Rabu, 30 November 2011

Muhyiddin Memula Jurus..!


TEKS UCAPAN PERASMIAN WANITA, PEMUDA & PUTERI UMNO

YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO

-----------

“MENUNJANGI SURVIVAL BANGSA: SUATU JIHAD”

-----------
DI MAJLIS PERASMIAN SERENTAK PERSIDANGAN PERWAKILAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2011



Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

YB Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Pergerakan Wanita

YB Sdr. Khairy Jamaluddin
Ketua Pergerakan Pemuda

YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin
Ketua Pergerakan Puteri

YB Naib-Naib Presiden UMNO

YB Setiausaha Agung UMNO

Ahli-Ahli Majlis Tertinggi

Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri

Saudara-saudari sidang perwakilan dan para pemerhati sekalian.

1. ​Marilah kita dahului dengan sembah tahmid ke hadrat Allah S.W.T. dan selawat serta salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita bersama-sama berhimpun pada malam yang bersejarah ini untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bagi tahun 2011.

2.​ Perhimpunan tiga sayap penting parti UMNO ini adalah kemuncak manifestasi suara akar umbi umat Melayu yang mahu melihat perjuangan bangsa diperkasa, kesucian agama dibela, kedaulatan pertiwi dipertahan dan keutuhan parti UMNO sebagai gerakan pembela umat Melayu yang tiada galang-ganti ini diperkukuh dan diperteguhkan. Inilah perhimpunan terbesar umat Melayu yang mengangkat suara keramat rakyat dari segenap ceruk desa dan kota, dari segenap lapisan warga, untuk dijadikan suluhan, panduan dan sempadan dalam melayari bahtera di samudera perjuangan meninggikan agama, memartabatkan bangsa, mendaulatkan nusa dan menobatkan siasah parti UMNO yang tercinta.

Kesatuan kita ini ibarat kata pepatah Melayu:

Bulat Air kerana Pembetung
Bulat Manusia kerana Muafakat
Kata seia kata sepakat
Setuju sependirian setuju sependapat
Kata dibulati kata bertepati
Janji termeteri, kejayaan dinikmati

3.​Maka dalam semangat Maal Hijrah, marilah kita perkukuhkan kesatuan hati sesama kita, marilah kita semarakkan muafakat yang membawa berkat, supaya terpancar darinya sinar azimat yang menyuluh lorong-lorong perjuangan kita. Demikianlah ajaran junjungan besar kita Rasulullah s.a.w. yang membentuk kesatuan Ansar dan Muhajirin, yang mendamaikan permusuhan ‘Auz dan Khazraj.

4. Sesungguhnya, harapan umat Melayu terhadap UMNO tinggi menggunung. Sebagai parti yang tertubuh atas semangat kental perjuangan, UMNO memikul amanah besar untuk terus membela kesucian agama, menjulang maruah bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara. Di atas jemala UMNO, terhimpun sejuta harapan dan cita-cita umat Melayu yang mahu melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang bermaruah, bermartabat dan merdeka jiwanya.

Kuasa Politik Melayu Goyah, Fitnah Terhadap UMNO

Saudara dan Saudari Sekalian,

5.​Langit tidak selalunya cerah, laut tidak selalunya tenang. Tsunami politik yang melanda ketika Pilihanraya Umum 2008 dilihat oleh banyak pihak sebagai titik mula perubahan lanskap politik yang ketara di negara kita. Barisan Nasional kehilangan majoriti dua per tiga di Parlimen. Kedudukan UMNO dan parti-parti komponen BN tidak sekuat dahulu. Kuasa politik Melayu semakin goyah.

6.​Tidak semena-mena timbul persepsi bahawa UMNO tidak lagi mampu untuk membela nasib orang Melayu. Malah, pelbagai tuduhan liar dilempar kepada UMNO. Ada yang kata UMNO tidak berbuat apa-apa untuk orang Melayu selama 54 tahun memerintah; UMNO parti rasis; UMNO pemuflis negara; UMNO anti-demokrasi; malah ada yang mengatakan UMNO adalah ibu segala kejahatan. Na’uzubillahi min zalik.

7.​Segala fitnah terhadap UMNO ini ibarat api yang memamah setiap helaian jasa dan bakti UMNO. Malah, dalam zaman fitnah yang menggila ini, pemimpin nombor satu kita tidak terkecuali daripada menerima percikan api fitnah. Hinggakan keheningan mengerjakan ibadah haji pun diganggu oleh kilang-kilang fitnah yang bekerja lebih masa. Kepada YAB Presiden, usah resah, usah gelisah, usah gundah, usah gulana. Teruskan perjuangan. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, ke lautan sama direnangi. La takhaf wa la tahzan innallāha ma’ana.

8.​Sesungguhnya, percikan api fitnah mereka menyambar dan merebak ke segenap sudut kehidupan, menyemarak sentimen kebencian. Matlamat penyebar fitnah jahat ini amat jelas - hilangkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin utama UMNO dan meruntuhkan harapan orang Melayu terhadap parti keramat ini. Tujuan mereka tidak lain hanya mahu merampas kuasa politik.

Tembelang Pembangkang

9. Pada masa yang sama, parti-parti pembangkang mengambil kesempatan atas hakisan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum 2008 untuk menunjukkan tembelang mereka yang sebenar. Parti DAP tanpa segan silu membuat kenyataan demi kenyataan menghina Islam dan orang Melayu. Daripada soal kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, segala-galanya cuba dipertikai dan dirobek satu demi satu oleh parti DAP.

10.​Kemenangan DAP di Pulau Pinang dan kejayaannya mendominasi kerajaan pembangkang di Selangor, dan sebelum itu di Perak, seolah-olah memberikan lesen paling besar kepada parti paling rasis ini untuk menyerlahkan sikap cauvinis melampau. Mereka langsung tidak menghormati institusi Raja-raja Melayu, menghina pegawai-pegawai kerajaan yang majoritinya berbangsa Melayu, mencerca pasukan keselamatan dengan penghinaan yang keterlaluan, mempertikai institusi penguatkuasaan, menjatuhkan wibawa institusi kehakiman dan memperkuda sekalangan orang Melayu dengan tujuan mendapatkan kuasa bagi diri mereka sendiri.

11.​Tembelang DAP untuk menubuhkan sebuah negara republik dengan mengetepikan nilai, sejarah dan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berpaksikan kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan semakin jelas kelihatan. Masakan tidak, mereka berani mencadangkan supaya jawatan Perdana Menteri dipilih secara langsung dalam pilihanraya tanpa perlu dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong. Apa maknanya ini? Maknanya, sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembangaan yang kita amalkan selama ini sudah tidak sesuai lagi dengan tembolok mereka untuk melahap kuasa.

12.​Ketika umat Islam bangkit bersatu mempertahankan akidah umat daripada diruntuhkan oleh kumpulan yang berniat jahat, DAP dan konco-konconya, bertubi-tubi mempersenda umat Islam. Semakin nyaring suara umat Islam membela kesucian agama, semakin ghairah mereka menjalankan dakyah jahat ke atas umat Islam atas nama kebebasan beragama. Agenda mereka yang sebenar ialah ingin melihat perpecahan di kalangan umat Islam dan melaga-lagakan umat Islam dengan bukan Islam.

13.​Parti DAP ini tidak pernah melihat apa-apa kebaikan yang ada pada orang Melayu dan Islam. Bagi DAP, walaupun ia mendakwa ia parti demokratik pelbagai kaum, ironinya dari dahulu hingga sekarang DAP hanya dipimpin oleh kelompok tertentu daripada satu kaum sahaja. Atau lebih tepat lagi, dari keluarga tertentu dalam kelompok tertentu dari kaum tertentu sahaja. Namun kita yakin dan percaya DAP tidak mewakili keseluruhan suara kaum itu.

14.​Hari ini kita dengar DAP sedang giat memancing orang Melayu untuk menyertai parti itu. Mereka ditawarkan jawatan dalam parti dan dijanjikan menjadi calon dalam pilihan raya. Jika menang, mereka berpeluang dilantik sebagai ahli Exco atau Menteri Besar di negeri-negeri tertentu. Ganjarannya tampak sungguh lumayan.

15.​Namun, orang Melayu mesti berwaspada. Jangan sampai terpedaya dengan muslihat jahat DAP. Tujuan sebenar parti paling rasis ini bukanlah untuk memberi kuasa kepada orang Melayu, jauh sekali menyerahkan kepimpinan parti itu kepada orang Melayu. DAP hanya mahukan si Melayu yang malang ini menjadi kuda tunggangan yang kerjanya sekadar menjaga kepentingan cauvinis DAP. Orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP adalah pengkhianat bangsa. Janganlah jadi pembelot seperti Si Kitol. Janganlah jadi seperti tikus membaiki labu. Janganlah jadi seperti Pak Kaduk, menang sorak, kampung tergadai. Janganlah sudah terhantuk, baru terngadah. Jangan sampai nasi menjadi bubur. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya. DAP sudah pasti bukanlah parti untuk orang Melayu dan Bumiputera.

16.​Begitulah juga dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). PKR ini ketandusan agenda untuk orang Melayu dan Islam. PKR sebuah parti ultraliberal yang tiada asas moral dalam perjuangannya. Jika tidak, masakan orang yang sedang dibelenggu krisis kredibiliti yang serius terus diangkat memimpin parti itu secara tidak demokratik. Mana mungkin kedudukan agama, bangsa dan negara boleh dijaga oleh PKR jika yang diangkat menjadi pemimpin pun bergelumang dengan masalah kredibiliti.

17.​Ringkasnya, PKR sebuah parti yang amat tenat. Hampir kesemua pengasas parti ini telah meninggalkan parti dan menyokong UMNO. Sudahlah tiada matlamat perjuangan yang jelas, retak dalam parti itu juga sedang menunggu belah. Masing-masing sedang menilik nasib Ketua Umum mereka. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Yang mahu terus timbul, mereka menggunakan pelbagai cara untuk menyucikan Ketua Umum mereka. Yang petah berceramah menggunakan pentas Islam untuk menjaja pelbagai konsep fikah – daripada fiqh maqasid kepada qazaf – semata-mata untuk membela Ketua Umum mereka. Bagi yang berfikiran ultraliberal, mereka mengambil kesempatan atas kemelut moral yang berlaku untuk mewajarkan pelbagai amalan yang bertentangan dengan budaya masyarakat Timur atas nama kebebasan. Mutakhir ini, pemikiran pluralisme agama yang amat mengelirukan umat Islam juga cuba dimurnikan oleh golongan ini semata-mata untuk mewajarkan pemikiran Ketua Umum mereka yang semakin bercelaru.

18.​Walaupun satu pihak dalam PKR menggunakan hujah agama manakala satu pihak lagi menggunakan hujah ultraliberal melampau, matlamat mereka cuma satu, iaitu mempertahankan Ketua Umum mereka. Dari satu segi, PKR dulu, kini dan selamanya tidak pernah berganjak daripada tujuan penubuhannya, iaitu mempertahankan seorang individu. Untuk itu syabas kita ucapkan kepada PKR, walaupun sebenarnya:

Hisap rokok dalam kelambu,
Terbit asap menjadi abu
PKR umpama golok kayu
Tetak tak lut gadai pun tak laku.

19.​Lain pula halnya dengan PAS. Suatu ketika dahulu, PAS begitu komited dengan agenda mendirikan negara Islam. Bagi mereka, Islam adalah ghayah atau matlamat dan PAS adalah wasilah atau alat untuk mencapai matlamat. Mereka begitu komited sehinggakan sanggup menuduh sesiapa sahaja yang tidak menyokong perjuangan parti itu sebagai kafir. Malah, UMNO dikatakan parti taghut kerana tidak menyokong agenda negara Islam acuan PAS. Akibatnya, umat Islam berpecah dan berbalah sesama sendiri lantaran fatwa songsang PAS.

Saudara dan Saudari Sekalian,

20.​Mutakhir ini, tak semena-mena PAS sudah tidak lagi memperkatakan tentang matlamat menubuhkan negara Islam. Tatkala sekali-sekala terpacul perkataan negara Islam dari mulut pemimpin PAS, berpakat-pakat pemimpin PKR dan DAP mengecam PAS. Bagi mereka, negara Islam bukanlah matlamat pakatan politik yang mereka bentuk.

21.​Anehnya, PAS tidak pula mengatakan PKR dan DAP sebagai parti taghut. Jauh panggang dari api, PAS sebaliknya mengangkat kedua-dua parti itu sebagai rakan sekongkol dan sekedudukan mereka. Negara Islam sudah tidak ada lagi dalam kamus politik PAS. Ternyata, tsunami politik yang melanda dalam pilihan raya umum lalu telah menghanyutkan istilah negara Islam dari kamus politik PAS. Bagi PAS, dalam menghadapi lanskap politik baharu ini, sokongan DAP dan PKR lebih penting berbanding mempertahankan prinsip perjuangannya sendiri.

22.​Nampaknya, apa yang berlaku hari ini bukan PAS Ganti UMNO seperti yang dicanang oleh mereka. PAS takkan boleh menggantikan UMNO kerana UMNO tiada galang-ganti. Yang sebenarnya berlaku ialah DAP Ganti PAS. DAP bercakap mengenai Islam, PAS mengiyakan sahaja. Pemimpin DAP menyebut dua tiga patah ayat al-Qur’an walaupun salah, PAS mempertahankan. Pemimpin DAP menggelar dirinya Khalifah Umar Abdul Aziz, PAS memberi pengiktirafan. Pemimpin DAP berceramah, penyokong PAS bertakbir. Tetapi apabila PAS menyebut tentang Negara Islam, pemimpin DAP lah yang pertama sekali mengecam PAS. Dan apabila dikecam, PAS diam seribu bahasa. Apa maknanya ini? Maknanya, DAP lah yang memberi definisi kepada Islam yang dianuti oleh PAS. DAP lah yang menjadi penentu arah aliran Islam yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang. Bukankah ini maknanya DAP menggantikan PAS?

23.​Untuk menutup kegagalan mereka mempertahankan kesucian Islam, PAS mengemukakan agenda Negara Berkebajikan. Kini, mereka mengatakan konsep Negara Islam tidak disebut dalam al-Quran, yang ada hanyalah Negara Berkebajikan. Malang bagi PAS kerana setelah puluhan tahun memperjuangkan negara Islam, tetapi akhirnya mengatakan konsep negara Islam tiada dalam al-Quran. Maknanya, selama ini PAS membohongi umat Islam dengan perjuangan palsu mereka.

24.​Walau apa pun, kita hendak bertanya kepada PAS. Negara Berkebajikan bagaimana yang mereka ingin wujudkan? Yang kita tahu, bekalan air bersih pun tidak mampu mereka sediakan kepada rakyat Kelantan. Bukankah air adalah keperluan rakyat paling asas yang mesti dipenuhi oleh mana-mana kerajaan. Justeru, kita nak katakan kepada PAS, kalau bekalan air bersih pun tak dapat disediakan, janganlah simpan angan-angan hendak wujudkan Negara Berkebajikan. Selesaikan dahulu masalah air di Kelantan, kemudian barulah bercakap soal Negara Berkebajikan.

25.​Sebenarnya PAS bukanlah beriya-iya benar hendak mewujudkan Negara Berkebajikan. Mereka sendiri pun tak faham apa maksud Negara Berkebajikan. Slogan Negara Berkebajikan hanyalah helah politik PAS untuk menutup kelemahan sendiri kerana tergadainya matlamat untuk mendirikan negara Islam. Apa yang penting bagi PAS, slogan Negara Berkebajikan boleh diterima oleh DAP.

Keresahan Melayu

Saudara dan Saudari Sekalian,

26.​Perkembangan mutakhir ini semakin meresahkan orang Melayu. Mereka tertanya-tanya apakah nasib masa depan umat Melayu di tanah air sendiri. Terbangunkah ekonomi Melayu dan Bumiputera jika apa sahaja usaha untuk membantu mereka dianggap sebagai rasis dan berpilih kasih? Apakah orang Melayu dan Bumiputera akan mendapat bahagian yang adil dalam pengagihan kekayaan? Wujudkah peluang-peluang ekonomi untuk orang Melayu dan Bumiputera dalam dunia yang semakin kompetitif?

27.​Bagaimana dengan peluang pendidikan untuk anak-anak Melayu dan Bumiputera? Masihkah boleh mereka bergantung harap kepada biasiswa daripada kerajaan? Apakah ada ruang untuk mereka membangunkan potensi diri dalam rancangan pembangunan modal insan negara? Bagaimana pula dengan peluang-peluang pekerjaan untuk mereka? Selain itu, apakah kedudukan istimewa agama Islam akan terus terjamin? Terbelakah agama Islam jika serangan bertubi-tubi kepada institusi-institusi Islam berterusan? Terpeliharakah kesucian Islam jika parti seperti DAP lebih berpengaruh mentakrifkan Islam?

28.​Seterusnya, orang Melayu bertanya, akan kekalkah kuasa politik Melayu jika pembangkang terus melakukan serangan demi serangan terhadap institusi-institusi Melayu? Mampukah UMNO untuk membela nasib umat Melayu? Mampukah UMNO untuk terus bersuara mewakili mereka seperti dahulu? Mampukah UMNO untuk terus memenuhi harapan orang Melayu? Atau adakah UMNO akan terus terperangkap dalam psikologi politik pasca-tsunami 2008 yang meresahkan orang Melayu?

UMNO Adalah Jawapan Kepada Keresahan Melayu

29. ​Sebenarnya, jawapan kepada persoalan-persoalan ini ada pada kita semua. Sebagai ahli UMNO, sebagai pemimpin UMNO, kita semua memikul amanah besar untuk terus membela agama, bangsa dan negara yang menjadi asas dan matlamat perjuangan UMNO.

30.​Hakikatnya, UMNO telah bangkit daripada rempuhan tsunami 2008. Kita tidak pernah menyerah kalah kepada tujahan kuasa politik pembangkang yang ingin merobek segenap sudut perjuangan UMNO dalam membela orang Melayu. Ketika umat Melayu resah memikirkan apakah ada pembelaan terhadap mereka dalam sektor ekonomi, kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO tanpa rasa apologetik telah menubuhkan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Presiden selaku Perdana Menteri. MTAB bertanggungjawab untuk memastikan penyertaan orang Melayu dan Bumiputera dalam sektor ekonomi terus diperkasa. Lantaran itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) juga ditubuhkan untuk menyelaraskan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi yang semakin kompetitif.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Tiada ulasan:

Catat Ulasan