Oleh NAJAH RAIHAN SAKRANI & SHAFEZAH ABDUL WAHAB
Joseph Estrada antara contoh artis yang aktif berpolitik sehingga pernah dipilih sebagai Presiden Filipina.
PENGLIBATAN golongan artis sebagai figura masyarakat tidak terbatas di pentas hiburan semata-mata.
Kini ramai di kalangan mereka (artis) yang melibatkan diri dalam
kancah politik dengan pelbagai matlamat dan agenda. Kesinambungan
pembabitan artis dalam politik bukanlah suatu yang asing pada masa
sekarang.
Jika kita imbas beberapa figura politikus terkemuka dunia juga lahirnya di kalangan artis. Lihat sahaja teraju utama filem
Love Is on The Air iaitu Ronald Reagan yang berjaya mewakili Amerika Syarikat sebagai Presiden, hero
The Terminator, Arnold Schwarzenegger menakluki California sebagai Gabenor manakala Joseph Estrada menjadi Presiden Filipina.
Tidak ketinggalan Amitabh Bachan dan MG Ramachandran juga merupakan artis yang menjadi ikon politik di India.
Namun, keterbukaan beberapa artis tempatan sejak kebelakangan ini
yang mengambil bahagian dalam parti politik dilihat sedikit sebanyak
memberi kejutan dan tempias buat pemerhati industri hiburan dan juga
penganalisis politik di Malaysia.
Adakah pembabitan mereka ini (artis) mampu mengubah satu landskap
politik baru untuk Malaysia ataupun penglibatan yang dikatakan hanya
sekadar untuk merintih populariti semata-mata?
Dalam konteks Malaysia sendiri, trend artis berkecimpung dalam
politik sudah bermula sekitar tahun 2000 lagi apabila ketika itu dunia
seni diberitakan tentang penyertaan Erra Fazira dan Erma Fatima dalam
pergerakan Puteri UMNO yang pada ketika itu merupakan sayap baru parti
tersebut.
Trend ini berlanjutan sehinggalah negara dikejutkan dengan penyertaan seorang demi seorang artis ke dalam parti politik.
Antara nama-nama popular antaranya Amy (Search), Jamal Abdillah,
Afdlin Shauki, Zed Zaidi, Bob Lokman, Hairie Othman, Abby Abadi, Zainal
Abidin dan Aishah serta Tan Sri Jins Shamsuddin yang pernah diangkat
menjadi senator.
Aishah terlibat menyertai parti politik pembangkang.
Pasti ada korelasi antara mereka dengan parti politik yang diwakili.
Kalau dahulu pembabitan artis dalam politik hanya dilihat bertujuan
untuk menjayakan mana-mana acara anjuran sesebuah parti politik.
Sekadar memenuhi undangan
Kehadiran mereka sekadar untuk memenuhi undangan mahupun menghiburkan penyokong-penyokong parti.
Golongan itu digunakan oleh parti politik untuk menarik orang ramai
datang ke sesebuah kempen yang dilakukan. Namun, senario itu berubah
apabila artis tidak lagi berperanan menjadi batu loncatan kepada
mana-mana pertubuhan politik bagi menarik perhatian orang ramai
sebaliknya mereka sendiri turut terlibat dalam bidang berkenaan secara
serius.
Bagaimanapun para artis perlu beringat bahawa berpolitik dan menganggotai parti politik merupakan dua subjek yang berbeza.
Sebagaimana bezanya bercakap tentang bola sepak dari kerusi penonton
dengan bermain bola sepak sendiri di tengah padang. Keputusan seseorang
artis itu untuk menyertai mana-mana parti politik pastinya dipengaruhi
banyak faktor.
Perjuangan 'periuk nasi'
Kajian yang telah dijalankan oleh Fakulti Komunikasi & Pengajian
Media, Universiti Teknologi MARA, Melaka baru-baru ini mendapati bahawa
penyertaan artis dalam parti politik mengunjurkan kepada perjuangan
‘periuk nasi’ golongan seni.
Ini membawa kepada satu pendedahan bahawa kebanyakan artis yang aktif
dalam politik rata-ratanya menyatakan pentas politik merupakan satu
platform besar untuk mendendangkan suara dan buah fikiran mereka (artis)
untuk disampaikan dan dikongsi bersama penyokong parti.
Selepas memakai tudung, Abby Abadi aktif melakukan ceramah bersama pakatan rakyat.
Pemikiran ataupun pendapat yang mengatakan pentas politik merupakan
satu platform untuk menyuarakan permasalahan golongan artis atau seniman
perlu disangkal dari kotak fikiran kita.
Ini kerana inti pati penyertaan dalam mana-mana parti politik adalah sangat luas.
Menyertai parti politik bererti bukan sekadar membawa perjuangan
golongan mereka (artis), malah melangkaui nasib dan masa depan agama,
bangsa dan negara.
Bayangkan seandainya Ronald Reegan ataupun Joseph Estrada bercakap
dan memperjuangkan hal seni dan hiburan semata-mata sepanjang tempoh
pemerintahan. Bagaimana perihal pembentukan negara dan hala tuju dasar?
Menyertai parti politik atau beralih dari seorang artis kepada ahli
politik membolehkan seseorang artis itu mendapat hak dan memainkan
peranan sebagai ahli.
Ini bererti mereka layak untuk menjawat jawatan di dalam parti.
Mengamalkan praktik demokrasi sesebuah organisasi, iaitu hak memilih dan
dipilih sebagai seseorang yang berjawatan bagi mengemudi parti. Namun,
sejauh manakah hak dan peranan sebagai ahli parti ini difahami
sepenuhnya oleh artis itu sendiri?
Kita tahu sebagai ahli parti yang berdaftar, seseorang itu mempunyai
ruang untuk menyuarakan pendapat, idea dan usul dalam mesyuarat agung
tahunan.
Kebanyakan parti politik di negara ini menganjurkan mesyuarat agung
tahunan masing-masing secara besar-besaran dan dilihat telus dalam
mengendali apa jua usul.
Liputan media
Mesyuarat agung tahunan sesebuah parti politik pasti mendapat tempat
dan liputan meluas pihak media kerana acara ini mempunyai pengikutnya
yang tersendiri.
Sama ada di kalangan ahli parti, penganalisis politik mahupun
penyokong parti. Artis perlu memahami liku-liku dan sorotan perjalanan
menjadi ahli parti bermula dari proses mengurus dan mentadbir keahlian
politik sehinggalah duduk bersidang di dewan mahupun parlimen bagi
membincangkan perubahan ataupun hala tuju industri yang lebih matang.
Ini bukan sekadar satu plot menyerahkan borang keahlian kepada
pemimpin tertinggi parti dan dihadiri para wartawan untuk merakamkan
gambar yang kemudiannya menjadi satu fenomena di dada akhbar,
televisyen, mahupun medium dalam talian sebagai satu lagi persembahan
yang ingin dipertontonkan kepada masyarakat.
Jins Shamsuddin merupakan artis tempatan yang berjaya dilantik menjadi senator.
Perkongsian ‘karya’ serta pembawaan ideologi berteraskan politik
bukan lah semudah berkongsi gambar profil atau memuat naik status di
laman media baru. Sering kali kita melihat ‘pertelagahan’ antara artis
dan penyokong parti ditimbulkan di laman sosial dalam mempertahankan
ideologi politik masing-masing.
Dangkal ilmu
Hal ini berlanjutan akibat kedangkalan ilmu dan akal politik
sesetengah artis yang dimonopoli pula dengan ketaksuban penyokong parti
tertentu.
Pertembungan idea dan pandangan ini menjadikan industri hiburan dan
politik menjadi cacamarba. Oleh itu, golongan artis perlu mendalami
politik dan politik kepartian terlebih dahulu agar sama-sama dapat
melakukan satu transformasi negara ke tahap lebih maju dan disanjung.
Mereka perlu benar-benar jujur dan ikhlas dalam menggalas tugas
sebagai ahli parti dan bukan lagi masanya untuk terbawa-bawa ‘trend’
yang penuh glamor dan sentiasa mencipta kontroversi.
Artis perlu memahami tujuan berpolitik untuk membangun dan mendukung
dasar-dasar parti atas semangat kesedaran tinggi agar pembangunan negara
bangsa dan hala tuju nasional dapat terlaksana.
Sebaiknya mereka (artis) perlu melengkapkan diri dengan ilmu sains
politik, perang saraf dan komunikasi sebelum menempatkan diri di
tengah-tengah khalayak untuk berbicara dan berkomentar berkaitan politik
semasa agar setiap tutur bicara, idea dan tingkah tidak menjadi bahan
ketawa atau lebih malang menjadi sumber perpecahan bangsa.
* Penulis merupakan Pensyarah, Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media UiTM, Melaka