TUN nampak sihat. Bagaimana Tun meneruskan kehidupan ini sebab selepas 10 tahun bersara, Tun nampak masih aktif?
MAHATHIR: Umumnya saya masih boleh bergerak, boleh bercakap, boleh
main kuda pun, tapi memanglah bila dah tua adalah masa-masa sikit
sebanyak, penyakit, batuk penat, itu semua biasa saja. Tapi tentang nak
buat kerja saya buat kerja macam biasa. Saya datang pejabat tiap-tiap
hari bekerja bahkan hujung minggu pun saya dijemput untuk bersyarah jadi
saya kerja sepenuh masa. Alhamdulillah saya masih boleh.
Ada sesetengah orang bila bersara, mereka bersara terus tapi Tun masih aktif, adakah Tun ada sasaran yang nak dicapai?
MAHATHIR: Dulu masa saya jadi doktor saya nasihat sesiapa yang
bersara supaya terus aktif kerana kalau kita bersara, lepas tu kita tak
buat apa-apa kita akan dapat penyakit. Ini saya perhatikan, saya nampak,
saya lihat. Ramai yang bila bersara dia tarik diri dari masyarakat dia
tak boleh nak sihat. Sebab itu saya terima nasihat saya sendiri, iaitu
bila bersara mesti terus aktif dan minat saya masih dalam bidang
politik, sebab itu saya masih aktif dalam politik. Pasal saya nak jaga
kesihatan saya dan saya masih berminat dengan politik yang berlaku dalam
negara kita.
Apa aktiviti Tun selain politik?
MAHATHIR: Saya baca buku banyak, saya tulis itu ini, saya ada blog,
saya tulis juga artikel untuk (The New) Straits Times, untuk Utusan
Malaysia, dan saya dapat surat banyak dari luar negeri saya cuba jawab.
Selain itu ramai yang datang berjumpa dengan saya dari dalam dan luar
negeri dan setakat yang saya ada masa saya cubalah berjumpa dengan
orang. Itulah aktiviti saya. Saya juga cuba bersenam sikit, buat
treadmill, kadang-kadang angkat dumbel, naik kuda, berjalan, itu biasa
sajalah.
Dalam setiap pilihan raya, keadaan bagi parti bertanding adalah
menentukan hidup atau mati". Dalam pilihan raya akan datang, adakah
keadaan yang sama?
MAHATHIR: Keadaan berbeza. Keretakan dalam kalangan masyarakat
umumnya sudah jadi lebih mendalam. Di masa saya dulupun terdapat juga
pembahagian terutamanya dalam kalangan orang Melayu kepada parti-parti
yang berlainan tapi umumnya sokongan kepada UMNO begitu kuat dan ramai
yang lebih berminat untuk menyokong UMNO daripada parti-parti lain.
Apabila ada serpihan pun macam Tengku Razaleigh (Hamzah) menubuhkan
parti Semangat 46 mereka tak dapat tarik banyak ahli UMNO. Datuk Seri
Anwar (Ibrahim) lebih berjaya sikit tapi masih lagi tak dapat
mengalahkan UMNO. Sebab itu pada tahun 1999 kemenangan BN masih lagi
tinggi walaupun ramai juga orang Melayu yang berpendapat bahawa Anwar
telah dianiaya dan dengan itu mereka tak sokong tapi orang Cina sokong
dengan cukup kuat, kita masih dapat dua pertiga.
Tapi selepas itu kita dapat pemerintahan tidak menumpu kepada
keperluan rakyat, sebaliknya lebih utamakan memperkayakan diri dan
sebagainya. Pemimpin juga begitu, pemimpin di semua peringkat pun
masing-masing nak cari peluang daripada politik untuk nak isi poket.
Dengan itu orang pun mula hilang kepercayaan. Hari ini kita dapati
kepercayaan itu belum kembali sepenuhnya. Tapi (Perdana Menteri) Datuk
Seri Najib Tun Razak sekarang ni cuba memulih semula dan sedikit
sebanyak dia berjaya.
Pengundi bawah umur 40 tahun adalah pengundi muda. Senario sebelum
ini macam mana? Sebab ada yang kata 40 peratus daripada pengundi
sekarang berumur bawah 40 tahun. Sebelum ini, macam mana sokongan
golongan muda pada kerajaan?
MAHATHIR: Dulu golongan muda pun dia dapat melalui zaman dulu dan
zaman sekarang. Umpamanya golongan muda dulu melalui zaman yang mana
tidak banyak pembangunan di Malaysia bahkan kita dianggap sebagai negara
membangun yang daif dan miskin. Dan mereka melihat perubahan yang
berlaku dan mereka menghargai perubahan yang berlaku di zaman mereka.
Sebaliknya pemuda sekarang ini mereka dilahirkan setelah negara sudah
maju. Bagi mereka memanglah negara ini begini. Dia tidak pernah
mengalami keadaan yang mana negara miskin, mereka tidak ada peluang
bekerja, tak dapat peluang belajar, tak dapat peluang untuk menjadi ahli
profesional. Dulu tiada. Sekarang ni ia dianggap sebagai perkara biasa.
Dan bila kita anggap sesuatu sebagai perkara biasa kita tidak begitu
menghargai.
Kita menghargai bila kita dapat sesuatu yang kita tak pernah dapat.
Tapi mereka dilahir di zaman negara kita sudahpun maju dan bagi mereka
ini memang keadaan biasa. Jadi dengan itu mereka tidak menghargai
sebaliknya mereka terdedah dengan pengaruh-pengaruh dari Barat umpamanya
berkenaan kebebasan dan macam-macam lagi dan mereka berpendapat mereka
belum cukup bebas. Masih lagi tersekat dalam perkara itu dan ini. Mereka
lihat di Barat sana semuanya bebas, apa juga boleh dilakukan, ini yang
menyebabkan mereka berasa tidak puas hati lagi.
Mereka nak kebebasan yang lebih lagi, yang bertambah dan sebagainya,
dengan itu mereka ingin melihat perubahan berlaku. Bagi mereka perubahan
akan datang hanya kalau parti lawan menang. Pasal parti lawan ini janji
untuk membawa perubahan. Apa juga yang dikatakan oleh pihak BN
umpamanya tidak berkesan. Walaupun benar dan nyata tapi tak berkesan
kerana mereka taksub dengan kepercayaan bahawa perubahan pemerintahan
akan membawa perubahan dalam kehidupan mereka. Sebab itu keadaan
sekarang berbeza dari dulu.
Pendekatan yang diguna pakai Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin
berbeza dari dulu untuk mendekati orang muda, adakah pendekatan itu
nampak berjaya?
MAHATHIR: Ada kejayaan tapi tak mencukupi kerana kedudukan parti
sudah jadi begitu, dalam persepsi orang, kurang baik. Sebab itu susah
untuk mendapat balik sokongan.
Mungkin ada banyak lagi yang perlu dilakukan beliau?
MAHATHIR: Dia pun tak ada masa banyak dah, tak lama lagi nak ada
pilihan raya, nak buat apa dah. Bila-bila masa, jadi nak kena turun, nak
jumpa seberapa banyak rakyat apa semua, susah. Jadi, ada la masalah.
Masing-masing akan keluarkan masalah baru dan untuk menangani
masalah-masalah ini memerlukan masa, dan dia sekarang ni tak ada masa
dah. Tapi saya pikir dia dah usaha secukup mungkin. Dia bekerja keras.
Pengalaman Tun sendiri macam mana? Bila tiba pilihan raya, nampak
banyak tuntutan daripada dalam parti sendiri dan dari luar BN. Mereka
macam mengambil peluang ketibaan pilihan raya ini untuk membuat
tuntutan?
MAHATHIR: Masa saya dulu orang tak tahu bila pilihan raya nak ada,
jadi dengan itu belum mereka buat tuntutan, kita ada pilihan raya. Tapi
bila kita tunggu sampai dah nak saat terakhir yang mana kita terpaksa
bubar Parlimen, tidak ada elemen kejutan lagi. Jadi semakin dekat
pilihan raya semakin banyaklah tuntutan.
Tapi apakah Najib perlukan masa?
MAHATHIR: Ya, saya percaya dia perlukan masa.
Tuntutan agak drastik daripada bukan Melayu, macam mana Tun lihat
beliau boleh buat keseimbangan untuk memenuhi tuntutan dari dalam parti
yang diterajui dan dari luar parti?
MAHATHIR: Kita berada dalam keadaan serba salah. Tuntutan yang
dibuat parti lawan menyentuh kedudukan orang Melayu umpamanya. Bila
orang Melayu nak jawab, kalau tak pandai jawab, dia nampak seperti
rasis. Dia terlalu utamakan bangsa daripada bangsa Malaysia jadi kita
dapati orang Melayu tak dapat nak menjawab kerana takut dituduh. Dengan
itu mereka cuma berasa marah. Mereka tak dapat lawan, mereka marah tapi
itu tidak begitu berkesan. Inilah jadi masalah bagi orang Melayu dan
masalah juga bagi kaum-kaum lain kerana kita lihat sekarang ni
perpecahan antara kaum lebih ketara daripada di zaman dulu.
Mungkin ini program sentuhan hati yang perlu ditangani Najib, perlu berusaha lebih ke arah perpaduan?
MAHATHIR: Yalah kita ada 1Malaysia dan sebagainya tapi itu sebagai
slogan. Kita harus dapat sambutan daripada semua kaum tapi saya
perhatikan sambutan itu datang lebih daripada orang Melayu saja.
Jadi masih banyak yang perlu dilakukan untuk bukan Melayu? Bila
dilakukan banyak untuk bukan Melayu, tuntutan dalam parti pun memuncak?
MAHATHIR: Saya fikir tuntutan daripada bukan Melayu banyak layanan
dah bagi. Tapi bila mereka berpendapat mereka akan menjadi penentu dalam
pilihan raya ni, akan timbul lagi macam-macam tuntutan.
Perpaduan dalam parti macam mana, sebab sebelum ini nampaknya kekalahan BN disebabkan dalam parti bukan kekuatan lawan?
MAHATHIR: Saya ingat keadaan reda sedikit. Kalau dulu memanglah
kalau tak dapat jadi calon, akan menentukan calon yang dipilih akan
kalah. Tapi nampak sekarang ini kurang sikit. Ada pengakuan mereka tidak
akan cantas, mereka tidak akan sabotaj, tapi kita tunggulah sehingga
pilihan raya, nak tau sama ada betul mereka pegang kepada janji-janji
mereka atau tidak.
Nasihat Tun kepada mereka?
MAHATHIR: Mereka harus ingat kalau amalan cantas-mencantas ini
diteruskan, kalau mereka jadi calon pun mereka akan kalah, akan dicantas
juga. Yang penting bukan mereka menang, yang penting parti menang.
Untuk parti menang maka calon-calon parti mestilah diberi kemenangan.
Sama ada suka tak suka itu soal lain, pasal dia calon parti kita. Kalau
kita tak bagi dia menang maka parti akan kalah. Parti akan kalah
kedudukan kita tetap akan terancam.
Mesej Tun kepada pengundi Cina?
MAHATHIR: Selama kita merdeka sejak tahun 1957, kerjasama antara
Melayu- Cina-India, MCA-UMNO-MIC-Gerakan ini telah membawa banyak
kemajuan bagi negara kita. Kerjasama ini menyebabkan negara kita jadi
stabil. Sebabnya ialah kerana ketiga-tiga kaum ini bersetuju untuk
kongsi kuasa. Kerana kita berkongsi, bukan UMNO ambil semua untuk UMNO
ataupun MCA ambil semua untuk dia, tapi kita sanggup kongsi. Kerana kita
sanggup kongsi maka negara kita tidak memperlihatkan huru hara, dan
dengan itu negara kita dapat dimajukan. Kalau hari ini kaum
masing-masing nak semua yang mereka tuntut, dan ini mengakibatkan
kaum-kaum lain akan berasa tidak puas hati, maka kestabilan negara akan
tergugat dan kalau kestabilan negara tergugat kemajuan tidak akan
tercapai, ekonomi tidak dapat tumbuh dan kita semua tidak akan dapat
nikmat. Ini patut difahami semua kaum terutama orang Cina yang berniaga.
Mereka tak akan boleh berniaga dalam keadaan rusuhan kaum berlaku.
Di Kedah macam mana peluang BN?
MAHATHIR: Di Kedah dulu kita tak pernah kalah sehingga tahun 2008.
Biasanya kita menang dua pertiga di Kedah. Tetapi timbul perasaan kecewa
dan tidak puas hati dalam kalangan majoriti penduduk Kedah iaitu orang
Melayu. Mereka kecewa dan membuat keputusan untuk tidak menyokong BN.
Mereka mengundi parti lawan walaupun kata mereka pedih, sakit nak undi
parti lawan. Tapi saya dapati sekarang ini mereka sudah kembali percaya
kepada BN dan saya yakin besar kemungkinan BN akan menang di Kedah.
Timbul persoalan siapa bakal Menteri Besar Kedah nanti?
MAHATHIR: Siapa Menteri Besar itu tak penting. Yang penting ialah
kemenangan. Kalau tak menang siapa pun tak boleh jadi Menteri Besar.
Kalau dok main cantas, kalah parti takda la Menteri Besar. Boleh jadi
Ketua Pembangkang, sekarang ini kita ada Ketua Pembangkang di Kedah.
Kalau nak dia kekal jadi Ketua Pembangkang, cantaslah.
Timbalan Perdana Menteri Thailand dikatakan bertemu Tun di Langkawi
untuk cari keamanan di selatan Thai. Adakah berlaku pertemuan itu?
MAHATHIR: Saya ada berjumpa dengan Gabenor tapi saya tak bincang
khusus berkenaan perkara ini. Sebaliknya kita dapati kerajaan mereka
memang nak keamanan tercapai di selatan Thai tapi ia bukan mudah kerana
orang-orang yang memberontak di selatan Thai ini berpecah. Kalaupun ada
yang bersetuju supaya dihentikan rusuhan, ada pihak yang tak bersetuju.
Jadi sementara orang ini mungkin tandatangan persetujuan, yang lain
mungkin akan melakukan serangan bom dan sebagainya. Ini yang jadi
masalah di selatan Thai.
Kalau mereka ada satu badan saja yang berjuang
dan keputusan dibuat oleh badan itu, kita dapat tamatkan rusuhan tapi
setakat ini yang saya tahu mereka berpecah kepada puak-puak dan
kadang-kadang orang individu sendiri yang ambil tindakan.
Tapi adakah wakil daripada pihak kerajaan Thailand datang jumpa Tun baru-baru ni?
MAHATHIR: Adalah jugak.
Jadi bolehkah Malaysia memainkan peranan seperti di Filipina, dengan menghimpunkan puak-puak yang ada kepada satu?
MAHATHIR: Ini sebenarnya masalah dalam negara Thailand, jadi kita
tak boleh langsung aktif. Namun demikian ada orang-orang ini yang
kadang-kadang menyeberang masuk Malaysia. Jadi kita mungkin boleh cuba
pujuk mereka supaya menamatkan perjuangan yang tak mungkin selesai ini
kerana tak mungkin mereka dapat kebebasan. Itu yang patut mereka terima.
Kalau mereka nak hantuk kepala di dinding sampai pecah kepala tak ada
apa nak dapat. Jadi kita kena terima realisme, benda yang benar.
Untuk menjadi sebuah negara maju pada 2020, kita perlu mencapai KDNK
(Keluaran Dalam Negara Kasar) purata enam peratus setahun. Namun pada
tahun lepas dan pada tahun ini, dijangka KDNK akan berkembang sekitar
empat hingga lima peratus sahaja. Adakah ini akan menjejaskan sasaran
menjadi negara maju itu?
MAHATHIR: Kalau kita tidak capai enam peratus tiap tahun dari segi
angka mungkin kita tidak capailah. Tapi kita berpendapat bahawa yang
dimaksudkan dengan negara maju adalah dalam acuan kita sendiri. Yang
penting rakyat dapat kemudahan-kemudahan infrastruktur tidak terhad
kepada bandar-bandar sahaja tetapi di kawasan luar bandar juga. Kalau
kita ambil kira sekarang ini di Kuala Lumpur sudah pun sampai ke tahap
negara maju tetapi kita perlu tumpu kepada kawasan-kawasan yang
terpencil.
Adakah kadar nisbah hutang kepada KDNK pada tahap 53 peratus dianggap masih sihat"?
MAHATHIR: Saya ingat masih lagi sihat. Pendapatan kita masih
meningkat. Dagangan kita masih positif. Jadi walaupun kita kira 50
peratus, kita harus ingat negara seperti Greece umpamanya hutang dia
lebih dari 100 peratus. Dia tidak mungkin bayar. Kita masih boleh bayar.
Kita masih boleh bayar dan sekarang ini kita nampak pelaburan
keuntungan tinggi. Dulu masa saya dulu Maybank untung RM300 juta kita
anggap besar. Sekarang Maybank untung RM6 bilion.
Adakah dagangan kita masih bergantung kepada Barat.
MAHATHIR: Kita tidak lagi bergantung kepada Barat. Barat sudah
merosot. Eksport kita ke Barat pun tidak boleh meningkat dan Barat juga
tidak mampu untuk melabur sekarang ini. Kita lihat pelaburan datang dari
Timur dan dagangan kita dengan Timur pun meningkat. Dagangan kita
dengan negara China umpamanya sudah baik cukup tinggi. Dagangan kita
dengan ASEAN juga meningkat. Jadi kita tidak perlu nilai kemajuan
ekonomi negara kita berasas kepada Barat. Sebaliknya kita ambil
keseluruhan dunia dan daripada segi keseluruhan dunia kita dapati bahawa
eksport kita masih meningkat, lebihan kita masih meningkat.
BNM (Bank
Negara Malaysia) mempunyai simpanan sebanyak AS$42 bilion... Dulu masa
saya AS$30 bilion sahaja. Simpanan kita memang besar, simpanan kita
tinggi, umpamanya di Tabung Haji. Kita ada simpanan dalam PNB
(Permodalan Nasional Bhd), dan simpanan macam-macam termasuk juga Felda.
Ini simpanan cukup besar. Kita ada simpanan yang cukup besar dan cukup
tinggi.
Tun pernah mengatakan negara akan muflis jika kenaikan gaji tidak
seiring dengan produktiviti. Kerajaan hari ini telah menaikkan gaji
penjawat awam dan menekankan tentang KPI (Petunjuk Prestasi Utama).
Adakah Tun masih berpegang kepada kenyataan Tun sebelum ini?
MAHATHIR: Saya masih berpendapat kenaikan gaji mesti disertai dengan
produktiviti kalau tidak kita punya kos tinggi. Kita tidak lagi
kompetitif dalam pasaran dunia. Sebaliknya negara kita adalah negara
dagang yang kemajuannya bergantung kepada dagangan. Kalau kita tidak
bersaing dengan negara-negara lain maka sudah tentu prestasi ekonomi
kita akan merosot sebab itu amat penting kenaikan gaji diimbangi dengan
kenaikan produktiviti.
Juga kita perlu ingat bahawa bila kita naik gaji kosnya cukup tinggi kerana, umpamanya kita ada gaji minimum. Gaji minimum ini kita nak tentukan kita kena kaji dengan cukup mendalam pasal bila kita naik gaji satu orang, katakanlah gaji dia RM700 kita naik RM900. Orang yang mendapat RM900 sekarang ini dia tengok orang di bawah naik gaji sama dengan dia mengakibat dia tidak puas hati dan dia nak naik gaji juga. Bila dia naik orang lain di atas dia pula berasa tidak puas hati. Sampai ke atas sekali. Bermakna bukan naik RM200 saja, ini naik berjuta-juta kerana seluruh skim gaji perlu disesuaikan dengan kenaikan gaji minimum.
Juga kita perlu ingat bahawa bila kita naik gaji kosnya cukup tinggi kerana, umpamanya kita ada gaji minimum. Gaji minimum ini kita nak tentukan kita kena kaji dengan cukup mendalam pasal bila kita naik gaji satu orang, katakanlah gaji dia RM700 kita naik RM900. Orang yang mendapat RM900 sekarang ini dia tengok orang di bawah naik gaji sama dengan dia mengakibat dia tidak puas hati dan dia nak naik gaji juga. Bila dia naik orang lain di atas dia pula berasa tidak puas hati. Sampai ke atas sekali. Bermakna bukan naik RM200 saja, ini naik berjuta-juta kerana seluruh skim gaji perlu disesuaikan dengan kenaikan gaji minimum.
Dalam Proton, Tun pernah berkata bahawa Proton tidak akan
mengeluarkan kereta murah lagi, jadi adakah ini bermakna harga kereta
itu akan naik atau ia datang bersama kualiti?
MAHATHIR: Ia akan naik, tetapi di samping itu, kualiti kereta itu
akan ditingkatkan, seumpamanya Preve yang baru kita lancar ini, dia
dilancar pada masa ia belum sedia dilancar, dengan itu, 1,000 kereta
pertama yang dilancar itu mempunyai banyak masalah. Tetapi pengurusan
Proton sekarang ini sudah mengenal pasti masalah ini dan betulkan, jadi
ia adalah satu kereta yang mempunyai teknologi tinggi yang lebih kurang
sama dengan kereta-kereta yang lain. Jadi saya harap gambaran pertama
berkenaan dengan Preve ini dapat dihapuskan, dan mereka akan menggunakan
Preve kerana fungsinya cukup baik dan tidak seperti masa ia
dilancarkan.
Pada masa ini adakah Proton akan kembali dibanggakan kerana sekarang
ini jenama-jenama seperti Toyota, Honda telah mengambil alih TIV?
MAHATHIR: Saya dapati bahawa kita sahaja amalkan dagangan terbuka
ini, kita buka negara kita kepada import tambahan, dengan itu kereta
dari negara asing masuk, mereka dikeluarkan oleh syarikat-syarikat
gergasi yang mana overhead mereka sudah pun dihapuskan, ia dah pulih
semua. Jadi dia boleh jual dengan harga murah di sini kerana pasal dia
dah dapat balik dah pelaburan dia, melunaskan sepenuhnya. Ini kerana dia
keluar katalah untuk satu model baru, dia keluar satu juta unit,
dijualnya di negara lain lebih daripada 900,000 kereta dan di Malaysia
dia jual 50,000, ini dia kurangkan separuh harga pun dia masih untung.
Tapi Proton tak boleh buat macam itu kerana kita keluar 150 biji kereta,
bermacam-macam model, kita punya kos overhead sangat tinggi, kalau kita
disuruh bersaing dengan pengeluar kereta daripada negara maju, sudah
tentu kita tak mampu, sebab sekarang jualan Proton turun dari 80 peratus
kepada 26 peratus dan kita dapati orang Malaysia sendiri tidak percaya
kepada Proton. Kalau harga murah pun mereka tak beli juga, kalau kualiti
baik pun mereka tak beli pasal masing-masing nak beli kereta import
sebab reputasi dia lebih baik, tapi kalau kita nak maju kalau pasaran
sendiri tak menolong kita, mustahil kita boleh dapat bantuan daripada
pasaran lain.
Jadi adakah ini bermakna bahawa Proton harus fokus kepada pasaran eksport?
MAHATHIR: Ya, kita mesti, dan akan pergi ke pasaran eksport, ini
memang rancangan kita, kerana pasaran domestik ini kecil, kalau kita nak
keluar katalah 500,000 setahun, kita mesti pergi pasaran eksport,
tetapi di masa yang sama pasaran domestik mestilah menerima kita. Kalau
kita buka negara kita kepada import begitu banyak, walaupun Proton
mengeluarkan kereta yang berkualiti dan harganya murah, tetapi kereta
asing dia jual banyak mana pun, dia boleh turun harga RM10,000, Proton
tak mampu. Ini kerana dia untung di tempat lain, dia nak bagi turun
harga di sini supaya dia dapat menembusi pasaran, itu mudah bagi dia.
Bagaimana pula pandangan Tun tentang inisiatif teknologi hijau?
Tun M: Yang inisiatif hijau sebenarnya kita banyak bercakap mengenai
inisiatif hijau, kebanyakan orang tak sedar. Sebenarnya semua jenis
kereta gagal. Yang membuat kereta elektrik dari negara-negara maju,
semuanya gagal, semuanya tak boleh capai sasaran yang ditentukan. Jadi
kita sedang berusaha, tapi kita juga tak capai, demikian juga dengan
teknologi hibrid. Hibrid pun belum maju dan kos bateri kadang-kadang
begitu tinggi sehingga satu jenama kos kereta itu empat kali ganda. Jika
empat kali ganda... siapa nak beli? Sebab itu sehingga sekarang
walaupun ada subsidi kerajaan, kereta masih tak laku. Yang ini
kebanyakan daripada wartawan Malaysia pun tak tahu, tetapi sepatutnya
buat kajian tengok apa jadi kepada syarikat-syarikat yang mengeluarkan
kereta elektrik seumpamanya kenapa dia tak boleh jual. Kenapa harga kos
bateri sangat tinggi? Satu bateri RM1,000, kalau kita pakai 24 bateri
RM24,000, itu kos bateri sahaja, kadang-kadang lebih daripada itu. Jadi
soalnya kalau kita nak hijau kita kena bayar, tapi siapa nak bayar, dia
tengok oh itu pasal lebih baik bayar, ...ICE punyakah, enjin "internal
combustane".
Tun pergi (lawat) LIMA (Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi) tahun ni?
MAHATHIR: Kena pergi la... saya seronok tengok kapal terbang.
Tun akan mencapai umur 88 tahun ini, dan biasanya bagi orang Cina
angka 88 itu ong (bertuah). Jadi apa harapan Tun untuk tahun ini?
MAHATHIR: Tak tahulah ong tak ong yang tau saya dah 88. Berapa lama
lagi ada itu tak tahulah, itu yang penting. Orang tua dia pi lah. Orang
muda pun kadang-kadang pergi dulu tapi orang tua dia tetap tak boleh
lari.
Tun masih aktif. Dah 10 tahun bersara tak nampak menurun.
MAHATHIR: Selagi kita sihat, boleh buat kerja, duduk melengung di rumah apa nak buat.
Pasal pilihan raya, macam mana keadaan dengan Pas?
MAHATHIR: Dia boleh balik sertai dengan UMNO tapi kena
diperbetulkan. Macam dia panggil tiga juta ahli UMNO ni kafir, murtad,
takkan kita nak kerja dengan orang yang panggil kita murtad. Dia kena
pegang kepada ajaran Islam. Itu bukan asas ajaran Islam. Dalam Islam
kamu tak boleh kafir orang dengan mudah. Dalam Islam mesti adil, adil
bermakna kamu kena hukum setelah mendengar semua bukti-bukti kata orang
ini kafir. Ini dengan sewenang-wenangnya (Menteri Besar Kelantan Datuk)
Nik Aziz (Nik Mat) kata orang UMNO semua kafir. Kita ada tiga juta orang
UMNO. Bolehkah dengan begitu saja kata orang kafir. Saya ni kafir?
Sekarang ni ada buku keluar (bertajuk) Kafirkah Aku? Ini semua politik.
Ini politik nak menang pilihan raya. Supaya pengikut dia anggap saya ni
kafir.
Pengaruh (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) macam mana?
MAHATHIR: Anwar cuma nak jadi Perdana Menteri. Dia tak kira apa. Dia
punya jiwa pun dia jual. Asal jadi Perdana Menteri ja. Dia buat (parti)
Keadilan bukan pasal keadilan, pasal nak jadi Perdana Menteri. Kalau
dia Perdana Menteri adillah tu. Macam mana pun takpelah.
Tapi kenapa dalam Pakatan mereka tidak mencapai persetujuan siapa nak jadi Perdana Menteri?
MAHATHIR: Dia bukan gabungan. Jangan lupa ini bukan satu gabungan.
BN satu gabungan. Dia ada satu kepala. Kita duduk bersama dalam satu
mesyuarat. Dia tak ada gabungan dia cuma pakat nak menang saja. Lepas tu
bila nak jadi pemerintah, Pas cari belah sini, DAP belah sini, PKR dia
jadi Perdana Menteri yang tu saja.
Sokongan orang muda, Tun nampak macam mana kepada Anwar atau bagaimana?
MAHATHIR: Ada orang muda yang sedar. Tapi ada juga orang muda yang
terpengaruh dengan Barat umpamanya. Terlalu lama BN memerintah kita nak
ubah itu saja. Pasal mereka dilahir setelah kita dah maju. Jadi dia tak
tau keadaan sebelum maju jadi dia tak hargai. Dia dapat biasiswa, dia
dapat pelajaran pun kerana kita. Tapi la ni orang Melayu diajar supaya
jangan berterima kasih, jangan bersyukur. Terima duit RM500 tapi jangan
undi, jangan kata terima kasih. Ini budaya Melayu yang baru. Jangan kata
terima kasih
LU FIKIR LA SENDIRI!!!
LU FIKIR LA SENDIRI!!!
ORG LAIN TUNGGANG KUDA GAK..TP ANUWAR TUNGGANG STAIL LAIN MCM SKET BROOO..'KUDA' TAK LARI TP NAFAS TECUNGAP2 KEHKEHKEHKEH
BalasPadam