Rabu, 8 Mei 2013

Khaled Nordin Menteri Besar Johor..


Khaled susun Exco

JOHOR BAHRU: Teka teki siapa bakal Menteri Besar Johor yang baru terjawab, hari ini, apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas Jaya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipilih memegang jawatan berkenaan.
Ini berdasarkan isyarat diberikan Adun itu sejurus beliau keluar daripada mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, di Istana Pelangi di sini, semalam. 
"Saya pertamanya di titah (Sultan Ibrahim) untuk mengadap baginda di mana pada pertemuan ini, antara perkara yang dibincang adalah untuk tentukan tarikh angkat sumpah. 

"Pada masa sama, saya perlu mengadap sekali lagi untuk bincang senarai nama-nama mereka yang akan dilantik sebagai Exco.

"Ini kerana, di Johor ini, majlis angkat sumpah akan dibuat bersama Menteri Besar dan barisan Exco. Oleh itu, atas dasar itu jugalah ambil masa sedikit kerana hendak selesai soal-soal (barisan Exco)," katanya.

Mohamed Khaled ditemui di perkarangan Istana Pelangi sejurus keluar dari situ jam 3.40 petang selepas masuk mengadap Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar pada jam 2.50 petang. 

Ketika ditanya tarikh angkat sumpah berkenaan, Mohamed Khaled berkata, ia mungkin dibuat minggu depan namun tarikhnya masih belum diputuskan. 

Berkaitan jumlah Exco, Mohamed Khaled memaklumkan jumlah akan dilantik adalah sepuluh orang. 

"Dalam minggu ini selesai bincang perkara berkenaan. Pelantikan Exco ini di atas perkenan Tanku. 

"Dan kita perlu lihat juga, biasanya Exco ini tujuh Melayu, satu india, dua Cina. Kita nak juga dapatkan kepastian mengenai kedudukan Exco daripada MCA," katanya. 

Menjawab soalan sama ada Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar akan mengizinkan jika MCA memaklumkan mereka tidak mahu dilantik sebagai Exco, Mohamed Khaled mengatakan beliau akan mengadap baginda sekali lagi dan membincangkan perkara berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan