Membaca adalah pintu ilmu..!
Tulisan Tan Sri Nordin Kadri..
PADA umur 80 tahun Anjang Mat Jelas (bukan sebenar) masih kuat berbasikal ke pekan untuk membeli surat khabar setiap hari. Dia dikurniakan tenaga yang masih munasabah dan mata yang masih terang. Dia seorang sahaja di pekan kecil itu yang masih berbasikal, selain kumpulan remaja yang berbasikal hanya untuk tujuan riadah. Katanya dia kekal berbasikal kerana kira-kira 65 tahun yang lalu cita-citanya ialah memiliki basikal sendiri.
Cita-citanya tercapai semasa dia berumur 15 tahun, selepas tiga tahun bekerja sendiri, melakukan pelbagai pekerjaan di kampungnya. Sebaik saja dia berhenti sekolah pada usia 12 tahun, dia tidak lagi bergantung hidup kepada ayahnya walaupun mereka masih tinggal serumah. Anaknya pula telah bersara sebagai pegawai tinggi kerajaan dan sekarang berumur 60 tahun. Seperti dia, anaknya pada usia 18 tahun juga mengimpikan memiliki kenderaan sendiri. Namun kenderaan yang dimimpikan anaknya bukan sebuah basikal tetapi sebuah skuter.
Semasa anaknya berada di tingkatan lima sekolah menengah kebangsaan aliran Melayu, anaknya bertekad untuk mendapat pekerjaan dengan kerajaan. Dia sangat tahu dengan berkelulusan SPM dia boleh mendapat pendapatan RM230 sebulan. Pada hitungannya, dengan pendapatan sebanyak itu dia mampu membayar ansuran bulanan sebuah skuter.
Itulah cita-citanya. Entah bagaimana pada tahun 1970, UKM ditubuhkan dan bersekali dengan Dasar Ekonomi Baru, tak semena-mena anak Anjang menjadi mahasiswa dan di situ dan ketika itulah cita-citanya memiliki skuter tercapai.
Anak Anjang tamat pengajian universiti dan tidak pernah merasa menganggur walau sehari pun kerana UKM mengamalkan sistem dua kali konvokesyen, iaitu ijazah Sarjana Muda Am selepas tahun ketiga dan Sarjana Muda Kepujian selepas tahun keempat. Anak Anjang mendapat pekerjaan dengan menggunakan Ijazah Sarjana Muda Am sementara dia menunggu konvokesyen ijazah kepujian. Cucu Anjang tidak seperti datuk dan ayahnya.
Dia tidak bercita-cita memiliki kenderaan. Sejurus berumur 17 tahun, dia sudah mempunyai lesen memandu. Dia bergerak sendiri dengan memandu salah sebuah daripada kenderaan bapa atau ibunya. Cita-citanya lain dan sukar difahami. Katanya dia mahu jadi dirinya sendiri. Dia akan marah-marah jika dia dibanding-banding dengan bapanya. Tidak seperti bapanya yang bercakap mengenai job security, bertukar dari satu pekerjaan kepada satu pekerjaan yang lain bukan suatu perkara besar kepadanya.
Bapanya setia dengan jabatan kerajaan sehingga khidmatnya tidak diperlukan lagi. Tidak juga seperti bapanya yang resah kalau terlalu lama tidak menjenguk kampung, cucu Anjang lebih selesa menghabiskan masa dengan kawan-kawan sebaya di bandar raya.
Demikian cerita tiga generasi yang melalui evolusi aspirasi hidup. Kesemua mereka hidup di bumi Malaysia namun mimpi mereka berubah dengan kelajuan yang kian pantas.
Perubahan tiba-tiba menjadi pantas semenjak tahun 1970. Masyarakat Malaysia, terutamanya Melayu pernah digerakkan oleh seruan kepentingan negara, bangsa dan agama. Masyarakat diseru supaya sanggup bersakit-sakit mencapai cita-cita negara dengan alasan apabila negara makmur, maka setiap warganegaranya akan turut makmur.
Tiba-tiba kini seruan itu sudah tidak diterima lagi. Pemerintah negara komunis seperti China dan Vietnam (apa lagi Kesatuan Soviet yang sudah lama berkecai) sendiri mengakui bahawa setiap individu hanya akan sanggup bekerja mati-matian sekiranya dia melihat ada keuntungan untuk dirinya.
Negara China misalnya sudah mula melakukan reformasi tanah dengan membenarkan pemilikan tanah individu berbanding dahulu - tanah adalah milik negara. Dengan adanya pemilikan individu baharulah individu dikatakan sanggup bekerja siang dan malam memajukan tanah masing-masing. Generasi baru mahu melihat kehendak mereka tertunai dahulu sebelum melihat kepada kehendak-kehendak lain. Kehendak-kehendak peribadi itu pula amat pelbagai dan banyak di antaranya tidak pernah terlintas di benak generasi terdahulu.
Realiti semasa
Setiap orang mahu merealisasikan potensi diri masing-masing yang dianggap unik dan tugas negara ialah memastikan segala-galanya ada bagi menyokong ideal baru itu. Ideal itu amat indah sekiranya dunia ini benar-benar tiada sempadan. Setiap individu boleh memilih untuk senang, kebuluran atau mati di mana-mana sahaja. Realiti semasa menunjukkan ideal individu masih dikekang oleh sempadan kenegaraan politik. Di luar sempadan negara politik yang memberi individu itu suatu pengenalan atau identiti tiada sempadan lain yang peduli akan tuntutan-tuntutan merealisasikan potensinya.
Hanya ada dua pasport yang membolehkan individu itu dialu-alu di luar sempadan negaranya iaitu pertama, modal wang dan kedua, modal profesional. Wang boleh membersihkan noda termasuk noda menindas manusia. Sebagai perumpamaan, elok diperhatikan apa yang termeterai antara China dengan Israel dan antara China dengan Palestin semasa lawatan Menteri Luar Republik Rakyat China, Wang Yi ke Timur Tengah baru-baru ini.
Semasa berjumpa Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Wang Yi hanya bersetuju meminta Israel meneruskan rundingan damai, tiada isu lain. Semasa dia berjumpa rakan sejawatnya di Israel, Avigdor Lieberman, dia menandatangani persetujuan membantu Israel menyediakan tapak dan suasana selesa untuk Israel melabur di wilayah Asia dan sebagai balasan, Israel akan memudahkan pemindahan teknologi kepada China. Untuk membolehkan itu terjadi, kedua-dua pihak bersetuju memansuhkan keperluan visa bagi pasport diplomat dan perkhidmatan bagi warganegara dua negara itu.
Kedua-dua negara juga menandatangani persetujuan kerjasama guna tenaga dan setuju memperbanyakkan penerbangan terus antara kedua-dua negara. Itulah perbezaan 'alu-aluan' kuasa besar China kepada Palestin dan Israel meskipun dunia melihat bagaimana Palestin menjadi golongan 'mustadafin' di negaranya sendiri angkara Israel.
Apakah anak-anak muda Malaysia, terutamanya Melayu, sudah memiliki kedua-dua pasport yang dinyatakan sehingga dia akan dialu-alukan di mana saja di dunia ini? Tentu akan ada yang menjawab 'peduli apa' sama ada dialu-alu atau tidak di tempat lain. Soalnya, kian hari negara ini kian dibanjiri oleh orang dari luar dan dengan pantas pula mereka merebut segala peluang mencipta emas dan kehidupan di sini atau dibawa pulang. Pergerakan besar setakat ini seperti sehala.
Dalam konteks ini, hasrat yang dibina semenjak lebih daripada 20 tahun yang lalu untuk warganegara Malaysia berbangga dengan identiti dari negara maju sepenuhnya menjadi amat kritikal dalam tempoh lima atau enam tahun ke hadapan menjelang 1 Januari 2014 ini. Laporan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) mengenai Malaysia amat tidak memberangsangkan dalam perjalanan menuju identiti itu. Laporan itu mengatakan tenaga pekerja di Malaysia jauh lagi di belakang berbanding negara maju berpendapatan tinggi.
Malaysia kekurangan pekerja mahir, pertumbuhan produktivitinya lemah dan daya kreativiti serta inovasinya sangat rendah. Malaysia (terutamanya majikan yang hanya memikirkan keuntungan jangka cepat) bergantung sepenuhnya kepada buruh asing yang digaji murah. Laporan itu juga menyebut bahawa 73.8 peratus tenaga kerja Malaysia adalah buruh tidak mahir yang 47 peratus daripadanya buruh asing yang hanya memiliki pendidikan sekolah rendah.
Kedudukan ini jauh berbanding jiran-jiran Asia seperti Singapura, Taipei dan Korea. Akibatnya pertumbuhan IKS yang sangat penting sebagai jentera pertumbuhan negara maju berpendapatan tinggi terpaksa berjalan seperti kura-kura. Bank Dunia (2010) melaporkan daripada syarikat-syarikat industri di Malaysia yang dikaji, 40 peratus melaporkan mereka terpaksa mengambil masa empat minggu sebelum dapat mengisi kekosongan jawatan berkemahiran, suatu tempoh yang dianggap industri sebagai terlalu panjang mengikut piawai negara maju berpendapatan tinggi.
Demikian pengharapan untuk warganegara Malaysia berbangga dengan identiti warganegara negara maju dengan kebimbangan persiapan menghadapinya bagai dua mempelai yang tidak sekufu. Untuk yang tidak sekufu itu ditransformasikan menjadi suatu tenaga luar biasa, suatu tekanan kreatif diperlukan oleh Malaysia. Adakah mungkin cabaran kenaikan harga pelbagai perkara berkaitan kehidupan yang kelihatan bermula tahun 2014 merupakan suatu latihan dan persediaan untuk mendesak setiap warga Malaysia bekerja kuat meningkatkan pendapatan diri dan keluarga supaya seiring dengan pengharapan mencapai status negara maju berpendapatan tinggi, yang bukan semata-mata impian dan angan-angan pemerintah.
Pemerintah pula bukan hanya ingin melihat lonjakan pertumbuhan KDNK sebaliknya bersusah-payah memahami aspirasi setiap warganegaranya. Slogan 'individu hendaklah tunduk kepada kehendak ramai' dan 'kerajaan tidak boleh memuaskan hati semua orang' sudah menjadi slogan masa silam. Susah? Ya memang susah, rumit dan tegang tetapi itulah yang dinamakan 'ketegangan kreatif' yang perlu diurus. Jika tidak sanggup bersusah mengasah otak mengurus ketegangan itu, tidak usah tampil menawar diri untuk memimpin. Pemimpin yang hanya pandai tersenyum-senyum menghulur salam hendaklah diganti dengan pemimpin tajam akal lagi bijaksana.
Dalam keadaan itu, pemimpin yang baik dari sekarang dan ke hadapan ialah pemimpin yang berkongsi, menyahut dan menunaikan pengharapan warga Malaysia, bukan yang menghabiskan banyak masa melayan kebimbangan dan rungutan.
Warganegara yang baik pula ialah warganegara yang dengan bijaksana menjadikan pengharapan itu suatu ideal kehidupan, bukan dia yang meronta-ronta meratapi hari semalam dan bukan juga mereka yang cepat meminta ganjaran syurga dari masa silamnya, sedangkan perjalanan kehidupan masih panjang dan jauh dari selesai. Selamat menyambut kedatangan tahun baru 2014!
Lu Fikir La Sendiri!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan