KOTA KINABALU 27 Jun - Sejumlah 29 individu yang didakwa dengan pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memohon kepada mahkamah supaya semua tertuduh dibicarakan bersama.
Lapan peguam yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan itu.
Hakim P. Ravinthran menetapkan 15 Julai bagi pengurusan kes.
Beliau turut menetapkan 12 Julai untuk merekodkan pengakuan seorang tertuduh, Habil Suhaili, yang tidak hadir kerana sedang menjalani rawatan di Hospital Tawau.
Habil didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas di Jalan Kastam Lama, Lahad Datu, antara 9 Februari dan 4 Mac, kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda.
Antara 29 individu yang hadir di mahkamah ialah seorang wanita tempatan yang berdepan
kemungkinan penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan, kerana didakwa memberi perlindungan kepada sekumpulan pengganas.
Norhaida Ibnahi, 46, didakwa melindungi sekumpulan pengganas antara 9 Februari dan 22 Mac di sebuah rumah di Kampung Sri Melor, Bugaya, Semporna.
Dua anak tempatan, Abd Hadi Mawan, 49, dan Abdul Majil Jubin, 41, didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Abd Hadi didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kampung Perigi, Semporna, antara 9 Februari dan 14 Mac manakala Abdul Majil didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lihak-Lihak, Semporna, antara 9 Februari dan 13 Mac.
Mereka didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas bersama Aiman Radie, Lin Mad Salleh, Holland Kalbi dan Timhar Hadir.
Dua lagi tertuduh, Kadir Uyung dan Lating Tiong, didakwa memberi perlindungan kepada sekumpulan pengganas manakala Salib Akhmad berdepan pertuduhan tambahan merekrut anggota bagi kumpulan itu.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Abdul Gani berkata beliau berharap mahkamah akan menetapkan venue yang lebih besar bagi perbicaraan it/u memandangkan tahap keselamatan ketat diperlukan dalam memastikan prosiding berjalan lancar.
Tertuduh dibawa ke kompleks mahkamah dengan menaiki empat trak polis.
Tiga belas daripada individu terbabit, termasuk wanita itu dan seorang tertuduh yang berkerusi roda, memakai straight jackets dan topi hitam yang menutup mata mereka.
Mahkamah diletakkan dalam kawalan keselamatan yang ketat sejak awal pagi, dengan dikawal anggota polis bersenjata di dalam dan sekeliling perkarangan mahkamah. - BERNAMA
Lu Fikir La Sendiri!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan