Baca pendedahan cina ni…
layan..
Jangan perjudikan agenda negara
Saya ucapkan tahniah atas ketegasan Menteri Pendidikan ketika soal jawab di Parlimen, pendirian untuk tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang dikeluarkan oleh Dong Jiao Zong dan sekutunya.
Alasan Menteri, UEC tidak mengikuti aliran pendidikan kebangsaan. Justeru, tidak ada alasan untuk diiktiraf. Ini jawapan seorang negarawan. Apa-apa jua dasar yang bertentangan dengan dasar kebangsaan atau perlembagaan, mesti dimuktamadkan pendirian. Jika tidak, kita tidak ke mana-mana.
Ingatlah wahai pemimpin negaraku, kita sedang membina negara (nation building), bukan membina rumah, yang boleh dibuat sesuka hati. Justeru, bertegaslah, tidak kira menang atau kalah pilihan raya.
Ketegasan yang sama hendaklah juga dibuat dalam isu perebutan tanah antara Kementerian Pelancongan dengan Kebudayaan (KPK) dengan sebuah SJKC Chin Woo, Pudu, Kuala Lumpur.
Pada Julai lalu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bertegas akan mengambil tanah seluas 0.169 hektar yang telah digunakan oleh SJKC Chin Woo secara haram, bagi tujuan membina Kampung Budaya menerusi projek Kota Warisan Kuala Lumpur yang dianggarkan bernilai RM32.5 juta, berhampiran Jalan Pudu.
Menurut KPK tanah tersebut adalah tanahnya dan pengambilalihan akan diambil pada 24 September yang lalu.
Bagaimanapun keputusan itu mendapat bantahan daripada SJKC tersebut, terutama kalangan guru-guru dan ibu bapa, kerana mereka mendakwa tanah tersebut adalah tanahnya. Gelanggang bola keranjang telah dibina di situ sejak 1938. Sedangkan dalam pelan, menunjukkan sebaliknya iaitu kepunyaan KPK.
Untuk makluman, isu ini telah dibangkitkan sebelum ini lagi. Terbaharu, SJKC Chin Woo telah menerima notis pemberitahuan pengosongan tapak gelanggang sukan yang dikeluarkan Pentadbir Tanah Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG WPKL) bertarikh 28 Ogos 2013. Notis tersebut meminta pihak SJKC Chin Woo mengosongkan tapak gelanggang sukan sekolah itu sebelum 23 September 2013. Jika tidak perobohan struktur dan pengosongan akan dijalankan pada 24 September.
Peliknya, pentadbir SJKC Chin Woo dalam tidak dapat menerima keputusan tersebut. Dalam akhbar dan laman sosial ultra kiasu, mereka mendakwa KPK adalah penceroboh.
Apabila KPK mahu mengambil tanah tersebut pada 24 September lalu, kira-kira 300 orang berkumpul bagi membantah hasrat KPK. Akhirnya, pengambilan tertunda. Kita mengalah lagi.
SJKC Chin Woo telah didirikan sejak 75 tahun lalu di atas tanah milik sekolah sendiri yang menempatkan lebih 500 pelajar. Selepas itu, SJKC tersebut telah melakukan pencerobohan ke atas tanah kerajaan dengan membina gelanggang sukan tanpa kebenaran.
Ultra kiasu berhujah jika KPK mengambil tanah tersebut, ia akan menjejaskan aktiviti pembelajaran sekolah itu. Pengosongan dan perobohan tapak itu akan mengakibatkan sekolah kerugian kerana hilang dua gelanggang permainan sekaligus menjejaskan aktiviti persekolahan.
Persoalan saya, apa yang terjejas? Isunya gelanggang sukan, bukan roboh sekolah. Kenapa pejabat tanah tidak dirujuk terlebih dahulu sebelum pembinaan dibuat? Tanah tersebut atas nama siapa? Siapa yang berhak? Biar undang-undang yang menentukan.
Lihatlah betapa liciknya ultra kiasu. Mereka akan mempersalahkan sesiapa juga untuk menjustifikasinya tindakannya. Saya amat pelik dengan ultra kiasu, mereka begitu mempertahankan sekolah Cina, bermati-matian, termasuk gelanggang sukan.
Mereka tidak pernah risau anak-anak mereka tidak boleh berbahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dalam kepala otak mereka, hanya ada Cina, Cina, Cina. Saya juga orang Cina, tetapi saya penting agenda negara dari agenda bangsa.
Lihat isu terbaharu, ketika lawatan presiden China ke Malaysia, Presiden MCA dan NGO-NGO Cina bukan main lagi mencanangkan peri pentingnya bahasa Mandarin kepada rakyat Malaysia. Rakyat disarankan mesti belajar bahasa Cina.
Kita tidak nafikan keperluan mempelajari bahasa asing, malah Islam amat menggalakkan. Persoalannya, wajarkah kita bahasa asing, sedangkan bahasa kebangsaan masih gagap, ada yang langsung tidak difahami.
Peliknya, kenapa MCA dan ultra kiasu langsung tidak ambil pusing kelemahan orang Cina rakyat Malaysia yang begitu ramai yang tidak faham dan boleh berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.
Asyik-asyik hujahnya China akan menjadi kuasa besar ekonomi di rantau ini. Justeru, orang Malaysia mesti boleh berbahasa Cina. Apakah mereka tidak terfikir tentang kepentingan bahasa lain juga, terutama bahasa negara?
Sebelum ini, akhbar The Straits Times Singapura, melaporkan kerajaan Kelantan menggalakkan orang Kelantan belajar bahasa dan budaya Cina. Katanya lima cucu bekas Menteri Besar (Nik Abdul Aziz) juga belajar sekolah Cina, menunjukkan betapa pentingnya bahasa Cina.
Mereka tidak faham di sebalik. Atau sengaja mahu memprogandakan isu ini. Sama seperti anak saya yang belajar di SJKC. Matlamat saya hanya satu, untuk menyunatkan orang Cina satu hari nanti. Memudahkan dakwah. Bukan kerana kepentingan bahasa itu sangat. Saya harap kita semua faham.
Ingatlah! kita belajar bahasa Cina untuk kepentingan dakwah sepertimana saranan Nabi. Bukan untuk mengagungkan bahasa Cina sehingga memperlekehkan bahasa Melayu (Arab) selaku bahasa kebangsaan. Jika majoriti rakyat Malaysia bukan Islam adalah bukan Cina, saya tidak terfikir Tuan Guru Nik Aziz akan menghantar cucunya ke SJKC.
Nasihat saya, jangan sampai cucu Nik Aziz terlebih pandai berbahasa Cina, tetapi tidak boleh berbahasa Arab. Jika itulah yang berlaku, kerajaan Kelantan sudah silap dalam mengatur kehidupan rakyatnya, selaras kehendak Islam, dari segi fiqh awlawiyyat (memahami keutamaan).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan