Melayu, MH 370, Bomoh dan Ajaran Sesat
Menggunakan bomoh dan sihir mencari MH 370 telah menjadi bahan ketawa dunia. Rakyat Malaysia di luar negara, termasuk anak-anak saya yang berada di Iskandariah, Mesir, amat malu dengan kejadian ini.
Kita sering mendakwa, kita adalah negara Islam contoh. Hari ini, kita sedang ditertawakan kerana percaya kepada perkara-perkara khurafat, tahyol dan tidak masuk akal.
Persoalannya siapakah yang memanggil bomoh tersebut? Apakah orang tersebut pernah menggunakan khidmat bomoh? Apakah tujuan khidmat bomoh itu digunakan? Jika benarlah ‘kesaktian’ bomoh tersebut, buatlah di tempat tertutup, bukanlah tempat terbuka sebegitu, hingga menjadi perhatian dunia, dengan alat lucu seperti teropong buluh, tikar, kelapa, labu sayung dan lain-lain
Kejadian ini mengingatkan saya kenapa ajaran sesat berleluasa? Walaupun tidak masuk akal, tetapi ramai yang mempercayainya, terutama kalangan orang Melayu.
Bayangkan bagaimana kita boleh mempercayai ada orang mengakui diri dia tuhan, Imam Mahdi, Rasul dan sebagainya. Pengikut ayah Pin mempercayai ayah Pin boleh hidup di alam langit. Begitu juga pengikut Harun yang percaya Harun boleh menjadi tuhan. Ini tidak termasuk orang Jawa yang mengakui Imam Mahdi.
Jika ditanya orang kafir sekalipun, walaupun mereka sudah syirik, mereka tidak akan mempercayai perkara tersebut. Dalam isu kehilangan MH 370, paling kurang, mereka tampil bermeditasi dan berdoa mengikut cara masing-masing. Penampilan mereka tidak pelik.
Sebagai umat Islam, segala tindak-tanduk kita mestilah berteraskan kepada al-Quran dan Sunnah. Apa jua perbuatan yang bercanggah, hendaklah ditolak kerana boleh menjejaskan akidah.
Ini termasuk menggunakan khidmat bomoh, dukun, pawang, penilik nasib atau sesiapa jua yang mendakwa mengetahui ilmu-ilmu ghaib. Maksud saya, pengetahuan yang tidak dapat diperolehi melalui deria manusia, seperti khabar yang akan datang, isi hati manusia dan peristiwa yang tersembunyi.
Ilmu-imu ini hanya dimiliki oleh Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud, "Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain daripada Allah yang tidak mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu jadilah engkau daripada kalangan orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). (Surah Yunus: 106)
Ayat ini jelas mengharamkan kita meminta pertolongan selain daripada Allah SWT. Kita dituntut memohon pertolongan dan berdoa secara langsung ke hadrat Allah yang Maha Esa dan Maha Berkuasa ke atas segalanya.
Selain itu, Islam juga melarang umatnya daripada menggunakan sihir kerana Rasulullah SAW bersabda, "Jauhilah 7 perkara yang merosakkan. Golongan sahabat bertanya, "Apakah 7 perkara itu? Jawab Baginda, " Mensyirikkan Allah, melakukan sihir, membunuh orang tanpa hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan zina". (Hadis riwayat Bukhari)
Perlu diingat, umat Islam perlu berhati-hati menggunakan khidmat bomoh supaya tidak terjebak dalam amalan syirik yang akan menjejaskan akidah. Setiap daripada kita diwajibkan berusaha dan berikhtiar serta seterusnya bertawakal kepadaNya kerana Allah saja yang Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu.
Saya amat bersyukur ramai kalangan kita yang melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT, mohon petunjuk. Jika di darat tunjukkanlah, jika di laut, timbulkanlah, jika di udara, turunkanlah. Inilah yang sepatutnya dilakukan. Serahkan semua kepada Yang Maha Esa dan Maha Kuasa.
Kenapa kita melakukan tindakan yang pelik-pelik, lebih teruk daripada orang bukan Islam. Kita menuduh mereka syirik, tetapi kita lebih syirik daripada mereka.
Kepada orang bukan Islam, ingin saya jelaskan di sini bahawa perbuatan berbomoh seperti yang dilakukan ini bukan sumber daripada ajaran Islam, meskipun ada yang mendakwa ia akan mengikut kaedah Islam. Pandanglah agama Islam daripada sumber agama Islam itu sendiri, bukan daripada perbuatan orang Islam.
Jika perbuatan umat Islam itu tidak mencerminkan hakikat Islam yang sebenar, maka ia bukanlah daripada sumber agama Islam.
Ketika saya memeluk Islampun dahulu, saya mengkaji Islam dan mendalami Islam. Jika ditakdirkan saya melihat perbuatan umat Islam dalam mencari MH 370 sebegini, sudah tentu saya tidak jadi memeluk Islam.
Kebimbangan saya, jika ditakdirkan bomoh itulah yang akan dapat memberi petunjuk dan menjumpai MH 370 itu nanti, semakin ramailah umat Islam yang akan percayai kepada bomoh daripada menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada Allah SWT.
Justeru, apa jua yang berlaku dalam pencarian MH 370, kita beriktiar, selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT, yang lebih mengetahui hikmah semua kejadian ini.
Ingat kata-kata ini, kadang kala Allah hantar orang baik kepada kita, sebab kita tidak cukup baik. Kadang kala Allah tarik balik mereka semua, Allah mahu menguji kita sama ada kita jadi baik kerana Allah atau kerana manusia.
Lu Fikir La Sendiri!!!
7 comments:
Ada typo error iaitu dalam perenggan -
'Saya amat bersyukur ramai kalangan kita yang melakukan solat jahat dan berdoa kepada Allah SWT, mohon petunjuk.' - Prof.salah type hajat kepada jahat..
Harap maklum..