Isnin, 2 Julai 2012

Onar Bapak Kapir & Pentaksub Terhadap Ulama..!

Susah kalau dah taksub..jangan kata rosak kelakuan malah rosak akidah pun boleh..!


Pada 24 Jun 2012, dengan niat baik, saya menerima jemputan menjadi tetamu dan panel Wacana Perdana PRU 13: Masa depan Islam, anjuran Kerajaan negeri Kelantan, bersama dengan panel gandingan  lain Dr Fadzli (exco Kerajaan Negeri Kelantan), Ustaz Fathul Bari (ulamak muda Umno), dan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, dipengerusikan Amin Idris (TV9). Apa yang mengejutkan adalah tingkah laku sebahagian peserta yang hadir membanjiri Balai Islam, Kota Bharu.

Tingkah laku mereka yang bersorak, menjerit-jerit, mengejek, tidak meraikan perbezaan dan sebagainya, langsung tidak mencerminkan akhlak Islam. Begitu mengejutkan! mengalahkan wacana bukan Islam yang pernah saya hadiri. Inikah yang dikatakan rakyat Serambi Mekah? Hilang sudahkah ajaran ‘tok guru’ yang selama ini mereka pelajari? Saya dan Fathul Bari, seolah-olah tidak diberikan ruang untuk berhujah. Mereka tidak dapat menerima perbezaan pendapat. Sedangkan kami hanya berkata benar. Isu partisan langsung tidak dibangkitkan, kecuali Dr Fadzli.  

Apakah ini dinamakan fanatik atau taksub sehingga menyangkakan mereka yang betul, orang lain salah? Fanatik bermakna sikap yang keterlaluan dan melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian yang biasanya berkaitan dengan keagamaan. Tidakkah kita sepatutnya berlapang dada dan fikiran serta sabar yakni tasamuh atau bertoleransi?

Beberapa saya ingatkan, apabila berhujah, bincangkan apa yang betul, apa yang salah kerana itu akan membawa kebaikan dan meningkatkan minda. Bukannya menuding jari siapa betul, siapa salah, kerana ia hanya akan mengkerdilkan minda.

Ingatlah wahai umatku! sikap fanatik dan taksub adalah dilarang oleh Allah S.W.T. terhadap umat yang dahulu seperti yang ditujukan khas kepada Ahli Kitab. FirmanNya yang bermaksud:

"Katakanlah, "Wahai Ahli Kitab! janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul". (Surah al-Ma'idah:77)

Saya lihat sebahagian besar mereka yang hadir teramat taksub dan fanatik kepada pendapat sendiri, mahu pun guru atau kumpulan mereka. Perbuatan mereka begitu melampau. Kejumudan pemikiran mereka begitu terserlah.  Kebekuan pemikiran mereka tidak mampu untuk berbincang bagi membandingkan pendapat sendiri dengan pendapat orang lain, terutama dalam mengambil pendapat yang lebih kuat dalil dan alasannya.

Menurut Mohammad Kamil Majid (2011), taksub dan fanatik adalah sikap yang menutup pintu bagi pandangan lain yang berbeza dan berusaha untuk menidakkannya. Sikap ini adalah pembawaan yang memandang bahawa hanya diri sendiri atau kumpulannya sahaja yang betul. Malah secara berani menuduh orang yang berlainan pendapat dengannya sebagai jahil, bodoh, fasiq dan derhaka. Ia seolah-olah menjadikan diri sendiri sebagai nabi yang maksum dan perkataannya sebagai firman yang diturunkan. 

Sikap taksub dan fanatik ini dikutuk kerana, ia mahu mengikat orang lain dengannya dan menafikan peranan orang lain. Justeru itu, mana-mana orang atau kumpulan yang taksub dan fanatik tidak mungkin bertemu dengan pihak lain. Keadaan akan menjadi lebih buruk, apabila ia mahu mewajibkan pandangannya ke atas orang lain dengan kekerasan seperti mengutuk dan menuduh orang lain melakukan tidak betul, bidaah, kufur dan keluar dari agama.

Fenomena ketaksuban juga boleh berlaku apabila ada golongan yang mengkafirkan masyarakat secara menyeluruh, kecuali mereka yang berpegang kepada prinsip mereka atau menganggotai jemaah mereka sahaja. Ketaksuban ini boleh membawa kepada menghalalkan darah dan harta orang yang di luar jamaah, kerana telah dianggap murtad dan kufur. Golongan melampau juga akan memperlihatkan sikap pra-sangka buruk kepada pihak lain. Lebih banyak menuduh dan menghukum dari memberi nasihat dan pengajaran. 

Kekerasan bersenjata mungkin digunakan terhadap perkara yang mereka anggap batil. Selalunya ia ditujukan kepada pemerintah yang tidak melaksanakan hukum seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT atau menangguhkan pelaksanaan syariat dan menggantikannya dengan hukuman ciptaan manusia. Golongan ini akan melancarkan jihad terhadap sesiapa yang enggan menunaikan hukum Islam (Mohammad Kamil, 2011).

Pada saya, inilah sebenarnya yang menjadi punca kemunduran umat Islam ialah kerana salah faham umat Islam terhadap akidah mereka. Dalam hal ini, bukan akidah itu yang salah, tetapi cara memahami akidah itu yang salah. Di manakah sikap kesederhaaan (berimbang) atau wasatiyyah yang sepatutnya menjadi pegangan kita semua? Lebih menyedihkan lagi, mereka bersorak dan mengejek-ngejek ketika ayat-ayat Quran dan Hadis dibacakan.

Maka benarlah kata-kata Syaikh Al-Albani yang mengatakan, umat Islam masa kini, semakin jauh tersasar. Mereka hanya berpegang kepada pendapat pemimpin mereka. Tatkala terjadi perselisihan, pendirian mereka pada dasarnya kembali kepada pemimpin mereka, jika ada ayat yang sesuai, mereka ambil, jika tidak, mereka sisihkan.

Saya ingatkan pimpinan negeri Kelantan, sebagai pemimpin umat Islam hari ini, hendaklah berhati-hati dalam memimpin anak buahnya agar jangan sampai menjadi penyebab kerosakan umat. Mereka hendaklah takut kepada Allah SWT. Bacalah surah Ibrahim : 21-22, Al-Ghafir : 47-48, dan As-Saba’ : 31-33. Mudah-mudahan Allah SWT memberi petunjuk kepada kita semua, menjadi pemimpin yang mengajak umat ke jalan benar dan hak, bukannya batil.

Bagaimanakah kita sebagai satu umat itu boleh maju ke hadapan, apa tah lagi boleh memimpin umat Islam, jika kita asyik berpecah belah sesama sendiri? Saling bermusuhan dalam perkara titik bengik dan hilang pertimbangan, kerana rasa fanatik dan taksub kepada pegangan dan ajaran masing-masing.

Kenapa dengan bukan Islam kita begitu berlembut, sedangkan sudah jelas mereka menentang Islam? Apakah kita menjangka mereka akan memeluk Islam dengan menggadaikan prinsip dan maruah? Tidakkah boleh dibezakan antara kafir harbi dan kafir zimmi?

Saya masih ingat ketika mengikuti kuliah-kuliah Pas dahulu, bertepuk tangan itu dalam majlis seolah-olah haram. Hari ini mereka terlebih bertepuk daripada Umno sendiri.  Apakah makna semua ini? Itupun mereka masih terus menuding jari kepada Umno tanpa mahu muhasabah kepada diri sendiri?

Kesimpulannya, mereka yang saya perkatakan ini sebenarnya keliru dan tidak boleh membezakan antara tugas pemerintah dengan tugas individu atau rakyat marhaen. Mereka tidak dapat membezakan antara ajaran tok guru dengan ajaran Islam yang sebenar. Semua yang dilakukan oleh tok guru, seolah-olah maksum.

Saidina Abu Bakar RA memerangi orang yang tidak membayar zakat dan murtad adalah sebagai menjalankan tugas sebagai pemerintah. Pada peringkat individu, mereka sepatutnya melakukan amar maaruf nahi mungkar. Mencegah kemungkaran dengan menggunakan kekuasaan tidak semestinya atas semua orang, tetapi bagi yang ada kuasa terhadap orang bawahannya. Begitulah dalam konteks negeri Kelantan.

Rakyat Kelantan mesti dididik untuk berlapang dada dan bersikap terbuka menerima orang lain dan perbezaan yang wujud. Kita tidak mahu mendengar lagi ada yang sanggup bakar stadium dan trak polis hanya kerana kalah dalam permainan bola sepak. Ini bukan lagi taksub tetapi telah diserang dengan virus Permanent Head Damage  (PHD). Tidak dinafikan saya agak sedikit beremosi ketika wacana itu, tetapi saya tidak berada dalam kelompok PHD.

Saya mungkin akan dikutuk dan diserang lagi selepas ini seperti yang dilakukan dalam you tube Wacana tersebut, yang sedang tersebar dan hangat diperkatakan. Tetapi saya mengambil sikap tidak kisah. Puak-puak fanatik dan taksub ini boleh berkata apa sahaja tentang diri saya. Saya tidak perduli apa yang manusia mahu kata. Saya lebih peduli kepada apa yang Allah kata.

Jika ada kesempatan, mungkin saya akan pergi lagi ke Kelantan, untuk melihat telatah-telatah PHD ini. Mudah-mudahan dengan tersiarnya artikel ini, pihak kepemimpinan negeri Kelantan akan mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengurangkan dan mengatasi masalah kefanatikan dan PHD di kalangan pengikut-pengikutnya.

Jika tidak, tag line “membangunkan bersama Islam” yang menjadi pegangannya, hanya akan tinggal menjadi kata-kata yang enak didengar, tetapi tidak ke mana-mana. Pakailah serban dan kopiah sebesar manapun, tidak ada maknanya, jika akhlak kita tidak mencerminkan sunnah yang sebenar. Pendek kata, jika kita ingin membangun bersama Islam, pastikan di dalam kopiah dan serban itu tidak bersarang PHD. Jauhilah sifat fanatik dan taksub.
Dr RedhuanTee Abdullah.

Lu Fikir La Sendiri!!!

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum,

    Sekadar peringatan bagi yang terlupa."Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."(Al-Maa'idah-Ayat 8)
    Berhati-hati dalam 'posting' yang di paparkan kerana ianya kelak bakal dipersaksikan di padang mahsyar.

    BalasPadam
  2. khusus untuk anom 1043 alangkah moleknya jika nasihat yang sama diberikan kepada mat sabu semasa dia menfitnah anwar ibrahim meliwat dan melabel sebagai aljuburit. alangkah bagusnya jika nasihat yang sama diberi kepada haji adi semasa dia menfitnah umno melepaskan air diempangan semasa prk tenang. alangkah bernilainya jika nasihat yang sama diberikan kepada mahfuz, nizar dan lain-lain pemimpin pas ketika mereka membuat fitnah. tetepi beranikah anda melakukan sedemikian.

    BalasPadam