Khamis, 17 Mac 2011

UMNO Berubah VS UMNO Rebah...

Petikan dari MediaRakyat 27 Februari 2011

UMNO BERUBAH VS UMNO REBAH

Hari ini merupakan hari penamaan calon bagi PRK Merlimau dan Kerdau, UMNO yang mewakili BN akan ditentang oleh PAS dipihak Pakatan Pembangkang. Sejarah terpatri apabila PRK ini merupakan PRK yang ke 15 dan 16 dalam hampir 3 tahun sejak PRU Mac 2008 yang lalu. Ianya juga bukan titik noktah menandakan berakhirnya PRK selepas ini kerana bagi Dewan Rakyat ianya hanya akan genap 3 tahun pada 27 April tarikh bermulanya sidang dewan rakyat yang pertama pada 2008 dan DUN terserah pada bilanya tarikh setiap DUN mula bersidang.

Melihat kepada peluang yang ada jelas UMNO dan BN mampu untuk mengekalkan kerusi yang mereka sandang di Merlimau dan Kerdau selama ini. PRK ini pasti merupakan ujian kepada kedua dua Pengerusi Perhubungan UMNO negeri iaitu Melaka dan Pahang bagi mempastikan KPI mereka memimpin UMNO negeri masing masing tercapai dan berkesan.

Dato Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin selaku Presiden dan Timbalan Presiden UMNO telah menunjukkan kesungguhan, iltizam dan semangat kerja yang tinggi bagi meletakkan UMNO kembali ke landasan penerimaan rakyat terutama orang Melayu. YAB Dato Seri Najib telah menggariskan beberapa elemen penting dalam menongkah arus perubahan dan pembaharuan yang mesti dilaksana di setiap peringkat dalam parti.

YAB PM telah menggariskan KPI bagi setiap transformasi yang dilaksana baik disudut pentadbiran kerajaan, ekonomi dan politik. Melihat kepada KPI politik nampaknya banyak perubahan yang telah dibawa dan dilaksana diperingkat pusat, negeri dan bahagian hatta diperingkat cawangan cawangan banyak menampakkan kesegaran dan membugarkan.

Itu sebab dalam banyak PRK yang lalu sokongan pengundi melayu mula kembali kepada UMNO dan jentera UMNO yang dilihat lesu dan gagal menarik sokongan terutama golongan muda telah mula menghasilkan kejayaan demi kejayaan. Elemen yang terpenting ialah apabila wujudnya kesedaran yang tinggi dikalangan ahli parti untuk bekerja didalam satu kumpulan bagi memenangkan calon dan parti. Tak heranlah jentera PAS dan Pembangkang di Bagan Pinang, Galas dan Tenang sebagai contoh sudah mula kehilangan rentak dan moral sejak dari awal PRK kerana melihat akan kekuatan dan kesatuan ahli ahli UMNO.

Begitu jugalah halnya di PRK Merlimau dan Kerdau ini, perubahan menyeluruh ahli parti telah memberikan momentum semangat yang tinggi untuk terus mengulangi kejayaan sebelum menghadapi Pilihanraya negeri Sarawak dan seterusnya PRU yang ke 13 yang akan datang.

Namun apa yang menarik ingin dikongsikan disini ialah masih ada lagi segelintir ahli malah mereka yang berjawatan sebagai pemimpin masih lagi bersifat seperti musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan yang sentiasa menabur cerita buruk dan jelek terhadap parti yang mereka pimpin. Mereka ini masih lagi menyanyi lagu lama yang tidak habis habis memburukkan pemimpin dan parti. Bagi mereka pemimpin lain semuanya tidak baik, tidak betul dan gagal. Kelompok inilah yang kita panggil penyokong UMNO rebah.

Sebelum berjawatan mereka menyalahkan kepimpinan di peringkat pusat, negeri dan bahagian bahawa mereka tidak diberikan peluang seperti mana barisan kepimpinan yang lain, namun setelah diberikan peluang untuk menggalas amanah dan tanggungjawab terbukti mereka gagal menunaikan kewajipan kepada rakyat, ahli dan seterusnya parti. Malah yang lebih malang mereka terus menerus menimbulkan arus perpecahan dikalangan ahli dan parti.

Sebagai contoh semasa PRK Tenang baru baru ini, diberitakan ada dikalangan kelompok UMNO rebah ini yang membuat laporan dan meyebarkan berita bahawa UMNO Johor dibawah Pengarah Jentera pilihanrayanya YAB Dato Ghani Othman gagal dan calon BN Sdr Azhar Ibrahim akan kalah dan jika menang pun hanya sekitar mendapat majoriti 500 undi. Jenis kelompok ini jugalah yang mendendangkan lagu yang sama dalam setiap pilihanraya seperti di PRK Bagan Pinang, Galas dan Batu Sapi yang lalu.

Ada satu lagi kelompok UMNO rebah ini yang kerjanya mencatur calon calon yang bakal bertanding didalam pilihanraya umum yang akan datang, mereka ini yang mendabik dada konon mengatakan mereka ialah utusan Perdana Menteri sebok melakukan tugas tanpa gaji walhal kerja hakiki untuk menguatkan parti terus terabai dan ditolak ketepi.

Kesannya ada dikalangan ahli parti yang ghairah untuk menjadi wakil parti percaya dan dari itu kerjanya hanya merosakkan pemimpin dan parti dilaman sendiri. Hakikat bahawa apa yang dijelaskan oleh PM ialah mereka yang rajin turun padang, diterima oleh ahli dan pengundi ialah calon winnable candidate menjelang pilihanraya nanti. Itu mereka tolak tepi!

Cukuplah...UMNO ini parti orang Melayu, parti siasah yang selama ini hidup teguh berdiri dengan kelazimannya sendiri. Takkan boleh kita melakukan kerja Perdana Menteri, soal calon kita perlu menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya. Tak payahlah dikocak kejernihan dan keharmonian yang sedang dibina oleh YAB Perdana Menteri.

Apa yang baik ialah ahli UMNO yang sedar dan berubah ini lebih besar bilangannya dari ahli UMNO rebah ! Maka atas dasar itulah YAB Perdana Menteri dan para kepimpinan tertinggi parti dapat terus menabur bakti dalam melakukan apa jua transformasi. Jangan dipeduli mereka yang rebah menanah ini, ada tak menambah, tak ada tak pulak mengurang...Parti perlu diperkukuh! Kerajaan perlu diperteguh! Dato Seri Najib perlu kekal dan kuat mentadbir parti dan Kerajaan Melayu Berdaulat ini...

Fikir Fikir La...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan