Bangunlah Melayu sebelum melayu...
Saya hairan kenapa ada kalangan orang Melayu yang memandang rendah kepada kedudukan Bahasa Melayu (BM), sedangkan bahasa ini pernah menjadi bahasa lingua franca suatu masa dahulu, dipertuturkan begitu ramai sekali. Lebih hebat lagi BM sebagai bahasa perpaduan kalangan bukan Melayu.
Bayangkan ketika interaksi antara dunia luar dengan dunia Melayu. Bahasa apakah yang digunakan? Terutama interaksi antara pedagang (pendakwah) Arab, China dan India yang datang ke alam Melayu.
Mustahil sama sekali Cina, India atau Arab saling bertemu, mereka bertutur bahasa masing-masing. Sudah tentu bahasa pengantaranya adalah bahasa Melayu. Jika tidak, susah mereka nak cari makan di Alam Melayu. Kenapa mereka boleh memaksa diri mereka belajar BM? Kenapa rakyat negara kita, sekian lama tinggal, begitu liat, sehingga ada yang tidak boleh faham dan bertutur? Silapnya di mana?
Justeru, saya amat kagum dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang beriltizam untuk meningkatkan penggunaan BM dengan memberi insentif kepada pengamalnya seperti kenaikan pangkat dan sebagainya. Tidak cukup dengan itu, BM hendaklah dijadikan dasar sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.
Tidak ada sesiapa yang menolak kepentingan bahasa lain, terutama Bahasa Inggeris (BI). Bodohlah sesiapa yang menolak bahasa antarabangsa ini. Tetapi jangan sampai BM seperti hidup segan mati tak mahu. Inilah hakikat yang berlaku sekarang.
Boleh dikatakan seluruh IPTA sedangkan mengalami proses pengInggerisan, termasuk universiti saya bekerja. Lebih malang lagi, semua profesor dan pensyarah diwajibkan menduduki ujian BI untuk menguji level bahasanya. Adakah ini wajar?
IPTS usahlah diceritakan. Telah lama mengalami proses peInggerisan dan pemandarinan seratus peratus. Peliknya kenapa proses pemandarinan boleh berjalan? Adakah kerana kebangkitan kuasa besar China? Bila kuasa India bangkit pula nanti, adakah berlaku proses pengIndiaan? Begitu juga Thailand, Vietnam dan lain-lain.
Alasan yang diberikan, kita menuju proses pengantarabangsaan. Wajarkah identiti negara dikorbankan untuk proses pengantarabangsaan tersebut? Adakah kemajuan sesebuah negara itu bergantung kepada sikap warganya atau kebolehan mereka berbahasa Inggeris?
Jika BI itulah yang menjadi penentu, sudah tentu negara Filipina dan India sudah berjaya kerana negara ini amat mementing bahasa ini. Nasihat saya, betulkan sikap kita dahulu.
Negara lain seperti Cina, Korea, Jepun, Jerman dan sebagainya, termasuk juga Thailand, teramat kuat semangat kebangsaan dan kecintaan terhadap bahasa mereka. Negara-negara ini tetap maju tanpa mengalami proses peInggerisan. Produk-produk mereka, termasuk kereta tetap berkualiti tinggi.
Mereka yang bekerja di Proton, Perodua dan lain-lain GLC, termasuk Tabung Haji, bahasa Inggeris mereka cair, tetapi kualiti produk masih dipertikaikan.
Jika pandai bahasa Inggeris, lebih Inggeris dari Inggeris sekalipun, selagi sikap dan perangai tidak berubah, tidak ke mana-mana juga.
Kita perlu ada dasar yang jelas demi masa depan jati diri negara. Generasi muda ultra kiasu hari ini, sudah langsung tidak memperdulikan kepentingan BM. Mereka hanya mahukan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris sahaja.
Justeru, kenyataan TPM tepat pada masanya. Minta DBP perincikan untuk dimaktubkan sebagai dasar dan beri kuasa kepada DBP untuk melaksana.
Saya mohon ucapan TPM ketika melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 diperhalusi.
Beri keutamaan kepada golongan pensyarah di IPTA dan IPTS menghasilkan karya ilmiah dalam bahasa Melayu. Nilai dan insentif yang tinggi perlu diberikan terhadap hasil karya mereka.
Malangnya, ketika menggubal dasar universiti baru-baru ini, markah yang diberikan kepada penerbitan BM amat sedikit berbanding penerbitan BI. Bila saya membangkitkan perkara ini, mereka berkata, BM bersifat lokal, BI bersifat internasional. Apa-apapun BI mesti diberi keutamaan termasuk menjadi bahasa rasmi universiti. Inilah pemikiran Melayu hari ini. Bukan Melayu usahlah cerita. Kalau boleh perkataan Melayu itu sendiri mereka tidak mahu lihat.
Lihatlah apa sudah jadi dengan Universiti Malaya (UM). UM sedang mengalami proses pembaratan. Malah lebih barat daripada universiti barat. KPI atau SOP mereka bukan lagi Malaysia, tetapi barat. Maklumlah mahu jadi internasional. Malangnya, ranking tidak juga naik-naik. Universiti Islam Antarabangsa, sejak awal penubuhannya menggunakan BI, masih lagi merangkak-rangkak mengejar ranking dunia. Begitu juga dengan UiTM yang begitu kuat semangat Melayunya juga menggunakan BI.
Universiti di China, Jepun, Korea, Jerman dan sebagainya, tidak pula mengikuti proses pembaratan dan peInggerisan. Bahasa yang digunakan tetap bahasa ibunda mereka. Kita, yang melanjutkan pelajaran di sana, mesti belajar bahasa mereka. Ranking dunia mereka tetap berada dalam kedudukan amat membanggakan.
Salah di mana sebenarnya? Ikut barat? Atau kembali melihat kualiti dan kekuatan jati diri. Bangunlah wahai semua naib Canselor dan profesor. Sahutlah cabaran TPM tersebut. Kembalilah menghayati sejarah Melayu! Melayu pernah jadi hebat dengan semangat Melayunya. Wahai para Melayu! Kamu tidak akan ke mana-mana sekadar pandai berbahasa Inggeris, jika perangai kamu tidak berubah dan tidak yakin dengan kekuatan diri.
Saya amat mengharapkan TPM dapat menggariskan satu dasar agar BM tidak menjadi bahasa tumpangan sahaja di universiti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan