
GEORGETOWN: Polis sekali lagi menyerbu sebuah 'kasino mini' yang beroperasi lima kilometer dari kaki bukit Mount Erskine di sini, malam tadi dan menahan 11 lelaki yang sedang asyik berjudi.
Ops Dadu yang diketuai Cif Insp Mohd Rozi Aziz itu bermula pukul 7  malam dan polis mengambil masa lebih lima jam untuk menyerbu kawasan  khemah yang dijadikan tempat berjudi berkenaan kerana terpaksa  mendaki  bukit.
Operasi yang membabitkan seorang pegawai dan 15 anggota Cawangan  Judi, Kongsi Gelap dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut itu  dilakukan hasil maklumat awam, kata jurucakap polis kepada pemberita, di  sini hari ini.
"Pada 6 Jan lepas, kita telah menyerbu tempat yang sama dan   merampas segala peralatan yang digunakan, bagaimanapun penganjur judi   berkenaan terus berdegil dan menjalankan kegiatan haram berkenaan. 
"Semasa serbuan itu, 11 lelaki terbabit yang berusia antara 18 dan 58 tahun sedang leka berjudi dan ada yang cuba untuk meloloskan diri, namun gagal kerana polis telah mengepung kawasan itu," katanya.
 Jurucakap itu berkata polis turut merampas wang di meja judi sebanyak RM210 dan pelbagai peralatan judi jenis 'york' dan dadu.
Katanya kadar pertaruhan adalah dari serendah RM10 sehingga RM150,000 bergantung kepada jenis permainan judi.
Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Ahmad   Bakhtiar Kassim yang mengesahkan perkara tersebut berkata kes disiasat  menurut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan sama ada lokasi  perjudian itu dijalankan di atas tanah sewa atau haram termasuk  punca  bekalan elektrik dan air yang digunakan mereka. -- BERNAMA
Lu Fikir La Sendiri!!!
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan