Kata mereka, kenaikan tambang bas hingga RM25.97 bagi setiap pelajar itu, dilihat tidak muhasabah sehingga membebankan ibu bapa.

M Sundrawali, 42, berkata, dia dimaklumkan kenaikan tambang bas  sekolah itu selepas anaknya di tingkatan tiga diberikan notis oleh pemandu bas pada minggu lalu.

Menurutnya, anaknya juga dimaklumkan kenaikan tambang bas itu akan bermula pada pertengahan Januari ini.

“Apa yang memeranjatkan saya apabila tambang bas yang dinaikkan terlalu tinggi buat kami penduduk kampung di sini.

“Ini kerana, pengusaha bas sekolah  mengenakan bayaran sebanyak RM44.85 bagi seorang pelajar di kawasan estet berbanding RM32 sebelum ini. Jelas sekali harga baharu dikenakan pengusaha bas membebankan kami (ibu bapa),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sembilan lokasi terbabit adalah Kampung Baru, Kampung Bunga Raya, Estate, Perumahan Awam, Kedai Sungai Dulang, Kunci Air Sungai Dulang, Lorong Sujakyah, Sek. Tanah Lalang dan Kampung Tanah Lalang Darat.

Terdahulu, sekumpulan pelajar dan ibu bapa mengadakan perhimpunan aman di Pekan Sungai Dulang, di sini sebagai simbolik protes berhubung keputusan Persatuan Perusahaan Bas Sekolah Hilir Perak menaikkan kadar tambang bas.

Sundrawali berkata, mereka faham kenaikan harga tambang disebabkan dengan kadar kenaikan harga minyak 20 sen bagi satu liter tetapi caj baharu  yang dikenakan ke atas setiap pelajar agak membebankan mereka yang berpendapatan kecil.

Bagi seorang ibu kepada tujuh anak, Sulasiah Moktar, 42, dari Taman Perumahan Awam berkata, kadar tambang bas sekolah baharu dibuat pengusaha itu, jelas menyusahkan ibu bapa berpendapatan rendah.

Katanya, dia yang tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya dengan pendapatan suami  menganggap kenaikan tambang bas sekolah memberi kesan kerana  kenaikan sebanyak RM16.89 berbanding RM32 sebelum ini.

“Apa yang merunsingkan kami, dua anak kami bersekolah yang menggunakan khidmat bas sekolah tersebut dan terpaksa membelanjakan RM97.78  setiap bulan dan ianya memberi kesan terhadap perbelanjaan hari kami.

“Jika pengusaha mahu menaikkan kadar tambang bas, biarlah berpatutan kerana kami di sini hanya berpendapatan kecil, apatah lagi keluarga saya mempunyai ramai anak-anak  yang perlu bersekolah,” katanya,

Manakala seorang bapa kepada tiga anak, V Kannapan, 47, berkata, dengan gaji diterima kira-kira RM900 hasil bekerja di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran di sini, kurang senang terhadap kenaikan itu kerana menyifatkan ia amat membebankan.

“Apatah lagi, kadangkala pengusaha bas sekolah tidak mementingkan keselesaan penumpang tetapi mengenakan bayaran sangat mahal.

“Saya terpaksa membelanjakan RM89.70  untuk dua orang anak yang menggunakan khidmat bas sekolah dan harga itu tidak berbaloi apabila ibu bapa mempunyai tanggungan ramai anak yang bersekolah,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Abu Salleh Sabdin, 47, berkata, walaupun anaknya tidak menggunakan perkhidmatan bas sekolah itu, rungutan ibu bapa  mengenai kenaikan tambang bas  memberikan mesej jelas kepada pihak berkaitan untuk ambil
tindakan segera.

Katanya, ini kerana kebanyakan penduduk di kawasan itu  hanya bekerja sebagai nelayan pantai mahupun bekerja sendiri dan pendapatan yang diterima rata-rata kurang daripada RM700.

Menurutnya, notis yang diberikan oleh pengusaha bas itu memberikan kadar tambang bas berbeza mengikut jarak satu-satu kampung itu.

“Semakin kampung itu jauh, semakin mahal tambang bas sekolah  mereka kenakan sebagai contoh kadar bayaran dikenakan bagi pelajar yang ditinggal di Kampung Tanah Lalang Darat dikenakan sebanyak RM56.97 berbanding RM32 sebelum ini.

“Kenaikan yang dikenakan itu terlalu mahal dan sebahagian penduduk di kawasan ini tidak mampu dengan kadar tambang bas sekolah yang baharu ditetapkan pengusaha,” katanya.

Ketua Pemuda Pas Kawasan Bagan Datoh, Mustafa Saifuddin berkata, kenaikan yang dikenakan pengusaha bas melebihi daripada 40 peratus.

Katanya, kadar kenaikan tambang bas itu juga diragui kerana tiada arahan  atau surat pekeliling membenarkan pengusaha menaikkan harga tambang.

Menurutnya, pihaknya meminta kepada pengusaha bas untuk mempertimbangkan semula kadar tambang bas yang dikenakan ke atas setiap pelajar yang menggunakan khidmat mereka kerana ianya jelas membebankan ibu bapa mereka.

“Saya faham kenaikan itu selaras dengan kenaikan harga minyak serta servis perlu dilakukan tetapi jangan naikkan tambang bas sekolah terlalu tinggi dan drastik,” katanya.

Sinar Harian akan mendapatkan maklum balas daripada pengusaha bas hari ini.

Lu Fikir La Sendiri!!!