Memaparkan catatan dengan label tun m. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tun m. Papar semua catatan

Khamis, 7 Julai 2016

Ucapan Hari Raya Tun M..!


Layan..

RASUAH II

Saya dan isteri saya mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin kepada semua rakyat Malaysia, khususnya kepada pembaca blog ini

1. Dalam Pilihanraya Kecil baru-baru ini ramai daripada pengundi gembira menerima duit, beras dan alatan elektrik. 

2. Mereka tentu tahu mereka telah menerima suapan rasuah. Yang memberi pun tentu tahu mereka melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang dan juga di sisi agama yang mereka anuti.

3. Kerana rasuah inilah, pihak yang menyogok mendapat kemenangan.

4. Kemenangan yang didapati dengan cara tidak halal bukanlah kemenangan yang sebenar. Seperti mana barangan yang dicuri tidak halal diguna atau dimakan, demikian juga kemenangan itu tidak halal.

5. Di dunia ini mereka tidak dapat dihukum kerana mereka sendiri yang berkuasa ke atas proses mendakwa dan menghukum. Tetapi perbuatan tidak mendakwa dan menghukum juga salah dari segi undang-undang duniawi serta agama. Ini juga melipatgandakan kesalahan dan dosa perlakuan mereka. Sogokan yang diberi dan diterima oleh penerima sudah dua kali haram.

6. Punca duit yang disogok juga haram kerana ia didapati dengan cara haram. Mereka yang menerima dengan ini menerima duit tiga kali haram. 

7. Dalam Islam kita diberi hak bertaubat. Tetapi taubat kita hanya diterima Allah s.w.t. jika kita tidak mengulangi perbuatan salah yang telah kita lakukan. Mereka yang menunggu-nunggu untuk sogokan dimasa hadapan harus ingat pesanan dalam Al Quran berkenaan bertaubat.

8. Rasuah adalah suatu jenayah yang keji dan kotor. Ia merosakkan masyarakat, menindas yang miskin, menghalang kemajuan dan kesejahteraan, melemahkan dan mempermudahkan penjajahan oleh bangsa lain.

9. Mereka yang cuba menghalalkan rasuah tetap termasuk dalam golongan penjenayah yang berdosa. Lebih buruk lagi ialah mereka yang tahu akan larangan agama terhadap rasuah namun mereka cuba halalkan rasuah. Dosa mereka tentu berlipatganda jika kerana mereka dakwa bahawa rasuah itu halal maka orang lain akan menerima rasuah.

10. Amatlah menyedihkan apabila didapati yang teramai dari orang yang menyuap dan memakan rasuah ialah orang Islam. Sebabnya ialah kerana tidak ada tekanan oleh mereka yang bertanggungjawab mendidik akan haramnya rasuah dan pentingnya ia ditolak. Justeru itu ia tidak termasuk dalam nilai hidup yang dipegang sebagai sebahagian dari budaya orang Islam Malaysia sekurang-kurangnya.

11. Harapan masyarakat kepada undang-undang mencegah rasuah tidak mungkin berjaya sepenuhnya. Undang-undang melarang mencuri mungkin mengurangkan jenayah ini tetapi tidak menghapus pencurian. Sudah tentu jika mereka yang dipertanggungjawab menguatkuasa undang-undang pencegahan rasuah, mereka sendiri mengamal rasuah, maka undang-undang tidak bermakna lagi. Lebih buruk lagi ialah apabila undang-undang mencegah rasuah diguna untuk tujuan lain, untuk politik umpamanya. Rasuah sejuta dikena tindakan, rasuah berbillion dihalalkan.

12. Sebenarnya penolakan rasuah sebagai satu budaya dan nilai hidup sahaja yang boleh mengurangkan perlakuan rasuah. Benar rasuah terdapat dimana-mana sahaja. Tetapi ia amat berkurangan jika budaya masyarakat atau bangsa itu memandang keji dan menolak rasuah.

13. Untuk ini orang atasan khususnya pemimpin hendaklah menunjuk teladan yang baik. Lebih-lebih lagi pemimpin perlu tentukan pendidik memberi tekanan dalam mendidik pelajar dari peringkat tadika sehingga ke sekolah. 

14. Sesungguhnya negara ini sedang menuju kehancuran kerana rasuah diperguna secara meluas untuk menguasai segala-galanya.


Lu Fikir La Sendiri!!!

Rabu, 29 Jun 2016

RASUAH TETAP RASUAH..!


Agama dan budaya bangsa tetap melarangnya..!

1. Rasuah adalah suatu jenayah yang dipandang keji dan kotor oleh semua masyarakat manusia. Ia dianggap lebih kotor dari mencuri. Sebabnya ialah kerana sementara mencuri dilakukan terhadap orang yang berada, tetapi rasuah menyasar orang miskin dan daif. Nasib mereka yang miskin ini menjadi lebih buruk kerana terpaksa menyuap rasuah. Masyarakat dan negara yang miskin tidak dapat dimajukan kerana rasuah meningkat kos dan melewat keputusan dan pelaksanaan. 

2. Ada pihak yang cuba menghalalkan rasuah dengan mendakwa jika wang yang diterima diguna bukan untuk tujuan sogokan dibuat, maka ia tidak menjadi rasuah. Ia tidak menjadi jenayah sebaliknya ia menjadi halal. Oleh itu terimalah sogokan rasuah kerana ia tidak menjadi jenayah dan ia halal jika tidak laksana tujuan rasuah diberi.

3. Walaupun wang sogokan tidak diguna untuk tujuannya, tetapi wang atau pemberian rasuah masih menjadi jenayah dan ia tidak boleh dihalalkan. Pegawai tinggi yang menerima 100 juta Ringgit rasuah akan dikenakan tindakan samada dia tunai atau tidak tunai tujuan rasuah yang diberi kepadanya.

4. Ada yang berkata rasuah tidak termasuk dalam jenayah hudud. Ia tidak akan dihukum di dunia. Ia hanya akan dihukum di akhirat.

5. Pendapat ini seolah-olah memperkecilkan hukum akhirat dan menggalakkan amalan rasuah kerana tidak akan dihukum di dunia. 

6. Pendapat seperti inilah yang merosakkan moral masyarakat manusia dan menghalang proses kearah bertamaddun. Masyarakat ini tidak akan dipercayai kerana moralnya rendah.

7. Dalam PRK baru-baru ini parti pemerintah menghulur duit, beras dan barangan elektrik sebagai cara sogokan untuk mendapat undi.

8. Penerima pula disuruh bersumpah ‘Wallahi, Wabillahi, Watallahi’, supaya mengundi parti yang sogok mereka. Jika mereka tidak undi seperti sumpahan mereka, maka segala pemberian itu adalah haram dimakan atau diguna oleh mereka.

9. Ramai yang terima bahawa sumpah mereka apabila ditunai maka penerimaan mereka menjadi halal.

10. Sebenarnya pemberian kepada mereka adalah haram kerana ia adalah sogokan rasuah. Rasuah tetap rasuah dan tidak halal bagi pemberi dan penerima. Tidak melaksana tujuan rasuah tidak akan menghalalkan rasuah. Balasan di dunia mungkin tidak berlaku kerana yang menghulur rasuah adalah juga mereka yang dipertanggungjawab mengawal rasuah. Pihak mereka ini lebih berdosa kerana sengaja tidak melaksanakan tanggungjawab mereka mencegah rasuah, sebaliknya merekalah yang melakukan rasuah.

11. Ada juga mereka yang berpendapat bahawa jika duit rasuah yang mereka terima diguna untuk kebajikan atau ibadat, maka mereka terlepas daripada membuat kesalahan bahkan mendapat pahala. Pendapat ini datang dari orang yang ingin menyedapkan hati mereka.

12. Sebenarnya wang hasil pencurian atau rasuah tetap haram. Kebajikan atau ibadat yang dibuat tidak akan halalkan wang yang haram.

13. Ramailah yang sedia terima wang untuk buat ibadat haji dan umrah tanpa bertanya dari mana datang wang yang mereka terima. Kita tidak dipaksa oleh agama untuk buat kerja haji jika kita tidak mampu. Kita tidak dipaksa curi dan samun atau melakukan jenayah rasuah supaya dapat menunaikan ibadat haji.

14. Tetapi ada pendapat bahawa ibadat ini, walaupun dari punca kewangan yang tidak halal, maka mereka sudah penuhi rukun kelima ini dan yang menghadiahkan belanja haji, terlepas dari dosa rasuah.

15. Agama Islam memberi kelonggaran tentulah kerana tidak hendak membebankan umat Islam sehingga mereka terpaksa berjenayah untuk membiayai perlaksanaan ibadat ini.

16. Tidak ada dalam Al Quran atau Hadith yang sahih yang menyuruh orang Islam mengamalkan rasuah atau menyamun atau mencuri supaya dapat buat kebajikan dan ibadat.

17. Yang menyebabkan adanya orang yang cuba menghalalkan rasuah, matlamat mereka ialah kerana kepentingan duniawi seperti umpamanya politik. Dalam masyarakat yang menghalalkan rasuah, yang berkuasa dan kaya boleh menindas yang miskin. Ini adalah oleh kerana segala urusan pentadbiran akan menanggung kos rasuah. Keselamatan rakyat juga akan terabai kerana sebahagian dari dana pemerintah akan diselewengkan. Pihak berkuasa akan menipu rakyat sepanjang masa.

18. Inilah sebabnya mereka yang berhajat menyalahguna kuasa Kerajaan sanggup menghulur rasuah daripada duit yang didapati secara halal atau tidak halal atau mempergunakan duit Kerajaan dengan cara yang salah. Bagi mereka ini rasuah yang dihulurkan dalam pilihanraya adalah satu pelaburan yang akan hasilkan pendapatan yang tinggi dan kuasa yang berterusan untuk menerima rasuah lagi.

19. Ingatlah, wahai pemberi dan penerima rasuah bahawa walaupun terlepas dari hukum di dunia tetapi di akhirat sogokan rasuah tidak akan menyelamatkan mereka dari api neraka.

Mana pergi mufti dan para ulamak? apakah semuanya dah tersampok? apakah semuanya dah kena penyakit cinta dunia?

Cinta buta..! cinta pemimpin buta..!

Jahanam..!

Lu Fikir La Sendiri!!!

Rabu, 8 Jun 2016

Kebebasan Bersuara..!


Ada lagi ke?

KEBEBASAN BERSUARA.

1.Pengasas negara Malaysia merdeka memilih sistem demokrasi kerana rakyatlah yang berjaya mempengaruhi dan menyokong Raja untuk menolak Malayan Union rancangan British. Rakyat dalam demokrasi diberi hak dan kuasa memilih pemimpin untuk mengetuai pentadbiran negara. Bersama dengan hak ini datang juga hak untuk menukar pemimpin jika pemimpin sudah tidak layak lagi menjadi pemimpin. Penukaran ini boleh dibuat semasa pilihanraya umum atau diwaktu mana pemimpin didapati sudah tidak lagi sesuai.

2.Dalam negara demokratik suara rakyat penting bagi pemimpin mengetahui kehendak mereka. Oleh itu kebebasan bersuara menjadi satu dari hak utama dalam demokrasi. Jika syarat ini tidak dipatuhi maka bukan sahaja demokrasi menjadi cacat tetapi ianya tidak wujud.

3.Negara Malaysia dibawah Najib sudah tidak lagi mengamal prinsip kebebasan bersuara. Memanglah sekatan terhadap memburuk hubungan antara kaum di negara berbilang bangsa ini diperlukan. Semua negara demokratik mengamalkan sekatan tertentu bagi mengelak rusuhan. Tetapi ia tidak termasuk pemerintah mengurang atau menghapus hak rakyat mengkritik pemerintah apabila pemerintah melanggar undang-undang.

4.Hari ini kita lihat hak rakyat bersuara diganggu secara terbuka. Media cetak dan elektronik dikuasai penuh oleh Najib dan tidak lagi lapor yang benar. Maklumat diputar sehingga tidak lagi mencerminkan fakta yang sebenar. Sekatan terhadap media alternatif juga dicuba.

5.Walaupun dahulu kebebasan dialami oleh ahli parti UMNO untuk mencabar Presiden, bahkan bertanding merebut jawatan presiden, hari ini jika Presiden disoal atau ditegur, yang menegur akan dibuang dari parti, atau dilucut dari jawatan dalam parti. Dengan itu ahli parti takut dan membiar presiden membuat perkara yang tidak baik.

6.Katanya ada dedak yang disumbat kedalam mulut ahli-ahli parti supaya mereka menjadi bisu. Ada ahli parti yang mengaku menerima sogokan sebanyak satu dan dua juta Ringgit dan mereka pun menutup mulut terhadap jenayah yang jelas berlaku. Mereka mengia apa sahaja. Sesungguhnya mereka bukan lagi wakil rakyat yang memilih mereka, tetapi sudah jadi orang suruhan Najib. Dasar dan perjuangan parti tidak lagi menjadi tanggungjawab mereka.

7.Demikian juga dengan Ketua-Ketua Bahagian UMNO. Mereka sudah tidak ada suara lagi setelah melihat seorang Naib Ketua Bahagian yang menegur Presiden dipanggil oleh polis, disoal, dimasuk dalam tahanan dan dihadapkan ke mahkamah.

8.Walau apa pun kesalahan yang dilakukan oleh Najib, walaupun duit Kerajaan berbillion Ringgi dihilangkan, walaupun Najib tiba-tiba memiliki berbillion Ringgit dalam akaun peribadinya yang tidak dapat dijelas puncanya; wakil rakyat BN, Ketua-Ketua Bahagian UMNO membisu.

9.Dalam mesyuarat agung UMNO perwakilan tidak dibenar bercakap berkenaan dengan 1MDB dan 2.6 billion Ringgit dalam akaun peribadi Najib.

10.Apabila beberapa pemimpin cawangan menyoal dan menegur Najib kerana 1MDB, 2.6 billion Ringgit dalam akaunnya dan penglibatan Jho Low dan syarikat Good Star Ltd dalam pengurusan wang 1MDB sehingga ratusan juta dollar Amerika hilang, maka Ketua-Ketua Cawangan dipecat.

11.Biasanya apabila pemimpin menyeleweng, Perlembagaan negara memberi hak kepada wakil rakyat membuat undi tidak percaya dalam Dewan. Tetapi kerana dedak dan berbagai jenis tekanan, selain dari dua orang ahli UMNO, ahli-ahli UMNO yang lain dan BN tidak berani menyokong usul tidak percaya jika diusulkan.

12.Rakyat kehilangan suara secara menyeluruh. Semua peruntukan dalam Perlembagaan dan undang-undang berkenaan kebebasan bersuara sudah dibatalkan. Melapor kepada polis berkenaan jenayah yang dilakukan oleh pemimpin juga bukan sahaja tidak berkesan tetapi yang melapor sendiri dimasuk dalam tahanan.

13.Sekarang ini rakyat cuba untuk merayu kepada Yang diPertuan Agong melalui Deklarasi Rakyat. Memang tidak ada peruntukkan dalam Perlembagaan bagi rakyat merayu kepada Raja-Raja. Tetapi oleh kerana semua jalan lain untuk memperdengarkan rintihan mereka sudah dihapuskan, maka terpaksalah mereka mengguna cara rayuan kepada Raja. Najib juga tidak patuh kepada Perlembagaan, undang-undang serta prinsip-prinsip demokrasi berkenaan hak bersuara oleh rakyat.

14.Ugutan juga dibuat untuk merampas paspot jika semasa berada diluar negara, kenyataan dibuat kepada media asing berkenaan salahlaku pemerintahan Najib.

15.Sudah lebih sejuta rakyat menandatangani Deklarasi Rakyat untuk selamatkan Malaysia, walaupun kedengaran ada amaran diberi oleh Kerajaan Najib bahawa sesiapa yang menandatangani Deklarasi Rakyat akan kehilangan bantuan BRIM, biasiswa anak, peluang perniagaan, lesen dan semua kemudahan hak rakyat. Peniaga akan digeledah oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri, tidak akan dapat kontrak, urusan dengan pejabat terganggu dan lain-lain ugutan.

16.Sekarang ada penyokong Najib yang memperlekehkan Deklarasi Rakyat, kononnya ada banyak penipuan. Ia mendesak polis supaya merampas Deklarasi yang berada dengan sekretariat. Harapannya ialah supaya polis dapat kenalpasti mereka-mereka yang telah tandatangan Deklarasi tersebut dan akan dapat mengugut mereka.

17.Sebenarnya memang ramai yang tidak sanggup tandatangan Deklarasi kerana rejim Najib akan ugut dan ganggu mereka. Jika tidak ada gangguan dan ugutan ini lebih ramai rakyat yang akan tandatangani Deklarasi Rakyat. Sebenarnya berjuta rakyat bersetuju supaya Najib berhenti dari menjadi Perdana Menteri. Tetapi mereka takut tindakan rejim Najib.

18.Penyokong Najib ini ialah pengkhianat bangsa dan demokrasi yang tidak senang kerana rakyat bersuara. Kononnya ia dari parti pembangkang yang bermusuh dengan kerajaan Najib. Tetapi sebenarnya ia adalah penyokong tersembunyi Najib yang ingin selamatkan Najib.

19.Usaha untuk mendapat Deklarasi Rakyat akan diteruskan. Saya percaya ramai rakyat Malaysia berani bersuara.

20.Pengkhianat bangsa dan demokrasi tidak akan berjaya walaupun mendapat perlindungan Najib.

Berani kerana benar..!

Kertas takkan mampu membungkus api..!

Lu FIkir La Sendiri!!!

Khamis, 2 Jun 2016

Raja Raja Akan Memberhentikan Penyelewengan..!


Semoga rakyat dan negara akan terus dipelihara..! 

Layan..

DEKLARASI RAKYAT ‘

1. Malaysia adalah sebuah negara yang mengamal sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

2. Negara ini mempunyai perlembagaan tertulis dan undang-undang untuk melindungi rakyat daripada perbuatan jenayah dan penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan.

3. Malangnya kita sedang melihat Perlembagaan dan undang-undang negara diabaikan atau pun dicabuli. Kaedah untuk mendapat keadilan menerusi perlembagaan, iaitu membuat laporan kepada polis dan undi tidak percaya untuk menyingkir pemimpin kini tiada lagi wujud.

4. Pemisahan kuasa di antara Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman tidak dihormati lagi. Perdana Menteri seolah-olah mempunyai kuasa ke atas ketiga-tiganya. Akibatnya, beliau seolah-olah kebal dari segala undang-undang negara.

5. Dia menciptakan dana kekayaan negara (national wealth fund) dari wang yang dipinjam.

6. Sekarang Kerajaan sedang menanggung hutang yang berjumlah RM50 bilion.

7. 1MDB tidak dapat membayar faedah dua bilion dolar atas pinjaman.

8. 1MDB mungkir membuat pembayaran atas hutang yang lain. 1MDB melabur satu bilion dolar dalam syarikat usahasama dengan Petro Saudi, kononnya untuk mengeksploitasi konsesi minyak dan gas di Argentina dan Turkmenistan.

9. Usahasama tersebut telah dibubarkan kerana tidak ada minyak atau gas untuk dikeluarkan.

10. Saham USD1 bilion dalam usahasama tersebut telah dipinjamkan atau dijual kepada Petro Saudi dengan harga 1.2 bilion.

11. Lebih banyak wang lagi telah dipinjamkan kepada Petro Saudi.

12. Ke mana wang itu telah pergi tidak diketahui.

13. Lebih daripada USD2 bilion telah dilaburkan di Kepulauan Cayman.

14. Wang itu dikatakan telah dibawa balik dan didepositkan di sebuah bank Singapura.

15. Bank Singapura itu menafikan bahawa wang telah didepositkan dengannya oleh 1MDB.

16. 1MDB kemudianya mendakwa ianya bukan wang, tetapi unit. Unit apa?

17. Tiba-tiba Najib dilaporkan mempunyai USD681 juta (bersamaan dengan RM2.6 bilion) di dalam akaun peribadinya di Ambank.

18. Beliau mendakwa ia adalah sumbangan tetapi tidak dapat menunjukkan sebarang dokumen yang boleh dipercayai untuk membuktikannya.

19. Beliau telah membelanjakan sebahagian daripada wang yang dipegang dalam akaunnya itu untuk kegunaan peribadi.

20. Tiada rekod menunjukkan beliau membelanjakan untuk UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-13 sepertimana yang beliau mendakwa.

21. Laporan oleh Bank Negara bagi akaun ini nampaknya telah diketepikan oleh Peguam Negara yang baru dilantik.

22. Terdapat banyak lagi perkara-perkara yang dilakukan oleh Najib yang memerlukan siasatan oleh pihak polis bersama-sama dengan agensi-agensi lain di bawah undang-undang.

23. Segala siasatan ini tidak dapat dilakukan kerana dihentikan oleh Najib sebagai Perdana Menteri.

24. Malah semua saluran untuk mencari penyelesaian kini tidak ada kepada rakyat Malaysia.

25. Ini adalah keadaan yang luar biasa dan jalan penyelesaian perlu dibuat melalui cara yang luar biasa jua.

26. Jesteru, Deklarasi Rakyat untuk menyelamatkan Malaysia dan rayuan kepada Raja-Raja untuk bercampur tangan.

27. Walaupun tidak ada peruntukan untuk Raja-Raja bercampur tangan, namun terdapat cara dan kaedah untuk Raja-Raja menyelamatkan negara ini dari segala penyalahgunaan kuasa oleh Perdana Menteri Najib.

28. Rakyat mengharapkan Raja-Raja untuk menyelamatkan Malaysia.

29. Saya yakin Raja-Raja tidak akan mengecewakan mereka.


Lu Fikir La Sendiri!!!

Sabtu, 16 April 2016

Jejak Bertapak Tapak..!


Duit kalau dah berlambak lambak..!

JEJAK WANG – Laluan “Wang itu Raja”

Wang, sejumlah wang yang besar tidak boleh dialihkan tanpa meninggalkan jejak.

2. Begitu juga dengan RM2.6 bilion (atau USD681 juta) yang Wall Street Journal melaporkan berada di dalam akaun rahsia peribadi milik Datuk Seri Najib di Ambank.

3. Reaksi pertama Najib ialah menafikannya tetapi kemudian, beliau mengaku mempunyai jumlah wang tersebut di dalam akaun rahsia peribadi beliau. Orang ramai mengesyaki ianya daripada 1MDB. Ini maknanya pencurian. Najib perlu membuat penjelasan. Beliau mendakwa ianya adalah hadiah. Orang ramai hanya ketawa. Selepas itu, ianya suatu derma daripada orang Arab yang mahukan beliau memenangi Pilihanraya 2013. Orang Arab, kononnya menyangka beliau merupakan pemimpin Islam yang baik dan mesti terus menjadi Perdana Menteri Malaysia.

4. Bagi mengesahkan perkara ini, Timbalan Perdana Menteri yang baru dilantik menyatakan beliau pernah berjumpa orang Arab itu.

5. Tetapi, siapa orang Arab yang dijumpainya? Tiada nama. Orang yang tidak diketahui. Wang tunai USD681 juta bukanlah sesuatu yang boleh dimilik sesiapa sahaja atau didermakan sewenangnya. Penderma mestilah seorang yang sangat kaya. Orang kaya boleh menjadi kaya melalui warisan atau melalui perniagaan.

6. Dari mana beliau mendapat wang sebanyak itu? Perniagaan? Tiada yang diketahui mengenai ahli perniagaan yang sangat berjaya ini, walau pun dalam dunia minyak dan gas. Siapakah pengurus bank beliau? Semestinya ada seorang pengurus bank atau beberapa bank. Anda tidak boleh menyimpan USD681 juta di bawah bantal anda. Sedangkan bank-bank pun tidak mempunyai sejumlah wang yang besar ini di dalam bilik peti kebal mereka.

7. Wang tersebut selalunya adalah dalam bentuk catatan buku kira-kira bank tersebut sahaja. Pembayaran adalah melalui cek atau pemindahan elektronik. Tiada sesiapa yang melihat catatan kira-kira di dalam buku bank, atau keratan cek ataupun cek-cek yang dipersembahkan kepada bank.

8. Adakan Ambank menerima wang tunai berjumlah USD 681 juta atau RM2.6 bilion? Atau adakah ianya cek atau melalaui pemindahan elektronik? Walau apapun, ianya perlu dimasukkan di dalam catatan kira-kira bank tersebut. Bank tersebut perlu menyerahkan akaun ini untuk pengauditan dalaman dan luaran. Kerana jumlahnya besar, laporan perlu dibuat kepada Bank Negara untuk mendapat kelulusan. Ini bagi memastikan wang tersebut daripada sumber yang sah dan bukannya daripada wang haram.

9. Hari ini kita risau mengenai pelaburan wang haram (money laundering). Jika anda menyimpan atau keluarkan jumlah wang melebihi RM50,000, anda mesti mendapat kebenaran daripada Bank Negara. Bagi RM2.6 bilion yang didepositkan di dalam sebuah bank Malaysia, banyak soalan perlu diajukan oleh Bank Negara mengenai asal usulnya, pemilikan dan pindahan wang. Bank Negara kemudiannya akan membuat laporan kepada Peguam Negara. Kita tidak tahu kandungan laporan itu. Tetapi, Peguam Negara menolak laporan tersebut. Najib tidak bersalah daripada sebarang kesalahan, kata Peguam Negara. Hanya kata-kata Peguam Negara. Tiada bukti yang didokumenkan. Rakyat Malaysia tidak mempercayai Peguam Negara lagi.

10. Kemudiannya, cukai pendapatan yang perlu dibayar oleh pemilik wang tersebut. Jika tiada cukai yang perlu dibayar, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) harus memberi kenyataan bahwa wang tersebut tidak dikenakan cukai. Tiada pengesahan daripada LHDN.

11. Sementara itu, penderma telah bertambah daripada seorang warga Arab kepada dua orang. Dikatanya pula ianya daripada seorang putera Saudi. Dan, akhirnya, dikatakan arwah Raja Saudi yang menderma wang itu.
12. Kini, seorang Menteri Saudi menyangkal adanya sebarang rekod yang menunjuk USD681 juta itu adalah suatu hadiah. Dia mendakwa ianya adalah suatu pelaburan. Jika pelaburan, dia berfikir bahawa jumlahnya tidak sebesar itu.

13. Peguam Negara kemudiannya mendakwa bahawa USD681 juta sudah dikembalikan kepada Saudi pada tahun 2013. Secara tepatnya, bila? Apa buktinya?Sebelum ini, wang tersebut dikatakan telah dipindahkan daripada Ambank ke bank-bank Singapura dan kerajaan Singapura telah membekunya. Jadi, bagaimana Najib boleh mengembalikan wang tersebut jika ianya telah dibekukan. Bank-bank mana yang terlibat? Apa buktinya bahawa wang tersebut telah dibekukan? Berapa jumlah?

14. Untuk berapa lama sesebuah Kerajaan boleh membekukan sesuatu akaun? Pembekuan adalah untuk membolehkan Monetary Authority of Singapore menyiasat kemungkinan wang itu adalah haram. Kita tidak mendengar apa-apa daripada Singapura.

15. Jadi, di mana wang itu sekarang? Adakan ianya di dalam bank-bank Singapura, beku keras? Atau, adakah ianya berada dengan orang Saudi? Adakah ianya Kerajaan Saudi atau putera Saudi atau individu-individu? Adakah ianya telah dikembalikan kepada penderma itu? Apa buktinya? Adakah ianya terkandung di dalam laporan Bank Negara atau Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia? Tiada bukti. Hanya kata-kata Peguam Negara. Maaf, saya tidak percaya kepada Peguam Negara.

16. Sekarang, Peguam Negara Switzerland mendakwa ianya bukan RM2.6 bilion tetapi RM4.0 bilion yang berada dalam akaun Najib. Peguam Negara Switzerland meminta kerjasama Peguam Negara Malaysia. Serta-merta Peguam Negara Malaysia menyatakan bahawa ianya bukan mengenai USD681 juta di dalam akaun peribadi Najib. Tiada apa yang salah di situ.

17. Tetapi, beliau sendiri yang menolak laporan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia kerana bukti yang tidak mencukupi. Jika ianya tidak cukup, tidakkah seharusnya penyiasatan lebih lanjut perlu dilaksanakan sehingga bukti cukup.

18. Namun, Apandi melangkaui bidang kuasanya dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia untuk menghentikan menyiasat wang RM2.6 bilion (USD681 juta) dalam akaun peribadi Najib di Ambank. Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia adalan institusi bebas. Perdana Menteri sendiri tidak boleh menghentikan siasatan. Tetapi, jelaslah, Apandi takut jika lebih banyak bukti akan dijumpai.

19. Dan sekarang beliau ingin menguatkan Akta Rahsia Rasmi supaya beliau boleh memenjarakan pembocor seumur hidup. Kenapa? Adakah kerana beliau menyembunyikan bukti? Apakah pula peruntukan undang-undang mengenai orang yang menyembunyikan bukti mengenai jenayah?

20. Undang-undang bukanlah digubal untuk menyembunyikan jenayah. Undang-undang digubal untuk menghalang jenayah dan menghukum penjenayah. Adakah kemungkinan cubaan beliau untuk menghalang Peguam Negara Switzerland mendapat laporan-laporan berkenaan berpunca daripada keinginannya untuk menyembunyikan bukti? Ini mungkin adalah satu tindakan jenayah.

21. Najib mendapat sokongan kuat daripada ketua-ketua bahagian UMNO, Ahli-Ahli Parliament UMNO dan menteri-menteri Kabinet beliau. Mereka sedia untuk menerima hakikat wang berbilion yang dimiliki di dalam akaun peribadinya seperti perkara biasa.

22. Apabila beliau cuba untuk menerangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO bagaimana beliau memperolehi sebegitu banyak wang and mengapa beliau tidak memberitahu UMNO, seorang ahli majlis berkata tidak perlu untuk beliau menerangkannya. Hanya beri RM5 juta kepadanya pada pilihanraya akan datang dan beliau akan menang. Sama ada wang tersebut dicuri atau tidak, ianya tidak penting kepada ahli-ahli tertinggi UMNO. Mereka seolah-olah bersedia untuk menerima wang yang dicuri. Adakah boleh kita mempercayai orang-orang sebegini untuk mentadbir Malaysia?

23. Wang tidak boleh disembunyikan. Beberapa ribu Ringgit wang tunai boleh disembunyikan tetapi bukannya berbilion Ringgit. Jika anda menyimpan sebegitu banyak wang di dalam bank, ramai orang perlu menguruskannya and akaun-akaun itu akan diketahui. Tetapi, rahsia pembankan bererti mereka tidak akan memberitahu apa yang mereka tahu.

24. Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia tidak bergigi dan tidak berguna jika mereka tidak boleh memperolehi informasi kerana rahsia pembankan. Saya rasa mereka tidak tertakluk kepada akta rahsia pembankan. Jika betul, lupakanlah sahaja mengenai membanteras rasuah. Sebaliknya kita menghalalkan sahaja rasuah.


Kalau dunia ni boleh dibeli...lama agaknya dah beli..! Tapi akhirat mana mahu lari???

Lu Fikir La Sendiri!!!

Rabu, 30 Mac 2016

Kami Tak Makan Dedak ~ Tun M..!


Kata baling gelas pun tak pecah..! bergabung pula dengan seorang lagi lelaki cina tua..! kedua duanya tua..! tentu tak pecah gelas..! apa yang nak di takutkan?

KIT SIANG & MAHATHIR

1. Saya diberitahu bahawa ramai ahli dan pemimpin bawahan UMNO marah kerana saya berada bersama Kit Siang dalam usaha menjatuhkan Dato Seri Najib.

2. Ya, ini memang pelik dan aneh. Kami adalah musuh ketat. Tetapi kami berdua mempunyai pendirian yang sama berkenaan penyingkiran Najib sebagai Perdana Menteri.

3. Sepatutnya penyingkiran ini dibuat oleh UMNO. Dalam pertandingan antara saya dengan Tengku Razaleigh ahli dan pemimpin UMNO secara terang boleh memihak kepada Tengku Razaleigh. Saya tidak menakutkan mereka, tidak membuang mereka dari jawatan atau parti. Yang Menteri terus jadi Menteri, demikian juga Ketua Bahagian dan perwakilan.

4. Tetapi hari ini kebanyakan ahli dan pemimpin UMNO sudah jadi bisu, pekak dan buta. Mereka tahu kesalahan Najib tetapi mereka sokong juga Najib. Walau apa pun kesalahan yang dilakukan oleh Najib mereka tetap sokong.

5. Mungkin kerana dedak yang disuap oleh Najib. Shahrir mengaku dia terima 1 juta dan Ahmad Maslan 2 juta (laporan di sini). Takkan yang lain tidak dapat habuan.

6. Kerana kepentingan diri dan tamak UMNO tidak akan menjatuhkan Najib. Kerana kepentingan diri, bangsa, negara dan agama juga sanggup dijual. Tidak ada ahli UMNO selain daripada beberapa Ketua Cawangan yang berani menentang Najib. Kalau nak harap UMNO jatuhkan Najib, tidak mungkin.

7. Ini bukan UMNO lagi. Janganlah berlagak sebagai ahli UMNO yang kononnya tidak sanggup melihat saya bersama Kit Siang. Yang tidak sayang UMNO ialah kamu sekalian, kamu yang membisu, kamu yang pekak dan buta kerana semua anggota ini sudah ditutup dengan dedak dan lain-lain.

8. Jangan soal saya. Soal diri sendiri. Apakah kamu berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair apabila kamu melindungi perbuatan Najib menghilangkan duit rakyat dan sekarang menjual tanah yang dibeli dari Kerajaan berharga RM60/- satu kaki persegi dan dijual kepada Tabung Haji dengan harga RM3,500/- satu kaki persegi, mengenakan cukai G.S.T. keatas rakyat dan menghapuskan subsidi untuk bayar hutang 1MDB sebanyak 42 billion Ringgit, memiliki 2.6 billion Ringgit dalam akaun peribadi yang disembunyi daripada rakyat, kononnya untuk PRU 13 tetapi, kononnya belanja lebih dari 1 billion Ringgit untuk PRU 13 tetapi kemudian hantar balik kepada penderma 2.03 billion. Tak masuk akal 2.6 tolak 2.03 tinggal berapa? Dari mana datang 1 billion lebih yang kononnya dibelanja untuk PRU 13. Perbelanjaan yang begini banyak menyalahi undang-undang.

9. Najib memalukan negara kerana Malaysia sekarang dikenali sebagai 1 dari 10 negara yang mengamal rasuah terbesar. Najib sendiri dicemuh diseluruh dunia. Inilah pemimpin yang awak sokong dan pertahan. Ini adalah pengkhianatan terhadap UMNO, terhadap orang Melayu, terhadap negara.

10. Rakyat lebih benci melihat ahli UMNO yang menyokong Najib daripada ahli UMNO berada diatas pentas bersama Kit Siang untuk menjatuhkan Najib.

11. Kami tak makan dedak sesiapa.


Faham..!

Lu Fikir La Sendiri!!!

Jumaat, 25 Mac 2016

Apabila Negarawan Menggorak Langkah..!


Baca dan fahamkan..!

Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa beliau secara peribadi terjejas dengan dakwaan proses hukum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam penyata tuntutan 37 muka surat itu, beliau dan dua lagi pihak lain yang memfailkan sama ke atas perdana menteri, Mahathir berkata siasatan polis terhadapnya dan penyingkirannya sebagai penasihat Petronas adalah contoh penyalahgunaan itu.
Mahathir berkata, beliau secara terbuka mengisytiharkan penarikan balik sokongannya kepada Najib dan membidas perdana menteri kerana “penyalahgunaan proses hukum” semasa perhimpunan BERSIH 4, tahun lalu.
“Berikutan itu, saya telah disoal-siasat oleh polis pada 6 November, di mana polis turut mengesahkan bahawa saya pada ketika itu sememangnya disiasat atas tuduhan kononnya mengeluarkan kenyataan yang bersifat fitnah ketika kehadirannya dalam perhimpunan BERSIH 4.0.
“Saya juga sering dan berterusan menulis di weblognya di www.chedet.cc di mana saya menyuarakan teguran dan bidasan terhadap salah laku Najib dalam isu 1MDB dan skandal-skandal berkaitan, termasuklah pemberhentian mengejut dan mendadak Peguam Negara pada ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail dan perlantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai penggantinya.
“Dalam satu tulisan, saya menyatakan bahawa Apandi tiada kredibiliti bagi melepaskan Najib daripada sebarang tuduhan jenayah dan salah laku yang timbul daripada siasatan terhadap salah laku jenayah berkaitan RM2.6 bilion dan jumlah-jumlah lain daripada SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun-akaun peribadi bank Najib Razak,” katanya.
Semenjak itu, Mahathir berkata, beliau sekali lagi dituduh memfitnah Apandi dan diambil keterangan oleh polis pada 24 Februari lalu.
Mengenai Petronas, beliau memetik keputusan kabinet untuk menyingkirkannya dari jawatan itu.
“Pada 11 Mac lalu, Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan suatu kenyataan bahawa memandangkan saya kini tidak lagi menyokong pentadbiran kerajaan yang memerintah kini, maka kabinet sebulat-suara memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan saya sebagai penasihat Petronas,” katanya.
Mahathir bersama bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Umno Langkawi Anina Saadudin menuntut RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta kerana kemungkiran kewajipan fidusiari dan salah-laku tort misfeasance dalam jawatan awam.

Lu Fikir La Sendiri!!!

Demokrasi@Deme-crazy..!


Layan...

1. Diwaktu UMNO ditubuh, pemimpin dan ahli UMNO pada ketika itu pilih demokrasi sebagai sistem pentadbiran parti dan juga negara.

2. Diantara sebab demokrasi dipilih ialah kerana demokrasi mempermudahkan pemilihan pemimpin dan penukaran pemimpin dalam parti dan negara.

3. Hanya dengan undi ahli sahaja pemimpin boleh dijatuhkan atau dinaikkan.

4. Demikian apabila Dato Onn mencadang membuka parti kepada semua rakyat Malaya, UMNO tolak. Dengan itu Dato Onn letak jawatan dan Tunku dipilih untuk menggantinya. Tidak ada percubaan oleh Dato Onn sebagai Yang Dipertua UMNO memaksa UMNO mengekalkan dirinya.

5. Kemudian selepas mencapai prestasi yang kurang baik dalam PRU 1969, Tunku, apabila sedar dianya tidak popular lagi menyerah kepimpinan UMNO kepada timbalannya Tun Razak walaupun Tunku khuatir akan kesetiaan Tun. Tunku letak jawatan dan peralihan kepimpinan UMNO berlaku tanpa masalah.

6. Pada tahun 1987 Tengku Razaleigh dan Musa Hitam mencabar saya sebagai Presiden parti. Kempen bebas dilakukan oleh kedua-dua pihak. Tidak ada siapa yang dipecat. Ada menteri yang memihak kepada Team B. Mereka bebas berkempen diseluruh negara. Tidak ada arahan menyekat pemimpin Team B berjumpa dengan bahagian, cawangan atau ahli UMNO. Tidak ada apa-apa ugutan untuk dibuang dari parti. Tiada siapa yang dibuang dari parti atau disoal oleh polis.

7. Pengundian dibuat secara bebas semasa mesyuarat agung parti. Semua pemimpin dan ahli mengundi secara sulit.

8. Hasilnya saya menang hanya 43 undi dan Encik Ghaffar Baba 41 undi walaupun 80% dari bahagian-bahagian mencalonkan kami berdua.

9. Selepas itu kabinet disusun semula dan beberapa menteri dari Team B diterima masuk kabinet.

10. Tengku Razaleigh membawa kes ke mahkamah dan UMNO hilang kesahihannya dan didakwa haram.

11. Dalam menyusun semula ahli-ahli UMNO bebas untuk kembali kepada UMNO atau menyertai Parti Semangat 46.

12. Demikian juga apabila prestasi Tun Abdullah kurang baik, Najib dapat mempengaruhi Abdullah supaya bersara dan menyerah jawatan Presiden kepadanya. Peralihan berlaku tanpa sesiapa digugur daripada UMNO atau letak jawatan.

13. Semua peralihan kepimpinan UMNO berjalan dengan licin dan demokratik. Sepatutnya Najib juga harus guna cara ini dan membenar suara ahli didengari, perbahasan diadakan secara bebas berkenaan prestasinya.

14. Tetapi tidak.

15. Najib bertindak keras dan mengguna kuasa sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri untuk menghalang sesiapa yang cuba mempengaruhi kedudukannya.

16. Sesiapa yang menegurnya disingkir dari UMNO. Ada yang disoal oleh polis, dimasuk dalam tahanan, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan yang tidak berasas, kononnya mereka ‘terrorist’, pengganas.

17. Dalam Mesyuarat Agung UMNO pada bulan Disember 2015 jumlah pemerhati dihadkan. Wakil tidak dibenar bercakap berkenaan 1MDB dan wang sebanyak 2.6 billion Ringgit dalam akaun peribadi Najib.

18. Sepatutnya Timbalan Presiden menyampaikan ucapan pembukaan bagi persidangan pemuda, wanita dan puteri. Tetapi Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin, tidak dibenar.

19. Hanya Najib seorang sahaja yang berucap dalam pembukaan dan penutupan.

20. Tidak ada perbahasan yang serius sepanjang persidangan.

21. Dengan tindakan-tindakan ini ahli dan pemimpin UMNO hilang suara kerana takut. Timbalan Presiden dilucutkan jawatan tanpa melalui proses pemecatan dari parti.

22. Ketua-ketua bahagian diarah oleh Najib supaya tidak bincang berkenaan 1MDB dan Ringgit 2.6 billion dalam akaun peribadinya. Hanya penjelasan Najib bahawa duit itu adalah derma dari orang Arab yang ketua bahagian mesti terima.

23. Diperingkat Kerajaan pula perpisahan kuasa antara badan perundangan, pentadbiran dan badan kehakiman sudah diketepikan oleh Najib. Semua kuasa dirampas oleh Najib. Dengan ini pentadbiran termasuk polis dan institusi kehakiman tidak lagi bebas untuk menjalankan tanggungjawab mereka. Najib mengarah semua gerak-geri mereka. Mereka terpaksa ikut arahannya supaya menolak sebarang siasatan terhadap dirinya.

24. Yang jelas ialah jentera parti dan jentera Kerajaan sudah lumpuh dan tidak berfungsi lagi. Rakyat dan ahli parti sudah hilang hak untuk mendapat perlindungan dari parti atau Kerajaan, hak untuk menaik dan menurun pemimpin. Majoriti ahli parti berada dalam ketakutan atau terlalu selesa dengan layanan yang diberi oleh Najib.

25. Sebab itulah tindakan diluar parti terpaksa diadakan.

26. Jika ramai ahli-ahli UMNO berani menolak Najib melalui suara ramai, kerjasama dengan parti lawan semata-mata untuk penyingkiran Najib dan tidak untuk lain, tidak perlu dibuat.

27. Parti lawan juga ingin menyingkir Najib bukan kerana mereka bersetuju dengan pendirian bekas-bekas pemimpin parti Kerajaan tetapi kerana mereka sedar akan kerosakan kepada negara dan jentera pentadbiran yang sedang dilakukan oleh Najib yang juga mempunyai kesan buruk kepada mereka.

28. Oleh kerana ini mereka juga berpendapat Najib perlu disingkir. Pendapat mereka adalah sama dengan pendapat bekas pemimpin UMNO dan kebanyakan rakyat.

29. Oleh kerana kongkongan UMNO dan ahli-ahlinya oleh Najib dan mereka sendiri tidak mampu membuat apa-apa, maka suara rakyat, diluar UMNO, termasuk suara parti lawan perlulah digabung untuk memberi kekuatan dan kejayaan kepada usaha menyingkir Najib.

30. Najib akan main isu Kit Siang dengan saya supaya ahli UMNO terpesong dari tujuan Deklarasi Rakyat sepertimana ia memesong demonstrasi Bersih yang bertujuan menjatuhkannya kepada kononnya demonstrasi Bersih adalah percubaan orang Cina untuk menjatuh Kerajaan Melayu dan baju merah pun berdemonstrasi melawan Cina.


Lu Fikir La Sendiri!!!

Isnin, 21 Mac 2016

Jangan Peduli..!

Baling kaca pun tak pecah..! buat apa peduli..!

Datuk Seri Najib Razak berkata rakyat negara ini tidak perlu mempedulikan gerakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pembangkang menerusi 'deklarasi Mahathir' kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat.
Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa menjaga kebajikan rakyat dengan melaksanakan pelbagai program yang dapat memenuhi kehendak selain memastikan semua akujanji pada manifesto pilihan raya umum lepas dapat dipenuhi.
Beliau berkata apa yang penting bukan deklarasi atau surat tetapi tindakan yang boleh menguntungkan rakyat seperti projek perumahan mampu milik yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Ada orang bisik...rumah PR1MA negeri negeri tu hasil kerja kerajaan negeri..! PR1MA pusat buat apa? Lagi satu...dah berapa siap? dah sampai 1 Juta ke? sebab dalam manifesto 1 juta..!
Manifesto BN boleh guna lagi ke kerana kadar tol...biasiswa...takrif letrik..! harga barang..! semuanya tak seperti mana yang dicetak didalam manifesto..!
Tanya jer..! takkan tak boleh???
Atau buat buat tak peduli macam saranan kat atas tu..! 
Lu Fikir La Sendiri!!!

Selasa, 15 Mac 2016

Perjuangan Suci..!


Kata baling gelas pun tak pecah..!

Apa yang gawat???

PEMECATAN DAN POPULARITI

1. Saya telah dipecat dari Petronas. Keputusan itu dibuat oleh Kabinet. Ini mestinya sangat penting bagi Kerajaan.

2. Sebenarnya saya telah pun meletak jawatan dari Petronas beberapa lama yang lalu. Tetapi Petronas enggan menerima peletakan jawatan saya atau menerima elaun yang saya kembalikan. Mereka berkeras memasukkan ke dalam akaun saya elaun bulanan saya. Saya meletak jawatan itu kerana saya fikir tidak perlu saya menjadi penasihat yang bukan menasihati dan dibayar gaji untuk tidak melakukan apa-apa.

3. Sekarang ini penyokong Najib mahu saya dipecat daripada Proton dan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP). Kedua-dua bukan milik Kerajaan. Tetapi ini sudah tentu adalah hanya halangan kecil untuk sebuah Kerajaan yang boleh membuat tuduhan terhadap sesiapa di bawah undang-undang untuk membendung keganasan. Perkara-perkara yang jahat boleh dilakukan, seperti mengancam untuk membankrapkan Proton atau mengganggu orang-orang yang mendirikan YKP supaya saya akan dibuang. Ini sudah tentunya democratic sepenuhnya.

4. Media yang bebas di Malaysia menyatakan Najib semakin kuat dan lebih ramai orang menyokong beliau. Lihat sahaja gambar-gambar rakyat menyokong beliau. Mereka semua memakai baju merah dan beberapa pemimpin UMNO menunjukkan sepanduk “Solidariti Bersama Najib”.

5. Jelas sekali persembahan sokongan mereka adalah spontan, terlalu spontan sehingga mereka dengan segera membeli baju merah dan mencetak kad “Perpaduan Dengan Najib”, sempat untuk jurugambar-jurugambar.

6. Sesungguhnya Najib adalah sangat popular. Tetapi beberapa orang keras kepala tidak berfikir demikian. Sekalipun demonstrasi berbaju merah yang dianjurkan oleh Jamal Yunos, diambil bahagian oleh orang-orang Felda yang dibawa dengan bas dan diberikan makanan percuma untuk menentang demo Bersih yang, menurut penyokong Najib, dianjurkan oleh Cina untuk menggulingkan Kerajaan Melayu, masih tidak meyakin rakyat mengenai populariti Najib.

7. Apa yang sebenarnya akan meyakinkan orang ramai ialah referendum atau pungutan suara di mana setiap pengundi di negara ini dapat meluahkan sokongan mereka terhadap Najib. Mungkin ia juga berguna untuk menunjukkan bagaimana Dr Mahathir (saya tu) adalah salah dalam mendedahkan skandal kewangan beliau.

8. Hanya satu soalan yang mudah sudah memadai: Najib – pangkah, Mahathir – silang, atau sebaliknya bergantung kepada siapa yang anda sokong. Rakyat Malaysia sudah biasa dengan mengundi.

9. Referendum ini perlu dikendalikan oleh sebuah syarikat pendapat umum asing yang dipercayai, diselia oleh wakil-wakil daripada kedua-dua orang yang berkenaan.

10. Saya memberi jaminan bahawa jika Najib menang dalam referendum negara ini, saya akan berhenti meminta beliau meletakkan jawatan. Saya tidak akan berkata apa-apa lagi mengenai 1MDB, 2.6 bilion ringgit dan rumah-rumah besar di UK, Amerika Syarikat dan Hollywood atau filem lucah “Wolf of Wall Street”. Najib boleh terus menjadi PM Malaysia seumur hidup.

11. Tetapi jika saya mendapat lebih banyak undi, ini bermakna rakyat menerima apa yang saya telah menekankan mengenai salah laku kewangan Najib sebagai benar, maka beliau perlu meletak jawatan.

12. Menerusi cara ini, persoalan mengenai tahap populariti Najib dan pandangan rakyat tentang penyelewengan/skandal kewangan beliau dapat diselesaikan dengan secara muktamad.

13. Alternatifnya adalah untuk menunggu Akta Majlis Keselamatan Negara ditandatangani oleh Agong atau menunggu selama satu bulan jika dia tidak, apabila Akta ini akan dikuatkuasakan secara otomatis. Kemudian Najib boleh menangkap dan menahan tanpa perbicaraan bedebah bekas PM ini. Saya mendapat mesej-mesej bahawa ini adalah apa yang menanti saya, jika sekiranya saya tidak kurangkan dan berhenti, jika saya tidak turunkan nada.


Lu Fikir La Sendiri!!!