Isnin, 11 Julai 2011

Hanya Untuk Yang Berakal...!


RENUNGKAN DAN FIKIRKAN...


Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak dan kebebasan kepada rakyat jelata Malaysia untuk bercakap dan bersuara, berhimpun secara aman dan tanpa senjata, serta membentuk persatuan.

Ini membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang demokratik---bukannya penindas rakyat ataupun penyekat kepada hak-hak dan kebebasan mereka.

Bagaimanapun, seluruh hak dan kekebasan ini pastinya mempunyai had dan sekatan yang berpaksikan kepada soal ketenteraman awam dan keselamatan nasional.

Had dan batasan ini diwujudkan selaras dengan sensitiviti, persekitaran serta komposisi rakyat Malaysia yang berbilang latarbelakang. Matlamatnya adalah untuk mengelakkan pertembungan, perbalahan, pertelingkahan dan konflik di kalangan rakyat di negara yang majmuk.

Had dan batasan kebebasan ini juga selaras dengan beberapa peruntukan di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Disember 1948.

Contohnya, Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat menyatakan, setiap individu mempunyai hak kepada kebebasan bersuara dan pendapat.

Tetapi, Perkara 29(2) deklarasi yang sama pula memaktubkan bahawa dalam melaksanakan seluruh hak dan kebebasan, setiap individu adalah tertakluk kepada sekatan-sekatan yang ditentukan oleh undang-undang khusus.

Sekatan-sekatan ini adalah bagi memastikan keperluan-keperluan yang saksama terhadap moraliti, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di dalam suatu masyarakat yang demokratik.

Perkara 29(3) deklarasi berkenaan pula menegaskan bahawa seluruh hak dan kebebasan tidak boleh mencanggahi seluruh matlamat dan prinsip PBB.

Menurut Piagam PBB, antara matlamat dan prinsip PBB adalah pengamalan toleransi dan kehidupan bersama secara aman; bersatu memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa; menghapuskan seluruh ancaman kepada keamanan; pemansuhan tindakan-tindakan ganas; dan bertindak selaras dengan undang-undang antarabangsa untuk meleraikan persengketaan atau lain-lain tindakan yang menjejaskan keamanan.

Perkara 30 deklarasi yang sama pula memaktubkan bahawa tiada peruntukan dalam Deklarasi yang boleh ditafsirkan sebagai menggambarkan sesebuah negara, kumpulan atau individu mempunyai hak untuk melakukan apa-apa kegiatan atau melakukan apa-apa tindakan yang bertujuan untuk menghancurkan seluruh hak dan kebebasan yang termaktub dalam deklarasi.

Huraian di atas membuktikan bahawa kebebasan yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat adalah kebebasan yang terhad, bersyarat, mempunyai batas dan mempunyai sekatan.

Hakikat ini kurang diketahui oleh masyarakat umum. Ini kerana pihak-pihak yang mendakwa diri mereka sebagai juara kebebasan sengaja menyembunyikan fakta-fakta ini supaya masyarakat umum dapat dikelirukan bahawa kebebasan mereka---termasuk kebebasan akhbar, kebebasan bersuara dan kebebasan untuk berhimpun secara aman---adalah kebebasan yang hakiki dan tanpa batas atau sekatan.

Huraian di atas juga membuktikan bahawa nilai-nilai teras yang dititikberatkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan oleh PBB adalah kesusilaan, kesejahteraan, ketenteraman, keamanan, keselamatan, kesaksamaan, toleransi, serta pemeliharaan hak dan kebebasan manusia daripada kemusnahan.

Kesimpulannya, hak dan kebebasan setiap insan manusia, walau di mana mereka berada, waimah di Malaysia, adalah terhad dan terbatas. Had dan batasan ini pula bukan disebabkan pihak yang mengenakan sekatan adalah tidak demokratrik.

Sebaliknya kerana pihak yang mengenakan sekatan adalah bertanggungjawab untuk memelihara serta mempertahankan ketenteraman awam, keselamatan masyarakat, keselamatan nasional dan kelangsungan negara.

Terima kasih Dato Ron...petikan dari Mat UMNO

Lu Fikir La Sendiri!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan