Saya merasa pelik kenapa sekumpulan NGO pro-Melayu membantah dan membuat repot polis mengenai penganjuran majlis dialog anjuran MP Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa, dengan sekumpulan penganut Kristian, yang berlangsung minggu lalu di Pulau Pinang. Biarkan. Sepatutnya kita menggalakkan, bukan menghalang, sebagai salah satu saluran dakwah, daripada tidak berbuat apa-apa.
Alasan mereka, sepatutnya PAS menampilkan tokoh yang arif mengenai Islam dan bukannya pemimpin politik seperti Mujahid. NGO tersebut melahirkan kebimbangan jika beliau tidak mampu untuk mempertahankan Islam dalam dialog tersebut. "Kita tidak menghalangnya tetapi sepatutnya dialog itu diberi peranan kepada orang yang fasih tentang Islam seperti mufti”.
Melihat kepada latar belakang Mujahid, saya fikir, beliau agak layak. Berkelulusan ijazah BA Bahasa Arab dan Sastera, Universiti Al-Azhar, Mesir; Sarjana Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Putra Malaysia dan ijazah Doktor Falsafah (PhD) Siasah Syar’iah, Universiti Malaya.Lagipun beliau ada menulis buku bertajuk “Berdialog Dengan Gereja Sebuah Travelog Kedamaian” dan lain-lain buku berkaitan Islam. Adakah kita ,ahu mengharamkan buku beliau?
Dialog antara agama tidak semestinya menampilkan mufti. Tetapi mereka yang pakar dalam perbandingan agama. Tidak semua mufti pakar dalam perbandingan agama. Apatah lagi kemampuan berbahasa Inggeris. Pokoknya, setiap kalangan kita yang ingin berdialog mesti asas ilmu Islam dan memahami selok-belok dialog antara agama, serta berani berkata benar, walaupun pahit dan tidak berpolitik.
Jangan menyembunyikan kebenaran semata-mata untuk mendapat undi dan menjaga hati kawan. Apatah lagi kita semua tahu, Pulau Pinang adalah lubuk ultra kiasu, sama ada mereka Kristian atau tidak.
Ingatan saya kepada Muhajid, sebelum berdialog pada masa akan datang, ajaklah mereka yang pakar dalam perbandingan agama bersekali. Pastikan ahli panelnya seimbang. Tidak hanya didominasi oleh satu pihak, seperti yang berlaku dalam dialog di gereja suatu ketika dahulu November 2012, di Subang Jaya.
Tentu kita masih ingat, ketika itu, terdapat 9 ahli panel, 3 Islam, 6 bukan Islam, termasuk Mujahid dan puteri PKR. Sehinggakan puteri PKR tersebut sanggup berkata tidak paksaan dalam beragama. Orang Islam boleh keluar Islam.
Ini ucapan politik untuk mendapatkan mileage politik, undi dan kuasa, tanpa melihat fakta dan realiti sebenar. Jika jahil bertanya, jangan bercakap semborono. Dialog antara agama sebegini menjadi bahaya jika ada agenda politik. Itulah yang mungkin menjadi kebimbangan NGO pro-Melayu tersebut pada fikiran saya.
Dalam berdialog, kita perlu ada adab. Pada masa sama, memahami realiti semasa. Tahu selok-belok sensitiviti masyarakat setempat, budaya Melayu dan bukan Melayu, serta peruntukan undang-undang dan perlembagaan.
Kita tidak digalakkan menyebut, agama kitalah yang terbaik berbanding agama lain. Jika itulah ucapannya, agama lain pun akan berkata perkara yang sama. Bila itu terjadi, dialog tidak akan menjadi dialog lagi. Dialog akan menjadi majlis yang defensif. Masing-masing akan berkata agama merekalah yang terbaik.
Apa yang penting adalah bercakap benar dan menyampaikan pandangan dan pendirian agama masing-masing terhadap sesuatu isu. Saya cuma berharap PAS berani dan dapat bercakap benar di hadapan musuh-musuh Islam. Jangan menikus dan jadikan platform tersebut untuk menghentam UMNO dan kerajaan. Itu bukan adab berdialog.
Pemimpin PAS mesti profesional dalam hal ini. Berkatalah apa yang benar dan apa yang salah daripada menuding jari siapa benar, siapa salah. Biarlah orang mendengar menilai. Itulah jalan dakwah yang terbaik. Saya percaya Mujahid adalah kepakaran tersebut.
Pada masa sama, sentiasa berhati-hati dengan agenda Kristianisasi. Kita sudah tahu matlamat gereja di sebalik menganjurkan forum tersebut.
Misalnya, isu kalimah Allah yang saya yakin dibincangkan. Isu ini bukan soal UMNO atau orang pro-UMNO. Bukan juga isu kita menghalang bukan Islam menggunakan kalimah suci ini. Isu ini perlu dilihat lebih jauh. Proses dan perancangan Kristianisasi.
Indonesia adalah contoh yang terbaik. Apabila terlalu banyak kebebasan diberikan, tanpa ada perlindungan. Bukti-bukti menunjukkan ramai yang telah meninggalkan agama wahyu ini. Bukan kerana agama kita ada kekurangan. Agama kita sempurna, tetapi mereka buat kerja. Kita asyik bercakap, kerja tidak buat.
Kita dengan mudah boleh menyalahkan UMNO. Apakah yang telah dilakukan oleh UMNO dalam memperkukuhkan akidah umat Islam daripada goyah? Ya, saya akui, UMNO masih kurang berjaya dalam memperkukuhkan akidah umat Islam, apatah lagi program dialog antara agama, walaupun ada jawatan kuasa antara agama.
Terlalu banyak program hiburan berbanding program akidah. Walaupun program akidah ada, tetapi tidak mampu untuk menghadapi arus hiburan yang begitu kuat melanda. UMNO perlu sedar hakikat ini. Melayu perlukan agama, bukan hiburan yang keterlaluan. Melayu tidak selamat dengan hiburan. Tetapi Melayu akan selamat dengan agama. Percayalah, kita tolong Allah, pasti Allah akan tolong kita. Jika sebaliknya, tunggulah kehancuran itu.
Sebagai menyahut cabaran Mujahid, NGO pro-Melayu atau UMNO perlu menampilkan tokoh-tokoh untuk berdialog agar kekeliruan antara agama dapat dirungkaikan, supaya tidak ada pihak yang menuduh, cakap tidak serupa bikin.