Rabu, 19 Disember 2012

Renungan Maghrib..


Timbang timbang la..supaya kelak tiada anak cucu cicit yang merana atas kesilapan kita masa kini..

KUALA LUMPUR - "Pluralisme adalah suatu ideologi atau fahaman yang mengisbatkan kepelbagaian hakikat, yang semuanya dianggap setara, sama benar, sama sah."
  
Md Asham Ahmad, Felo Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memulakan perbicaraan beliau dengan penulis.
  
"Prinsip ini menganjurkan agar pandangan semua pihak, bangsa atau puak, semuanya mesti diterima sebagai setaraf, tiada yang lebih benar atau kurang benar, kalau kita hendak hidup aman," ujar beliau lagi dalam wawancara dengan Bernama di IKIM baru-baru ini.

SEJARAH PLURALISME

 
Menurut beliau, pluralisme berakar umbi di Eropah rentetan tercetusnya peperangan agama yang berlarutan lebih 100 tahun antara pengikut Protestan dan Katolik pada Zaman Pertengahan.
  
Tambahnya, sejarah tidak bertoleransi terhadap agama di Eropah ini penuh dengan kisah penindasan serta penganiayaan terhadap golongan yang menentang agama Kristian Katolik.
  
Hasilnya lahirlah pergerakan Reformasi dan munculnya fahaman liberalisme, iaitu suatu ideologi sekular yang berusaha membebaskan kehidupan akhlakiah dan politik daripada kawalan agama, yang dianggap sebagai punca kepada segala masalah yang membelenggu pemikiran zaman sebelumnya.
  
Felo kanan IKIM ini menjelaskan, perkara paling asas yang dianjurkan oleh fahaman liberalisme ialah toleransi terhadap pelbagai pandangan, khususnya mengenai agama.
  
"Bagi mereka, berdasarkan pengalaman hidup yang lepas, agama hanya mendatangkan konflik serta pertentangan yang berterusan, dan sampai bila-bilapun tidak akan selesai.
  
"Jalan penyelesaian yang mudah adalah dengan menerima sahaja semua pandangan sebagai sama benar atau sama sah bagi memuaskan hati semua pihak," jelas Md Asham lagi.
 
KONGKONGAN AGAMA
 
Felo kanan IKIM itu mengingatkan bahawa pejuang-pejuang fahaman liberalisme dan pluralisme adalah golongan berfikiran sekular, yang percaya bahawa kehidupan yang lebih baik akan tercapai apabila manusia dibebaskan daripada kongkongan agama.
  
"Bagi mereka satu-satunya jalan ke arah kemajuan ialah dengan membebaskan diri daripada kongkongan agama. Lama kelamaan agama itu akhirnya ditolak sama sekali daripada kehidupan.
  
"Seseorang yang liberal ialah yang berpandangan bahawa agama itu hanya menyebabkan manusia itu berfikiran tertutup, jadi jumud, satu arah sahaja," katanya.
  
Menurut Md Asham, agama kepada tanggapan golongan Liberal, adalah musuh kepada kebebasan dan kemodenan.
 
DUNIA ISLAM
 
Berbeza dengan pengalaman sejarah bangsa Eropah yang membawa kepada kemunculan ideologi Pluralisme dan Liberalisme, Md Asham menjelaskan, orang Islam tidak melalui sejarah yang sama dalam soal kehidupan beragama.
  
Jika pendokong dan pejuang pluralisme dan liberalisme beranggapan agama sebagai pengongkong kebebasan, orang Islam melihat agama Islam sebagai pembebas jiwa dan raga mereka.
  
Bagi mereka agama Islam membuka fikiran dan membebaskan penganutnya daripada kepercayaan tahyul dan karut-marut, kejahilan dan cara hidup purbakala yang menindas manusia.
  
Oleh yang demikian, menurut Md Asham, tidak timbul soal ‘meliberalkan Islam’ dan untuk umat Islam ‘membebaskan’ diri daripada Islam.
  
"Yang kita perlu lakukan ialah membebaskan manusia daripada kejahilan dan kekeliruan yang membelenggu pemikiran dan amalan hidup kita. Amat besar sekali perbezaan antara dasar-dasar agama yang dianjurkan oleh Islam dengan apa yang difahami dalam pengalaman hidup orang Barat. Oleh itu, kita tidak perlulah mengambil masalah mereka dan menjadikannya masalah kita.
  
"Mereka memang bermasalah dengan agama mereka, sedangkan kita pula tidak bermasalah dengan agama kita.
  
"Jika kita tidak faham akan perbezaan asasi yang terkandung dalam sejarah dan falsafah, yang membawa kepada perbezaan kebudayaan dan tamadun ini, maka kita akan menyangka masalah orang lain adalah juga masalah kita dan penyelesaian mereka juga adalah penyelesaian kepada masalah kita," jelas Md Asham.
 
DUNIA TANPA SEMPADAN
 
Mutakhir isu-isu pluralisme dan liberalisme rancak dibincang, diulas dan didebat dalam kalangan masyarakat negara ini.
  
Kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) memungkinkan penyebaran penulisan tentang isu-isu berkaitan, terutama dalam alam siber menerusi blog, facebook, dan pelbagai laman sesawang.
  
Bagi Md Asham, dunia tanpa sempadan yang terhasil dengan kemajuan ICT menjadikan masyarakat lebih terdedah kepada kerencaman pandangan.
  
Tidak menghairankan juga jika ada yang sekadar menjadi 'pak turut' terutama mereka yang mendapat pendidikan di Barat, dan yang terdidik dengan cara berfikir Barat.
  
"Bagi mereka yang baru terdedah kepada isu-isu ini, mereka terasa teruja dan mahu sama menuntut kebebasan itu dan ini.
  
"Tetapi mereka tidak benar-benar faham kebebasan apa yang mereka hendak tuntut. Bebas daripada apa dan untuk buat apa?
  
"Adakah selama ini kita tidak bebas? " soal Felo Kanan IKIM ini.
 
KEBEBASAN ANJURAN BARAT
 
Kebebasan, dalam konteks Barat ialah bebas daripada kongkongan fikiran yang lama kepada fikiran moden.
  
Md Asham menjelaskan bahawa kebebasan acuan Barat ialah kebebasan yang tidak mengenal batas.
   
Bermula dengan kebebasan beragama, membawa kepada kebebasan dari agama (yakni keluar agama). Dalam soal perkahwinan pula, kebebasan yang mereka anjurkan adalah yang tidak mengira perbezaan agama, membawa kepada perkahwinan tanpa mengira jantina (perkahwinan sejenis), dan tidak mustahil kelak perkahwinan berlainan spesis (antara manusia dan haiwan) juga akan dituntut demi kebebasan.
  
"Apabila agama ditolak, prinsip moral, prinsip akhlak itu sendiri tidak ada dasar, tidak ada asas. Maka segala-galanya mungkin, semuanya jadi boleh.
  
"Contohnya, institusi perkahwinan yang asasnya adalah agama, kemudian dirosakkan asas itu. Akibatnya perkahwinan tidak ada lagi justifikasi, dan ramai yang memilih untuk hidup bersama tanpa berkahwin, atas dasar kebebasan.
  
"Bagi yang nak berkahwin pula, terserahlah dia nak kahwin dengan siapa. Tak kira agama. Protestan, Katolik, tidak timbul masalah.
  
"Akhirnya, agama itu sendiri tidak jadi masalah, kamu ada agama, kamu tak ada agama, tak jadi masalah.
  
"Kemudian bertambah longgar, kahwin sesama jenis pun tak mengapa sebab tak ada hukum-hakam. Tak ada peraturan-peraturan tetap," kata Md Asham.
  
Semuanya itu, kata beliau, berlandaskan kepada apa yang mereka fahami sebagai hak asasi manusia. "Semua mesti diberikan hak, hak yang sama. Kita semua manusia dan semua manusia memiliki hak yang sama," tambah beliau.
 
KEMUSNAHAN PERADABAN
 
Masyarakat negara ini berdepan dengan kerancakan pengaruh pluralisme dan liberalisme.
  
Menurut Md Asham, apa yang dilihat berlaku di Barat sewajarnya sudah cukup dijadikan sebagai pengajaran.
  
"Kalau kita berterusan mengikut jejak langkah mereka, lambat laun kita juga akan mengalami apa yang mereka alami sekarang.
  
"Akibatnya musnah sistem kehidupan, peradaban, institusi keluarga dan institusi kemasyarakatan," tegas beliau.
  
Dewasa ini kita menyaksikan berlaku keruntuhan akhlak yang semakin menular dalam masyarakat yang meliputi bukan sahaja generasi muda tetapi juga yang tua.
  
Md Asham melihat keruntuhan akhlak berlaku apabila ia tidak disandarkan kepada asas yang kukuh iaitu agama dan ia juga boleh menjurus kepada keruntuhan tamadun.
  
"Dalam amalan sekarang akhlak itu sudah menjadi hak peribadi semata-mata sedangkan menurut ajaran Islam, tidak ada apa yang boleh dipisahkan daripada agama.
  
"Segala-galanya, hidup dan mati kita, seluruh kehidupan kita dipandukan oleh panduan wahyu, panduan agama, panduan Al Quran dan panduan sunnah Nabi," tegasnya.
 
MUSLIM PERLU PENDIDIKAN SEMULA
 
Sebelum retak menjadi belah, Md Asham berpandangan langkah yang tersusun perlu diambil dalam menangani penularan faham pluralisme dan liberalisme terutama dalam masyarakat Islam.
  
Kemelut yang berpunca daripada kekeliruan pemikiran ini hanya boleh ditangani dengan berkesan melalui kaedah pendidikan yang betul dan terancang.
  
Pendidikan yang dimaksudkan Felo Kanan IKIM ini adalah yang berasaskan kepada akidah dan fardhu ain.
  
"Ilmu fardhu ain perlu diajar dengan betul dan mencukupi bagi menangani persoalan pemikiran semasa supaya orang Islam tidak mudah hilang makna diri.
  
"Ia bukan setakat persoalan akidah, Rukun Iman dan Rukun Islam yang diajar secara sambil lewa sedangkan kita berhadapan dengan serangan pemikiran yang begitu dahsyat dan menyeluruh," kata Md Asham.    
Beliau merujuk kepada pengajaran ilmu fardhu ain yang diterima masyarakat hanya pada peringkat sekolah rendah yang disifatkannya hanya diajar secara sepintas lalu sedangkan ia memerlukan penjelasan lebih lanjut dan mendalam di peringkat pengajian tinggi.
 
Ilmu fardhu ain, katanya, adalah suatu yang bersifat dinamik dan ia bukan hanya layak diajar untuk budak sekolah rendah.
  
Sebaliknya ia perlu diteruskan dan diperkukuhkan sehingga ke peringkat universiti kerana pada peringkat itulah idea-idea asing tentang kebebasan, hak asasi manusia, pluralisme, kepelbagaian budaya, sejarah dan falsafah diajar dan diterapkan tanpa tapisan dan kritikan yang tepat.
  
"Semuanya ini dimasukkan secara halus sedangkan kebanyakan pelajar tidak menyedarinya dan tidak melihatnya sebagai sesuatu yang bercanggah dengan akidah dan pandangan hidup Islam.
  
Md Asham turut menekankan bahawa persoalan yang dibangkitkan ini perlu ditangani menerusi gerak kerja yang terancang dan bukan bersifat emosional.
  
Usaha perlu dibuat untuk memperbetulkan semula kefahaman seluruh umat Islam kerana masalah yang berbangkit bukan sahaja menyentuh masyarakat di negara ini tetapi sudah bersifat global.
  
"Ini soal pembinaan tamadun. Ia tidak mungkin boleh tercapai tanpa pembinaan asas-asas pemikiran.
  
"Hanya dengan cara itu barulah terbina tamadun yang mantap, bukan tamadun yang goyah dan tidak kukuh asasnya dan boleh runtuh bila-bila masa sahaja," tegas beliau.  - Bernama

LU FIKIR LA SENDIRI!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan