Selasa, 15 Jun 2010
MP BN Tolak Pandangan Sempit Idris Jala
Tanggapan Subsidi Jadi Negara Bankrap Hiris Hati Rakyat, Kata Penyokong Kerajaan
KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan hari ini menolak tanggapan bahawa negara mungkin menjadi bankrap jika pemberian subsidi masa kini tidak dimansuhkan.
Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) berkata tanggapan seperti itu dilihat menghiris perasaan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah.
Menurutnya kenyataan itu juga seolah-olah menyalahkan rakyat yang mahu subsidi diteruskan demi kesejahteraan hidup mereka.
"Negara mungkin bankrap?... mana mungkin, kalau (tahun) 2020 negara akan keluar jadi negara maju, tahun 2019 mana mungkin akan bankrap," katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad berharap agar RMK-10 dapat mencapai matlamatnya dengan memberi kesejahteraan kepada rakyat dan tiada lagi masalah kemiskinan serta kesukaran anak-anak miskin untuk bersekolah.
Mohamad yang turut menyokong inisiatif isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang mewujudkan Permata bercadang agar program pendidikan awal kanak-kanak itu dijabatankan kerana ia benar-benar menguntungkan generasi akan datang.
"Permata boleh berikan sumbangan besar kepada generasi hari ini yang akan jadi pemimpin akan datang. Saya berharap Permata ini kalau boleh dijabatankan kerana nilai-nilai yang dikemukakan oleh Permata benar-benar menguntungkan generasi akan datang.
"Kalau isteri perdana menteri ingin berbakti kepada negara apakah kita larang? Apakah kita hendak sekat peranan isteri perdana menteri yang tolong rakyat? Dia boleh berehat di rumah tapi dia ingin berbakti kepada negara maka kita alu-alukan," katanya.
Sebelum itu, semasa mencelah perbahasan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan), Mohamad berkata isu pemberian lesen judi tidak seharusnyadipolitikkan dengan mengaitkan mana-mana parti politik ke atas keputusan yang dibuat oleh kerajaan itu.
"Umno tidak pernah menghalalkan judi. Macam juga kita tak pernah kata Pas halalkan arak walaupun kerajaan Pas Kelantan beri lebih 40 lesen premis arak. Umno tetap kata judi haram, arak haram, zina haram, riba haram. Ini jelas. Jangan kita politikkan," katanya.
Bung Mokhtar dalam perbahasannya sebelum itu berkata beliau bersetuju dengan tindakan kerajaan meluluskan lesen perjudian bola kerana berpendapat ia akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara.
Katanya orang Islam tidak perlu bimbang kerana kerajaan hanya menyediakan platform untuk orang bukan Islam berjudi secara sah dan bukan di pasaran gelap.
Pendapatnya kemudian disanggah Mohd Yusmadi Mohd Yusoff (PKR-Balik Pulau) yang mempersoalkan adakah logik untuk membangunkan negara dengan sumber sebegitu (judi) yang hanya akan mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat.
Katanya banyak sumber ekonomi lain yang boleh digunakan kerana isu judi bukan hanya melibatkan soal halal dan haram tetapi turut melibatkan model pembangunan masyarakat dan kualiti hidup mereka.
Bung Moktar yang bangun untuk menyambung perbahasan berkata beliau tidak menolak respons yang datang daripada pelbagai pihak.
"Cuma pada saya, pendirian saya berbeza. Kita hidup dalam agama majmuk..berbilang kaum maka kena hormati tuntutan dan kehendak kaum-kaum lain.
Persidangan dewan disambung esok. - BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan