Putrajaya: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penerbangan Malaysia (MAS), Ahmad Jauhari Yahya, disifatkan sebagai individu paling tepat untuk mengendalikan krisis kehilangan pesawat MH370 ketika ini. 

Justeru, desakan pihak tertentu supaya beliau meletakkan jawatan sebagai tidak relevan kerana ia tidak akan menyelesaikan isu kehilangan MH370 sejak 8 Mac lalu, malah mungkin akan lebih merumitkan keadaan. 

Tiada kesalahan 

Bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata Ahmad Jauhari tidak melakukan sebarang kesalahan dalam tugasnya, maka tidak adil mendesaknya meletak jawatan.

Secara kebetulan, insiden itu berlaku ketika beliau menerajui MAS. Mungkin beliau boleh meletak jawatan untuk melegakan perasaan orang (yang mendesak) tetapi adakah tindakan itu mampu menyelesaikan masalah?

Cekap rangka strategi

Apa yang perlu sekarang ialah mencari strategi menyelesaikan keadaan itu dan siapa yang paling tahu mengenainya? Tentulah Ahmad Jauhari. 
Justeru, beliau adalah orang yang paling tepat untuk meneruskannya dan jika kita beri kepada orang baharu (sebagai CEO) pun, belum tentu dalam masa enam bulan dapat selesaikan dan ini akan lebih merumitkan keadaan, katanya kepada BH semalam.

Abdul Aziz mengulas desakan beberapa pihak supaya Jauhari meletak jawatan. Wakil media asing turut beberapa kali bertanya beliau sama ada akan meletak jawatan.

Namun, setakat ini, Jauhari tidak melayan desakan itu, sebaliknya menegaskan bahawa tumpuan beliau adalah untuk menyelesaikan insiden berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan.

Abdul Aziz, ketika ditanya sama ada akan melakukan perkara sama, jika berada di tempat Ahmad Jauhari, beliau yang menerajui syarikat penerbangan itu ketika nahas pesawat MAS di Tanjung Kupang, Johor, pada tahun 1977, menegaskan beliau juga akan melakukan tugasnya sehingga siasatan selesai.

Tegas beliau, walaupun pada awal insiden itu Ahmad Jauhari dilihatnya agak perlahan dalam mengendalikan isu itu, terbukti beliau dapat melakukannya dengan semakin baik sehingga hari ini.

Justeru, saya harap Ahmad Jauhari tidak tunduk kepada sebarang desakan, sebaliknya meneruskan tugasnya. Malah, tindakan meletak jawatan jika berlaku sebarang krisis bukan budaya kita, tidak seperti di negara lain seperti Jepun dan England, katanya.

Lu Fikir La Sendiri!!!