Isnin, 22 April 2013

Renungan...



Marahkan nyamuk kelambu dibakar


Tulisan Dr Redhuan Tee Abdullah.
Assalam dan Salam Sejahtera. Para pembaca sekelian, artikel berkaitan pilihan raya yang telah disiarkan dalam Berita Harian akan dipaparkan sebentar lagi.
Sudah dua hari penamaan calon berlalu untuk PRU13. Sebelum itu, nama-nama mereka yang bertanding telah diumumkan oleh parti-parti terbabit. Macam-macam reaksi kedengaran.

Ada yang merajuk kerana tidak terpilih. Tikda kurang yang agresif bertindak balas, membalas dendam dan pelbagai reaksi negatif. Pendek kata, semua mahu menjadi calon. Jarang kedengaran reaksi positif. Apabila tidak terpilih, mereka berkata; Alhamdulillah, syukur, kerana terlepas daripada memikul tanggungjawab yang begitu besar. Ramai lupa atau buat lupa, jawatan di dunia, ada perkiraan syurga dan neraka.

Dahulu, ramai yang takut dipilih menjadi pemimpin, kerana takutkan azab Allah SWT. Apatah lagi memimpin negara. Mereka akan dihisab terlebih dahulu. Hari ini, semua mahu jadi pemimpin, seolah-olah amanah itu hanya suatu permainan untuk mendapat kuasa. Dengan kuasa kita boleh mendapat harta, wanita dan takhta.  

Soal sama ada, menepati KPI (amanah) Allah SWT, boleh menang atau tidak, belakang kira. Yang penting, mahu bertanding. Malang sungguh mendapat manusia seperti ini. Dalam kepala otaknya hanya mahukan kuasa. Ingatkan kita semakin hari semakin matang, rupa-rupanya tidak.  

Hari ini, berbeza dengan zaman dahulu. Persaingan sengit, ramai yang layak dan lebih layak. Mungkin kita sesuai untuk masa lalu, namun tidak relevan lagi untuk masa kini.  Mustahil bagi seseorang pemimpin boleh mengenali setiap ahli untuk dinilai sebagai pemimpin. Biasalah jika ada yang terlepas pandang. Apa yang penting, bersangka baik jika tidak terpilih. Pun begitu, sedih juga melihat pemimpin berakhlak buruk turut terpilih.  



Jangan bakar kelambu, hanya kerana marahkan nyamuk. Bila tidak dapat yang dicitakan, bakar jambatan. Fikirkan masa depan agama dan anak bangsa. Bukan beremosi kerana tidak terpilih. Berjuanglah kerana Allah, bukan yang lain. Mesti ada hikmah di sebalik. 



Ada beberapa calon UMNO yang tidak terpilih mahu menyertai pembangkang atau bertanding calon bebas. Walaupun sebelum ini telah beberapa kali menjadi wakil rakyat. Cukuplah. Berilah laluan kepada orang lain. Masa dia terpilih dahulu, kita tidak perasan orang lain juga merajuk. Kita tidak fikir perasaan orang lain. Bila kena batang hidung sendiri, baru tahu. Ironinya, mereka masih mahu bertindak balas, dan membalas dendam. Nasihat saya, buatlah muhasabah diri.



Di sinilah kelebihan PAS. Ahli mereka akur kepada arahan pucuk pimpinan. Malah, mereka yang tidak terpilih semakin kuat bekerja untuk parti sebab mereka tahu apa yang diperjuangkan.



Pada saya, UMNO perlu mencontohi budaya politik PAS. Tidak nafikan ada yang kecewa, tetapi tidak sampai bertindak menghancurkan parti.



Dalam sebuah negara demokrasi, tidak nafikan, sesiapapun berhak untuk keluar masuk parti apabila dirasakan tidak sesuai. Itu khianat namanya.



Pada saya, jika tidak terpilih, caranya bukan melompat parti atau bertanding bebas. Banyak lagi cara untuk berjuang. Paling kurang, duduk diam-diam. Main dengan anak cucu. Latih anak cucu menjadi pemimpin yang takutkan Allah SWT, dosa dan pahala. Moga bila besar nanti mereka menjadi pemimpin yang lebih baik. Ingat kata-kata Franklin D. Roosevelt, “Kita tidak selalu boleh membangun masa depan untuk generasi mendatang. Tapi kita boleh menyiapkan generasi mendatang untuk masa depan”.



Dalam konteks politik Malaysia, jarang calon bebas bertanding menang, kecuali di Sabah dan Sarawak. Jika ada pun yang menang, calon tersebut memang hebat seperti Shahrir Samad, bagi parlimen Johor Bahru suatu masa dahulu. Adakah kita sebegitu hebat? Tidak perlu buang duit, kerana sudah tentu kalah. Gunakan duit itu untuk membantu mereka yang memerlukan seperti ibu tunggal dan anak yatim. Pahalanya lebih besar.



Bekas ahli parlimen BN Tasik Gelugor (bekas timbalan menteri), berusia 65 tahun, yang tidak terpilih, berhimpun bersama penyokong, lantang mengkritik kepimpinan BN kerana memilih calon yang tidak dimahukan oleh penduduk setempat. Betul ke?



Lebih sinis lagi beliau berkata mahu  bertanding bawah tiket DAP (PKR dan PAS). Persoalan saya mahukah mereka menerima. Ultra kiasu ini bukan bodoh untuk menerima calon kecewa. Takut-takut nanti melompat pulak. Cukuplah tu. Duduk rumah, jagalah cucu. Selalulah ke masjid. Tak perlu sibukkan diri untuk menjadi wakil rakyat. Takut-takut nanti, bila menang, meninggal, berlaku pulak pilihan raya kecil. Habis duit lagi.



Pada saya, mereka boleh bertukar parti, jika mereka benar-benar faham perjuangan parti tersebut, bukan kerana kecewa kerana tidak dilayan dengan baik setelah tidak berkuasa. Lumrah dunia memang begitu. Masa berkuasa, semua orang suka, kentutpun bau wangi. Tetapi bila tidak berkuasa, orang pandangpun tidak.



Inilah akibatnya, ketika berkuasa, kita tidak muliakan Allah, bagaimana kita boleh mendapat penghormatan manusia.Khalifah Abdul Malik Marwan pernah berkata; “Semulia-mulia manusia ialah mereka yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkuasa, memaafkan ketika berkuasa membalas dan bersikap adil ketika berkuasa”.



Justeru, saya menyeru kepada mereka yang obsess untuk berkuasa. Muliakanlah Allah ketika berkuasa (juga tidak berkuasa), InsyaAllah, Allah akan muliakan kita di dunia. Jika tidak dapatpun kemuliaan di dunia, kita akan dimuliakan di akhirat.

1 ulasan:

  1. Pertama kali saya dengar komen atau nasihat sebegini...Klu lah semua terutama Melayu dan Bumiputra Sbh,Swk berfifkiran warass sebegini... tentu negaraa kita akaan lebih cepat maju dan bertambah harmoni... God bless you

    BalasPadam