Isnin, 4 November 2013

Siapa Pengampu Amerika?

lu jangan takut bro..! gua tak intip lu…

FILEM Dr. No (1962) arahan Terence Young yang memperagakan perisik hebat, James Bond lakonan Sean Connery bukan lagi hanya propaganda era Perang Dingin Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet. Kini watak James Bond yang memakai nombor 007 berkeliaran di seluruh dunia dalam program perisikan terbesar yang dikendalikan AS ketika ini.

Di luar filem, kegiatan perisikan dan pengintipan telah lama menjadi keutamaan AS dalam menghadapi sahabat yang dicurigakan dan musuh yang tidak dikenali.

Selepas Jerman, Malaysia dikatakan antara negara rantau ini yang menjadi sasaran agensi perisikan AS. Modus operandinya dengan menceroboh talian telefon dan akaun e-mel yang didakwa bertujuan mengekang pengganas. 

Sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, tindakan mengintip seperti yang didedahkan oleh sebuah akhbar Australia adalah suatu yang melampau.

Tindakan itu boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Malah penjelasan pihak Kedutaan AS di Kuala Lumpur bahawa intipan itu untuk mengekang keganasan seolah-olah memperkecilkan pasukan keselamatan negara ini.

Dalam kata lain pendedahan yang dibuat oleh akhbar Australia itu suatu yang benar kerana pihak Kedutaan AS tidak menafikan program risikan itu cuma menjelaskan ia bertujuan baik dalam konteks keselamatan di rantau ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mempersoalkan keikhlasan hubungan diplomatik AS dan seolah-olah mempertikaikan kedaulatan negara-negara yang terlibat dalam risikan termasuk Malaysia.

Dalam konteks kedaulatan negara, suara yang dilontarkan oleh Pemuda UMNO tidak boleh dipandang remeh. Walaupun pendirian Pemuda UMNO dalam isu ini satu tindakan tidak popular ketika sesetengah pihak di negara ini terlalu "mengampu" AS, Malaysia mesti menunjukkan pendirian yang jelas tanpa menjejaskan maruah negara.

Awal tahun ini bekas kontraktor perisikan Agensi Perisikan Pusat (CIA), Edward Snowden telah mendedahkan program pengintipan AS di beberapa negara selepas tragedi serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001. Snowden kini mendapat perlindungan di Jerman selepas menggegarkan pentadbiran Barack Obama dengan pendedahan itu.

Pendedahan ini membuktikan sikap sebenar AS sebagai "polis dunia" yang bebas mencampuri hal ehwal negara lain dengan menggunakan lesen untuk memerangi keganasan. Selepas tragedi serangan 11 September 2001, AS melancarkan perang ke atas Afghanistan yang didakwa sebagai paksi kejahatan.

Selepas Afghanistan hancur dan digantikan dengan kerajaan boneka, AS beralih menyerang Iraq atas alasan Iraq membangunkan loji senjata nuklear. Tujuan sebenar ialah mahu menjatuhkan Presiden Saddam Hussein yang menjadi ancaman kepada Israel, sekutu AS di Asia Barat.

Apa yang dilakukan kepada Iraq dan Afghanistan, boleh berlaku juga kepada negara-negara lain yang dianggap menjadi ancaman kepada AS. Maka kita tidak boleh menganggap tindakan mengintip sebagai satu isu kecil dan cuba menyapunya ke bawah karpet.

Kalau benar pihak risikan AS mengesyaki ada pengganas di negara ini yang membahayakan AS, mereka boleh sahaja meminta bantuan pihak keselamatan Malaysia. Tetapi bertindak di luar pengetahuan tuan rumah adalah satu pencabulan dan menafikan kedaulatan.

Akhbar The Washington Post Ogos lalu telah mendedahkan satu dokumen sulit mengenai peruntukkan yang dipanggil "black budget" dalam belanjawan 2013. "Black budget" telah mendapat peruntukan yang besar iaitu AS$52.6 bilion untuk program perisikan dan pengintipan.

Dokumen setebal 178 halaman yang disediakan oleh Program Perisikan Kebangsaan memperincikan kejayaan, kegagalan dan matlamat 16 agensi perisikan AS yang dianggotai oleh 107,035 kakitangan.

CIA didakwa meminta peruntukan sebanyak AS$14.7 bilion bagi tahun 2013, 50 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan kepada Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA). Serangan ke atas WTC menjadi titik mula penstrukturan agensi perisikan AS apabila membelanjakan lebih AS$500 bilion sejak 2001 hingga sekarang.

Sebenarnya belanja untuk perisikan tidak pernah didedahkan kepada umum. Tetapi penganalisis menganggarkan semasa Perang Dingin tahun 1980-an, AS hanya membelanjakan sekitar AS$71 bilion. Berbanding dengan belanja pasca serangan WTC sebanyak AS$500 bilion menunjukkan risikan dan intipan semakin menjadi keutamaan bagi AS.

Siapa pengampu tu?

Lu Fikir La Sendiri!!!

1 ulasan:

  1. Saudara Putra Merdeka, terima kasih kerana memanjangkan perkara yang baik untuk agama, bangsa dan negara kita. Apa khabar Sungai Limau? Kalau Pas kalah, pemimpin Pas kena berasa malu kerana selama ini Sungai Limau berada dalam tangan Pas kerana Allahyarham Azizan bukan kerana Pas. Jauh berbeza antara Azizan dan Pas. Mereka perlu menilai diri kepada orang Melayu menolak Pas tapi tak tolak Azizan. Kalau Pas menang, Pas malu juga kerana banyak bergantung kepada Faktor Azizan. UMNO menang atau kalah tak rugi apa apa.

    BalasPadam