SMS lucah, Fuziah buat laporan polis
Fuziah menunjukkan salah satu SMS ugutan yang diterimanya.
KUANTAN - Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh membuat laporan polis semalam kerana mendakwa sering menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah dan ugutan sejak tahun lalu.

Beliau yang juga calon PKR di Parlimen Kuantan, mengakui mengalami trauma apabila kerap menerima SMS daripada individu yang didakwanya seorang wartawan sebuah stesen televisyen.

Menurutnya, beliau mula mendapat SMS lucah tersebut sejak Jun 2012, namun kebelakangan ini gangguan itu semakin menjadi-jadi sehingga menimbulkan kebimbangan.

“Saya menerima empat SMS daripada nombor telefon yang sama, manakala satu SMS daripada nombor berbeza dan yang terbaru, awal pagi semalam.

“SMS  itu mengandungi kata-kata lucah dan ugutan menyebabkan saya sebagai seorang wanita rasa malu dan terhina,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan (IPD), semalam.

Fuziah  tidak menolak kemungkinan bahawa pihak yang mengganggu dirinya itu sengaja menimbulkan provokasi.

“Sebelum ini, saya biarkan sahaja perkara ini dan menganggapnya sebagai senario politik, tetapi kebelakangan ini semakin teruk menyebabkan saya perlu ambil tindakan tegas.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku dan saya anggap ini adalah politik kotor yang diamalkan pihak tidak bermoral,” katanya.

Beliau berkata, laporan polis yang dibuat bagi menjamin keselamatan dirinya dan memohon perlindungan daripada pihak berkuasa.

“Kesemua nombor tersebut telah diserahkan kepada polis dan berharap siasatan dapat dijalankan dengan mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab membuat gangguan ini,” katanya.