Selasa, 25 Jun 2013

BUANG UNSUR PERPECAHAN - AGONG



Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini bertitah menyeru rakyat supaya membuang sifat-sifat yang membawa kepada perpecahan.
Seri Paduka bertitah masyarakat sebaliknya perlu mencari titik persefahaman untuk memupuk dan mengeratkan perpaduan.
Bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-13 di sini, Seri Paduka turut berharap kedudukan agama Islam tidak dipersoal dan diselewengkan untuk kepentingan mana-mana pihak hingga memesongkan akidah umat Islam.
“Kerajaan Beta komited untuk memartabatkan Islam berteraskan Maqasid Syariah dan akan terus memelihara kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan,” titah Seri Paduka.
Turut berangkat hadir pada majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta anggota parlimen yang lain.
Titah Tuanku Abdul Halim turut menyentuh aspek ketenteraman awam dan keselamatan negara yang menurut Seri Paduka tetap menjadi keutamaan kerajaan.
“Kerajaan Beta akan terus berusaha untuk memperbetulkan jurang antara persepsi dan hakikat tahap keselamatan di negara ini,” titah ketua negara itu.
Seri Paduka turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota pasukan keselamatan yang terkorban semasa mempertahankan negara dalam insiden serangan kumpulan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah pada Mac lepas.
“Jasa, khidmat bakti dan pengorbanan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan orang awam serta semua pihak yang terlibat dalam memelihara keselamatan di timur Sabah amat dihargai dan disanjung tinggi,” titah Seri Paduka.
Selain itu, titah Seri Paduka turut berkisar kepada pencapaian ekonomi, isu-isu pendidikan, pelancongan, belia dan wanita serta inisiatif pencegahan rasuah dan komitmen negara di persada antarabangsa.
Seri Paduka menarik perhatian bahawa pencapaian ekonomi negara di peringkat global telah meningkat dan Malaysia diiktiraf sebagai negara yang paling berdaya saing dalam kalangan 30 negara dengan keluaran dalam negara kasar per kapita kurang daripada US$20,000.
Selain itu, Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-12 paling mesra perniagaan di dunia dan menduduki tangga ke-10 sebagai destinasi pilihan pelaburan langsung asing dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Asing 2012.
“Tahniah Beta ucapkan atas pencapaian cemerlang pada 2012. Beta berharap tahun ini negara akan mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan antara lima peratus hingga enam peratus,” titah Seri Paduka.
Menurut Tuanku Abdul Halim, kerajaan akan terus berperanan sebagai pemudah cara dan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi meningkatkan peranan sector swasta memacu pertumbuhan ekonomi.
Seri Paduka bertitah kerajaan juga akan terus menyedia dan membangunkan ekosistem yang lebih kondusif bagi pelabur untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai dan berteknologi tinggi serta mampu melonjakkan Malaysia sebagai sebagai negara pengeluar produk perkhidmatan yang inovatif dan kreatif.
Tuanku Abdul Halim bertitah usaha yang dilakukan kerajaan telah menarik pelaburan berjumlah RM49.3 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, peningkatan 44 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Seri Paduka turut menggesa rakyat untuk terus memberi sokongan kepada industri pelancongan terutama bagi program Tahun Melawat Malaysia 2014, dengan memupuk budaya dan amalan positif yang dapat memikat hati pelancong.
Selain itu, Tuanku Abdul Halim berharap penjawat awam meneruskan usaha penambahbaikan penyampaian perkhidmatan berdasarkan tiga aspek iaitu perkhidmatan yang cepat, tepat dan berintegriti, selain berfikiran kreatif, inovatif dan menekankan produktiviti.
LU FIKIR LA SENDIRI!!!

1 ulasan: