24.3.2010
49
Jadi pada saya tiada masalah untuk ada perancangan untuk menjatuhkan
kerajaan, cumanya yang saya faham daripada kenyataan Yang Berhormat Kalabakan
semalam, mungkin dia silap faham Yang Berhormat Bayan Baru menuduh dia. Cerita
sebenarnya, Yang Berhormat Bayan Baru menyatakan apa Yang Berhormat Permatang
Pauh beritahu kepada dia. Cumanya, saya ingat benda ini boleh selesai dekat teh tarik
sahaja. [Ketawa] Tunggu Yang Berhormat Kalabakan hantar lagi udang harimau dia.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang
Berhormat Kulim Bandar Baharu, saya peringatkan masa kurang 20 minit.
Tuan Zukifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Betul Tuan Yang di-Pertua,
saya tahu insya-Allah. Saya hendak sentuh – saya ada lima isu tetapi saya akan sentuh
isu pertama berkaitan dengan fitnah.

Tuan Yang di-Pertua, dalam titahnya, Baginda Tuanku Yang di-Pertuan Agong
telah melahirkan kesedihan Baginda kerana masih terdapat banyak perbuatan fitnah,
pembohongan, putar belit fakta terutamanya di media baru. Sebenarnya Tuan Yang di-
Pertua, penyakit fitnah ini sangatlah dikutuk oleh Allah. Dalam surah al-Hujarat ayat 12
Allah berfirman; [membaca sepotong ayat al-Quran] Janganlah kamu mencari-cari
kesalahan orang lain dan fitnah-memfitnah di antara satu sama lain malahan memfitnah
ini disamakan dengan memakan daging saudaranya sendiri.

Sebab itulah Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong penuh kenyataan Yang
Berhormat Marang dan sahabat saya Yang Berhormat Machang dalam isu ini. Islam
sangat menjaga maruah dan harga diri seseorang manusia. Kita tidak boleh menuduh
seseorang berdasarkan syak wasangka apatah lagi fitnah dan sebab itu hukum
memfitnah orang ini sangat berat dimasukkan dalam kategori hudud, contohnya qazaf.
Sebab itu Tuan Yang di-Pertua, saya mengambil pendirian bahawa kita tidak
sepatutnya menuduhnya Yang Berhormat Permatang Pauh dengan tuduhan liwat di
bawah undang-undang sekular iaitu menurut seksyen 377B Kanun Keseksaan.
Sebaliknya sebarang pertuduhan jika ada hendaklah dibawa menurut peruntukan hukum
syarak. Kita ada peruntukan di bawah seksyen 25. Ini saya sokong Ketua Umum,
jangan melompat-lompat.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: [Bangun]
Tuan Zukifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Nantilah kejap. Yang
Berhormat Pasir Mas hendak kata apa?
Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Sedikit, mustahak sangat ini. Terima kasih
Yang Berhormat Kulim Bandar Bharu sebab Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu ada

menyebut tentang fitnah dan menyebut nama Yang Berhormat Machang dan dalam
ucapan beliau semalam dia menuduh saya ada saham judi dalam syarikat Ascot Sport
kerana kononnya ini pejuang Melayu.
Saya hendak menyatakan di sini Yang Berhormat, wallahi, wabillahi, watallahi.
Saya sanggup junjung Quran, saya tidak pernah terlibat secara langsung ataupun
secara tidak langsung dengan mana-mana syarikat saham judi. Ini fitnah besar!
[Dewan riuh]

Saya sedang tunggu Hansard yang keluar semalam dan saya akan bangkit di
bawah 37(1), ini merupakan menyeleweng fakta di Parlimen. Saya tidak pernah ada
saham judi ini dan saya akan bawa al-Quran untuk junjung dalam Parlimen ini dengan
syarat Ahli Parlimen Machang boleh meyakinkan Ketua Umumnya junjung Quran
bahawa dia tidak pernah meliwat Saiful.

Saya minta penjelasan sebab saya tidak pernah ada saham judi sebagaimana
yang dituduh dan keluar dalam Malaysiakini, saya sudah pun melantik peguam untuk
mengambil tindakan. Sekian, terima kasih.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Boleh minta laluan?
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Sekejap, sekejap Yang
Berhormat. Ini Tuan Yang di-Pertua..
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Kalau bagi laluan, saya
respons terus kepada Yang Berhormat Pasir Mas.
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Sekejap, sekejap. Saya
kecuali kalau Tuan Yang di-Pertua bagi.
Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai]: Bagilah...
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Ini, boleh diam sekejap tak,
boleh diam sekejap tak?

Seorang Ahli: Apa ini Jerai?
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Tak, saya, saya, sekejap,
sekejap...
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Okey.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Saya,
saya Yang Berhormat kalau mengikut peraturan, kalau sesiapa yang berucap. Ada
seseorang yang minta laluan. Yang berucap mahu beralah dan duduk, baru yang
mencelah boleh diberi kebenaran. Begitu Yang Berhormat.

Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Baik, baik...
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Akan
tetapi orang yang mencelah tidak boleh dicelah juga. Sila Yang Berhormat..
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Tuan Yang di-Pertua, lama
ini Din? Lama ini Yang Berhormat Machang?... [Ketawa] Sahabat saya...
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Seminit sahaja. Terima kasih.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih sahabat saya
dari Kulim Bandar Baharu. Saya faham perasaan rakan saya daripada Pasir Mas. Oleh
sebab itu saya anjurkan meneliti semula Hansard. Dia ada beza memiliki saham di
dalam syarikat judi dengan memiliki saham di dalam syarikat yang dimiliki oleh tauke
judi. Ia ada beza. Ia dua perkara berbeza. Tauke judi ini mempunyai banyak syarikat.
Syarikat ‘A’, ‘B’, ‘C’, ‘D’ dan segala macam. Oleh sebab itu tokoh ini bilionair... [Dewan
riuh]

Baca Hansard sebab saya punya teks ucapan and very guided.
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Okeylah ..
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Sebelah sana tak boleh jadi
batu api, biar dia berhadapan dengan saya sendiri.
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Masalah ini saya ingat
Yang Berhormat Machang boleh settle dengan Yang Berhormat Pasir Mas di luar.
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Okey, Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu, ini
keluarga... [Ketawa]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang
Berhormat Pasir Mas, duduk Yang Berhormat Pasir Mas..
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Tuan Yang di-Pertua, saya
minta kedua-dua supaya kedua-dua pihak pergi settle dekat luar.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Tuan Yang di-Pertua, saya
belum habis lagi.
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Sebab ini masa saya.
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar
suara]
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Belum habis lagi. Yang
penting apa itu, biarlah rujuk kepada teks saya.
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Tuan Yang di-Pertua minta
runding...

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Malaysiakini kah, Hansard
yang lebih autoriti dalam Dewan?
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: [Ketawa]
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Dalam Dewan yang mulia,
autoritinya Hansard bukan Malaysiakini. Berapa lama jadi Ahli Yang Berhormat?...
[Dewan riuh] Hansard atau Malaysiakini....
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Ini dahulu, ini dahulu parti PAS, kemudian
UMNO, kemudian KEADILAN, kemudian PAS, kemudian KEADILAN! Ini lebih dari katak
puru ini! Ini lebih dari katak puru ini!... [Dewan riuh]
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Tuan Yang di-Pertua...
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Apa punya isu?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Baik,
baik, baik Yang Berhormat. Saya ingat, saya ingat... [Dewan riuh]
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: [Bercakap tanpa
menggunakan pembesar suara]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang
Berhormat Pasir Mas, Yang Berhormat Pasir Mas... [Dewan riuh] Yang Berhormat!
Kedua-duanya sekali, Yang Berhormat Machang dengan Yang Berhormat Pasir Mas,
duduk sekali. Yang Berhormat Machang dengan Yang Berhormat Pasir Mas minta
duduk... [Dewan riuh] Ya, Yang Berhormat Machang duduk, Yang Berhormat Pasir Mas
duduk. Jadi saya bagi okey Yang Berhormat Pasir Mas.
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Fitnah! Pembohong!

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]:
Sudah, sudah, sudah Yang Berhormat Pasir Mas... [Dewan riuh]
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Duduk dahulu!
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]:
Sudah, Yang Berhormat.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Duduk dahulu!
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Duduk!... [Dewan riuh]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang
Berhormat Pasir Mas duduk, Yang Berhormat Pasir Mas. Saya minta Yang Berhormat
Kulim Bandar Baharu jangan bagi peluang dengan orang lagilah ya... [Ketawa] Yang
Berhormat Kulim Bandar Baharu, saya minta tak payah bagi peluang lagi. Saya ada

kuasa di bawah peraturan. Kalau masa tidak ada, jangan bagi peluang dengan orang
lain lagi. Kalau tidak, Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu sendiri pun time habis juga.
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Terima kasih Tuan Yang di-
Pertua. Saya tidak boleh hendak kontrol tadi... [Ketawa] Sampai Tuan Yang di-Pertua
pun sudah tak boleh hendak kontrol... [Ketawa] Saya ingat masa tadi itu kira injury time
untuk saya lah... [Ketawa]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Sila,
sila Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu...
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Baik, saya sambung Tuan
Yang di-Pertua. Menggunakan undang-undang sekular untuk menuduh seorang Islam
lain dengan kesalahan hudud adalah suatu yang menghina Islam. Malahan kita semua
pada saya melakukan suatu dosa besar kemungkinannya kufur jika kita reda
dengannya. Samalah dengan mengheret saya ke Lembaga Disiplin Bukan Islam untuk
membicarakan saya berkaitan isu Islam.

Menggunakan undang-undang sekular akan menafikan hak Yang Berhormat
Permatang Pauh sebagai seorang Muslim. Antaranya beliau tidak dapat menggunakan
pembelaan kazab, suatu pembelaan yang tidak diiktiraf oleh undang-undang sekular. Ini
juga satu penghinaan kepada sistem perundangan syarie yang diiktiraf dalam
Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, saya mendesak supaya pertuduhan liwat
terhadap Yang Berhormat Permatang Pauh di mahkamah sekular ditarik balik.
Sebaliknya hendaklah prosiding dijalankan sepenuhnya menurut peruntukan syarie di
Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa dan ini akan membolehkan Yang Berhormat
Permatang Pauh mendapatkan haknya sebagai seorang Islam termasuk menggunakan
pembelaan kazab.

Bagi maksud itu, saya juga mendesak supaya prosiding qazaf yang sedang
dibawa oleh Yang Berhormat Permatang Pauh di Mahkamah Syariah dibenarkan dan
pendakwaan kazab terhadap Mohd. Saiful Bukhari diteruskan demi mencari kebenaran
dan keadilan secara syarie. Saya yakin Mahkamah Syariah akan dapat bertindak
dengan penuh profesional dan kebenaran serta keadilan akan dapat dicapai bagi semua
pihak yang terlibat.

Berkaitan dengan budaya fitnah ini Tuan Yang di-Pertua, saya juga sedih melihat
budaya fitnah yang kini melanda kepimpinan Yang Amat Berhormat Tok Guru Nik Aziz,
pemimpin dan mursyid yang sangat saya kasihi. Tok Gurulah, orang yang telah
mengisytiharkan saya menyertai PAS pada Ogos 1998 di Kelantan. Saya tengok

serangan berbentuk character assassination terhadap Tok Guru sangatlah tidak wajar,
apatah lagi dilakukan oleh ahli PAS sendiri. Bagaimana seorang yang telah membawa
PAS ke puncak kejayaan politik, kini dihina dan diaibkan. Difitnah dengan pelbagai
tuduhan yang melampau. Kepada Tok Guru, saya mendoakan semoga Tok Guru diberi
perlindungan dan rahmat oleh Allah.

Tuan Yang di-Pertua, fitnah dalam apa bentuk dan terhadap siapa pun
hendaklah dihentikan. Tuan Yang di-Pertua, dalam konteks budaya fitnah ini, saya juga
ingin menyentuh mengenai fitnah tidak berkesudahan yang dilemparkan kepada Yang
Amat Berhormat Perdana Menteri berkaitan dengan kes pembunuhan Altantuya. Saya
hairan dengan sikap segelintir mereka yang mengaku Islam, tetapi boleh menuduh
orang Islam lain sebagai pembunuh tanpa sebarang bukti dan keterangan. Malahan
yang lebih malang, fitnah daripada orang bukan Islam boleh diterima sebagai bukti
tanpa sebarang soal lagi. Hanya sekadar syak wasangka dan tohmahan. Takkanlah
orang seperti Balasubramaniam boleh diterima fitnahnya tanpa usul periksa. Apakah
hanya dengan sekadar membuat surat akuan sumpah, dengan membayar fee RM4,
satu fitnah menjadi bukti dan keterangan semata-mata kerana ada cop pesuruh jaya
sumpah dan punya banyak surat akuan sumpah yang macam tunggang terbalik di buat
oleh si Bala ini. Akhirnya dia sendiri pun menjadi seperti sesumpah.

Tuan Yang di-Pertua, saya adalah antara peguam yang pernah mengendalikan
kes pembunuhan Altantuya ini. Apa yang ditohmah dan difitnah oleh Bala tidak pernah
beliau bangkitkan semasa perbicaraan di mahkamah. Malahan kenyataan beliau kepada
pihak polis juga tidak pernah membangkitkan isu ini. Pada saya, Bala ini hanyalah
seorang opportunist, mengambil kesempatan daripada kerakusan syaitan bertopengkan
manusia. Saya menyeru kepada semua kita yang mempunyai sedikit keimanan kepada
Allah, dan meyakini Al-Quran supaya menolak fitnah Bala. Ingatlah pesan Allah dalam
surat Al-Hujurat, Ayat 6.

Saya sendiri pernah diminta untuk membabitkan Yang Amat Berhormat Perdana
Menteri dan isteri Yang Berbahagia Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan
ini. Antaranya saya diminta mendapatkan pengakuan bersumpah Yang Amat
Berhormat Perdana Menteri dan Yang Berbahagia Datin Seri Rosmah Mansor, terlibat
dalam kes pembunuhan tersebut. Malahan saya sendiri pernah diminta membuat Surat
Akuan Bersumpah mengaitkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan isteri
dengan pembunuhan Altantuya. Ganjaran yang ditawarkan memang boleh
menggoyahkan iman... [Dewan riuh]

Namun Tuan Yang di-Pertua, saya bersyukur, Allah melindungi saya daripada
terbabit di dalam fitnah tersebut... [Tepuk] Oleh sebab itulah, saya menarik diri daripada
terus mengendalikan kes tersebut kerana adanya gangguan daripada pihak ketiga yang
menyebabkan mustahil untuk saya bertindak secara profesional sebagai peguam,
membela kes tersebut. Kita perlu ingat, takkanlah OKT-OKT tersebut sanggup dihukum
mati ke tali gantung, kalau benar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan isteri
terlibat? Saya cukup yakin, pasti mereka akan mendedahkannya, kalau ia benar.
Sebagai seorang Islam, kita patut mengambil sikap husnuzon, bersangka baik.

Setahu saya, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah melakukan sumpah
menafikan pembabitan beliau dan setakat ini tidak ada di antara kita yang berani
bersumpah menafikannya. Oleh itu, bersangka baiklah kita sesama Islam dan
berpeganglah kepada al-Quran sebagai petunjuk kita. Bagaimana kita tidak suka difitnah
orang, begitu jugalah kita tidak sepatutnya memfitnah orang lain. Saya tidak lupa sekitar
tahun 2004 bila mana saya diminta mengaibkan Yang Berhormat Padang Rengas
menggunakan kes pembunuhan Darren Kang di mana anak Yang Berhormat Padang
Rengas bernama Nadim ditohmah sebagai terlibat dalam pembunuhan tersebut kerana
kebetulan beliau berada di lokasi pembunuhan. Lima orang warga Thailand - pekerja
restoran Uncle Don di Sri Hartamas telah didakwa dan dibicarakan serta membuat
pengakuan bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Saya diminta mengaitkan
Nadim dengan mereka.

Alhamdulillah, sekali lagi Allah menyelamatkan saya daripada terlibat dengan
fitnah ini. Saya berharap tidak ada pihak yang meletakkan saya dalam keadaan
terpaksa mendedahkan semua perkara mungkar yang berlaku. Kalau saya berbuat
demikian, letupan besar yang dibuat oleh Yang Berhormat Bayan Baru akan hanya
menjadi sekadar kentut yang sepi. Begitulah kotornya mainan politik negara masa kini.
Sebenarnya terlalu banyak perkara yang tidak betul yang telah saya diminta dan diarah
lakukan selama ini. Ada antaranya telah saya laksanakan dan ada antaranya saya tidak
laksanakan. Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon kemaafan kepada
mereka yang telah menjadi mangsa kepada percaturan politik kotor ini dan saya berjanji
akan berjumpa dengan mereka secara peribadi untuk memperbetulkan keadaan.
[Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua, tujuan saya menyatakan ini semua kerana saya bersetuju
dengan kekhuatiran yang diluahkan oleh Baginda Yang di-Pertuan Agong tentang gejala

fitnah yang sudah sampai ke peringkat yang membimbangkan. Saya sendiri khuatir
dengan cara berpolitik bangsa Melayu beragama Islam yang jauh daripada perintah
Allah dan sunah Rasulullah. Saya juga takut sekiranya kita mengambil sikap
mendiamkan diri, laknat Allah akan menimpa kita.

Tuan Yang di-Pertua, Baginda Tuanku telah mengingatkan kita dalam titahnya
bahawa perpaduan dan saling hormat-menghormati antara kaum dan agama menjadi
tunjang kekuatan negara yang mesti dipelihara. Titah Baginda amalan berbaik sangka,
saling hormat-menghormati, bekerjasama antara rakyat pelbagai kaum dan agama akan
melahirkan masyarakat Malaysia yang mesra, aman dan bertoleransi. Kedudukan
agama Islam sebagai agama persekutuan dengan penganut agama lain bebas
mengamalkan agama dan kepercayaan mereka namun masalah antara agama tetap
muncul dan menjadi duri dalam daging bagi keharmonian dan kestabilan negara.
Kita umat Islam tidak boleh menafikan masalah yang dihadapi oleh penganut
agama lain dalam beberapa isu yang berkaitan dengan Islam. Contohnya masalah
kesan kemasukan ke Islam oleh pasangan bukan Islam berakhir dengan perebutan
jenazah, pertikaian hak jagaan anak atau harta pusaka adalah masalah yang hakiki
yang perlu ditangani dengan baik. Oleh itu saya mencadangkan supaya permasalahan
ini ditangani dengan dua pendekatan.

Pertama, daripada segi non-legal. Saya mencadangkan satu badan consultative
diwujudkan sebagai satu standing committee dengan izin, terdiri daripada tokoh agama
dan masyarakat yang mewakili semua pihak yang berkepentingan dengan tujuan
supaya mereka boleh mengadakan perbincangan dengan segera apabila sesuatu isu
timbul dan memberikan cadangan kepada pihak berkuasa pada kadar yang segera
untuk mengelakkan mana-mana pihak mengambil kesempatan apabila berlaku
kelambatan menanganinya seperti yang berlaku sekarang.

Kedua, daripada segi legal. Saya mencadangkan supaya suatu peruntukan baru
dimasukkan dalam Akta Mahkamah Keadilan (Court of Judicator Act) untuk
menyediakan satu mekanisme rujukan kepada mahkamah syariah bagi isu yang
membabitkan perundangan Islam. Kita akui bahawa kita tidak boleh memaksa mereka
bukan Islam menerima bidang kuasa mahkamah syariah dalam kes yang membabitkan
mereka namun mereka yang bukan Islam juga perlu menerima hakikat bahawa orang
Islam tidak boleh dipaksa menerima bidang kuasa hakim bukan Islam atau mahkamah
sekular untuk membicarakan isu melibatkan perundangan Islam. Dalam keadaan konflik
seperti itu, saya mencadangkan jalan keluar yang terbaik ialah walaupun suatu kes
dibicarakan di mahkamah sekular, namun apabila timbul isu berkaitan Islam, wajib bagi
mahkamah sekular merujuk isu berkaitan ke mahkamah syariah untuk suatu keputusan
dan keputusan mahkamah syariah dalam isu tersebut hendaklah mengikat mahkamah
sekular tersebut.

Kita lihat bagaimana di dalam kes murtadnya Azlina Jailani atau Lina Joy.
Walaupun prosiding di mahkamah sekular ialah mengenai hak menukar butiran kad
pengenalan... [Masalah pembesar suara] ...Akan tetapi isunya membabitkan pertukaran
nama kerana murtad daripada Islam. Jadi isu murtad ini sepatutnya dirujuk ke
mahkamah syariah untuk suatu keputusan.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ya
Yang Berhormat, masa Yang Berhormat.
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Saya hendak habiskan
yang ini.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ya,
baik.

Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Oleh itu saya
mencadangkan pindaan seperti berikut bahawa Dewan mengambil ketetapan supaya
Akta Mahkamah Keadilan 1964 dipinda dengan memasukkan peruntukan baru di
seksyen 4 di dalam keadaan di mana terdapat isu atau pertikaian membabitkan atau
melibatkan agama Islam daripada segi akidah, kepercayaan hukum hakam syariat atau
apa juga persoalan mengenai Islam. Maka mahkamah wajib merujuk isu persoalan dan
pertikaian itu kepada mahkamah syariah untuk suatu keputusan atau penghakiman.
Semua prosiding hendaklah ditangguhkan sehingga keputusan atau penghakiman
mahkamah syariah itu dibuat dan keputusan atau penghakiman mahkamah syariah bagi
isu persoalan dan pertikaian itu hendaklah mengikat mahkamah syariah tersebut.
Saya habiskan di sini Tuan Yang di-Pertua tajuk ini. Di waktu yang sama, saya
juga ingin mengingatkan kepada kaum bukan Islam bahawa mereka juga perlu
menghormati hak dan sensitiviti umah Islam. Saya sebenarnya nak bercadang
mengupas isu berkaitan dengan kalimah Allah tetapi memandangkan masa yang...
Tuan Haji Ahmad Kassim [Kuala Kedah]: Sedikit sahaja Yang Berhormat
Kulim Bandar Baharu, sedikit sahaja.
Dato' Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Kalau saya dibenarkan
habis tajuk...

Tuan Haji Ahmad Kassim [Kuala Kedah]: Sedikit, sedikit sahaja.
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Sekejap, sekejap. Kalau
saya dibenarkan habiskan tajuk di bawah isu inter-religion,
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]:
Berapa panjang Yang Berhormat?
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Ada tiga muka.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]:
Panjangkah Yang Berhormat?

Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Saya ada lima isu tetapi
yang ini isu ketiga yang saya hendak habiskan kalau boleh.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Lima
minit Yang Berhormat.
Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu]: Baik. Tindakan provokatif
seperti penulisan Gunasegaran seorang kolumnis bukan Islam dalam akhbar The Star
pada 19 Februari mempertikai dan memperlekeh hukum syarak berkaitan hukuman
sebat terhadap penzina baru-baru ini hanya sekadar mengundang kemarahan umat
Islam sebagaimana lakaran karikatur yang menghina Rasullah oleh akhbar Sweden dan
Denmark.
Begitu juga dengan isu berkaitan penyalahgunaan kalimah Allah yang dituntut
oleh segelintir pendiayah Kristian baru-baru ini. Saya sedar bahawa majoriti umat
Kristian sangat memahami dan mengamalkan sikap bertoleransi yang tinggi malah
mengiktiraf bahawa kalimah Allah adalah khusus bagi mereka yang menerima konsep
ketuhanan Yang Esa - Yang Satu. Berbeza dengan keyakinan mereka kepada konsep
ketuhanan trinity - tiga dalam satu.

Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Reverend Albert Mohler, President of
The Southern Baptist Theological Seminary. Seorang tokoh Kristian yang terkenal dan
dihormati di Amerika apabila menolak cadangan Father Tiny Muskens, Bishop Gereja
Raymond Catholic di Belanda untuk penggunaan kalimah Allah sebagai ganti nama
tuhan bagi umat Kristian Euro-Amerika. Hah, Kristian Eropah pun tolak.
Tuan Yang di-Pertua, saya tidak bercadang mahu mengupas isu ini daripada
segi hukumnya kerana saya tiada kepakaran dan saya bukan seorang ulama mufasirin.
Ada pihak menaburkan fitnah kononnya saya tidak bersuara mengenai isu ini semasa
dalam perbincangan yang dibuat. Sebaliknya saya ingin menegaskan bahawa para
ulama muktabar yang hadir dalam perbincangan tersebut telah memberikan pandangan

dan pendapat mereka yang sangat bernas mengapa mereka menolak penggunaan
kalimah Allah dalam bentuk trinity ini. Jadi tiada keperluan dan sebab untuk saya
menambah kepada apa yang telah mereka perkatakan dengan jelas.
Malahan saya ‘berfadilah’ Datuk Dr. Harun Din, Timbalan Mursyidul Am PAS
sendiri telah mengambil pendirian yang sangat tegas menolak cubaan pendiayah
Kristian ini untuk menggunakan kalimah Allah dengan sebagai ganti nama Tuhan
malahan beliau menyelar golongan yang menyokongnya. Para ulama dan tokoh
ilmuwan Islam yang lain juga menolak cubaan ini. Terdiri daripada nama-nama gah dan
hebat seperti Prof. Datuk Syed Naquib Al-Attas, Prof. Datuk Kamal Hassan, Prof. Dr.
Muhammad Othman Al-Muhammadi, Prof. Dr. Kamar Oniah malahan Pakar
Perlembagaan Doktor, Sheikh Farooqi dan ramai lagi ternyata tidak bersetuju dengan
penggunaan kalimah Allah oleh segelintir pendiayah Kristian ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya sendiri telah secara peribadi berdepan dengan
diayah sesat ini secara lebih aktif selama 15 tahun. Saya ingin menegaskan bahawa
belum pun diberi kebenaran, segelintir pendiayah dan aktivis Kristian ini sudah pun
melakukan penyalahgunaan kalimah Allah. Saya berikan contoh-contoh yang pernah
saya berikan di Dewan ini pada persidangan lepas. Contohnya Tuan Yang di-Pertua,
saya pernah mengemukakan risalah-risalah yang dibuat dengan bertajuk ‘Jalan Kepada
Allah’, ‘Bagaimana Mengenal Allah’, ‘Pertolongan Daripada Allah’. Saya pernah
menunjukkan komik yang dibuat menceritakan tentang Allah dalam bentuk trinity. Saya
pernah membawa dan saya hendak mendedahkan di sini bagaimana Quran palsu yang
dibuat dengan ayat contohnya berbunyi Surah Al-Muslimun [Membaca potongan ayat
Quran palsu] dengan maksud, “Wahai orang Islam, katakanlah bahawa kamu
sebenarnya golongan yang sesat kerana kamu tidak percaya kepada Allah dan
anaknya.”

Ini adalah contoh-contoh di mana salah guna perkataan nama Allah dibuat. Saya
boleh dedahkan seperti hadis-hadis palsu yang dibuat, yang dilakukan. Saya boleh
kemukakan VCD-VCD yang dibuat untuk mengelirukan penggunaan nama Allah. Saya
boleh keluarkan banyak lagi perancangan. Yang terbaru, komik-komik untuk kanakkanak
yang dibuat, yang saya tunjukkan di sini, yang disebarkan di sekitar KLCC sekitar
lewat bulan lepas yang menyalahgunakan perkataan Allah. Sebab itu saya yakin
bahawa ada segelintir pendiayah Kristian yang cuba mengambil kesempatan dalam
keadaan umat Islam yang berpecah belah ini untuk mencapai agenda jahat mereka.
Persoalannya bukan agama Islam diserang oleh Kristian tetapi agenda jahat segelintir
pendiayah Kristian untuk melaksanakan agenda halus. Perenggan akhir, Tuan Yang di-
Pertua.

Kalau kita membaca sejarah umat Islam dan sirah Nabawi, kita tidak akan
terjumpa keadaan di mana orang yang mengaku Islam beria-ia berjihad untuk
membenarkan orang bukan Islam mengguna kalimah “Allah” dalam bentuk syirik dan
kufur ini. Malahan, ketegasan umat Islam dalam hal akidah ini jelas dalam kisah dialog
di antara Sayidina Jaafar Abi Talib Al-Tayyar dengan Maharaja Najasyi, Raja Kristian
dari Habsyah dalam peristiwa hijrah pertama. Saya menutup di sini dalam isu ini Tuan
Yang di-Pertua dengan mengingatkan diri saya dan sahabat-sahabat saya yang
mengaku beragama Islam.

Benarlah sabda Rasulullah saw, “Bersegeralah kamu pada melakukan amalan
soleh kerana akan datang suatu masa nanti kamu ditimpa dengan satu fitnah yang
kamu tidak akan nampak kerana datangnya fitnah itu seperti kepingan malam. Pada
ketika itu kamu Islam di waktu pagi kamu kafir di waktu petang, kamu Islam di waktu
petang kamu kafir di waktu pagi. Di kala itu Allah akan mencabut perasaan takut dari
musuh kamu kepada kamu dan Allah campakkan perasaan wahan kepada kamu iaitu...
[Membaca sepotong Hadis dalam bahasa Arab] ...Kamu akan jadi terlalu cintakan dunia,
jawatan, kedudukan, habuan dan kamu akan takut dengan kematian.” Dengan izin Tuan
Yang di-Pertua, saya pohon menyokong. [Tepuk]

1 ulasan:

  1. TAhniah YB kerana tetap dengan pendirian. Kepada yang lain, bersatulah dalam Aqidah.

    BalasPadam