Isnin, 7 Jun 2010

Jawapan Kementerian Berkaitan Isu Minyak Blok L dan M

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI JAWAB LISAN
DEWAN RAKYAT

SOALAN 4

PERTANYAAN : JAWAB LISAN

DARIPADA : YB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim
(Permatang Pauh)

TARIKH : 07 JUN 2010

SOALAN : YB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim (Permatang Pauh) minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan kesahan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menyerahkan padang minyak Blok L dan M kepada Brunei dan mengapa isu kedaulatan wilayah perairan Negara tersebut tidak dirujukkan kepada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.


JAWAPAN

Tuan Yang Di-Pertua,

Terlebih dahulu izinkan saya untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh ini bersekali dengan soalan-soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Lanang pada 07 Jun 2010, Yang Berhormat Gua Musang, Putatan dan Ranau pada 08 Jun 2010, Yang Berhormat Selayang dan Pasir Mas pada 09 Jun 2010, Yang Berhormat Tuaran, Marang dan Arau pada 15 Jun 2010, Yang Berhormat Kuala Selangor pada 16 Jun 2010, Yang Berhormat Ipoh Timur pada 17 Jun 2010, Yang Berhormat Rantau Panjang pada 21 Jun 2010, Yang Berhormat Jelutong, Petaling Jaya Selatan, Marang, Kota Raja dan Balik Pulau pada 22 Jun 2010, Yang Berhormat Limbang dan Kuala Krai pada 23 Jun 2010, Yang Berhormat Taiping pada 24 Jun 2010, Yang Berhormat Marang pada 28 Jun 2010, Yang Berhormat Lawas dan Hulu Langat pada 30 Jun 2010, Yang Berhormat Kubang Kerian, Lembah Pantai dan Shah Alam pada 01 Julai 2010, Yang Berhormat Tawau dan Sepanggar pada 06 Julai 2010, Yang Berhormat Pokok Sena pada 07 Julai 2010, Yang Berhormat Tumpat pada 08 Julai 2010, dan soalan-soalan daripada Yang Berhormat Hulu Terengganu dan Subang pada 12 Julai 2010. Ini adalah disebabkan soalan-soalan tersebut menyentuh isu yang sama iaitu berhubung dengan penyelesaian isu-isu tertunggak di antara Malaysia dan Brunei Darussalam.

Izinkan juga saya untuk mengambil sedikit masa bagi menjawab soalan ini kerana ianya agak panjang.

Tuan Yang Di-Pertua,

2. Pada 21 Disember 1979, Malaysia telah menerbitkan satu peta yang menunjukkan sempadan perairan (territorial waters) dan pelantar benua Malaysia. Peta tersebut diterbitkan di dalam 2 Sheet, iaitu Sheet 1 untuk Semenanjung Malaysia, dan Sheet 2 untuk Sabah dan Sarawak. Peta Malaysia 1979 ini disediakan berasaskan kepada peruntukan konvensyen-konvensyen antarabangsa yang berkaitan, prinsip dan peruntukan customary law dan juga persetujuan-persetujuan yang telah dicapai dengan negara-negara jiran yang dizahirkan melalui perjanjian-perjanjian pembatasan sempadan maritim termasuklah Agreement between the Government of Malaysia and the Government of the Republic of Indonesia relating to the Delimitation of the Continental Shelves between the Two Countries, bertarikh 27 Oktober 1969 dan sebagainya. Bagi kawasan-kawasan yang tidak diliputi oleh perjanjian pembatasan sempadan maritim, Peta Malaysia 1979 merupakan manifestasi tuntutan unilateral Malaysia terhadap perairan wilayah dan kawasan pelantar benua. Sehubungan dengan itu, negara-negara jiran yang belum mempunyai perjanjian sempadan maritim dengan Malaysia adalah tidak terikat untuk mengiktiraf tuntutan unilateral ini.

3. Peta Malaysia 1979 telah dibantah negara-negara jiran Malaysia termasuklah Brunei Darussalam. Dalam hal ini, sukacita saya maklumkan bahawa dalam menerbitkan Peta Malaysia 1979, Malaysia telah menjelaskan kesediaannya untuk menyelesaikan apa-apa isu maritim yang timbul secara rundingan dua hala.

Tuan Yang Di-Pertua,

4. Pada tahun 1988, Brunei Darussalam telah menerbitkan peta-peta yang menunjukkan kawasan pelantar benua dan zon perikanannya. Pada tahun 1993, Brunei Darussalam mengisytiharkan kawasan zon ekonomi eksklusif bagi negara tersebut. Berdasarkan kepada peta-peta dan pengisytiharan tersebut, had sempadan pelantar benua dan zon ekonomi eksklusif Brunei Darussalam adalah sejauh 200 batu nautika daripada pesisir pantai Brunei Darussalam. Dalam masa yang sama, peta-peta tersebut menunjukkan bahawa kawasan maritim yang dituntut oleh Brunei Darussalam bertindih dengan kawasan yang dituntut oleh Malaysia berdasarkan Peta Malaysia 1979.

5. Sehubungan dengan itu, Brunei Darussalam mencadangkan agar kedua-dua negara mengadakan rundingan dua hala bagi mencari jalan untuk menyelesaikan isu tuntutan bertindih kawasan maritim tersebut. Rundingan dua hala bagi menyelesaikan isu persempadanan maritim telah diadakan mulai daripada pertengahan tahun 1980-an, termasuklah perbincangan di antara Peguam Negara Malaysia dan Peguam Negara Brunei Darussalam pada tahun 1990 dan perbincangan semasa Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia – Brunei Darussalam pada tahun 1994.

Tuan Yang Di-Pertua,

6. Pada tahun 1997, dua mesyuarat di peringkat pegawai kanan diadakan bagi membincangkan isu persempadanan maritim dan darat di antara kedua-dua negara. Perbincangan yang diadakan tidak mencapai sebarang keputusan dan adalah jelas bahawa kedua-dua pihak tidak berganjak daripada pendirian masing-masing dan ini mewujudkan kebuntuan di dalam perundingan.

7. Pada awal tahun 2002, Malaysia mendapat maklumat bahawa Brunei Darussalam telah memberikan konsesi cari gali minyak dan gas di Blok J dan K (yang merupakan blok-blok yang ditandakan sebagai Blok L dan M oleh Malaysia) kepada satu konsortium yang terdiri daripada Total Fina Elf SA, BHP Billiton dan Amerada Hess. Sebagai tindak balas, Kerajaan Malaysia telah mengarahkan agar PETRONAS turut memberikan konsesi cari gali minyak di Blok L dan M. Susulan daripada itu, PETRONAS telah memberikan konsesi cari gali minyak dan gas di Blok L dan M kepada Petronas Cari Gali Sdn. Bhd dan Murphy Oil. Pemberian konsesi cari gali minyak dan gas oleh kedua-dua pihak ini telah menyebabkan wujud situasi tegang di kawasan tersebut di mana pasukan tentera laut kedua-dua negara telah menghalang kontraktor-kontraktor yang berkaitan daripada menjalankan operasi masing-masing.

8. Pada 23 Mei 2003, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan lawatan kerja ke Malaysia dan bertemu dengan YABhg Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu. Di dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin bersetuju agar pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Luar Negeri masing-masing bertemu untuk membincangkan penyelesaian kepada isu pembatasan sempadan maritim dan darat di antara kedua-dua negara. Kedua-dua pemimpin juga bersetuju agar aktiviti-aktiviti berkaitan dengan cari gali minyak dan gas di Blok L dan M (J dan K bagi Brunei Darussalam) dihentikan. Ini bermaksud satu moratorium ke atas aktiviti eksplorasi dan eksploitasi minyak dan gas telah diwujudkan di kawasan tersebut.



Tuan Yang Di-Pertua,

9. Pegawai-pegawai kanan kedua-dua pihak telah bertemu dan berbincang bagi menyelesaikan isu ini mulai bulan Mei 2003. Sebanyak 29 mesyuarat telah diadakan di antara bulan Mei 2003 sehingga bulan Julai 2008. Beberapa cadangan dan cadangan balas dikemukakan oleh kedua-dua pihak. Rundingan yang diadakan pada 19 Ogos 2007 telah berjaya merapatkan jurang perbezaan dan kedua-dua pihak bersetuju bahawa penyelesaian menyeluruh meliputi kawasan maritim dan darat di antara kedua-dua negara adalah merupakan pilihan terbaik. Rundingan-rundingan selanjutnya telah membolehkan kedua-dua pihak memperincikan cadangan penyelesaian tersebut dari segi substantif dan modaliti pelaksanaannya. Penyelesaian ini telah dipersetujui secara prinsipnya oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam semasa Perundingan Tahunan yang diadakan di Pulai, Johor pada 26 Ogos 2008.

Tuan Yang Di-Pertua,

10. Penyelesaian yang dipersetujui tersebut telah dibincang dan diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada Mesyuarat bertarikh 11 Februari 2009. Penyelesaian tersebut telah dimeterai melalui Pertukaran Surat, dengan izin, Exchange of Letters (EOL), yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, YABhg Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, dengan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam pada 16 Mac 2009.

Tuan Yang Di-Pertua,

13. Elemen-elemen penyelesaian yang terkandung di dalam Pertukaran Surat adalah seperti berikut; Pertama, persempadanan maritim di antara Malaysia dan Brunei Darussalam; Kedua, Aturan Komersial, dengan izin, Commercial Arrangement; Ketiga, persempadanan darat di antara Malaysia dan Brunei Darussalam; dan keempat, akses maritim , dengan izin, maritime access.

14. Izinkan saya untuk menjelaskan satu persatu, keempat-empat elemen yang telah saya nyatakan tadi. Yang pertamanya, berkaitan dengan persempadanan maritim di antara Malaysia dan Brunei Darussalam. Di bawah Pertukaran Surat tersebut, sempadan laut wilayah (territorial waters), pelantar benua (continental shelf) dan zon ekonomi eksklusif (exclusive economic zone) di antara kedua-dua negara telah ditentukan. Penentuan sempadan maritim ini dicapai berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan berkaitan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (United Nations Convention on the Law of the Sea 1982 – UNCLOS 1982). Di bawah UNCLOS 1982, setiap negara berpantai adalah berhak (entitled) kepada laut wilayah (territorial waters), pelantar benua (continental shelf) dan zon ekonomi eksklusif (exclusive economic zone). Malaysia dan Brunei Darussalam merupakan negara ahli kepada UNCLOS 1982 dan mempunyai obligasi dan tanggungjawab untuk melaksanakan peruntukan-peruntukan UNCLOS 1982. Pembatasan sempadan maritim yang telah dipersetujui ini adalah bersifat kekal (final). Dengan adanya sempadan maritim ini, tuntutan bertindih kawasan maritim di antara kedua-dua negara telah diselesaikan.

15. Keduanya, berkaitan dengan Aturan Komersial atau, dengan izin, Commercial Arrangement. Di bawah Pertukaran Surat, bagi maksud Aturan Komersial ini, Malaysia dan Brunei Darussalam bersetuju bahawa dua blok, iaitu Blok CA1 dan CA2 diwujudkan. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Blok CA1 diasaskan kepada Blok L Malaysia (Blok J Brunei Darussalam) dan Blok CA2 diasaskan kepada Blok M Malaysia (Blok K Brunei Darussalam). Dari segi lokasinya, kedua-dua blok ini adalah terletak di dalam kawasan maritim Brunei Darussalam, di mana Brunei Darussalam mempunyai hak-hak kedaulatan (sovereign rights) terhadap sumber-sumber hidupan dan bukan hidupan (living and non-living resources). Walau bagaimanapun, Aturan Komersial yang diwujudkan akan membolehkan perkongsian hasil (revenue sharing) daripada eksploitasi minyak dan gas dilaksanakan. Ini bermaksud, walaupun Brunei Darussalam mempunyai hak-hak kedaulatan (sovereign rights) terhadap sumber-sumber di dalam kawasan maritim tersebut, melalui Aturan Komersial, Brunei Darussalam akan berkongsi hasil tersebut dengan Malaysia. Modaliti kewangan dan operasi bagi melaksanakan Aturan Komersial ini serta penyelesaian isu-isu berkaitan termasuklah isu lapangan rentas sempadan (straddling fields) akan dibincangkan oleh pegawai-pegawai kanan kedua-dua negara, termasuklah pegawai-pegawai PETRONAS. Dalam hal ini, sukacita saya maklumkan bahawa pegawai-pegawai kanan kedua-dua negara telah bertemu beberapa kali bagi memperincikan modaliti kewangan dan operasi ini.
Tuan Yang Di-Pertua,

16. Elemen ketiga adalah persempadanan darat di antara Malaysia dan Brunei Darussalam. Di bawah Pertukaran Surat ini, kedua-dua pihak bersetuju bahawa pembatasan sempadan darat di antara kedua-dua negara akan diselesaikan berdasarkan kepada dua modaliti iaitu:

i) Penandaan (demarcation) sempadan berdasarkan kepada lima (5) perjanjian darat sedia ada yang telah ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Brunei Darussalam iaitu perjanjian bertarikh 4 Februari 1920, perjanjian bertarikh 25 Ogos 1931, perjanjian bertarikh 31 Oktober 1931, perjanjian bertarikh 24 Februari 1933 dan perjanjian bertarikh 4 November 1939. dari tahun 1920 hingga 1939; dan

ii) Penggunaan prinsip watershed bagi kawasan-kawasan yang mana tiada sebarang perjanjian.

17. Penyelesaian sempadan darat ini adalah bersifat kekal dan mengikat (final and binding). Sehubungan dengan itu, sukacita saya maklumkan bahawa apabila kerja-kerja menandakan (demarcate) sempadan kedua-dua negara berdasarkan modaliti yang telah ditentukan ini selesai dilaksanakan, tidak akan wujud lagi isu tuntutan terhadap Limbang oleh Brunei Darussalam.

18. Elemen keempat yang terkandung di dalam Pertukaran Surat adalah Laluan Maritim (Maritime access). Di bawah pertukaran surat tersebut, rakyat dan penduduk Malaysia diberi hak laluan melalui zon maritim Brunei Darussalam dalam perjalanan pergi dan balik dari Sarawak dan hak laluan maritim ini tidak boleh digantung (unsuspendable) oleh Brunei Darussalam. Walau bagaimanapun, undang-undang dan peraturan negara tersebut perlulah dipatuhi di dalam menggunakan hak laluan maritim ini.

Tuan Yang Di-Pertua,

19. Kedua-dua negara yakin bahawa peningkatan hubungan dan kerjasama di antara kedua-dua negara di dalam pelbagai bidang khususnya di dalam sektor perdagangan dan pelaburan akan dapat dipertingkatkan. Dalam hal ini, sukacita saya ingin maklumkan bahawa Kerajaan Brunei Darussalam telah menyatakan komitmen untuk terlibat secara aktif di dalam bidang ekonomi dan pelaburan di Malaysia khususnya di Sabah, Sarawak dan Iskandar Malaysia. Kedua-dua negara juga berbincang mengenai peluang-peluang pelaburan secara bersama di negara ketiga.

Tuan Yang Di-Pertua,

20. Pada masa ini, kedua-dua pihak sedang di dalam proses melaksanakan elemen-elemen penyelesaian seperti yang terkandung di dalam Pertukaran Surat. Pegawai-pegawai kanan kedua-dua negara sedang memperincikan modaliti pelaksanaan tersebut. Dalam hal ini, sukacita saya maklumkan bahawa beberapa buah Jawatankuasa Bersama telah ditubuhkan di antara kedua-dua negara bagi memastikan pelaksanaan yang teratur dan lancar bagi setiap elemen seperti yang terkandung di dalam Pertukaran Surat.
Tuan Yang Di-Pertua,

21. Izinkan saya untuk menjelaskan bahawa elemen-elemen yang terkandung di dalam Pertukaran Surat ini, terutamanya yang melibatkan persempadanan maritim dan darat di antara kedua-dua negara adalah sah dan tidak bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Artikel 2, Perlembagaan Persekutuan menyatakan:

“2. Parlimen boleh dengan undang-undang –
(a) memasukkan Negeri-negeri lain dalam Persekutuan;
(b) mengubah sempadan mana-mana Negeri;
tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan dengan undang-undang yang dibuat oleh Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.”

22. Dalam hal ini, sukacita saya maklumkan bahawa elemen-elemen yang terkandung di dalam Pertukaran Surat khususnya yang melibatkan persempadanan maritim dan darat tidak mengubah sempadan mana-mana Negeri yang berkaitan, malahan mengesahkan sempadan yang wujud di antara Sabah dan Sarawak dengan Brunei Darussalam.

23. Berhubung dengan penyelesaian persempadanan maritim, Artikel 2, Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai kepada kawasan maritim. Ini adalah kerana semua perundangan Malaysia menyatakan dengan jelas bahawa bidang kuasa di kawasan maritim adalah terletak kepada Kerajaan Persekutuan dan bukannya Kerajaan-Kerajaan Negeri. Seksyen 3, Akta Pelantar Benua 1966 misalnya menyatakan bahawa, dengan izin, “all rights with respect to the exploration of the continental shelf and the exploitation of its natural resources are hereby vested in Malaysia and shall be exercisable by the Federal Government.”

24. Selain daripada itu, sempadan maritim yang wujud di antara Sabah dan Sarawak dengan Brunei Darussalam apabila kedua-dua Negeri ini menyertai Malaysia adalah The Sarawak (Definition of Boundaries) Order in Council No. 1518 (bertarikh 11 September 1958) dan The North Borneo (Definition of Boundaries) Order in Council No. 1517 (bertarikh 11 September 1958). Kedua-dua Order in Council ini membataskan sempadan kawasan maritim sehingga ke kedalaman, dengan izin, 100 fathom isobaths. Bagi kawasan selepas kedalaman 100 fathom isobaths, tidak wujud sebarang sempadan di antara kedua-dua Negeri dengan Brunei Darussalam. Kedua-dua Order in Council ini tidak berubah di bawah Pertukaran Surat dan sehubungan dengan itu, tidak wujud sebarang pengubahan sempadan negeri seperti yang dinyatakan oleh sesetengah pihak.

25. Modaliti pembatasan sempadan darat di antara Malaysia dan Brunei Darussalam seperti yang terkandung di dalam Pertukaran Surat juga tidak bercanggah dengan Artikel 2, Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana Pertukaran Surat mengesahkan sempadan sedia ada di antara Sarawak dan Brunei Darussalam seperti yang terkandung di dalam lima (5) perjanjian sedia ada.



Tuan Yang Di-Pertua,

26. Seperti yang telah saya maklumkan di dalam Dewan yang mulia ini sebelum ini, Malaysia berpendirian bahawa isu-isu tuntutan bertindih kawasan maritim atau tuntutan bertindih ke atas ciri-ciri geografi seperti pulau, terumbu dan sebagainya, wajar diselesaikan melalui rundingan dua hala. Hanya apabila rundingan dua hala gagal dan tidak dapat diselesaikan walaupun melalui pertimbangan politik, barulah isu tersebut dirujuk kepada pihak ketiga seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ataupun tribunal timbang tara untuk diselesaikan. Saya ingin tegaskan di sini bahawa rujukan kepada pihak ketiga adalah merupakan opsyen terakhir di dalam mencapai penyelesaian terhadap satu-satu isu tuntutan bertindih.

Tuan Yang Di-Pertua,

27. Pertukaran Surat (Exchange of Letters) pada 16 Mac 2009 telah menyelesaikan isu-isu berbangkit di antara kedua-dua negara. Dengan ini, hubungan dua hala yang sedia terjalin di antara kedua-dua negara telah memasuki fasa baru yang lebih akrab dan memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak. Lembaran baru di dalam hubungan dua hala Malaysia – Brunei Darussalam ini dijangka membuka jalan kepada kerjasama yang lebih erat di antara kedua-dua negara khususnya di dalam bidang pelaburan dan ekonomi. Pertukaran Surat juga menentukan sempadan di antara Sarawak dengan Brunei Darussalam khususnya di kawasan Limbang dimuktamadkan dan tidak akan wujud lagi isu tuntutan Limbang oleh Brunei Darussalam.

LU FIKIR LA SENDIRI!!!

2 ulasan:

  1. Mantap.... Tp akan dibangkang... Nama dah pembangkang... bangkang sampai terkangkang ler kejerrrrnyaaa hikhikhik

    BalasPadam
  2. tuan,apakah kesan dan kelebihan yang Malaysia dapat dari penyerahan ini??

    BalasPadam