Sabtu, 19 Februari 2011

Berterima kasih laa...

Dipetik dari akhbar media rakyat...

“Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa”... kalau kita salami maksud pepatah melayu tersebut maka kita semua pasti bersetuju akan mauduk ungkapan tersebut ialah bagaimana datuk nenek mengajarkan kepada anak cucunya akan peri pentingnya berbudi pekerti mulia dan tahu berterima kasih sebagai balasannya.

Maka masih tidak terlambat rasanya untuk UMNO dan Barisan Nasional merakamkan penghargaan dan terima kasih khususnya kepada pengundi di DUN Tenang tempohari yang telah ‘memberi’ undi secara langsung mengizinkan calon BN YB Azhar Ibrahim dapat ‘merasa’ akan kemenangan yang tentu hadir dengan amanah dan tanggungjawab yang besar untuk digalas.

Dalam masa yang sama, pengundi di Tenang juga berbahasa sebenarnya dengan merakamkan rasa terima kasih kepada UMNO dan BN kerana selama ini telah menerima budi baik yang dicurahkan bagi kesejahteraan hidup mereka. Begitulah indahnya hidup ini jika setiap dari kita tahu dan mahu untuk mengungkapkan kata ‘terima kasih.

Pastinya Pilihanraya Kecil Merlimau, Kerdau dan mungkin Pelabuhan Klang juga akan merakamkan sekali lagi perasaan terima kasih BN kepada pengundi jika pengundi benar benar dapat merasakan bahawa mereka telah menerima budi BN selama ini dan merasa serik dengan salah perkiraan yang telah pengundi lakukan di DUN Pelabuhan Klang dalam PRU 2008 yang lalu.

Sejak dari awal lagi kita semua telah diajar untuk mengucapkan rasa terima kasih, itu sebab anak anak kita disekolah selesai sahaja guru matapelajaran mereka mengajar didalam kelas maka akan berdirilah ketua kelas untuk mengucapkan ‘terima kasih cikgu’ dan diikuti oleh pelajar yang lain.

Soalnya apakah perbuatan itu digerakkan dengan nilai kesedaran yang tinggi untuk dijadikan amalan dalam hidup bahawa mengungkapkan terima kasih itu merupakan satu tuntutan yang disuruh oleh agama untuk kita mensyukuri nikmatnya atau ianya hanya sebagai satu rutin atau kebiasaan bagi setiap pelajar semata mata. Itu kita tinggalkan kepada Kementerian Pelajaran untuk mengkajinya.

Apabila berlakunya rusuhan besar besaran rakyat Mesir terhadap kepimpinan bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak, maka YAB Perdana Menteri telah mengarahkan jentera Kerajaan yang dibantu oleh pihak swasta dan NGO serta syarikat syarikat penerbangan untuk membawa pelajar dan rakyat Malaysia disana balik dengan kadar segera. Ops Piramid pun dilancarkan maka lebih 7000 nyawa dapat kita bawa kembali balik.

Ramailah yang berterima kasih kepada YAB PM dan Kerajaan serta bersyukur atas usaha murni tersebut, tetapi dalam masa yang sama ramai juga yang cuba menafikannya. Ada pihak yang cuba mengeruhkan suasana sewaktu urusan membawa balik sedang dilakukan dengan menakutkan pelajar pelajar bahawa mereka perlu membayar tambang, di Jeddah mereka akan dibiarkan kerana tidak mendapat visa kemasukan ke Arab Saudi.

Ada pula yang mengatakan Kerajaan bertujuan politik dengan mempastikan bahawa setiap pelajar mesti bermazhab UMNO. Tidak kurang juga yang memperlekehkan urusan yang dibuat bahawa itu merupakan tanggungjawab kerajaan yang memerintah dan jika mereka ‘berkuasa’ maka urusan itu akan lebih awal dilakukan tanpa sebarang masaalah birokrasi seperti yang berlaku.

Apakah mereka ini lupa atau memang tak tahu bahawa kejadian rusuhan yang berlaku bukannya bencana alam yang boleh dipastikan tahap kerosakan dengan tempoh masa tertentu. Rusuhan dan tunjuk perasaan ini boleh jadi berlaku hanya beberapa hari dan berhenti apabila kita selesai membawa balik rakyat kita. Itu sebab kerajaan memerlukan masa dan pengamatan yang jelas dalam menghadapi sesuatu perkara selain mendapat isyarat dan kebenaran hasil dari perbincangan demi perbincangan dengan Kerajaan Mesir.

Akhirnya isyarat jelas ialah membawa keluar rakyat kita dari Mesir merupakan tindakan yang perlu dilakukan maka kerajaan telah bertindak segera dan cekap dengan menjadikan Jeddah sebagai transitnya. Itu kerja kerajaan dan kerja kita sebagai rakyat ialah mendoakan akan keselamatan rakyat serta pasukan keselamatan dan sukarelawan yang bertungkus lumus mempastikan operasi pyramid ini berjalan lancar dan berjaya.

Kini, walaupun Hosni Mubarak telah meletakkan jawatan, susana di Mesir masih lagi kabur apabila rakyat masih lagi menanti apakah perubahan yang akan dilakukan oleh pihak tentera yang mengambil alih kuasa, kepulangan semula pelajar kita ke Mesir untuk menyambung pengajian pula sedang giat diusahakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk mempastikan mereka selamat untuk menyambung pelajaran masing masing.

Seperkara lagi yang nak kongsikan bersama disini ialah kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang mendakwa bahawa kerajaan dikatakan bersedia membayar RM6 bilion bagi mendapatkan enam kapal tentera laut, 870 peratus lebih mahal daripada bayaran negara lain untuk kapal yang sama. Kesannya heboh satu negara bahawa kerajaan melakukan pembaziran dan yang lebih sedap ialah ada pihak yang mengaut keuntungan dengan komisen yang begitu tinggi.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu untuk mempolitikkan usaha kerajaan membangunkan pertahanan laut negara membuktikan wakil rakyat DAP berkenaan terkeliru dalam memahami perbezaan antara konsep kapal LCS dan kapal ronda.

Tony Pua juga hanya membuat perbandingan berasaskan harga lama dan tidak menggambarkan harga sebenar kecanggiahn aset tersebut. sedangkan, harga sebenar termasuk kapal ronda milik Tentera Laut New Zealand dan Kapal LCS Amerika Syarikat adalah jauh lebih mahal.

Inilah masaalahnya, diajak menyertai tentera tak mahu, diajak menyertai pasukan keselamatan banyak pula ceritanya, nak menyumbang jiwa raga demi mempertahankan pertiwi terlalu sedikit bilangannya, tapi kalau nak menghentam dan memfitnah? Itu memang kerja dia...Jenis macam ni jauh la nak berterima kasih.

Tak kurang juga yang menarik seminggu dua ini ialah kenyataan Tengku Zafrul Tengku Aziz CEO Maybank Investment dan Zainal Aznam Mohd Yusof, Anggota Panel Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) yang mempertikaikan perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda yang digambarkan membimbangkan pasaran serta mahukan perlantikan orang politik diharamkan terus dari melibatkan diri dalam GLCs.

Kenyataan ini jelas kenyataan yang tak reti berterima kasih. Zainal Aznam ni tahu tak bahawa NEAC yang beliau terlibat itu merupakan dasar yang diilhamkan serta dikuatkuasakan dari orang orang politik. Kalau benar beliau memahami akan asas penubuhannya maka tak layak dan tak sesuai untuk beliau menganggotainya. Seperkara yang beliau perlu sedar ialah penubuhan GLCs itu sendiri datang dari kehendak orang orang politik yang mentadbir kerajaan selama ini. Jadi apa rasionalnya orang politik tidak boleh menerajui mana mana GLCs yang mereka sendiri cipta dan bangunkan?

PM sendiri telah menyatakan bahawa kerajaan melantik seseorang menerajui GLCs adalah berdasarkan kemampuan, kewibawaan dan kepakaran yang dimiliki oleh setiap mereka tidak kira latar belakang mereka samaada dari sektor korporat, bekas pegawai kerajaan mahupun bekas ahli politik.

Menafikan penglibatan orang politik didalam menerajui GLCs dengan menyerang peribadi Tan Sri Isa yang berpengalaman luas mentadbir di peringkat negeri selama lebih 20 tahun serta pernah menjawat jawatan Menteri dalam kerajaan Pusat merupakan tindakan biadap.

Tan Sri Isa tidak pernah didakwa dan disabitkan kesalahan jenayah oleh mana mana mahkamah dalam negara. Tak tahu pula kita Zainal Aznam ada mahkamah sendiri yang boleh menetukan salah benarnya seseorang mengikut kacamata sempit beliau.

Tiada pula justifikasi Tengku Zafrul yang mengatakan pasaran mengalami kebimbangan atas perlantikan tersebut dengan menyatakan mana mana kaunter saham rugi atau tutup dengan perlantikan tersebut.

Walhal kesetabilan politik lah menjadi indikasi utama dalam menentukan kesetabilan pasaran saham dan ekonomi dunia. Pastinya orang politik lah yang menjadi tulang belakang dalam menentukan penduduk dunia ini dapat menikmati keamanan dan kenikmatan hidup bernegara.

Malah kalau mereka nak mengiktiraf dan mengakuinya, suatu ketika Tun Dr Mahatihr, Tun Daim Zainuddin, Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa lagi nama nama besar orang politik begitu mempengaruhi pasaran saham hingga hingus mereka meleleh pun mampu mengubah trend atau arus sesuatu pasaran yang sedang didagangkan.

Itu bukti kuatnya pengaruh orang politik kepada pasaran, pengaruh positif bukannya negatif seperti yang cuba digambarkan keatas Tan Sri Isa.

Retilah berterima kasih... Jasa Tan Sri Isa begitu banyak dan sedikit pun tidak layak untuk dibandingkan dengan mereka berdua. Berterima kasih lah kerana adanya orang seperti Tan Sri Isa yang tetap mahu bekerja keras untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Berterima kasih lah kerana adanya manusia yang bernama Tan Sri Isa yang menyebabkan warga Felda ceria dan kakitangan Felda bertukar mood bekerja untuk mereaslisasikan hasrat agar Felda mendapat keuntungan RM 2 bilion bagi tahun ini.

Mudah mudahan kita semua tahu berterima kasih, kerana dengannya kita akan lebih mensyukuri nikmat yang telah dianugerahkan kepada kita selama ini. Fikir Fikir la...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan