Selasa, 14 Disember 2010

Anwar Akan Bersidang Di Dewan Parlimen Israel..!


Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Parlimen Syor Anwar Digantung Enam Bulan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengesyorkan agar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan ekoran dakwaannya mengaitkan konsep "1Malaysia" dengan "One Israel".

Syor dikemukakan dalam laporan Jawatankuasa itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Satu usul dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk membahaskan syor berkenaan di Dewan Rakyat, dan telah tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini.

Usul itu dijangka dibahaskan oleh anggota dewan pada Khamis yang akan memutuskan sama ada syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa itu diterima atau sebaliknya.

Mohammed Nazri pada 22 April lepas telah mengemukakan usul untuk merujuk Anwar pada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ekoran kenyataan yang dibuatnya itu yang mengaitkan firma perhubungan awam Apco Worldwide yang dilantik oleh kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, jawatankuasa bersetuju bahawa dakwaan wakil rakyat Permatang Pauh itu adalah tidak benar.

"Beliau telah menyalahi hak dan keistimewaan sebagai ahli Parlimen. Oleh yang demikian jawatankuasa memutuskan dan bersetuju Yang Berhormat Permatang Pauh hendaklah digantung tugas daripada jawatannya sebagai ahli Parlimen selama enam bulan," katanya dalam laporan jawatankuasa berkenaan.

Menurut laporan itu, jawatankuasa berkenaan juga amat memandang berat tindakan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelurgor) yang secara berterusan membuat pelbagai dakwaan menghina terhadap Pengerusi Jawatankuasa itu.

"Jawatankuasa turut melahirkan kekesalan terhadap kelakuan Yang Berhormat Bukit Gelugor yang tidak menghormati dan memperkecilkan sesama ahli jawatankuasa lain," katanya.

Bagi memastikan perkara seumpamanya tidak berlaku lagi di masa akan datang, Jawatankuasa turut mengesyorkan supaya dikenakan pencelaan kepada Karpal Singh.

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang dianggotai oleh Pandikar Amin, Timbalan Yang diPertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R.Sivarasa (PKR-Subang), Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) dan Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar) yang dipertanggungjawab untuk membincangkan isu dakwaan Anwar terhadap Apco itu.

Karpal Singh dan Sivarasa bagaimanapun menarik diri daripada keanggotaan jawatankuasa itu setelah kalah dalam undi belah bahagi dalam jawatankuasa itu untuk meneruskan pertimbangan kes tersebut berdasarkan surat penjelasan daripada Apco dan handsard Dewan Rakyat. - BERNAMA

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan