Sabtu, 7 Jun 2014

Dirgahayu Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong


Daulat Tuanku..! 
Daulat Tuanku..! 
Daulat Tuanku..!

Semoga Malaysia terus aman dan makmur dibawah naungan Tuanku..!

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah mahu melihat rakyat Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, berkongsi rahmat dan tanggungjawab terhadap tanah air yang berdaulat kerana ia merupakan keunikan dan sumber kekuatan negara.

Seri Paduka juga mahu rakyat mengamalkan sikap toleransi dan saling hormat menghormati bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan Malaysia.

"Sesungguhnya Malaysia adalah satu-satunya negara kita, harta yang paling berharga, lambang maruah dan kehormatan bersama," titah Tuanku Abdul Halim sempena hari ulang tahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka yang disiarkan radio dan televisyen Jumaat malam.

"Kita telah sama-sama buktikan bahawa rakyat pelbagai bangsa, agama, budaya dan gaya hidup dapat hidup bersama dalam keadaan aman harmoni dan saling menghormati," titah Tuanku Abdul Halim.

Seri Paduka seterusnya mahu rakyat sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang dikecapi kerana sikap sedemikian amat penting bagi menghalang mereka daripada melakukan sesuatu yang hanya akan mengundang bencana.

Kepada generasi muda negara, Yang di-Pertuan Agong menasihatkan mereka supaya melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.

"Apa yang telah kerajaan lakukan hari ini akan diwariskan kepada anda semua untuk meneruskan perjuangan pada masa akan datang," titah Seri Paduka.

Dalam pada itu, Tuanku Abdul Halim bangga dengan usaha kerajaan dalam memastikan rakyat diberi peluang saksama dalam mendapatkan perkhidmatan yang disediakan kerajaan dalam bidang pendidikan, ekonomi, perumahan dan kesihatan.

Titah Seri Paduka, usaha kerajaan mengagihkan kekayaan negara adalah selaras dengan prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan.

"Justeru, Beta berharap rakyat terus memberi sokongan dan kerjasama kepada kerajaan untuk terus membela nasib rakyat tanpa mengira kaum, agama, jantina atau daerah," titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong bertitah mereka yang daif dan tidak berupaya tidak dipinggirkan kerana pelbagai program disediakan untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

"Beta sukacita Agenda Transformasi Negara sudah mula membuahkan hasil dan yakin ia akan membawa kemajuan dan kemakmuran yang mampan kepada rakyat dan negara dalam jangka panjang," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim percaya dengan sokongan padu dan kerjasama erat antara pemimpin dan rakyat, negara akan terus melakar pelbagai kejayaan pada masa depan.

Dalam titahnya, Tuanku Abdul Halim menyentuh perlunya dilipatgandakan aktiviti penyelidikan terutama dalam bidang sains dan teknologi demi mencapai matlamat Malaysia menjadi negara industri yang maju dan berpendapatan tinggi setanding dengan negara maju lain di dunia.

Selain itu, Seri Paduka bertitah mengingatkan rakyat supaya melengkapkan diri untuk menghadapi perubahan kesan perkembangan globalisasi dan liberalisasi serta kemajuan teknologi.

Yang di-Pertuan Agong mengambil kesempatan itu untuk bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dan seluruh rakyat Malaysia menghulurkan salam takziah kepada kerabat diraja Perak khasnya dan rakyat Perak amnya di atas kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 28 Mei lalu.

"Marilah kita sama-sama mendoakan semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh," titah Seri Paduka sambil berdoa supaya kerabat diraja Perak diberi ketenangan, ketabahan dan kekuatan serta reda dalam menghadapi ujian itu.

Seri Paduka berdua turut berdoa supaya anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines yang hilang sejak 8 Mac lalu diberi kekuatan dalam menghadapi situasi sukar itu.

"Sesungguhnya Beta amat menghargai dan berterima kasih atas usaha yang dilakukan oleh semua pihak baik dari dalam atau luar negara dalam operasi mencari pesawat MH370," titah Seri Paduka.

Lu Fikir La Sendiri!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan