KUALA LUMPUR, 13 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno sedia berbincang dengan Pas sama ada secara rasmi atau tidak untuk menjalin kerjasama demi perpaduan Melayu seperti disaran beberapa pihak.
Sambil menyambut baik saranan itu Timbalan Perdana Menteri berkata usaha menjalin kerjasama antara kedua-dua parti Islam itu bukan satu perkara baru kerana ia pernah disuarakan sebelum ini tetapi tidak dapat dilaksanakan.
“Soal perpaduan antara Melayu sama Melayu bukanlah satu perkara tidak baik, lebih-lebih lagi dalam situasi pada masa kini yang memerlukan bentuk kerjasama yang lebih konkrit terhadap isu termasuk ekonomi, kebudayaan dan institusi beraja serta mewujudkan perpaduan untuk membantu membangunkan ummah dan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean 2010 di sini hari ini.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata terpulang kepada kepimpinan Pas sama ada bersetuju menjalinkan kerjasama itu atau sebaliknya.
Semalam akhbar memetik anggota Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Lokman Nor Adam sebagai berkata bahawa hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya Pas dan Umno bersatu.
Ketika ditanya mengenai kebimbangan sesetengah pihak sekiranya kerjasama antara Umno dan Pas terjalin, Muhyiddin berkata mereka tidak perlu takut kerana kerajaan tetap akan menjaga kepentingan semua kaum.
“Masyarakat bukan Islam jangan rasa tergugat kalau ada usaha sebegitu kerana selama ini pun dengan kekuatan perpaduan Islam, maka negera lebih terjamin selamat dan tiada masalah,” katanya.
Muhyiddin juga berkata kerajaan tidak ada halangan untuk membenarkan siapa-siapa saja menubuhkan pertubuhan asalkan ianya untuk kepentingan rakyat dan negara serta tidak mempunyai muslihat tersendiri.
“Sesiapa sahaja boleh tubuhkan... nak kata Chinese Perkasa ke, Malay ke, Indian Perkasa,” katanya mengulas cadangan Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim baru-baru ini yang mencadangkan agar sebuah Perkasa Cina ditubuhkan. – Bernama
Komen
Alhamdulilah...
Mudah mudahan usaha murni ini akan dapat di realisasikan InsyaAllah... Semoga Allah membuka jalannya agar hasrat baik ini dapat dijayakan. Bersyukurlah kita kerana masih diberikan taufik dan hidayah untuk menggalas amanah bagi mempastikan perpaduan ummah dapat dipertahan!
Wujudnya perpaduan bermakna adanya kekuatan! Adanya kekuatan bermakna segala cabaran pasti dapat dipertahan! Mempertahan kekuasaan menjamin pengorbanan demi masa depan! Masa depan Agama! Masa depan Bangsa! Masa depan Negara!
Akan ada dikalangan puak PAS yang berhaluan kiri, pengikut pengikut Anwaris yang akan mengatakan bahawa mereka mengajak perpaduan agama bukan perpaduan bangsa! Walhal atas asas kukuhnya perpaduan bangsa inilah yang menjaga kedaulatan agamanya...
Ratusan tahun dijajah kerana tiadanya perpaduan bangsa, bertolak dari itu agama tidak dapat dikembangkan sebegini hebat hingga meletakkannya ditempat yang mulia dan sepatutnya, namun terlahirnya UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa telah berjaya menyatukan bangsa ini, dengannya bangsa ini dapat memerintah diatas kaki sendiri seterusnya mendaulatkan negaranya, memelihara dan memartabat agamanya, malah kini menjadi contoh kepada negara negara yang seagama dengannya.
Berfikir dengan mata hati akan terpancar kekuatan akal budi, akal budi yang mulia hanya akan lahir dengan adanya pegangan yang kuat seperti mana yang dianjurkan oleh agama, Sesungguhnya inilah jihad kita sebagai hamba yang bersaudara, hamba yang bernegara.
Kepada Allah Berserah!!!