Ahad, 10 Mei 2009

Berhentilah Berperangai Iblis & Binatang..!!!

Sesungguhnya manusia dilahirkan dengan sebaik-baik kejadian, selain jasad ia dibekalkan dengan akal dan hati bagi membentuk sikap manusiawi yang penuh beradab dengan ketamadunan yang tinggi.

Itu sebab banyak sejarah dunia menceritakan akan ketinggian budi dan kehebatan akal fikiran manusia yang berjaya telah membentuk tamadun yang hebat, begitu juga lah sebaliknya sejarah menceritakan betapa rosak dan hina sesuatu tamadun dan hilangnya nilai budaya dan akal budi apabila manusia gagal mengimbangi anugerah kejadian yang dipinjamkan kepadanya oleh yang Maha Pencipta.

Didalam diri manusia ada nilai dan ciri-ciri asas seperti sifat malaikat yang tunduk sujud kepada kebesaran ilahi dengan melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Selain itu didalam diri manusia juga ada sifat haiwan yang diberikan kepada manusia bagi memenuhi tuntutan syahwat untuk menentukan kewujudan umat manusia dapat terus berlaku, selain memenuhi tembolok yang perlu diisi. Manakala sifat iblis dan syaitan yang terjelma di dalam diri manusia apabila sifat sombong, bongkak, takbur dan engkar begitu menguasai diri.
Ini semua perlu diimbangi dengan adanya akal yang penuh terisi dengan ilmu yang kita pelajari serta hati yang berdasar kepada agama yang kita imani. Selain adab budaya bangsa yang kita warisi.

Persoalannya sejauh mana kita mampu mengimbangi akan sifat-sifat yang ada dalam diri bagi menjadikan diri kita manusia yang baik dan berguna. Menjadikan diri baik dan berguna bukan sahaja kepada diri sendiri malah keluarga, masyarakat, agama, bangsa, negara bahkan seluruh alam.

Namun apabila melihat kepada senario politik tanah air hari ini, dan yang terbaru melihat suasana pembukaan Dewan Undangan Negeri Perak 7hb yang lalu mungkin boleh kita simpulkan bahawa manusia baik yang digariskan tadi telah hilang atau larut dek kerana nafsu politik yang bertunjangkan kekuasaan menjadi keutamaan dalam langkah dan pertimbangan.

Hilangnya akal budi, hilangnya kewarasan pemikiran, hilangnya adab budaya bangsa dan lebih menyedihkan ianya menjadi tontonan anak-anak yang melihat contoh buruk yang dihidangkan oleh mereka yang bergelar wakil rakyat, pemimpin yang turun bertemu dan bercakap kepada seluruh rakyat akan pembentukkan negara yang bertamadun, akal yang terisi dan hati yang suci.

Apabila bertuhankan kekuasaan maka seluruh kewajaran yang tidak berpihak kepada mereka akan dinafikan, ini lah nilai ahli politik hari ini. Sifat kebinatangan dan Iblis yang merasuk kedalam diri telah menenggelamkan kewarasan pemikiran sihat walau pun kesan nya amat malu untuk mereka sendiri terima dan akui.

Apabila Allah mengkehendakkan sesebuah negara itu baik, maka akan dikirimkan kepada negara itu pemimpin yang baik begitu juga lah sebaliknya. Tentunya kita sebagai rakyat perlu menolak akan kewujudan pemimpin-pemimpin rosak akhlak dan merosakkan khalayak ini dari terus memimpin.

Kepada pemimpin pembangkang PKR, DAP, dan PAS ingat lah bahawa kuasa yang ada dan sedikit ini hanya sementara kerana saya percaya masih ada orang alim dan baik yang makbul doanya untuk meghindari negara ini dari rosak dan binasa. Apa yang lebih malang ialah pemimpin melayu yang beragama Islam didalam PR seolah-olah tidak mahu beriman kepada Qada' dan Qadar.

Kalau kita yakin bahawa apa jua yang kita lakukan akan dinilai oleh rakyat dan kita berusaha untuk menarik sokongannya, maka kita juga yakin dan percaya bahawa apa jua yang kita lakukan akan di nilai dan diberikan pengadilan yang seadil adilnya di akhirat kelak. Itu pun kalau kita nak percaya kepada rukun Iman yang ke 5 tu.. sebab di akhir zaman ini, ramai yang dilihat Islam tapi perbuatan dan perkataannya tak de bezanya dengan orang kafir.

Itu sebab kita dituntut untuk menjadi manusia yang baik dan berguna, kita memang tak boleh menjadi Malaikat tapi mengikuti sifat terpuji para malaikat itu merupakan amalan yang amat berguna sebagai tiket untuk lebih aman dan bahagia di sana kelak,InsyaAllah.

Sementara mereka yang lebih mengutamakan sifat binatang akhirnya akan lesu, tidak bermaya, lemah dan menderita, lebih malang apabila menjadikan sifat Iblis sebagai panduan di dalam hidup yang akhirnya menjadi pengikut setianya apabila berdepan dengan yang Maha Esa.
Dah lah rosak dan sesat malah merosak dan menyesatkan...Nauzubillah!
Insaf lah...

2 ulasan:

  1. salam saudara putra merdeka,

    memang benar apa yg di katakan saudara. dan betapa molek jika pemimpin pemimpin melayu islam ini semua mahu bersatu demi satu ummah dan bekerjasama bagi memperbaiki apa2 kerosakan di dalam ummah bersama tetapi bukan dengan memecahbelahkan kesatuan kita di bumi malaysia. Jika tidak, mungkin nasib kita akan menerima padah sebagaimana mana yg terjadi ke atas umat islam terdahulu yg uka berpecah dan menegakkan agenda masing2 dan akhirnya terpaksa tunduk kepada kekuasaan kafir..

    BalasPadam