Sabtu, 21 September 2013

4 MB & KM Dicabar Di Bahagian..



KUALA LUMPUR 21 Sept. - Empat daripada sembilan Ketua Menteri dan Menteri Besar dicabar bagi jawatan Ketua UMNO di bahagian masing-masing selepas tempoh penyerahan borang pencalonan tamat pukul 5 petang tadi.

Mereka yang dicabar ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron; dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man.

Mohamad dicabar oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Mohamad Rais Zainuddin yang juga bekas Ahli Exco Kerajaan Negeri bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Rembau.

Ahmad pula dicabar oleh bekas Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kemaman, Mat Dalam Awang bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Kemaman.

Bagi jawatan Ketua UMNO Tangga Batu, Idris dicabar oleh seorang ahli biasa dari UMNO Cawangan Tok Suboh, Baddrul Hissham Abd. Aziz.

Manakala bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Azlan berdepan dua pencabar iaitu Ahli Parlimen Kangar, Ir. Shaharuddin Ismail dan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Hashim Suboh.

Sementara itu, mereka yang menang tanpa bertanding bagi jawatan ketua di bahagian masing-masing ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir (Jerlun); 
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (Lumut); Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (Bentong); Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Pasir Gudang); dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (Libaran). - 
UTUSAN ONLINE


Lu Fikir La Sendiri!!!

Tiada ulasan:

Catat Komen