Khamis, 17 Mac 2011

USUL DEWAN RAKYAT KEATAS RAKYAT DAN NEGARA JEPUN





USUL TAKZIAH RAKYAT DAN NEGARA MALAYSIA KEATAS RAKYAT DAN NEGARA JEPUN DI DEWAN RAKYAT OLEH YAB PERDANA MENTERI PADA 17 MAC 2011

Perdana Menteri akan mencadangkan :

BAHAWA, suatu kejadian gempa bumi bermagnitud 9.0 pada skala Ritchter dan tsunami telah melanda di perairan Honshu, Jepun pada jam 1.46 petang waktu Malaysia hari Jumaat, 11 Mac 2011 kira kira 400km Timur Laut dari Tokyo dan pada masa kini masih berlakunya gegaran susulan;

BAHAWA, gempa bumi dan tsunami itu telah mengakibatkan kehilangan nyawa yang banyak serta kemusnahan yang besar terhadap harta benda dan kerosakan infrastuktur terutamanya di Timur Laut Jepun di mana telah disifatkan oleh TYT Perdana Menteri Jepun Naoto Kan sebagai “malapetaka terburuk sejak Perang Dunia” dan usaha usaha menyelamat masih dijalankan;

BAHAWA, Kerajaan dan rakyat Malaysia menyampaikan simpati dan takziah yang mendalam kepada Kerajaan dan rakyat Jepun serta kepada semua bangsa malapetaka ini termasuklah keluarga dan sahabat handai mereka;

BAHAWA, masyarakat antarabangsa telah bangkit menawarkan bantuan kepada Kerajaan dan rakyat Jepun bagi membantu usaha usaha menyelamat yang sedang dijalankan;

BAHAWA, rakyat Malaysia berkongsi kesedihan dan kesengsaraan yang dialami oleh mangsa malapetaka dan bencana ini;

BAHAWA, disebabkan hubungan akrab yang sedia terjalin antara Malaysia dengan Jepun, rakyat Malaysia menghulurkan tawaran bantuan kemanusiaan untuk meringankan beban mangsa;

BAHAWA, Kerajaan dan rakyat Malaysia menilai tinggi penghargaan Kerajaan Jepun yang berhubung dengan bantuan kemanusiaan yang dicadangkan oleh Malaysia; dan

BAHAWA, rakyat Malaysia melihat Negara Jepun sebagai sebuah Negara yang telah banyak membantu Malaysia mencapai kemajuan dan adalah patut rakyat Negara ini menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Jepun.

DENGAN INI DEWAN mengambil ketetapan seperti berikut:

1. Melahirkan rasa takziah dan simpati yang sangat mendalam kepada Kerajaan Jepun dan semua mangsa atas tragedy bencana gempa bumi tsunami yang telah melanda Jepun pada 11 Mac 2011;

2. Merakamkan penghargaan kepada Kerajaan dan rakyat Jepun atas segala bantuan yang diberikan kepada rakyat Malaysia, terutamanya pelajar pelajar Malaysia yang terjejas oleh malapetaka itu;

3. Menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan dan bantuan dari segi material, emosi dan moral kepada mangsa mangsa bencana dan malapetaka itu; dan

4. Merayu masyarakat antarabangsa untuk terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Jepun.

Tiada ulasan:

Catat Komen