Mesti bersebab..!
Husni menjauhkan diri dari UMNO
Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Najib Razak semalam tidak membawa suatu yang menarik kecuali perletakan jawatan Menteri Kewangan II, Ahmad Husni Hanadzlah. Husni bukan sahaja melepaskan jawatan dalam Kabinet malah semua jawatan dalam UMNO; Bendahari Umno dan Bendahari Agung BN, Timbalan Pengerusi Umno Perak, Timbalan Pengerusi BN Perak, Ketua Umno Bahagian Tambun dan Pengerusi BN Parlimen Tambun.
Tindakan tegas Husni dilihat memberikan tamparan hebat kepada Najib di sebalik banyak pemimpin dalam UMNO yang memburu jawatan dan kedudukan yang tinggi, tertinggi dan paling tinggi. Apa lagi Husni tidak memberikan alasan spesifik sebaliknya di atas sebab-sebab peribadi.
Sebagai makluman, Husni telah diarahkan oleh Najib sebagai orang yang bertanggungjawab memberikan kenyataan mengenai skandal 1MDB. Malah Husni adalah individu yang paling tahu apakah yang berlaku sebenarnya di sebalik skandal tersebut.
Berdepan dengan kejadian begini, kita perlu membaca yang tersurat dan lebih yang tersirat. Sebagai wartawan saya sama sekali tidak boleh menerima perletakkan jawatan itu suatu yang biasa. Saya melihat ada banyak yang tersimpul di sebalik tindakan Husni itu. Tetapi wartawan tidak boleh menulis kecuali mendapat lampu hijau dari Putrajaya.
Apa lagi cybertrooper pro Najib sudah mulai "menembak" Husni. Kalau cybertrooper yang mempunyai hubungan dengan Putrajaya bertindak demikian, itu bukan tindakan pandai-pandai. Mereka sudah mendapat wahyu kerana mereka mendapat upah untuk menyerang siapa sahaja yang tidak sehaluan dengan tuannya.
Kita yang mempunyai akal dan fikiran jangan "membaca" semua orang meletakkan jawatan benar-benar di atas masalah peribadi yang kononnya hanya individu itu sahaja yang tahu. Biarlah sesetengah pihak cuba untuk memandang ringan apabila ada orang meletakkan jawatan. Hakikatnya mesti ada sesuatu.
Husni seolah-olah mahu menjauhkan diri daripada UMNO sebab itu dia bukan sahaja mengundurkan diri dari Kabinet. Husni telah memboloskan dirinya daripada warna-warna UMNO yang tercalar integritinya apabila dilihat bersekongkol dengan perbuatan yang bertentang integriti.
Karakter Husni sangat jauh berbeza dengan beberapa Menteri yang bertindak sebagai panglima Presiden UMNO, menyerang dan membelasah orang yang tidak sehaluan dengan ketuanya secara melulu, kebudak-budakan, dangkal dan sedikit biadab. Husni bukan begitu, dia hanya bercakap yang perlu sahaja tentang tugasnya sebagai Menteri Kewangan II.
Kalau hendak diistilahkan sebagai "kehilangan", UMNO benar-benar kehilangan seorang pemimpin yang tinggi integriti, bertanggungjawab sekaligus memancarkan pemimpin UMNO yang diperlukan sekiranya UMNO mahu hidup "seribu tahun lagi" (meminjam kata Chairil Anwar).
Lu Fikir La Sendiri!!!