Ahad, 7 April 2013

AKUJANJI NAJIB..!



Barisan Nasional (BN) meneruskan tradisi membela rakyat dan memacu pembangunan negara menerusi manifesto sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dibentangkan Pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam ini.

Tajuk 'Menepati Janji Membawa Harapan', manifesto yang pertama kali dibentangkan Najib sebagai Perdana Menteri itu mencakupi seluruh elemen yang diperlukan ke arah memacu Malaysia sebagai sebuah negara sejahtera dan berpendapatan tinggi.

Dirangka penuh bertanggungjawab serta dengan janji dan kewibawaan mampu direalisasikan, manifesto BN itu ternyata jauh lebih baik berbanding manifesto pembangkang yang disifatkan beliau manifesto fantasi dan khayalan.

Malah, manifesto BN itu juga dilancarkan dengan semangat perpaduan dan keutuhan menebal antara parti-parti komponen BN yang memayungi rakyat pelbagai kaum di negara ini serta etnik-etnik bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Tidak mahu dikaitkan dengan tindakan pembangkang memberi persepsi buruk kepada manifesto kerana sebelum ini menyifatkannya bukan janji, Najib mengikat apa yang dibentangkan itu sebagai aku janji yang pasti ditepati.

Di hadapan kira-kira 50,000 hadirin yang memenuhi stadium serta yang menyaksikan menerusi skrin besar di luar dewan, Najib ketika membentangkan aku janji itu berkata, dokumen yang mengandungi 17 perkara utama itu merupakan serius kerajaan kerana dibentangkan secara langsung kepada rakyat dan bukannya dibuat hanya dalam sidang akhbar.

Kata beliau, dokumen itu juga dirangka secara terperinci, sistematik kreatif dan inovatif atas falsafah Janji Ditepati yang sudah menjadi jenama BN selama ini atas kesedaran rakyat meletakkan harapan penuh kepada sebuah parti yang mampu membela nasib mereka.

"Saya memberi jaminan, jika rakyat memberi mandat baru kepada BN, kita akan laksanakan janji-janji kita kepada rakyat," katanya sambil disambut tepukan dan sorakan gemuruh hadirin serta mendapat sokongan padu barisan kepimpinan tertinggi parti komponen BN yang berdiri di belakangnya.

Yang turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam masa sama, Najib turut mengingatkan aku janji itu merupakan manifestasi kesedaran tinggi barisan kepimpinan parti itu bahawa BN merupakan parti yang mahu berkhidmat kepada rakyat dan rakyat merupakan ketua sebenar kepada BN.

Atas kesedaran itu juga, kata beliau, Malaysia dalam tempoh empat tahun lalu berjaya 
mencapai kemajuan dan kejayaan membanggakan termasuk berjaya mengelak krisis ekonomi yang gagal ditangani negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah.

Malah, beliau turut memberi contoh bagaimana Malaysia dalam tempoh empat tahun lalu berjaya menghapuskan kemiskinan tegar, mengurangkan kadar pengangguran, mengekang kadar inflasi dan melonjakkan kadar pendapatan rakyat.

Sebagai perbandingan, kata Perdana Menteri, rakyat boleh menilai kemampuan pembangkang di negeri-negeri yang dikuasai mereka yang menyaksikan tidak hanya janji manifesto lalu tidak ditepati tetapi mengabaikan kebajikan rakyat di sebalik kuasa yang dipegang mereka.

Di Selangor, misalnya, ujar Najib, kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga kini berdepan tindakan saman daripada rakyat yang menuntut hak-hak mereka selain krisis bekalan air yang disifatkan beliau tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara maju.

Di Pulau Pinang pula, kata beliau, kerajaan negeri lebih ghairah mengejar projek berbilion-bilion ringgit dalam pelaksanaan terowong bawah tanah berbanding menyediakan rumah mampu milik yang lebih diperlukan rakyat.

"Kelantan yang kononnya negeri Serambi Mekah, tetapi untuk ambil air wuduk pun airnya tidak bersih, di Kedah pun begitu juga, pentadbirannya sekarang kucar-kacir dan bermasalah besar," tambahnya.

Disebabkan itu, tegas Najib, pilihan raya umum bukan sahaja akan menentukan siapa atau parti mana yang akan memimpin negara sebaliknya bakal menentukan destinasi dan hala tuju negara.

Jelas beliau, pilihan raya itu juga sangat mustahak kepada BN untuk mencapai kemenangan dengan meyakinkan bagi memastikan dasar transformasi negara ke arah menjayakan Wawasan 2020 yang diilhamkan Dr. Mahathir menjadi kenyataan.

Di akhir ucapannya, Najib mengajak rakyat meyakini kemampuannya yang bertatih dari bawah dan dengan pengalaman kira-kira 37 tahun dalam dunia politik dan kepimpinan negara untuk meneruskan kecemerlangan pentadbiran yang dimulakan kerajaan BN sejak mengecapi nikmat kemerdekaan.

Atas dasar itu juga, tegas Najib, beliau melihat pilihan raya umum akan datang dalam inti pati kebolehpercayaan dalam kalangan rakyat untuk memilih pemimpin yang dirasakan mampu memimpin negara iaitu sama ada memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau beliau sendiri.

"Namun, saya dengan perasaan penuh rendah diri, jika inti pati kebolehpercayaan rakyat itu kepada saya, maka sokonglah dan undilah BN.

"Saya tidak boleh melakukan perkara ini berseorangan, saya perlukan pasukan saya dan pasukan inilah yang perlu kita berikan sokongan padu," katanya.

Mengakhiri ucapannya, Najib mengingatkan rakyat satu undi yang diberikan kepada pembangkang merupakan satu undi kepada masa depan yang tidak menentu, gelap, penuh kepalsuan dan undi kepada manifesto yang bersifat khayalan serta fantasi.

Sebaliknya, tegas beliau, satu undi kepada BN bererti satu undi kepada kemakmuran dan kestabilan ekonomi negara, satu undi yang membawa harapan sebenar rakyat dan penyatuan bangsa Malaysia.


ANWAR ADA?  LU FIKIR LA SENDIRI!!!

2 ulasan:

  1. salam perkenalan dari http://johorsanasini.blogspot.com/

    BalasPadam
  2. Salam sedare,

    Mohon pertukaran pautan...
    Blog sedare telah pun saya pautkan dalam blog Kinta Menjerit.

    tq

    http://kinta-menjerit.blogspot.com

    BalasPadam