Kelebihan Amerika ternyata didorong oleh sumber kewangan negara itu sendiri. AS dilaporkan memperuntukkan kira-kira AS$689 bilion (RM2.2 trilion) sebagai bajet pertahanan negara itu, jauh lebih tinggi berbanding negara kuasa besar lain.

Faktor itu memungkinkan AS untuk memiliki sekurang-kurangnya 8,235 kereta kebal dan 15,293 buah pesawat serta 6,665 helikopter.

Aset itu bagaimanapun tidak termasuk kira-kira 10 buah kapal pengangkut pesawat yang memudahkan AS menggerakkan askarnya ke mana-mana negara di seluruh dunia dengan diiringi 71 kapal selam.

Bagaimanapun, setelah 12 hari misi pencarian ditumpukan di Lautan Hindi, AS masih belum menghantar mana-mana kapal selam miliknya yang berpotensi mengesan pesawat MH370.

Pakar Geostrategis, Dr Azmi Hassan yakin penggunaan alat pengesan sonar milik AS mampu mengesan pesawat MH370 yang dipercayai hilang di Lautan Hindi itu.

Katanya, hanya AS memiliki peralatan itu di mana ianya “boleh menjunam ke dalam laut antara 4,000 sehingga 6,000 meter” untuk mengesan sebarang objek yang terbenam.

“Contohnya, apabila alat itu terkena satu objek, katakanlah kapal terbang, bunyi akan dibalikkan kembali dan dengan cara itu, kalau ada kapal terbang berdekatan dengan keadaan bunyi yang dikeluarkan, sonar itu dapat mengesannya; hantaran isyarat yang diterima itu berbeza bergantung kepada objek yang dikesan.

“Itu sajalah peralatan yang boleh diguna kalau ianya jauh di dalam (laut) tanpa ada isyarat kecemasan dikeluarkan (dari kotak hitam)” katanya.

Minggu lalu, Pemangku Menteri Pertahanan Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menelefon Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel bagi mohon bantuan negara itu untuk menggunakan aset mereka yang berkeupayaan mencari di laut.

Menurut laporan Reuters, Tentera Laut AS mempunyai pelbagai sistem sonar yang aktif dan pasif, antaranya berupaya mengesan objek di laut dalam dengan mengeluarkan bunyi ‘ping’ dan memantau bunyi bergema  serta berupaya mendengar bunyi seperti mikrofon di bawah laut.

Kelmarin di Perth, Australia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kapal selam robotik atau dron pemukaan bawah air berkedalaman tinggi diperlukan dalam misi pencarian MH370.
Najib berkata, teknologi itu diperlukan memandangkan jangka hayat bateri pada kotak hitam berbaki dua hari sahaja lagi.

Dron permukaan air bergantung kepada denyutan sonar untuk mencari di dasar laut dan ia pernah digunakan untuk membantu mengesan pesawat Air France 447 yang terhempas di Atlantik pada tahun 2009.

Pentagon, dalam kenyataannya pada 25 Mac lalu memberitahu akan menghantar sebuah dron penyelam milik tentera laut negara itu yang berkeupayaan menyelam sehingga hampir 4,572 meter di dasar laut bagi bantu mengesan serpihan pesawat MH370.

Pengumuman pengerahan kenderaan dasar laut yang dilengkapi sonar dikenali sebagai Bluefin-21, dibuat beberapa jam selepas kerajaan Malaysia mengesahkan pesawat tersebut hilang di Laut Hindi.

Jurucakap Pentagon, Laksamana Muda John Kirby dalam kenyataannya berkata, dron Bluefin mempunyai panjang lima meter dan berat 800 kilogram itu boleh beroperasi lebih daripada sehari dengan kelajuan rendah.

Selain itu, katanya, Bluefin mampu beroperasi pada kedalaman 4,500 meter dan berkeupayaan membezakan objek bertaburan di dasar laut.

Ramai yang melihat AS punya kemampuan untuk membantu secara terus dalam misi pencarian ini.

Bagaimanapun, selepas 28 hari misi pencarian pesawat MH370 itu digerakkan, masih belum ada perkongsian maklumat yang lebih positif diberikan oleh pihak AS.

Misi pencarian MH370 di Lautan Hindi masih belum menampakkan tanda untuk berakhir memandangkan tiada sebarang bukti kukuh dapat dikeluarkan mana-mana pihak.

Justeru itu, ramai yang mempertikaikan keupayaan negara yang turun membantu terutamanya AS.

Lu Fikir La Sendiri!!!