Khamis, 20 Disember 2012

Patut Pun Tun M Minta Kita Pandang Ke Timur..!


Ingat lagi pada tahun 80an waktu awal awal Dr M menerajui negara..antara yang beliau lakukan ialah menyamakan waktu Sabah dengan Semenanjung, melancarkan slogan Bersih, Cekap Dan Amanah, selain itu negara yang menghadapai kecaman British dek kerana terperanjat dengan kehebatan kita mengambil balik pegangan syarikat perladangan Gutrie telah menyebabkan Dr M melancarkan polisi Buy British Last.

Setelah itu timbul Dasar Pandang Ke Timur..tujuannya ialah mengambil banyak perkara positif yang ada pada keperibadian rakyat Jepun. Sikap rajin, tekun, berlumba lumba dalam kemajuan ilmu dan teknologi dan banyak lagi yang menjadikan Jepun itu Asia dan Asia itu Jepun..secara langsung membuka mata Barat akan kebolehan dan daya kepimpinan serta kuasa ekonomi juga boleh wujud dan kuat dari belahan Benua Asia..begitu lah hebatnya Jepun pada era 80an.

Rupanya jauh dari itu, kita sebenarnya sekali lagi diminta untuk menilai sikap dan keputusan rakyat Jepan dalam menentukan nasib diri mereka terhadap kerajaan yang telah, sedang dan akan mereka benarkan berkuasa di negara mereka..jom kita layan...!


KEMENANGAN besar Parti Liberal Demokratik (LDP) dalam pilihan raya Jepun beberapa hari lepas boleh dijadikan pengajaran dan diambil iktibar oleh pengundi di Malaysia yang juga sedang menunggu pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Begitu ironis sekali pada tahun 2009 ketika LDP ditewaskan dengan begitu teruk oleh Parti Demokratik Jepun (DPJ), pengajaran yang dapat dibuat pada ketika itu adalah walaupun LDP telah memerintah Jepun lebih lima dekad lamanya, ia bukan menjadi pemangkin bahawa pengundi akan tetap mengundi mereka.

Pada ketika itu kepimpinan LDP merasa begitu selesa dengan kuasa yang dimiliki dan tidak begitu mengambil berat keluh-kesah kesempitan hidup yang dialami oleh rakyat Jepun. LDP pada ketika itu ditafsirkan begitu terasing dengan keadaan kehidupan sebenar dan akibatknya pengundi Jepun telah menghukum dengan mengundi DPJ.

Sama juga dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang merasa begitu selesa kerana telah berkuasa begitu lama, mengambil sikap mudah dan tidak mengambil berat masalah kesempitan hidup rakyat biasa seperti kos sara hidup tinggi dan kebanjiran pekerja asing.

Akibatnya pada pilihan raya umum 2011 PAP telah dihukum oleh pengundi Singapura dengan kemerosotan undi popular dan tewas buat pertama kali di Aljunid dan Hougang.

Walaupun DPJ yang dianggap masih mentah dan tidak mempunyai pengalaman mentadbir sebuah negara seperti mana yang dimiliki LDP, tetapi pengundi Jepun tetap menaruh kepercayaan kepada DPJ dengan harapan perubahan dapat dilaksanakan untuk meringankan beban ekonomi yang sedang ditanggung.

DPJ telah menjanjikan perubahan dan kepentingan rakyat Jepun menghadapi kesempitan ekonomi akan diberikan keutamaan oleh kerajaan DPJ. Rakyat Jepun merasa resah di bawah pentadbiran LDP kerana bermula dari tahun 1992 sehingga sekarang, ekonomi Jepun berada dalam keadaan meleset dan tidak berkembang. Lebih memeritkan lagi China telah memintas Jepun sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia pada tahun 2011.

Sebab itu dengan begitu mudah pengundi Jepun pada tahun 2009 termakan janji pilihan raya DPJ kerana rakyat tidak mempunyai pilihan lain. Tetapi setelah tiga tahun mentadbir Jepun, begitu ternyata sekali terdapat kepincangan dalam kepimpinan DPJ.

Bukan sahaja DPJ telah gagal membawa Jepun keluar daripada kemelut kemelesetan ekonomi, keadaan menjadi lebih parah apabila kadar hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah melonjak sehingga 230 peratus, iaitu lebih besar daripada apa yang dimiliki oleh Greece yang pada ketika ini sedang melalui zaman ekonomi yang gelap.

Lebih menakjubkan lagi ialah DPJ bukan sahaja tidak mampu menunaikan janji pilihan raya, malah akan mengenakan tambahan cukai penggunaan yang sudah pasti membebankan rakyat biasa yang sedang menghadapi kos sara hidup yang tidak setanding dengan pendapatan yang diperolehi.

Akibat kurangnya pengalaman DPJ mentadbir sebuah negara, kecacatan ini begitu terserlah apabila Jepun menghadapi dua bencana secara berturut-turut pada tahun lepas. Kepimpinan kerajaan Jepun begitu longgar dan tidak teratur ketika bencana tsunami melanda negara itu pada Mac 2011.

Keadaan menjadi lebih parah apabila bencana tsunami dituruti pula oleh masalah loji nuklear Fukushima yang menyerlahkan bagaimana tidak cekapnya kerajaan Jepun di bawah DPJ. Apabila berhadapan dengan masalah nuklear, kerajaan Jepun dilihat tidak ketentuan dan berdolak-dalik sehinggakan membuat keputusan yang telah merencatkan lagi ekonomi Jepun.

Kepimpinan DPJ yang dianggap begitu mentah dalam hal ehwal dasar luar juga menghadapi masalah apabila berhadapan dengan China mengenai tuntutan bertindih Pulau Senkaku/Diaoyu di Laut China Timur. Rakyat Jepun merasa begitu aib dengan cara DPJ menangani isu tersebut dengan China yang memperlekehkan Jepun sebagai sebuah negara yang merdeka.

Pengundi Jepun sebenarnya telah melakukan satu eksperimen dengan memberi kepercayaan kepada DPJ untuk mentadbir Jepun. Eksperimen tersebut begitu ternyata gagal kerana DPJ bukan sahaja tidak mampu menunaikan janji pilihan raya, malah tidak mampu mentadbir sebuah negara kerana ketandusan kepimpinan.

Bukan mudah bagi kerajaan baru di bawah kepimpinan Shinzo Abe dari LDP untuk membetulkan segala kesilapan strategi yang telah diamalkan oleh DPJ selama tiga tahun sebelum ini kerana kesannya adalah begitu mendalam.

Mentadbir sebuah negara bukannya mudah terutama sekali bagi Jepun yang sering bertukar Perdana Menteri. Kepimpinan yang telah teruji adalah satu kriteria yang begitu penting yang mampu menjamin kesejahteraan sesebuah negara. Semasa tiga tahun DPJ memerintah Jepun, jawatan Perdana Menteri telah bertukar sebanyak tiga kali kerana setiapnya tidak mempunyai kekuatan untuk bertahan.

Banyak perkara yang boleh dijadikan pengajaran dan iktibar akibat kesan eksperimen pengundi Jepun. Walaupun hanya tiga tahun DPJ memerintah, tetapi kemudaratan yang telah terhasil memerlukan masa yang lebih lama untuk dipulihkan keadaannya.

Mungkin juga ada baiknya dengan apa yang telah berlaku kerana Perdana Menteri baru Jepun Abe telah berjanji bahawa kepimpinan parti LDP beliau telah berubah dan akan mendengar dengan lebih rapat keluh kesah rakyat Jepun. Beliau juga berjanji akan melantik kabinet yang lebih berwibawa tidak seperti mana yang berlaku ketika beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 2006 yang dicemari dengan pelbagai skandal.

Paling kritikal bagi pengundi Malaysia ialah mereka telah pun melakukan eksperimen ketika pilihan raya 2008 dan hari ini setelah hampir lima tahun berlalu sudah pasti keputusan telah diperolehi daripada ujian tersebut. Gunakan keputusan ujian yang diperolehi dengan membuat pilihan yang betul dan tidak memudaratkan masa depan negara.

PENULISAN Profesor Dr Azmi Hassan ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM

LU FIKIR LA SENDIRI!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan